Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 54

Musim hujan bukanlah waktu yang sesuai untuk mencuci  kereta. Kadang - kadang sebaik sahaja kereta siap dicuci luar dan dalam, hujan turun mencurah - curah. Badan kereta kotor semula terkena pasir - pasir atau lumpur yang diharung sepanjang laluan. Alas lantai  kereta kotor semula kerana kita masuk kereta dengan kasut yang basah dan berpasir.

Terasa ralat pulak keluar duit untuk cuci kereta di nusim hujan. Tapi sudah lama kereta aku tidak dicuci dan di"vacum" , isteri kata nak.letak kaki pun geli kerana penuh pasir dan tanah, cucilah juga hari ini sambil menunggu isteri mengurut.

Hari Jumaat hari tu pergi dah ke tempat cuci kereta. Bila tengok orang terlalu ramai menunggu giliran, aku batalkan saja hasratku. Petangnya hujan cukup lebat tapi aku berhasrat untuk cuci bahagian dalam kereta  saja. Tapi tempat cuci kereta dah tutup operasi. Malaslah pulak nak memandu kereta ke tempat cuci yang beroperasi di tempat berbumbung atau dalam rumah kedai.

Sebenarnya mencuci kereta yang kecil - kecil ini , seperti viva ini yang kupakai sejak Wira Aeroback tu terbakar tidaklah sesusah mana pun.

Dulu masa masa aku masih muda dan sebelum bersara, aku jarang sekali mencuci  kereta di tempat cuci kereta. Semuanya kulakukan sendiri.

Duduk di rumah teres, di mana kereta diletakkan di porch depan pintu rumah, dan bekalan air paip cukup kuat tekanannya, bahan - bahan cucian kereta yang lengkap dari jenama terkenal yang aku jadi pengedar, menambah mudah kerja - kerja mencuci kereta. Hatta kerja polish kereta pun aku lakukan sendiri.

Tinggal di rumah.pangsa, apartment atau condomenium memanglah agak bermasalah untuk melakukan kerja kerja pembersihan sendiri. Kerana itulah pusat pusat cuci kereta tumbuh bagaikan  cendawan selepas hujan terutamanya di bandar - bandar. Satu bisnea yang menguntungkan.  Malangnya dalam ratusan atau ribuan tempat cuci kereta, hampir semua diusahakan oleh Mat Mat Bangla. Mana pusat cuci kereta budak - budak Melayu? Hina ke kerja cuci kereta sedangkan pendapatannya lumayan sekali.

Bila ada yang berani kata Melayu malas, ramai yang marah kan? Termasuk aku.  Jadi nak kata apa yer kalau bukan malas? Malu ? Malu pada bukan tempatnya tidak.membawa kita ke.mana- mana? Betul tak?

Fikir - fikirkanlah.

Luah Bicara 53

Apa ada dengan Luah Bicara? Luah Bicara sebenarnya sesuatu yang amat dekat dengan diriku.

Mulanya aku menulis tanpa tajuk tertentu walapun tulisanku mencakup pelbagai bidang. Tulisanku itu cuma kutulis Tulisan 1, Tulisan 2 dan seterusnya. Ada pembaca baru yang ingin membaca tulisan - tulisan terdahulu lalu kutubuhkan whatsapp group Pembaca Tulisan khusus untuk mengirimkan tulisan - tulisan terdahulu di samping tulisan - tulisan terbaharu. Aku tidak berani menamakan  group itu Peminat Tulisan.

Bila Tulisan mencapai ke Tulisan 100 , aku tidak selesa meneruskan dengan Tulisan 101 lalu mencari nama lain. Lalu kugunakan nama Luah Bicara yang kurasa lebih berseni dan memangpun tulisan - tulisanku, adalah merupa suatu luahan. Lalu bermulalah Luah Bicara 1  dan seterusnya hingga yang terkini  Luah Bicara 53 .

Bila aku berhasrat untuk menutup Pembaca Tulisan kerana kelihatan seperti sudah tidak bermaya, ahli - ahli meminta diteruskan dengan perubahan format dan pendekatan . Namapun perlu ditukar, lalu nama group ditukar kepada Luah Bicara.

Sebenarnya aku sudah agak lama mengwujudkan blog Luah Bicara cuma tidak aktif atau tidak produktif. Tapi aku sayang nama itu. Kini anak aku mengwujudkan Luah Bicara Pak Ya
tanpa mengetahui sudah wujud blog Luah Bicara. Kini aku berhasrat menukar nama Luah Bicara Pak Ya kepada Luah Bicara sahaja.

Bercakap tentang whatsapp group Luah Bicara, aku ingin melihat ianya terus hidup dengan format , bentuk dan pengisian yang kurancang sejak awal penubuhannya iaitu ia merupakan saluran untuk tulisanku Luah Bicara, ahli - ahli meluahkan sendiri luah bicara mereka tetapi dengan berfokus. Dua cara menjadikan ianya berfokus. Pertama, respon terhadap tulisanku Luah Bicara dengan komen dan  luahan  sendiri yang berkaitan atau mengikut tema yang ditentukan dari semasa ke semaaa. Kalau tidak ia akan menjadi group bual biasa tanpa fokus.

Aku tidak menghalang luahan sendiri, tetapi ahli-ahli yang ingin meluahkan apa saja, biarlah berintraksi terlebih dahulu dengan posting sebelumnya, bukan cantas posting sebelumnya hingga posting itu hilang begitu sahaja.

Aku juga ingin melihat, ahli-ahli kategori CCTV tidak selamanya kekal sebagai ahli CCTV, tetapi menjadi ahli - ahli yang aktif. Group yang hidup dan berkembang ialah group yang ahli - ahlinya aktif. Tidak perlu menulis panjang bagi yang tidak mampu, tetapi responlah terhadap posting kawan - kawan kita.

Sekian dulu.

Luah Bicara 52

Bagaimanakah perasaan anda apabila anda yang sentiasa di tempat pertama di dalam kelas dan di dalam semua kelas dari Darjah 1 hingga ke Tingkatan 3, tiba - tiba menduduk tempat corot atau hampir corot semasa di Tingkatan 4 dan 5?

Bagaimana  perasaan anda apabila kawan - kawan di sekolah lama anda yang selama ini anda kalahkan dalam.pelajaran dan tinggalkan kerana terpilih memasuki sekolah berasrama penuh, semuanya memasuki kelas Tingkatan 6 sedangkan anda terkandas dan jadi penganggur yang tidak ada apa - apa?

Bagaimanakah perasaan anda ketika anda berjuang untuk hidup, menjadi penganggur miskin, jadi guru sementara dan kemudiaan memasuki maktab sedangkan kawan seasrama dan kawan yang ditinggalkan di sekokah biasa itu kini menuntut di universiti - universiti tempatan atau luar negara?

Bagaimanakah  perasaan anda bila lebih sepuluh tahun anda terkial - kial.untuk mendapat tempat di universiti sedangkan kawan - kawan anda sudah bekerja dengan jawatan yang tinggi - tinggi?

Tentu anda akan rasa sedih, pedih, terhiris dan tertekan bukan? Itulah yang aku lalui.

Ketika aku menulis ini, aku amat sedar, apabila pembaca membacanya, aku akan dilabelkan sebagai insan yang tidak redha atas ketentuan Ilahi atau tidak bersyukur atas apa yang aku lalui dan nikmati kini. Tetapi aku menulis ini untuk individu yang sentiasa memperlekehkan aku yang tidak ke mana - mana walaupun belajar di sekolah asrama penuh,  tanpa ambil tahu atau tidak peduli apakah punca kemerosotan dan kegagalan aku itu dan tidak pula menghargai atau memberikan kredit kepada aku yang berjaya bangun selepas jatuh. Tidak pun dihargai bila aku satu - satunya calon persendirian yang berjaya mendapat Pangkat 1 dalam peperiksaan SPM yang aku ambil semula bagi menebus kegagalan di SAS itu. ( Aku berani berkata begini kerana ketika itu keputusan calon persendirian disiarkan di dada akhbar. ) Bila bercakap sahaja tentang asrama penuh, kegagalan aku itu terus menjadi bahan cemuhan.

Pun pertanyaan - pertanyaan di atas mungkin tidak selaras dengan pesanan aku kepada seorang ahli Luah Bicara supaya jangan mengungkit - ungkit perkara yang berlalu. Akan tetapi berbeza dengan kawan kita yang asyik menyalahkan pihak lain, aku hanya ingin mengimbau episod yang kulalui sekali gus cuba untuk memahamkan orang yang tidak faham tentang kegagalan aku ysng satu itu.

Aku masuk ke SAS atas kejayaan aku mendapat 5 pangkat 1 ( cara pengredan ketika itu ) dari semua subjek yang kuambil dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran. Maknanya aku kedua terbaik di Seluruh Malaysia selepas sahabat aku yang mendapat 6 Pangkat 1. Satu pencapaian yang cemerlang.

Malangnya di SAS pelajar - pelajar tidak dibenarkan memilih Aliran yang diminatinya. Mungkinlah kerana polisi Kementerian Pelajaran ketika itu ingin meramaikan anak -anak Melayu dalam Aliran Sains.  Lalu aku di tempatkan di Tingkatan 5 Sains 1 sesuai dengan kelayakan aku. Kelas 5 Sains 1 dan 5 Sains 2 adalah kelas Sains Tulin ( Pure Science ) Memang membanggakan tetapi bercanggah dengan minat aku yang amat mendalam dalam bidang sastera dan seni lainnya.

Itulah bermula  turning point dalam hidupku sebagai pelajar. Perasaan kecewa yang berlebihan yang kulayan menjadi penyebab kemerosotan pelajaran aku. Mana tidaknya , Prep Petang ( Preparation Class ) yang diadakan di perpustakaan selama dua jam kugunakan untuk membaca novel. Yang nipis habis dalam sekali Prep. Novel yang tebal seperti Good Earth mdan Desa Pingitan kuhabiskan dalam dua kali Prep. Di Prep Malam kalau tiada kerja rumah , aku gunakan  untuk menulis novel SECEBIS BULAN DI SUDUT LANGIT. Novel yang kutulis inipun adalah lantunan dari kekecewaanku itu.  Kadang - kadang masa Cikgu mengajar pun aku menulis novel itu di dalam laci meja. Sayang sekali novel yang siap itu hilang semasa aku tinggal di rumah abang.

Dulu memang aku menyalahkan  sistem pendidikan yang memaksakan,  tetapi sekarang aku lebih menyalahkan diriku yang terlampau mengikut rasa. Apapun aku redha dan aku juga bersyukur dengan laluanku dalam kerjayaku yang digariskan Allah . Sekurang - kurangnya aku dihargai kerana sumbanganku dalam banyak perkara terutamanya semasa aku menjadi Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan.

Apa - apa pun semuanya  hanya tinggal kenangan menjelang genap 15 tahun aku bersara pada 09/10/2019 nanti.

Luah Bicara 51

Terasa terlalu lama tidak menulis. Ini kerana kebiasaannya dulu saya menulis setiap hari. Tapi dulu memang saya betul  - betul komited dan rasa perlu untuk menulis setiap hari  kerana ada pengikut yang mengakui sentiasa menunggu tulisan saya. Buat masa sekarang, memang ada rasa terhutang bila tidak menulis. Akan tetapi rasa terhutang itu lebih kepada diri sendiri kerana sambutan terhadap tulisan saya memang semakin hambar. Tidak pasti di mana silapnya. Mungkin kerana tulisan saya sudah tidak menyengat lagi seperti dulu atau faktor utamanya ialah bila saya tidak menghantar lagi tulisan - tulisan saya ke beberapa whatsapp group seperti dulu dan hanya tertumpu pada Blog Luah Bicara Pak Ya dan whatsapp group Luah Bicara. Bila ahli whatsapp Group Luah Bicara sendiri ignore tulisan saya, saya rasa seperti tidak ada lagi keperluan untuk menulis untuk pembaca, sebaliknya hanya menulis untuk kepuasan diri sendiri dan untuk melunaskan hutang pada diri sendiri.

Dalam tempoh tidak menulis ini, ada dua tiga topik yang berligar dalam minda saya tetapi tidak begitu masak persoalannya dan saya masih tidak dapat menentukan mana satu yang saya harua tulis dahulu.

Setiap kali saya membuka pintu rumah untuk ke masjid yang mana saya terpaksa membuka daun pintu kayu, kunci pada grill dan kunci pada rantai yang meliliti grill, setiap itu saya teringin untuk menulis sesuatu yang pro dan kontranya mengunci pintu berlapis - lapis begitu yang sebenarnya saya tidak bersetuju tetapi terpaksa bersetuju.

Bila melalui R & R Bukit Dukong, teringat mini reunion SAS yang kami adakan dua tiga hari yang lepas. Kononnya kami adalah " cream " dari seluruh Malaysia ketika belajar di SAS 1966/1969 tetapi saya  adalah " cream" yang kecundang.

Terasa teringin untuk menulis sesuatu yang berkaitan dengan kehidupan saya di SAS yang menyebabkan saya dikira kecundang dan hanya bangkit semula kemudiaannya ataa usaha sendiri. Saya ingin memahamkan orang  yang sentiasa mengungkit kegagalan saya di SAS itu tanpa mengambil kira apa yang saya lalui. Juga tidak memberi kredit atas kejayaan saya bangkit semula. Pun ingin menyentuh tentang novel kecil SECEBIS BULAN DI SUDUT LANGIT yang terhasil dari kekecewaan saya  ketika di SAS.

Melalui proses PET Scan buat kali ketiga, saya ingin pula berkongsi pengalaman apa yang saya lalui hari itu dan ingin berkongsi harapan menerusi PET Scan kali ketiga itu. Separuh telah saya tulis tetapi penulisan saya  tidak lancar sampai ke penghujung.

Apa yang saya alami sekarang, ialah rasa resah, rasa gelisah dan pelbagai rasa dalam menghasilkan penulisan saya. Sesekali ada rasa keterasingan  di dalam whatsapp group Luah Bicara sendiri walaupun sayalah pencetusnya dan sayalah adminnya.

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...