Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 93

Semalam aku mula menulis semula setelah hampir atau mungkin juga lebih dua bulan aku tidak menulis. Aku cuba memperjelaskan kepada pembaca kenapa  aku terhenti menulis dengan  jarak masa yang terlalu lama pula. Namun tulisan itu juga tidak siap dan tidak menemui pembaca.  Aliran ideaku tidak lancar. Ini salah satu sebab kenapa aku lama tidak menulis. Bukan lama tidak menulis sebenarnya. Itu kurang tepat. Aku menulis juga tetapi sentiasa tidak siap.

Tiba - tiba sekejap tadi  aku berdepan dengan situasi yang agak lumrah   pada masa ini iaitu kurang kesedaran sivik dan juga kurang budi bahasa. Ini memberikan aku satu dorongan yang begitu kuat untuk aku menulis dan menulisnya hingga siap kuharap.

Aku sampai ke Kedai Dobi Layan Diri Clean Pro di hadapan Pusat Komuniti,  Bandar Tun Razak untuk mengeringkan pakaian. Pakaian itu sudah siap dibasuh dengan mesin basuh di rumah. Dua sebab kenapa aku perlu mengeringkan di Kedai Dobi Layan Diri. Pertama dengan cuaca yang mendung sekarang ini menyebabkan pakaian lambat  kering di jemuran. Kedua isteriku elegik pada debu.

OK, terus kepada apa yang hendak kusampaikan. Sesampainya aku ke kedai berkenaan semua mesin pengering penuh. Tetapi aku terlihat satu mesin yang sudah berhenti atau sudah siap mengering kan pakaian di dalamnya, tetapi tuan punya pakaian tidak ada di situ. Kutinjau mesin yang lain. Rupa-rupanya ada dua mesin lagi yang juga dalam keadaan yang sama. Kerja sudah siap tetapi yang punya pakaian tidak mengambilnya. Inilah yang aku sebut tadi kurang kesedaran sivik. Mungkin itu pun kurang tepat. Yang pasti mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain yang ingin menggunakan mesin berkenaan. 

Aku juga sering meninggalkan mesin yang sedang   beroperasi  untuk pergi makan atau minum di kedai yang berdekatan. Akan tetapi aku akan pastikan aku sampai semula sebelum mesin berkenaan berhenti. Seingat aku, belum pernah aku terlajak. Kalau aku makan bersama isteri, kami pastikan salah seorang dari kami akan segera menghabiskan makanan dan  sekali gus memastikan salah seorang dari kami sampai sebelum mesin berhenti. 

Setelah agak beberapa ketika aku menunggu, datanglah seorang perempuan muda ( tidak pastilah anak dara atau isteri orang kerana tidak ada tertulis di mana - mana) membawa beg IKEA dan aku yakin dialah tuan punya pakaian dalam salah satu mesin berkenaan atau mesin yang aku hasrat untuk menggunakannya.

Betul telahan aku. Teruslah dia mengeluarkan pakaiannya dari mesin tersebut dan memasukkan ke dalam beg IKEA yang dibawanya.

Seperti yang kusebut di atas, bukan sahaja kurang kesedaran sivik tetapi juga kurang budi bahasa. Apalah salahnya berkara " maaf Pak Cik saya terlambat sikit". Orang tak tahupun berapa lama "sikit" tu.

Itulah kekurangan paling ketara generasi muda Melayu hari ini. Kurang budi bahasa. 

Sebaik sahaja dia mengeluarkan pakaiannya dari mesin tersebut, akupun memasukkan pakaian yang hendak aku keringkan.

Lagi "bengkek" hati bila melihat dia pergi ke dua buah mesin lagi yang aku sebutkan tadi, sudah siap tapi tak ada tuan punya pakaian datang mengambil ambil. Rupa-rupanya ketiga - tiga  mesin dia yang guna.

Setelah dia mengambil semua pakaiannya, dia pun berlalu tanpa memohon maaf dan tanpa rasa  bersalahpun.

Setelah  memasukkan pakaian ke mesin pengering tadi , aku pergi makan roti canai dan minum teh o, sambil menaip tulisan ini, tapi aku pastikan aku sampai sebelum mesin itu berhenti supaya aku tidak dicop cakap tak serupa bikin oleh pengguna lain yang mendengar bebelan aku sebelum perempuan muda itu tiba tadi.
Aku tiba kembali ke mesin 3 minit sebelum mesin itu berhenti. Boleh je kalau kita tidak mahu menyusahkan orang lain.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...