Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU
Showing posts with label Luah Bicara. Show all posts
Showing posts with label Luah Bicara. Show all posts

Luah Bicara 20

Sehabis pertemuanku dengan dokter yang memeriksa aku, dan setelah tiada lagi urusan yang tersangkut, aku meminta diri dari rakan seperawatan dan sekali gus rakan Luah Bicara untuk beredar dari ruang menunggu.

Setelah mencapai bekalan air yang aku bawa, akupun bergegas menuju ke pintu keluar. Menghampiri pintu keluar aku ditahan oleh isteri rakan seperawatan yang lain yang hari ini menjalani proses kimo yang terlewat seminggu dari tarikh sepatutnya.

Rakan seperawatan ini selalu masuk balik ke wad kerana beberapa sebab kesihatan yang memaksa dokter menahannya di wad.

Isteri rakan ini menanyakan aku hasil kajian darahku hari ini. Aku memaklumkan setakat hari ini, keadaan darahku baik semuanya. Bacaan creatinine aku yang melepasi julat pada minggu lepas pun kembali ke dalam julat. Pendek kata tiada apa - apa rawatan atau ubat tambahan yang perlu diberi oleh dokter.

Dia turut menyatakan rasa gembiranya dan mendoakan agar aku terus bertambah baik dan sembuh sepenuhnya.

Bila aku keluar pintu, dia turut ikut aku keluar pintu. Dia bertanya, apa rahsia aku yang menyebabkan aku boleh ceria dan bergerak ke sana ke mari dengan lincah. Dia ingin tahu kerana suaminya begitu lemah dan kelihatannya macam agak down.

Sebenarnya agak sukar sedikit untuk aku memberi jawapan dan aku perlu berhati - hati. Ini adalah kerana kesihatan aku yang baik adalah rahmat dari Allah. Tanpa rahmat Allah, sekuat manapun aku, aku tidak akan berada pada tahap kesihatan sekarang. Aku juga kuatir dan perlu berlapik, iaitu mungkin aku sekarang pada tahap ini tetapi tidak tahu apa yang tersembunyi. Ini aku nyatakannya kepadanya dan dia berdoa agar aku memang akan.pulih sepenuhnya.

Apa yang berani aku sarankan kepadanya ialah supaya suaminya berfikiran positif. Pemikiran positif akan dapat mengawal emosi dan juga fizikal kita. Be strong. Itu saja yang mampu keberikan. Katanya sebagai bekas anggota polis yang pernah bertempur dengan komunis, sepatutnya suaminya lebih kuat.

Satu perkara yang  mungkin aku sebut atau mungkin baru sekarang aku teringat, ialah menyibukkan diri. Kebelakangan ini aku begitu sibuk menguruskan tulisanku. Mengedit, mengepos, menulis yang baru disamping uruskan beberapa whatsapp group , membuat aku lupa pada penyakit yang sedang aku lalui. Pun sekarang aku lalui semula kehidupan rutinku yang dahulu ketika aku belum sakit menyebabkan aku tidak terasa aku dalam kuarantin yang ketat. Ini juga satu trapi buat diriku.

Namun, aku masih juga ada rasa takut, takut segala perkembangan positif tentang penyakit aku, ada yang tersembunyi yang aku tidak tahu. Namun aku redhakan sahaja ketentuan Allah. Apa yang amat penting kuingat, segala yang positif berkaitan dengan penyakitku sekarang adalah dengan izin Allah. Ikhtiarku ialah menjalani segala rawatan dengan pemikiran yang positif.

Jadi terhadap segala pertanyaan dan nasihat bagaimana aku lalui rawatanku, aku hanya mampu memberi nasihat, be positive. Nasib setiap kita tidak sama. Jangan cepat mengalah bila mendengar ramai yang tewas dalam melawan penyakit ini.

Paling utama untuk aku ingatkan diriku sendiri dan orang - orang yang minta nasihat, segala ketentuan adalah di tangan Allah. Kepadanyalah kita berdoa dan berserah.

Sekian.

Luah Bicara 19

Aku sekarang di ruang menunggu di Unit Rawatan Harian, HUKM. Hari ini aku akan menjalani kimotrapi yang ke 5. Setakat empat kali yang lepas aku tidak mengalami apa - apa kesan kimo seperti yang selalu dialami oleh orang lain. Syukur Alhamdulillah. Cuma kimo ke 4 dulu susah nak cari urat darah untuk pasang tapak untuk drip. Perkara biasa bagi orang menjalani kimotrapi, urat darah mengecut. Akan pulih selepas selesai keseluruhan proses kimo nanti.

Ketika aku akan menghadapi proses kimo ini rakan - rakan sekolahku   Sekolah Alam Shah batch 66/69 mengadakan reunion di De Palma Resort, Kuala Selangor. Tak dapatlah aku turut serta. Hanya aku berkirim salam kepada rakan - rakan yang berkesempatan berkumpul.

Sedang aku menaip, tiba - tiba tercegat kawan rapat masa di MPTI dulu dan sekarang ahli Whatsapp Group Luah Bicara juga iaitu Sdra Omar. Tak sangka dia cari aku. Dia bawa isteri untuk rawatan susulan di O & G.

Seorang pesakit menyapa aku. Mesra. Bila aku dipanggil untuk bermulanya rawatan kimo, aku di tempatkan di katil bersebelahan dengan katil pesakit yang mesra itu. Macam biasa basa basi bila bertemu orang baru,  aku bertanya itu ini termasuk usianya. Tetiba dia membuka penutup mulut dan hidungnya dan dengan loghat Peraknya memperkenalkan diri, " Saya le Pak Ya, Shamsuri."

Allahuakhbar. Member satu wad di Wad 6G yang memang sudah dikenali dan juga member group whatsapp Luah Bicara rupanya. Patutlah mesra sesangatnya.

Itulah jadinya bila rambut dah direpeh ( digunting) pendek dan
berpenutup hidung dan mulut pulak. Memang aku tak kenal. Patutlah perompak pakai topeng bila nak merompak. Kan?

Dah kenal benar berlabun sakanlah kami ( loghat Perak yang bermaksud berbual rancaklah kami ) Macam - macam topik keluar hingga tidak sedar proses kimotrapi yang hanya selesai hampir pukul lima petang.

Dalam bualan itu  dua kali terkeluar perkataan dari mulut Encik Shamsuri,  betapa semakin kecilnya dunia ini. Ini merujuk kepada pertemuan aku, dia Omar dan juga bertemu kembali secara maya antara Encik Shamsuri dengan kenalan lama yang kebetulan ahli group Luah Bicara.

Sebenar saiz bumi tidak mengecil. Apa yang menjadikannya terasa seperti kecil ialah dua perkara asas iaitu kemudahan perjalanan dan kemudahan perhubungan.

Zaman dulu dari Teluk Anson ( Sekarang Teluk Intan ) ke Kuala Lumpur usah harap boleh balik hari yang sama. Sekarang dari Ipoh ke KL dan balik semula ke Ipoh pada hari yang sama sudah menjadi perkara biasa. Malah pada tahun 1992 dulu pun saya pernah ke KL untuk mesyuarat, balik ke Ipoh untuk tunaikan cek di Bank Negara ( dulu ada cawangan Bank Negara di Ipoh ) dan balik ke KL pada hari yang sama kerana besoknya saya kena terbang ke Korea Selatan.

Itu kemudahan perjalanan. Kemudahsn perhubungan pula,  kalau dulu mengharapkan surat biasa atau telegram ( bila kecemasan ) , sekarang dengan ada whatsapp, facebook, instagram dll menyebab kita berhubung dengan saudara mara, sahabat dan rakan seolah - olah mereka berada di sebalik dinding.

Sekian dulu. Terjaga 12.30 pagi tadi terus tak tidur ke saat ini. Nak tidur semula.

Sebelum.itu teringat pantun lama:

Nak gugur gugurlah nangka,
Jangan menimpa si batang pauh,
Hendak tidur tidurlah mata,
Jangan dikenang orang yang jauh.

Luah Bicara 6

Dalam Tulisan 76 , aku berbicara tentang rahsia. Rahsia seharusnya tidak dikongsikan supaya status rahsianya kekal rahsia. Memang sakit menyimpannya tetapi kadangkala kita kena lakukan demi kebahagiaan orang lain,  puaskan hati orang lain atau jaga hati orang lain, walaupun hati kita sendiri tersiksa.

Aku laluinya banyak kali dalam kehidupanku. Maksudku menyimpan rahsia. Dari usia yang terlalu muda hinggalah ke saat usiaku mencecah 71 tahun ini.

Kenapa kusentuh semula tentang rahsia dalam Luah Bicara 6 ini? Ini adalah kerana aku ingin berkongsi bagaimana rahsia yang kita sembunyikan atau kita sembunyikan kepada suatu pihak tetapi tidak kepada pihak yang lain  dapat menyelamatkan keadaan.

Anda mengambil atau melakukan sesuatu tindakan dengan memberikan hujah - hujan yang diyakini atau munasabah tetapi sebenarnya ada sebab lain yang anda sembunyikan. Biarlah begitu kalau itu yang terbaik walaupun  orang menganggap anda bodoh atau tindakan anda itu bodoh. Sebenarnya anda cerdik dengan cara anda sendiri.

Anda mungkin sedih atau mungkin kecewa dengan sesuatu keadaan tetapi anda rahsiakan rasa sedih anda atau rasa kecewa anda demi keadaan yang mengecewakan atau menyedihkan itu berlalu tanpa disedari orang lain ianya mengecewa dan menyedihkan anda. Kadang - kadang dalam kehidupan ini, pengorbanan diperlukan.

Menyimpan rahsia adalah suatu pengorbanan. Berahsialah bila perlu. Berkorbanlah demi kebahagiaan orang lain yang anda sayangi.

Apa sebenarnya ingin kusampaikan? Biarlah ianya menjadi rahsia.

Luah Bicara 3

Dulu dalam Tulisan 98 aku pernah menulis tentang satu penyakit jiwa yang tidak semua orang perasan iaitu penyakit atau perlakuan sentiasa tidak puas hati dengan semua orang , semua keadaan, semua tindakan , semua situasi, dan pada semua ketika.
Hari ini dalam Luah Bicara 3 aku ingin menyentuh satu penyakit lagi iaitu penyakit berkiblat kepada diri sendiri semata - mata.
Orang begini dia "nohen" kata orang Perak atau " ignore " atau kalau tak ignore pun  dia memberi tumpuan yang amat -  amat minimum apa yang berlaku atau diperkatakan di sekitarnya atau yang sedang dihadapi oleh orang lain kerana mindanya sudah di set mati dengan aku . Aku sudah *memblok* mindanya dari ambil tahu secara serius atau setidak - tidaknya meyimpannya dalam kotak minda perkara yang berlaku atau diperkatakan di sekitarnya.
Orang yang berpenyakit begini akan *ignore* atau tidak memberi tumpuan kepada situasi atau orang lain, walaupun individu terdekat denganya.
Perkara yang sepatutnya dia tahu dengan pastipun dia tidak tahu. Ini berlaku kerana dia tidak mendengar atau mengikuti perbualan - perbualan di sekelilingnya dengan fokus kerana mindanya sudah terfokus kepada " aku ".
Penyakit berkiblat kepada aku ini sebenarnya lebih teruk dari penyakit mementingkan diri sendiri. Dalam situasi mementingkan diri sendiri, dia tidak ignore kepada orang lain tetapi dalam apa-apa tindakan dirinya sendirilah menjadi keutamaan dan dia mahu orang lain juga mendahulukan dirinya.
Kepentingan orang lain tolak tepi.
Akan  tetapi dalam penyakit berkiblat kepada *aku* ini, dia langsung tak ambil tahu (atau ambil pot kata orang sekarang)  atau amat minimum ambil tahu hal yang berkaitan dengan orang lain, hatta yang amat hampir dengannya.
Aku tidak ada solusi bagaimana nak *repair* kepada kepada penyakit aku ini. Mungkin anda pembaca ada solusinya.
Nota : Anda kena bezakan Aku yang merujuk kepada saya sebagai penulis dengan *Aku* yang merujuk kepada penyakit *Aku*.

Luah Bicara 2

Pagi ini aku berada di Unit Jagaan Harian ( Day Care Unit) HUKM. Seperti biasa hari ini aku akan diambil darah untuk dianalisis di makmal untuk melihat perkembangan darahku selepas melepasi minggu pertama Kimotrapi ketiga. Seperti yang selalu aku ceritakan, hari ini adalah awal minggu kedua di mana mengikut dokter status anti body aku berada pada tahap zero. Seperti biasa juga aku mengharapkan ada peningkatan sel darah merah dan sel darah putih dalam darahku.

Kalau sel darah merah kurang, kena masuk darah satu atau dua paket. Kalau kekurangan sel darah putih, aku akan disuntik dengan sel itu tiga hari berturut-turut. Aku amat mengharap kedua-dua proses itu tidak perlu kulalui.

Nama aku belum dipanggil untuk diambil darah. Proses diambil darah tidaklah menyakitkan apatah lagi dilaksanakan oleh jururawat yang mahir. Akan tetapi bila melibatkan jarum dicucuk ke badan, bohonglah kalau kita boleh melagak tak ada apa-apa.,        

Proses ambil darah sudah dilaksanakan. Seperti biasa, oklah bila jururawat yang buat. Tak sakit pun.

Kena tunggu dua jam untuk dapat keputusan. Itu menimum kata jururawat sebab hari ini pesakit ramai. Semalam cuti dan besok juga cuti.

Sementara menunggu keputusan darah , aku berjalanlah ke kedai Koop beli surat khabar. Macam biasalah aku beli Utusan. Aku ada sebab tersendiri untuk kekal dengan Utusan. Tidak mahu memperincikannya kerana nak jauhkan diri dari penulisan yang bersifat politik.

Memasuki Cafeteria untuk ke tandas yang selesa, aku lihat ada juga yang tidak berpuasa, selamba badak je makan kat sini. Yang tua dan uzur macam aku ( aku tidak dibenarkan berpuasa ) dan yang perempuan yang dapat cuti umum.

Aku ceritakan kepada anak aku. Akhirnya aku juga buat selamba badak pekena mee kari dan air durian belanda panas.

Berbalik kepada penyakit aku, ada yang minta nasihat bagaimana nak jadi tabah dan kuat macam aku. Aku berilah sekadar yang aku tahu dan aku lalui.

Persoalannya betulkah aku cukup tabah? Ada kalanya tergugat juga semangatku  sedikit tetapi aku cepat aku buangkan jauh - jauh.

Mendapat berita kenalan  - kenalan walaupun tidak rapat, 3 - 4 orang meninggal dunia  dalam tempoh cuma seminggu, semuanya kerana kanser, mustahil tidak mengusik hati aku. Akan tetapi aku selalui memujuk, nasib dan suratan seseorang itu tidak sama.

Mungkin aku antara yang akan " survive" dalam pertarungan ini. Hanya Allah yang tahu. Setakat kimotrapi ketiga ini, aku begitu positif. Tidak tahulah dalam keadaan yang aku sihat ini tetiba dimaklumkan sebaliknya.  Redha sajalah.

Melihat kuku menjadi hitam dan teringat ceramah Ustaz Kazim ada jemaah yang dibawanya buat Umrah, kukunya habis hitam semua dan meninggal sehabis Umrah, tergugat juga keyakinan aku sedikit. Tapi bila difahamkan kuku hitam hanyalah sebahagian dari kesan kimotrapi aku jadi kuat kembali.

Aku hanya berharap sehabis kimotrapi ke enam, aku diistiharkan pulih. Kalau ia akan berbalik, itu suratan yang lain.

Apapun, aku ingin berkongsi tip ini. Laluilah proses kimotrapi. Walaupun  tak ada jaminan pasti untuk sembuh, sekurang - kurang status kesihatan kita sentiasa dipantau berbanding dengan perubatan alternatif. Ketakutan dan kesakitan melalui proses PET Scan, Colonoscopy dan Bone Marrow, boleh didengar tetapi jangan ambil pot sangat kata orang sekarang. Apa yang kita lalui mungkin tidak sama dengan apa yang orang lain lalui.

Kekuatan fizikal disepadukan dengan kekuatan mental dapat membantu kita melaluinya. Bagi yang masih muda, anda ada kedua  - duanya. Fizikal dan mental. Bagi yang berusia macam aku ini yang tinggal ialah kekuatan mental. Tapi jangan lupa, kekuatan mental bisa saja mengatasi kekuatan fizikal.

Sekian dulu.

Luah Bicara 18

Di luar pengetahuan aku, anak aku membangunkan blog untuk tulisan - tulisan aku dengan nama Luah Bicara Pak Yahya dengan pautannya https://luahbicarapakyahya.blogspot.com/ tanpa mengetahui aku memang sudah ada blog dengan nama yang seakan sama iaitu Luah Bicara.

Berterima kasih sangat kepada anakku ini kerana dalam diam - diam menghargai tulisan - tulisanku dan dalam kesibukannya bekerja dan menguruskan rumahtangga masih berkesempatan membangunkan blog untuk aku dan upload semua tulisan aku yang ada dalam koleksinya ke blog ini.

Apa yang lebih mengujakan dan aku sangat bersyukur ialah blog aku itu tetiba
mendapat pengunjung atau viewer dengan peningkatan jumlah yang pantas walau baru sehari dua dilancarkan. Syukur Alhamdulillah.

Sebenarnya aku mula membangunkan blog dengan nama Catatan Di Sepanjang Perjalanan seawal tahun 2010 dengan menggunakan notebook dan peranti internet.

Blog itu kuwujudkan untuk memuatkan semua tulisanku yang idea penulisannya tercetus sepanjang perjalananku, terutama ketika berulang - alik dengan perkhidmatan ETS. Namun aku gagal mendapat viewer kerana tak pandai mempromosikannya.

Selepas mengalami kerosakan notebook dan juga ada masalah dengan internet, blog itu terbiar begitu saja. Sayang juga tulisan - tulisan aku di dalam blog yang berkenaan.

Kemudian barulah aku membangunkan blog Luah Bicara yang juga tiada pengunjung kerana tidak aku war - war dengan bersunguh - sungguh dan dengan cara yang betul.

Jadi aku amat bersyukur dengan sambutan terhadap blog yang baru ini yang bermula dengan nama Luah Bicara Pak Yahya dan kini ditukar kepada Luah Bicara Pak Ya sahaja. Mungkin juga atas persetujuan bersama anakku, aku akan tukar kepada Luah Bicara sahaja selari  dengan penulisan aku yang terbaru dan juga whatsapp group yang baru yang juga bernama Luah Bicara.

Aku mengharapkan blog ini akan menjadi antara blog yang diminati bukan kerana aku inginkan namaku disebut, tetapi yang penting apa yang kuluahkan dapat sampai kepada ramai orang.

Untuk itu aku mengharapkan setiap ahli dalam Group Luah Bicara dapat menghantarkan pautan blogku ke dalam whatsapp - whatsapp group yang mereka terlibat sebagai ahli.

Aku juga mengharap rakan - rakan dalam group yang aku terlibat sebagai ahli dapat membantu mengwar - warkan blogku ke whatsapp group lain yang mereka terlibat sebagai ahli. Aku amat berbesar hati sekira semua rakan - rakan dapat membantu.

Sekian dulu.

Luah Bicara 1

Sudah agak lama terhenti menulis setelah Tulisan mencecah angka 100. Seratus angka yang selalunya jadi penutup atau penanda aras sesuatu pencapaian.

Saya menjadi tidak pasti akan melanjutkan Tulisan atau _berhenti terus_ atau menamakan dengan nama lain.

Akhirnya keinginan menulis dan berkongsi pengalaman, buah fikiran dan rasa masih wujud dalam diri, lalu saya pilih untuk menulis terus dan kali ini saya namakan Luah Bicara.
Dalam Luah Bicara 1 ini, saya ingin menulis semula perkara yang pernah saya tulis dulu, yang mendapat respon yang baik juga, tetapi terasa perlu mengulangnya semula bila menghampiri Hari Raya Aidil Fitri ini. Sesuatu yang perlu direnung dan diambil tindakan bersama .

Perkara pertama yang ingin saya sentuh ialah tentang cara bersalaman anak cucu kita yang sudah terpesong dari cara sebenar dan sudah menjadi lumrah tanpa ada yang menegur atau membetulkannya dengan serius.

Ramai sekarang yang bersalaman dan membawa tangan kita yang disalami ke dahi mereka. Ini bukan sahaja oleh kanak - kanak malahan oleh remaja-remaja awal dua puluhan atau lebih. Ini bukan dari budaya Melayu dan Islam. Ini budaya orang lain.

Apa yang sepatutnya ialah mereka mencium tangan orang yang disalami yang tentunya yang lebih dewasa dan dihormati.
Ada juga yang tidak membawa tangan kita ke dahi mereka tetapi mencium tangan mereka sendiri.

Perkara kedua, dalam sibuk bersilaturahim  dengan adik beradik, ipar duai dan saudara mara, ada yang lupa batas-batas aurat dan juga sentuhan.

Dari pemerhatian saya, kalau anak-anak atau remaja bawah 20an, mungkinlah mereka jahil. Akan tetapi yang sudah 40an ke atas yang anak - anak pun dah besar panjang, pun lupa bahawa sepupu-sepupu bukan muhrim yang boleh bersentuhan kulit. Ada sepupu-sepupu lelaki menyentuh atau memeluk bahu sepupu perempuannya tanpa sedar atau tanpa peduli yang sepupunya itu ada suaminya bersama.
Seakrab mana pun, batas - batas susila dan agama perlulah dijaga dan diutamakan.
Jadi nanti bila berkumpul ramai-ramai kita yang tua-tua ni kenalah membetulkannya.

Dalam ceramah agama di TV baru-baru ni ada ditanya tentang keutamaan memberikan bilik-bilik di rumah bila adik beradik, anak beranak datang berkumpul. Ingatlah menjaga aurat bagi perempuan lebih payah dari lelaki. Susunlah supaya bilik-bilik hanya untuk perempuan sementara yang lelaki di ruang luar pun ok. Kalau bilik-bilik memang banyak dan boleh masuk ikut pasangan tu mudahlah.
Supaya tidak berkecil hati kita yang dewasa ni berterus terang dan bertegaslah tentang aurat dan sebagainya supaya silaturahim berjaya diwujudkan dan peraturan agama tidak terabai.

Ketiganya didiklah anak cucu kita supaya faham bahawa ziarah itu bukan untuk dapatkan duit raya. Kalau orang beri tu ambillah. Kalau tak ada tu tak adalah. Ini ada yang bersungut, ada yang buka sampul depan tuan rumah dan komen pula tu " seringit je!"

Jangan biarkan mereka bertandang ke rumah jiran-jiran malah ke rumah orang-orang yang tidak dikenali semata-mata nak pungut duit raya. Hingga ada yang berdiri di pagar sahaja dan bila diajak masuk mereka kata " tak apalah kat sini saja"

Kumpulan begini saya paksa masuk, beri makan minum baru saya beri duit raya.
Ada anak-anak kita ni yang buat rombongan naik kenderaan awam atau berbasikal dari satu taman ke satu taman semata-mata nak minta duit raya. Ini kita kena betulkan bersama. Supaya mereka membesar dengan kefahaman yang betul.

Oleh kerana saya tak dapat cari balik tulisan saya yang terdahulu yang lebih kemas dan lengkap, cukuplah di sini sahaja. Yang penting luah bicara saya kali ini difahami , dihayati dan sama-sama kita betulkan.

Sekian.

Luah Bicara 5

Semalam, sendirian di rumah, sempat menonton siaran ulangan ( entah ulangan ke berapa kali dah. Biasalah Astro ) drama TV Pintu No. 9 Masjid Nabawi. Kesah Allahyarham Dato' S.Roomai Noor ( meninggal pada 6 Mac  1996 ) dengan Allahyarhamah Datin Umi Kalthum  ( meninggal pada 24 Julai 2013 ). Kesah benar penantian setia seorang isteri di Pintu No. 9 Masjid Nabawi terhadap suami ketika menunai Umrah di Tanah Suci. Cerita berakhir dengan suami tersayang meninggal dunia di Tanah Suci .

Menonton drama ini mengembalikan kenanganku kepada apa yang berlaku kepada aku di Masjid Nabawi ketika menunaikan Fardu Haji pada tahun lepas. Pada hari terakhir sebelum berangkat pulang yang jatuh pada hari Jumaat, aku pitam di dalam saf ketika menunggu khutbah Jumaat dan seterusnya solat Jumaat.

Aku tidak mampu untuk mengangkat kepala aku. Kalau aku angkat dunia seperti berpusing dan aku akan termuntah. Jemaah yang tidak tahu mendesak aku untuk ke tepi. Tetapi aku memang tidak mampu.

Aku terpaksa dibiarkan di situ ( terbaring di dalam saf ) sehinggalah Solat Jumaat berakhir. Bila solat Jumaat berakhir, rakan sebilik dan seorang rakan lain cuba uruskan aku. Tapi aku memang langsung tak boleh bangun atas sebab yang kusebut di atas.

Terbaringlah aku di situ. Akhirnya aku terpaksa diusung ke tepi kerana tempat aku terbaring adalah laluan khusus untuk jemaah wanita menuju ke Raudhah.

Memang termuntah tetapi sempat disedia plastik dan tidaklah aku mengotori Masjid Nabawi yang suci.

Akhirnya Pegawai Tabung Haji yang dihubungi membawa aku ke Klinik Tabung Haji di Hotel bersebelahan hotel aku menginap dengan menolak aku di atas wheelchair.

Kawan - kawan baik aku, kawan sebilik , menyangka aku akan meninggal ketika di Masjid Nabawi tadi. Cantik sangat ketikanya kata mereka. Di Masjid Nabawi ketika Solat Jumaat.

Memang ada yang bercita - cita untuk meninggal di Tanah Suci.

Seorang kawan ketika memeluk aku semasa reunion terakhir maktab aku ( terakhir kerana belum ada yang baru, yang baru baru dalam rancangan ) mengucapkan kepada aku , selamat berangkat ke Mekah tetapi tidak mahu mengucapkan selamat kembali kerana kata beliau, sepatutnya semua kita yang pergi ke Tanah Suci bercita - cita untuk meninggal di Tanah Suci.

Namun ia berbalik kepada kesediaan dan persediaan kita untuk menghadapi kematian. Bukan masalah cinta kepada dunia.

Pernah aku menulis dalam Tulisan 3 , seperti menghadapi peperiksaan, kalau persediaan kita mantap kita tidak gentar menghadapinya.  Jika persediaan untuk ke akhirat sudah mantap kita tidak takut menghadapi kematian. Soalnya sudah sediakah kita?

Ustaz Ismail Kamus dalam ceramahnya bertanya, kalau kita mati malam ni boleh tak? Dia sendiri beritahu  jemaah kata tak boleh ustaz kerana belum sedia. Soalnya bila nak sedia? Masa tak ada dah. Jadi gunakanlah setiap waktu yang ada untuk beramal, untuk bersedia menghadapi kematian.

Aku tutup Luah Bicara kali ini dengan meninggalkan soalan ini:

Sudah bersediakah anda?

Luah Bicara 7

Sambutan Hari Raya kali ini terasa amat berbeza . Tahun - tahun yang lepas sehari dua sebelum Hari Raya,  aku akan ke kedai buku, memilih dan membelikan anak menantuku buku-buku yang kufikirkan sesuai untuk mereka sebagai hadiah pagi Hari Raya ketika bersalam-salaman. Nak bagi duit raya sudah tidak sesuai buat mereka yang dah tobin kata orang Perak. Itu ( duit raya ) aku sediakan untuk cucu - cucu sahaja.

Akan tetapi tahun lepas aku tukar dari buku - buku kepada barang-barang kecil yang kuletakkan di dalam beg hadiah, bila kusedari buku-buku yang kubeli tidak berapa dibaca. Mereka bukan ulat buku seperti aku. Atau buku genre motivasi atau panduan hidup tidak menarik bagi anak - anak perempuan berbanding novel popular. Dan genre apapun tidak menarik bagi anak-anak lelaki yang bukan ulat buku hi hi.

Tetapi menjelang Hari Raya besok, aku tidak mampu mencari dan membelikan hadiah pagi Hari Raya buat mereka lagi . Aku cuma berbaring atau berligar - ligar  di sekitar bilik atau ruang tamu. Kesihatanku tidak mengizinkan aku bergerak bebas dan lincah seperi dulu untuk menyediakan itu semua. Kemeriahan semacam kurang terasa.

Pun dulu aku gembira menyambut hari kemenangan selepas dapat berpuasa sebulan penuh dengan bersolat taraweh di masjid setiap malam. Tapi tahun ini aku cuma berpuasa empat hari sahaja, selepas itu dokter tidak membenarkan aku berpuasa bila hari kelima tu buah pinggangku kering kerana kurang minum. Bahaya untuk kesihatanku dan sebenarnya pesakit yang dalam proses kimo memang tidak sepatutnya berpuasa. Ke masjidpun tidak dibolehkan kerana dalam kuarantin .

Jadi tiada apapun kemenangan bagi diriku melainkan rasa kosong kerana Ramadhan tidak kupenuhi seperti masa - masa lalu dan aku tidak pasti apakah usiaku mampu untuk sampai ke Ramadhan tahun depan. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Semasa muda dan anak - anak masih kecil, aku gilirkan hari raya pertama sama ada Hari Raya Aidil Fitri atau Aidil Adha, antara rumah ibubapa isteriku dengan rumah ibuku.

Selepas berusia sedikit dan anak-anak pun sudah besar, aku tukar cara aku menyambut Hari Raya iaitu hari pertama mesti di rumah sendiri, petangnya baru ke rumah ibubapa isteri atau ibuku ikut giliran sebelum ini.

Bila ibubapa isteri sudah tiada dan begitu juga ibuku sendiri, dan anak-anak pun sudah berkahwin, tukar cara lagi. Aku dan isteri tidak ke mana - mana, anak-anak pula membuat giliran antara rumah aku dengan rumah mertua mereka. Begitulah masa beredar.

Semasa kanak  - kanak , selepas solat Hari Raya , kami pergi dari rumah ke rumah dan dari kampung ke kampung hingga selepas solat Asar. Solat Zohor dan Asar kami laksanakan di surau dan kampung di mana kami singgahi.

Bukan kanak-kanak sahaja dalam rombongan kami. Kami pergi dengan orang dewasa dan orang muda juga. Pendek kata kecil besar tua muda bersama. Tidaklah ada langsung dan tidak terlintas langsung mengutip duit raya. Tak ada. Naik ke rumah, minum sikit, bersalaman, berselawat dan bergerak ke rumah lain. Bagitulah.

Sekarang lepas solat sunat raya kebanyakannya balik ke rumah, ulang makan ketupat atau lemang sambil menonton TV. Kemeriahan dan Silatulrahim sudah kurang dipentingkan. Ziarah rumah kawan tunggu jemputan open house. Betul tak?

Mari kita betulkan sama  - sama sementara masih boleh dibetulkan atau semua dah selesakah dengan cara sekarang?

Luah Bicara 8

Aku kenal makanan yang dipanggil sotong kangkung ketika sering berkursus atau memberi kursus di Taiping.

Pertama kali kenal dan menikmati sotong kangkung ialah di gerai makanan di belakang Balai Bomba Taiping. Memang sedap sotong kangkung yang dijual di salah sebuah gerai di situ.

Sejak itu aku seringlah membeli dan menikmati keenakan sotong kangkung ini. Tetapi bila aku kena gout dan pernah sekali diserang gout selepas makan sotong tahun 2008, aku  stop makan sotong. Tapi ingatan kepada sotong kangkung tidak pernah luput dari ingatan.

Suatu hari di Bandar Tun Razak, kerana keinginan terhadap sotong kangkung begitu tinggi, aku pergi ke salah sebuah gerai di pasar malam di situ dan bertanya , " kalau saya minta sotong kangkung tetapi tak nak sotong boleh tak? Apa yang tinggal yer ? " .  Tinggal kangkung dengan tahu dan " kuih " sajalah. Itulah jawapannya.

Apapun aku beli juga sebab keinginan yang tinggi untuk menikmati sotong kangkung. Namun apa yang aku beli terbuang begitu sahaja kerana tidak sedap langsung. Sebenarnya kekuatan sotong kangkung ialah pada kuahnya. Bila kuahnya tidak menjadi, tidak terasalah kesedapan sotong kangkung.

Beberapa ketika sebelum aku dapat kanser lymphoma , aku beranikan diri makan sotong dan sejak itu ada beberapa kali aku makan sambal sotong bersama nasi lemak. Jadi ingatan dan keinginan menikmati sotong kangkung kembali datang. Tetapi aku tidak terjumpa atau tahu di mana aku dapat beli sotong kangkung.

Suatu malam aku pesan pada anak perempuan ku minta carikan sotong kangkung. Dia singgah di satu kedai tom yam pesan sotong kangkung. Kata anak, pelayan kedai tu macam " blur" sikit dengar sotong kangkung, tapi dia pesan jugalah.

Bila sampai ke rumah, anak letak atas meja makan, aku tak sabar terus ambil bungkusan yang anak aku bawa balik itu. Bila diangkat terasa ringan semacam. Bila aku buka bungkusan, begitu hampa rasanya. Apa yang ada dalam bungkusan tu?  tumis air sayur kangkung berperencahkan anak sotong. Kecewa betul.

Sehari sebelum aku masuk wad untuk proses kimo yang pertama, kawan baik ku, membawakan sotong kangkung buatan isterinya sendiri. Puh la mak. Punyalah sedap. Seperti sotong kangkung yang pernah aku kenal dan kubayangkan. Terima kasih atas pemberian kawan itu dan kesediaan isterinya menyediakan sotong kangkung khusus untuk aku.

Akan tetapi kerana takut kena gout masa rawatan , aku elakkan bubuh serbuk kacang tanah dan tidak berani makan banyak. Apapun terpenuh hasratku untuk menikmati sotong kangkung.

Kini keinginan itu datang lagi. Rasanya ingin menikmati keenakan sotong kangkung. Nak cari la ni ka atau nak tunggu selesai kimo ke 6?

Ada cadangan? 🙂.

Luah Bicara 9

Sementelah di rumah sahaja hari raya ni, apa lagi aktiviti yang ada? Tontonlah TV.  Macam - macam drama ada. Yang sedih ada, yang kelakar ada dan yang riang ria pun ada. Pendek kata macam-macam ada.

Tapi bila menonton drama - drama ni, saya inginlah merayu sesangat kepada penulis - penulis skrip dan juga pengarah-pengarah yang ada di Malaysia ni , supaya tidak lagi menulis dalam skrip mereka ayat klise yang tersangatlah klisenya  iaitu apabila ada watak memohon maaf atas kesalahannya walau sebesar manapun, maka keluarkan dialog " saya dah lama maafkan awak " ,  " " emak dah lama maafkan kamu, " bapa dah lama maafkan kamu" .

Pendek kata tidak pedulilah siapa yang meminta dan kepada siapa dia minta maaf, jawapannya kita dah tahu . Dia sudah lama dimaafkan. Siapa yang masih rajin menonton drama, perhatikanlah.  Itulah ayat klise yang keluar dari watak yang pernah dianiaya atau dilakukan kesalahan terhadapnya kepada yang memohon maaf.

Sehingga saya dengan anak sulung saya senyum pahit bila dialog itu keluar.  Atau kami berdua ( saya dan anak saya ) akan mendahului watak dalam drama tersebut melafazkan ayat klise itu. Memang amat klise.  

Pendek kata begitu mudahnya memberi kemaafan tanpa diminta dan lama dah pulak tu. Maknanya sebaik sahaja pelakunya melakukan kesalahan. Begitu tidak munasabah. Namun itulah realitinya drama - drama kita. Begitu klise.

Saya tidak mengatakan drama - drama kita tidak baik. Banyak sangat yang baik. Tapi percayalah, bagus dan bermutu macamana pun ayat klise tadi pasti ada.

Setakat ini  saya baru jumpa  sebuah drama sahaja tidak keluar ayat klise " ... saya dah lama maafkan awak " itu,  bila ada watak meminta maaf.

So,  kalau ada penulis - penulis skrip atau pengarah - pengarah drama atau kawan - kawan kepada mereka baca luahan saya ini supaya menyampaikan luahan saya tadi.

Saya dah lama maafkan pembaca - pembaca kalau ada yang kata, apalah Pak Ya dah tua - tua pun layan drama - drama TV.  Maaflah, itu dah jadi minat saya sejak kecil. Tentu pembaca pun dah lama maafkan saya kan? .

Sekian dulu.

Luah Bicara 10

Aku terus menulis kerana aku suka menulis. Aku suka berkongsi pengalaman dan pemikiranku tentang sesuatu perkara atau isu.

Rajuk tidak mahu menulis lagi tidak pernah mampu bertahan lama. Sama seperti rajuk - rajukku terhadap perkara-perkara lain yang juga tidak bertahan lama.

Aku mudah merajuk dan merasa marah dan kecil hati atau jauh hati, apatah lagi bila berusia lanjut begini. Namun aku mudah pula menyimpan jauh  - jauh apa yang dimarah dan dirajukkan di sudut hati. Namun tidaklah aku sudah lama memaafkan seperri klise dialog drama  - drama kita seperti yang kusentuh dalam Luah Bicara 9.

Rajuk dan marah tetap ada tetapi jaya kusimpan jauh  - jauh demi kebahagiaan dan keharmonian orang lain dan aku sendiri dalam saki - baki hidup yang masih ada.

Namun aku tidak pasti apakah orang sedar aku merajuk tetapi tidak ambil pot ( lantak kaulah nak merajuk ) atau pun tidak menyedarinya. Atau sedar dan cuba berubah. Atau sedar tetapi terus merasakan diri di pihak yang benar.

Merajuk bukan perkara ganjil atau luar biasa. Setiap orang dari kecil hingga ke tua pernah merajuk . Cuma tahap merajuknya saja yang berbeza. Pun bagaimana rajuk itu dipamerkan yang berbeza.

Orang merajuk apabila keinginan fizikalnya atau keinginan emosinya tidak terpenuh atau diabaikan.

Merajuk pastinya melibatkan dua pihak. Pihak yang keinginan fizikalnya atau emosinya tidak terpenuh dan pihak yang menghampakan keinginan itu tadi.

Anak merajuk dengan bapak atau emak, bapak atau emak merajuk dengan anak - anak, suami merajuk dengan isteri, isteri merajuk dengan suami, adik merajuk dengan kakak atau abang , kakak atau abang nerajuk dengan adik, pekerja merajuk dengan majikan, majikan merajuk dengan pekerja, staf merajuk dengan ketua, ketua merajuk dengan staf dan senarai ini akan menjadi sangat panjang kalau diteruskan. Hatta pemimpin negara pun pernah merajuk.

Sebenarnya pihak yang merajuk mengharapkan pihak yang dirajuk sedar rajuknya dan memujuknya atau sekurang - kurangnya ada perubahan tindakan dan perlakuan pihak yang dirajukkan. Kalau tidak rajuknya akan menjadi panjang sama ada dipamerkan atau disimpan. Namun kesannya  tetap sama iaitu kecewa.

Pihak yang dirajukkan pula sepatutnya mengambil inisiatif memujuk atau sekurang  - kurangnya menunjukkan perubahan sikap atau perlakuan yang dapat meredakan rajuk si perajuk.

Mengambil sikap ignore bukanlah tindakan yang betul. Kalau pihak yang dirajuk merasakan pihaknya benarpun , usaha mencerahkan keadaan adalah usaha yang baik.

Ada kata - kata pujangga, meminta pada yang ada, merajuk pada yang kasih. Renung  - renungkanlah kebenaran kata - kata pujangga di atas.

Kalau anda merajuk, kemudian orang yang anda sayang memujuk anda, pastinya dia sayangkan anda tetapi kalau orang yang anda sayang buat dek je, sedar - sedarlah diri,  kan?

Anda bohong kalau anda kata anda tidak pernah merajuk. Kadang  - kadang sebab perkara simple saja. Tapi simple pada orang tidak simple pada anda.

Kawan anda sanggup pergi ratusan kilometer melawat rakan anda yang lain yang uzur tetapi tidak menjenguk anda yang puluhan kilometer sahaja jaraknya. Ini juga boleh menyebabkan anda merajuk.

Kalau dalam whatsapp group mungkin rajuk anda dipamerkan dengan left group. Tetapi persoalannya orang tahu ke anda left kerana merajuk? Orang sedar  ke? Atau kalau sedar pun mereka ambil pot ke? Jadi janganlah left group. Simpan saja rajuk anda untuk diri anda sendiri.

Ok. Cerita dan contoh rajuk boleh ditulis sepanjang novel Desa Pingitan. Jadi aku tidak mahu menuliskannya. Cukup sampai di sini.

Renung sendiri rajuk anda, cara anda pamerkan, riaksi yang anda terima dari pihak yang menyebabkan anda merajuk dan pengakhiran rajuk anda.

Jangan biarkan saya merajuk lagi untuk terus menulis hi hi.

Luah Bicara 11

Membelek - belek Diari 1979 kutemui coretanku untuk 17 Februari 1979. Bermakna coretanku lebih 40 tahun silam.

" Malam ini menonton drama TV KABUS DI RANTAU begitu baik lakunannya, pengolahannya dan falsafahnya "

Itu antara coretanku pada tanggal 17 Februari 1979 itu.

Drama itu dalam bentuk hitam.putih kerana siaran TV Malaysia masih dalam hitam putih ketika itu. Drama hebat penuh berseni arahan pengarah tersohor ketika itu Sdra Abdullah Zainol.

Pelakun utamanya Azean Irdawaty dan Khalid Salleh. Kedua-keduanya telah pergi mendahului kita. Al Fatihah.

Lakunan Khalid Salleh yang kalau tidak silap buat pertama kalinya di layar tv amat mengesankan sebagai pengesek biola bernama Adam yang buta. Gerak badan , memek muka dan gerak matanya begitu hidup dan meyakinkan sehingga aku ( rasanya begitu juga penonton lain ) menyangka dia seorang buta yang diambil berlakun.

Lakunan Azean juga begitu hidup sebagai seorang guru muda yang mengajar jauh di rantau orang.

Babak akhirnys yang menyentuh hati ialah babak Azean dalam gerabak keretapi api ketika kereta api bergerak meninggalkan stesen keretapi kecil lagi terpencil itu . Meninggalkan desa itu dan sekali gus meninggalkan Adam. Beberapa detik sebelum drama tamat, guru muda itu menyarungkan cincin pemberian Adam ke jari manisnya. Tanda dia menerima cinta dan lamaran Adam untuk memperisterikannya.

Begitu touching. Dan seingat aku di zaman drama hitam putih yang disiarkan seminggu sekali dalam slot Drama Minggu Ini ketika itu , tidak ada dialog klise " aku sudah lama maafkan kau ".

Berbalik kepada Diari - Diariku, aku sekarang di dalam dilema.

Aku terlalu sayang kepada diari - diari itu yang aku simpan puluhan tahun. Bukan senang mengimbau kembali kesah silam kalau tidak dicatatkan. Tapi akhirnya aku harus memusnahkannya sebelum aku meninggalkan dunia ini buat selama - lamanya. Kenapa ?

Aku tidak mahu anak - anak dan orang lain membaca diari - diari yang mengungkapkan antara lain rahsia - rahsia yang terlalu rahsia. Episod - episod peribadi yang terlalu peribadi.

Biarlah ceritaku, rahsiaku dan episod yang aku lalui berkubur bersama berkuburnya aku. Biarlah tiada siapa yang tersentuh dan disentuh. Biarlah kalau ada cerita buruk ia berkubur bersamaku kerana menjaga maruah  diri dan maruah  orang lain sesuatu yang dituntut agama kita.

Persoalannya bila diari - diari itu harus kumusnahkan sedangkan rasa sayang masih menebal sementara usia semakin lanjut dan ajal maut tidak pernah diberitahu tarikhnya.

Sekian dulu luah bicaraku kali ini.

Luah Bicara 12

Hari ini 20 hb. Jun 2019. Kubelek semua diari yang aku ada untuk mengimbau kembali apa yang berlaku pada tarikh yang sama di tahun - tahun yang lepas.

Malang sekali bila  kudapati hampir semua diari yang aku simpan tidak tercatit apa  - apa pada tarikh 20 hb. Jun. Kecuali dua tiga diari tetapi kandungannya tidak sesuai untuk dikongsikan.

Kenapa berlaku tiada catatan pada tanggal 20 hb. Jun dalam diari  - diari tersebut?

Ia menunjukkan aku bukanlah pencatit yang baik. Ada kalanya tertinggal juga. Kenapa pula tertinggal dalam banyak diari ? Kerana disiplin diri yang kurang tentunya. Di awal tahun berkobar - berkobar untuk mencatat tetapi bila sampai pertengahan tahun mula tertinggal.

Bila mula tertinggal mulalah ianya jadi berpanjangan dan mencatat semula bila mood menulis kembali ada.

Membaca kembali diari  - diari lama akan berguna dalam mengimbau kembali apa - apa peristiwa pahit manis yang kita lalui. Pun mungkin ada peristiwa  - peristiwa bersejarah yang melibatkan kepentingan rakyat negara tercinta ini. Contohnya tarikh bila hubungan pulih semula antara Malaysia dan Indonesia setelah berkonfrantasi dengan Indonesia yang berselogankan Ganyang Malaysia.

Ada tercatat dalam diariku di mana aku dan kawan - kawan yang terlibat latihan menari untuk menyambut Sepuluh Tahun Merdeka di Sekolah Menengah Aminuddin Baki , Kg. Pandan, terpaksa berjalan kaki balik ke Sekolah Alam Shah di Jalan Cheras kerana tiada bas yang dapat membawa kami balik.  Bas - bas digunakan mengangkut orang ramai ke Lapangan Terbang Subang untuk menyambut Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Tun Abdul Razak bin Husain yang berjaya berunding dengan Menteri Luar Indonesia ketika itu iaitu Tun Adam Malik. 

Sayang sekali sukar aku mencari semula tarikh hari peristiwa itu kerana Diari 1967 aku yang kutulis dengsn dakwat basah habis melebur terkena air ketika Diari tu berada di dalam kotak ketika pindah rumah.

Tercatat juga dalam diari  aku tarikh bila tv berwarna dilancarkan menggantikan siaran tv hitam putih . Tarikh bila jam Semenanjung Malaysia diselaraskan dengan Sabah dan Serawak. Kita menpercepatkan jam kita sebanyak dua kali kalau aku tidak silap.

Begitulah bergunanya menulis diari atau catatan harian. Jadi kenapa yang masih muda ini tidak memulakannya?

Catatlah dalam.bentuk penceritaan. Yang melibat perasaan, pandangan dan sebagainya. Ianya lebih menarik untuk dibaca semula kerana ada jiwanya berbanding kalau kita menulis secara nota ringkas yang tidak melibatkan perasaan.

Bermulalah bagi yang masih muda. Kepada yang dikategorikan warga emas pun apa salahnya kerana kita bukan tahu bila hidup kita akan berakhir. Mana tahu kalau boleh sampai seusia PM kita sekarang. Betul tak? Jom mula menulis diari.

Luah Bicara 16

Tiba - tiba aku tersedar, setelah disedarkan oleh anak saudaraku ( anak saudara isteri aku untuk lebih tepat),  bahawa aku sepatutnya lebih banyak berehat dalam melalui kimotrapi ke 4 minggu kedua ini.

Mungkin dia terasa aku tidak berehat kerana aku masih  menyiasat video tentang harimau yang viral itu sedangkan masa tu sudah hampir pukul 12 malam. Dia tidak tahu aku kaki berjaga tetapi memang tidak sesuai dengan keadaan aku sekarang.

Bukan apa- apa aku sibuk dengan video harimau tu. Aku buka dua whatsapp group yang berlainan lokasi, melaporkan tempat jumpa harimau itu mengikut lokasi group.

Group Parit kata video tu lokasinys Seri Iskandar sementara group Beranang kata video tu lokasinya Ulu Beranang.

Aku nampak dalam group keluarga, anak saudara aku itu ada viralkan video yang sama. Oleh kerana dia tinggal di Serendah, mungkinkah dikatakan lokasi video tu ialsh Ulu Yam.

Betul andaian aku. Anak saudara aku itu kata , kawan dia kata , lokasi video itu ialah Ulu Yam.

Bukan apa aku menyebokkan diri menyiasat. Member - member Parit kononnya takut nak lalu jalan Parit - Seri Iskandar itu. Takut terserempak dengan harimau sedangkan mereka kena kencing dengan kaki viral.

Memang pun  dua hari kebelakangan ini aku lebih banyak membebankan diri aku dengan minda dan fizikal juga .

Dua hari kebelakangan ini aku banyak menggunakan buah fikiran untuk menghidup dan memperkembangkan whatsapp group Pembaca Tulisan yang ditukar nama kepada Luah Bicara.

Pun menghadapi titik bengik ekoran dari penubuhan dan perluasan pengisian  whatsapp group baru ini.

Di samping melayani ahli di dalam whatsapp group, aku melayani juga 4 - 5 orang yang menghubungi aku menggunakan whatsapp peribadi menanyakan isu titik bengik di sekitar keahlian group ini.

Jadi siang pun aku tidak rehat, malam pun aku tidak rehat.

Terfikir juga macam aku begitu komited dengan urusan penulisan dan whatsapp group dan seperti mengabaikan kesihatanku . Tapi aku cuma kurang tidur. Itu saja.  Dan sepanjang usiaku aku memang tidak tidur siang kecuali tertidur. Tidur malam pun agak lewat dan tidak pernah cukup 8 jam. 6 jam pun payah.

Akan tetapi pada hakikatnya , kesibukan itu melupakan aku tentang penyakit aku. Tidak ingat langsung.

Pun dengan kesibukan begini dan ramai kawan kawan yang walaupun hanya melalui maya, ia amat menggembirakan  dan semacam terapi bagi diriku.

So kepada isteri dan anak - anak jangan bimbang, insyaAllah aku buat perkara yang betul untuk diriku. InsyaAllah hingga saat ini aku sihat dan ceria .

Luah Bicara 17

Semasa anda sedang membasuh kereta , lalu kawan anda atau jiran anda bertanya " Basuh kereta ke tu? " Lalu anda lantas menjawab " Tak, mandikan anak. "

Apa yang anda fikir semasa memberikan jawapan itu? Mungkin anda fikir, dah tahu dan dah nampak aku basuh kereta, duk tanya lagi. Bukan soalan bodoh ke itu? Jadi jawapan kepada jawapan itu haruslah jawapan bodoh juga.

Sebenarnya siapakah yang bodoh?  Andalah yang bodoh. Bodoh budaya.

Itulah yang sedang berlaku sekarang terutamanya di kalangan generasi baru kerana bersandar kepala lojik akal semata - mata.

Dah tahu aku sidai kain, tanya juga.            " Sidai kain ke? "

Dah tahu aku bawa bakul menuju ke pasar , tanya juga " Ke pasar ke?

Dah tahu aku nak balik, tanya juga " Nak balik ke tu? "

Soalan - soalan itu anda anggap soalan bodoh, tetapi andalah yang bodoh seperti saya sebut tadi.  Bodoh budaya.

Apa yang ditanyaksn itu sebenarnya bukan pertanyaan. Itu ialah sapaan pembuka bualan bagi orang kita. Itu cara orang kita.

Lain bangsa lain caranya. Orang Inggeris biasanya membuka bicaranya dengan memperkatakan tentang cuaca. Tak kan lah kita nak ikut kut. Jumpa Wan Lebo tengah menyemat atap kita pun kata         " Cuaca amat baik hari ".

Wan Lebo pun hairan ngapa pulaklah Si Ya cakap tentang cuaca. Malang tabiat ke?

Riaksi dari kita yang ditanya sepatutnya ialah:

" Ye, sedang basuh kereta_" Mungkin anda  tambah, " _Lama sangat  tak berbasuh. Kotor sangat dah "

" Ye sidai kain " dan mungkin anda tambah " sementara panas elok ni "

" Ye nak ke pasar." dan mungkin anda tambah " Cik Senah dah ke pasar ke ? "

" Ye nak balik dah ni. " dan mungkin anda tambah " You belum nak balik ke? "

Jawapan yang saya berikan di atas akan menimbulkan kemesraan dan mungkin anda akan berbual seketika dengan penuh mesra dan hormat berbanding dengan
jawapan sakastik yang anda berikan

" Tak, mandikan anak" untuk soalan  " Basuh kereta ke tu?"

" Tak, main layang - layang." untuk soalan      " Sidai kain ke tu? "

dan sebagainya yang tidak benar yang anda berikan semata - mata berfikir dah nampak atau dah tahu aku buat apa dok tanya lagi.

Jawapan anda terus menimbul kecil hati bagi orang yang lebih dewasa atau yang tidak berapa rapat dengan anda.

Akan adakah komunikasi selepas itu?
Kecuali kawan rapat anda yang satu kepala dengan anda yang akan menerimanya sebagai gurauan, yang lain akan segera berlalu.

Kenali dan hargailah budaya kita. Jangan semuanya nak diubah ikut lojik akal kita. Budaya bangsa kita halus dan berseni.

Hargailah.

Luah Bicara 13

Dalam siri Tulisan yang terdahulu,  saya ada menyentuh tentang memperbanyakkan kawan-kawan, kenalan - kenalan atau sahabat - sahabat melalui kerajinan atau keramahan kita bertegur sapa dengan orang - orang di sekeliling kita yang baru kita temui.

Melalui Luah Bicara kali ini saya ingin melanjutkan bicara tentang perkara tersebut.

Tidak ada ruginya bertegur sapa. Modalnya hanya suara dan sedikit gerak muka dan tangan barangkali. Dengan berbekalkan senyum dan keramahan kita dapat kenalan baru. Tidak kiralah kalau perkenalan itu berakhir di situ sahaja atau ada kesinambungannya. Apa yang rugi ialah kita menyendiri dengan hal diri kita sahaja.

Kita perlu sentiasa menambah kenalan atau rakan baharu kerana kita dari semasa ke semasa kehilangan kawan - kawan lama. Kita kehilangan kawan - kawan lama apabila kita terpaksa meninggalkan kelompok itu kerana banyak sebab.

Ketika kita bersekolah sama ada sekolah harian biasa atau sekolah berasrama penuh,  kita berkawan dengan rakan - rakan sekelas atau satu tahun persekolahan. Akan tetapi bila kita tamat persekolahan kita akan kehilangan ramai daripada mereka sama ada kehilangan yang kekal atau bertemu semula sekali sekala.

Kemudian kita memasuki pusat pengajian tinggi sama ada di kolej swasta , di kolej kerajaan, di universiti swasta atau universiti kerajaan. Lagi sekali kita dikelilingi kenalan - kenalan baru sama ada rapat atau tidak, sama ada ramai atau sedikit bergantung kepada sikap kita sendiri.

Kemudian bila kita menamatkan pengajian kita, sekali lagi kita kehilangan kawan - kawan atas sebab yang serupa.

Kemudian kita bekerja dan di kelilingi kawan - kawan atau kenalan baru yang sebahagian kecilnya akan menjadi rakan rapat atau sahabat. Kita mungkin bertukar kerja atau berpindah tempat kerja berkali - kali. Proses kehilangan kawan dan dapat kawan baru terus berjalan. Kawan kita semakin bertambah atau semakin berkurang bergantung kepada situasi atau sikap kita sendiri.

Saya lalui semua yang saya sebutkan tadi. Saya langkau cerita dari zaman kanak - kanak ke zaman bekerja. Saya akan bercerita dari apa yang saya lalui selepas persaraan saya yang berhubung dengan cerita mendapatkan kawan dan kehilangsn kawan-kawan.

Sebelum bersara dari jawatan Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan, bila saya buka pintu dan keluar dari bilik pejabat saya, saya akan temui pembantu - pembantu tadbir saya di ruang terbuka. Di belakang ruang terbuka ada pula bilik -bilik pegawai - pegawai saya. Di blok sebelah pun ada pegawai - pegawai saya dan pembantu - pembantu tadbir saya. Lebih kurang 30 orang jumlah mereka.

Sehari selepas bersara, saya sudah berada di kedai grafik komputer , Instant Graphic Enterprise( nama saja  hebat tetapi kedai kecil sahaja ) yang saya usahakan seorang diri.

Terkurung di bilik kaca terpencil 10 X 10 kaki, seorang diri, keluar bilik dari bilik, hanyalah kekosongan ruang Bazar Silveritage Galaria yang amat kurang pengunjung.

Tetiba saya kehilangan rakan - rakan. Begitu sepi, terasing dan keseorangan. Tapi kehidupan mesti diteruskan.

Saya mencari kawan baru di persekitaran kedai saya.

Saya berkawan dengan pembancuh kopi di gerai kopi kecil, tukang urut yang membuka pusat urut di sebelah kedai saya, budak - budak OKU yang menjaga kedai kraf tangan,  anak muda yang tidak tahu asal usul yang konon datang dari KL mencari pelabur projek besar yang entah ya entahkan tidak , tetapi pandai main catur yang juga permainan yang saya amat minati.

Berkawan juga dengan penjual tiket bas ekspres yang beroperasi di peremis yang sama iaitu di bangunan  Silveritage Galaria di Medan Gopeng, Ipoh.

Begitulah tetiba saya kehilangan kawan -  kawan dan membina rangkaian kawan baru yang amat berbeda latar belakang. Akan tetapi ianya tidak menghalang saya untuk membina keakraban bersama mereka.

Berhijrah setahun ke Penang seorang diri bekerja sebagai Pengurus ( konon ) pada nama tadi bukan pada gaji, tapi disediakan rumah tiga bilik,  saya kena bina lagi rangkaian kenalan yang baru dan kehilangan yang lama. Rajinkan menegur, jangan pencilkan diri, dapatlah kawan, tetapi pastinya set baru yang tidak sama latar belakang dengan saya. Akan tetapi kalau kita pandai mensesuaikan diri ianya tidak menjadi halangan.

Berpindah ke KL dan pernah bekerja di pusat jualan perabot, saya berkawan dengan Mat - Mat Bangla yang jauh sangat lebih muda dari saya tetapi seniorlah di situ. Rangkaian kawan bsru lagi.

Pun saya bina rangkaian kawan - kawan sesama jogging di Taman Tasek Permaisuri, Bandar Tun Razak dan rangkaian kenalan di Masjid Al Najihin, Bandar Seri Permaisuri.
Modalnya air liur sahaja.

Begitulah. Pindah ke Beranang, menapak ke ruang solat Masjid Raja Alang Beranang, buat kali pertama, saya segera menegur jemaah yang ada. Dapatlah kawan - kawan  dan ada yang akhirnya menjadi sahabat baik walaupun belum lama saya di Beranang ini.

Kini dalam menghadapi rawatan penyakit kanser lymphoma, bersua dan terbina pula kenalan baru yang sama - sama pesakit kanser lymphoma.

Begitulah semakin kita berusia, ruang kita membina rangkaian kawan - kawan menjadi berbeda. Dari rakan sekolah ke rakan sejawatan, kemudian berpindah ke masjid dan akhirnya berpindah ke hospital.

Yang penting carilah dan binalah rangkaian kawan - kawan, nescaya anda tidak kesunyian dan keseorangan.

Sekarang dengan adanya aplikasi whatsapp kita dapat membina semula hubungan dengan kawan - kawan lama disamping membina rangkaian kenalan baru.

Cuma kalau ingin terus membina hubungan yang menyeronokkan , tak kira anda seorang admin, anda peserta terawal, anda peserta yang dijemput masuk, jadilah peserta yang aktif. Jangan cuma menjadi CCTV.

Sekian dulu.

Luah Bicara 14

Pernah tak anda rasa letih berbual di dalam whatsapp sama ada whatsapp group atau whatsapp peribadi?

Kadang - kadang memang meletihkan. Pukul 4.03 petang anda ditanya. Serta merta anda respon
Lepas itu yang bertanya terus hilang begitu saja langsung tiada respon pada respon anda yang serta merta itu. Sedangkan dia yang bertanya dan meminta respon anda.

Anda bertanya sesuatu pada seseorang pada jam 3.47 minit petang. Ada tanda tiks warna biru bertindeh pada pukul 3.48 minit atau pada 3.47 minit itu sendiri. Maknanya mesej anda dibaca. Anda perlukan jawapan yang cuma sepatah sahajapun atau sebaris ayat. Tertera last seen 3.49 petang atau 3.51 petang dan soalan anda langsung tak dijawab. Letih dan sakit jiwa kan?

Susah sangat ke nak jawab soalan yang cuma perlukan  sepatah perkataan atau sebaris ayat itu? Nak tunggu bila baru nak jawab sedangkan masa yang diperlukan untuk membalas cuma beberapa saat sahaja.

Letih juga bila ada beberapa soalan yang anda perlukan jawapan sedangkan yang dijawab cuma soalan terakhir sedang soalan yang terdahulu di atas tak ada jawapan.

Letih dan sakit jiwa juga bila pertanyaan kita tidak  dijawab dan bila diulang - tanya,  berjela - berjela  pula  respon mengatakan sibuk dan soalan kita terus juga tak dijawab sedangkan jawapan yang kita perlukan cuma  sebaris ayat saja sementara respon menyatakan sibuk dan marah - marah memakan hampir sepuluh baris ayat.

Letih juga bila ada yang menaip tak siap-siap sedangkan anda tertunggu - tunggu, dia nak kata apa sebenarnya? Letih juga jika menunggunya lama tetapi bila sampai tak lebih dua ayat pun.

Eh letih juga ni menaip sambil cari idea apa lagi contoh bualan yang meletihkan. Hi hi.

Luah Bicara 15

Kalau ada orang menyampaikan salam dan kita panjangkan atau foward kan salam orang itu, salam itu jadi salam kita atau masih salam orang itu?

Begitu juga bila ada orang menyampaikan ucapan tahniah atau ucapan takziah lalu kita panjangkan ucapannya itu dengan istilah whatsappnya kita foward kan, persoalan yang sama, ucapan itu jadi ucapan kita atau masih status nya ucapan orang yang asal?

Hakikatnya ucapan itu masih kepunyaan orang yang asal dan kita cuma memanjangkannya saja sama seperti menyampaikan salam kawan kita kepada kawan kita yang lain.

Jadi, bukan semua perkara boleh main foward sahaja. Hal ini tidak diajarkan di sekolah atau universiti tetapi dengan berfikir sedikit, kita akan menjadi lebih betul atau tepat dalam melaksanakan sesuatu waima yang kecil - kecil sekalipun.

Jadi janganlah lagi selepas ini fowardkan salam atau ucapan. Salam atau ucapan itu dari hati ikhlas kita. Jadi kenalah rajin sedikit kan?

Kalau malas menaip sendiri atau mencipta kad ucapan sendiri, ambil saja dari dalam galari. Bila ambil dari dalam galari, bila kita send, ia tidak lagi berstatus foward. Ia menjadi hak kita. Kalau rajin lagi, simpanlah ucapan - ucapan atau kad - kad ucapan dalam folder khas dan ambil dari situ bila nak menyampaikan ucapan.

Bercakap tentang foward ini, ia lebih kepada artikel - artikel ,  gambar - gambar mahupun video yang kita terima dan rasa nak kongsi dengan orang lain. Inipun kena adalah etikanya.

Jangan terkejut kalau ada di kalangan kita forward sesuatu tanpa membacanya terlebih dahulu. Tengok tajuk atau gambar terus foward sedangkan kita sendiri tak tahu apa yang kita foward.

Bila nak foward sesuatu tu, bacalah dulu, faham betul - betul. Tapis. Betul ke tidak? . Terbaru ke dah 5 - 6 tahun sudah punya hantaran? Kalau dah sahih pun, berfikirlah, apakah kesannya bila kita foward. Bagus ke atau memudaratkan ke? Pendek kata kita kena ada rasa pertanggungjawapan terhadap tindakan kita foward sesuatu. Jangan main belasah saja cakap kasarnya.

Anda boleh forward tulisan saya ini kepada rakan - rakan di luar group jika dirasakan ada faedahnya. Forward ye bukan copy dan paste hi hi. Sebab ini hak cipta saya. Kalau forward tu ia kekal hak cipta saya. Kalau copy paste dan jadi hak anda pulak. Salah tu. Dah jadi hasil ciplak.

Ada member yang tertarik dengan tulisan saya minta kebenaran nak tulis semula cara dia tapi nak ambil idea saya dan ayat - ayat saya yang dia rasa cantik. Ih ih payah sikit dengan kawan macam ni. Tak bagi kata kedekut atau berkira. Nak bagi, eh hak saya tu !

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...