Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 74


Berbaring di sofa di ruang tamu di rumah anak di Pelangi Semenyeh, aku mencari bahan untuk ditulis sebagai perkongsian dalam Luah Bicara.

Sekarang ini banyak sekali saluran komunikasi dan juga saluran maklumat untuk kita berintraksi disamping mendapatkan maklumat samada yang sahih, semi sahih atau berunsur fitnah semata -mata. Ledakan teknologi maklumat yang begitu terkini hingga kalau tidak sempat dikejar menjadikan kita ketinggalan. Pun kalau tidak ada daya penapisan kendiri, kita akan terperangkap di dalam fakta yang tidak benar  atau berunsur fitnah itu.

Zaman 50an dan 60an saluran maklumat amat terhad.  Selain dari akhbar dan siaran radio yang tidak semua orang mampu memilikinya ialah wayang longgok atau wayang pacak. Dan untuk hiburannya wayang di panggung wayang kecil yang ada di pekan kecil kami.

Kami namakan wayang longgok kerana kita duduk ramai - ramai berlonggok di padang di mana wayang itu ditayangkan. Ada yang memanggilnya wayang pacak kerana sebelum wayang boleh ditayangkan, skrin atau dulu kami panggil kain putih saja, akan dipacak terlebih dahulu.

Di Pekan Parit, Perak, wayang ini biasanya ditayangkan di Padang Kanak - Kanak. Panggilan yang diberikan kepada padang untuk kanak - kanak bermain yang fasilitinya cumalah beberapa papan jongkang - jongkit dan buaian papan ( talinya rantai, tempat duduknya papan ).

Agensi yang berperanan masa itu ialah Jabatan Penerangan. Penerbit filem yang ditayangkan ialah Malayan Filem Unit yang menggunakan lambang  harimau. Kami panggil harimau kurus kerana harimau itu memang kelihatan kurus. Macam tak makan je. Filem yang ditayangkan kebanyakannya ialah filem rencana tentang apa yang kerajaan buat untuk rakyat. Sesekali sangat ada filem cereka juga terbitan Malayan Filem Unit. Ceritanya sudah tentu berbentuk pengajaran yang begitu jelas. Salah satunya kalau tidak silap bertajuk Mata Permata lakunan  Allahyarham Tan Sri S.M Salem dan Allahyarhamah Norleda Saidi.

Oleh kerana wayang longgok ini dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan filemnya pun berbentuk penerangan, kami menamakannya filem penerangan. Bila sebut malam ini ada filem penerangan , semua faham dan berbondong - bondonglah pergi menontonnya.

Untuk yang berasal dari Parit, pasti dapat mengimbau kenangan. Di satu sudut padang itu akan kedengaran bunyi orang mengatuk sesuatu. Itulah bunyi Pak Yob Sotong mengatuk sotong bakarnya. Ada penukul kayu yang besar dan alas kayu yang juga besar dan berat.

Selepas sotong dibakar , sama ada janggut atau badan sotong akan dikatuk hingga lembut. Sotong ini akan dicicah dengan air cili bergaram. Itu saja. Tapi memang sedap. Kita bolehlah meminta hendak bahagian janggut atau bahagian isi ( badan ). Harganya cuma 5 sen sahaja. Pak Yob juga menjual sengkuang yang sudah dipotong, 4 keping secucuk dan harganya hanya 5 sen juga. Pencicahkan tetap yang tadi juga. Air cili bergaram. Sedap.

Tak lama lepas itu, ada syarikat rokok atau minuman Milo membuat tayangan wayang longgok. Syarikat ini menayangkan filem cereta berbahasa Inggeris keluaran Hollywood. Ironinya filem yang ditayangkan lebih terkini berbanding filem yang ditayangkan di panggung kecil di Pekan Parit.

Sejak itu bila diberitahu ada wayang longgok , kami akan bertanya, penerangan ke kompeni? Kalau penerangan tu macam malas pulalah nak keluar kampung pergi menonton. Kalau kompeni tu barulah rajin pergi. Sudah pandai memilih ketika itu.

Setiap hujung minggu, kami akan berkumpul pula di rumah jiran yang ada radio untuk mendengar Bangsawan di Udara.  Ceritanya macam telenovela sekarang ini. Bersambung - sambung. Adalah pelbagai cerita. Aku cuma ingat satu tajuk sahaja iaitu Bujang Jauh.

Itulah saluran maklumat dan hiburan kami ketika itu. Minat kepada berita radio macam tak ada. Tak tahulah orang tua - tua atau orang lain. Aku seperti tidak pernah mendengar berita radio.

Aku yang memang amat minat membaca dari kanak - kanak lagi emak langgankan Utusan Kanak - Kanak. Ada rencana dan ada komik. Pastinya komik itu dapat perhatian lebih. Antara komik yang jadi tumpuan ialah Pengembaraan Roslin dan Roslina Kesah pengembaraan menggunakan piring terbang ke Planet Marikh.  Komik ini dilukis oleh Raja Hamzah yang amat dikenali hingga lewat 60an.

Sebenarnya cerita futuristik sudah ada di zaman saya kanak - kanak lagi.  Dan biasanya kalau menggambarkan dunia pada tahun 2000, kenderaan yang digunakan ialah kenderaan terbang. Sebenarnya imaginasi kita terlampau ke depan, sedangkan hingga sekarang pun idea kereta terbang baru dalam ura - ura dan jadi idea yang dipersendakan.

Ingat sekian dulu nukilan untuk perkongsian hari ini dari pembaringan ini.

Luah Bicara 73


Tidur awal bukanlah amalan hidupku. Dari muda hingga ke usia ini kebiasaan aku ialah tidur amat lewat dan bangun tetap awal atau jarang sekali aku bangun melebihi pukul 5 pagi.

Apa yang melewatkan aku tidur atau apa pengisian aku sebelum tidur atau tertidur sebenarnya  ialah sama ada membaca buku, menonton televisyen atau leka di depan PC atau seperti sekarang ini leka menulis di HP.

Tetapi aku menulis sekarang ini bukanlah seperti kebiasaanku iaitu belum tidur lagi. Aku sebenarnya melanggar kebiasaan aku tidur lewat dengan memaksa diriku tidur awal untuk merehatkan diri kononnya kerana pukul 8.00 pagi nanti aku akan menjalani proses memasang port untuk kimo yang istilah perubatannya sampai sekarang aku tak hafal.

Jadi tidurlah seawal 10.30 malam atau lebih sedikit tadi dan bila terjaga tadi sekitar 1.58 pagi ( dinihari ) , mataku sukar diajak tidur kembali. Ada sedikit rasa mengantuk tetapi mata terus terkebil - kebil. Cuba buka youtube untuk mengikuti perkembangan politik semasa tetapi mobile data dah penuh menyebab sukar atau langsung tak dapat dibuka  Buka whatsapp group tiada hantaran terkini. Macam tiada tambahan seperti ketika aku " masuk tidur " pukul 10.30 tadi. 

Cuba tidur namun tak mahu juga. Mula berfikir apa yang hendak kutulis untuk mengisi waktu. Perkara terdekat ialah status kesihatanku tetapi pengikut tulisanku " dah  warning " katanya menjemukan dan isu biasa - biasa saja. Jadi nak tulis apa? Tentang aku " terkena " dengan penjual ubat atau cerita - cerita berkaitan penjual ubat jalanan yang sekarang dah berkurangan atau tidak semeriah dulu?

Teringat juga kepada pengikut tulisanku yang kata nak datang ziarah dan macam - macam perkara berligar.

Akhirnya aku mula menulis dan mata jadi segar langsung tiada rasa mengantuk sedikitpun. Membawalah kini sudah jam 3.38 pagi. Macam ada rasa nak cuba tidur balik pukul 4.00 pagi nanti.

Apa isu yang hendak kubawa. Lalu terfikir nak menulis tentang penyataan waktu. Penyataan waktu yang sudah terabai atau tidak lagi diketahui oleh generasi sekarang kerana terikut cara barat atau antarabangsa yang meletak 12.00 am sebagai pagi dan 12.00 pm untuk petang ke malam.

Kita sebenarnya ada istilah pagi, tengah hari, petang, senja,  malam, tengah malam, dinihari , dinihari pagi, subuh dan pagi kembali. Tidaklah betul sebenarnya memberi ucapan selamat petang dalam ucapan - ucapan pada waktu malam di meeting - meeting  MLM kerana terikut cara barat yang mengucapkan good evening kerana kononnya selamat malam hanya digunakan untuk ucapan nak tidur atau nak berpisah dari pertemuan malam atau evening ikut cara barat.

Dan sebenarnya dalam ucapan atau tulisan menyebut 12.01am  sebagai pagi tidaklah betul kerana kita ada perkataan khusus iaitu tengah malam. Begitu juga menulis atau menyebut 1.00 pagi untuk 1.00 am kerana kita ada perkataan larut malam dan sekitar pukul 2.00 ke pukul 3.00 sebagai dinihari dan diikuti dengan dinihari pagi sebelum masuknya waktu subuh.

Pun ada kekeliruan bila kita menyebut malam untuk satu - satu hari. Contohnya dalam surat jemputan: Ahad Pukul 8.00 malam. Sedangkan malam itu ialah malam Isnin. Ikut  Islam atau Melayu malam mendahului siang. Ironinya tentang malam Jumaat ikut pulak dan faham pula,  sama ada untuk baca Surah Yassin atau aktiviti " yang satu lagi tu. " dan jadi gurauan atau peringatan pula " malam Jumaat ni !" Tak ke tak kena dalam kad jemputan ditulis Khamis pukul 8 malam sedangkan kita menjalankan aktivi malam Jumaat ?

Kekeliruan ini menyebabkan bila ada orang menjemput aku " datang malam Ahad ni ", Aku tanya balik untuk kepastian " Ahad malam yer? " Sebab malam Ahad yang disebut oleh penjemput tu sebenarnya malam Isnin.

Renung - renungkanlah.

Nota:
1. Akhirnya aku tak tidur kembali hingga kini 5.50 pagi ( nak Subuh dah )
2. Bukan mobile data penuh. Lupa bayar bil sebelum masuk wad hi hi.

Luah Bicara 72


Tengahari tadi aku singgah makan di gerai makan tepi jalan berhampiran Surau Saujana Impian. Sementara menunggu makanan disediakan, aku bertanya kepada tuan punya gerai samada di gerai tu ada tandas atau tidak?. Pekedai tu memberitahu aku tandas tak ada dan menyarankan supaya aku guna tandas surau. Jauh jugalah menapak pergi dan balik kerana kawasan surau ini begitu luas. Sebenarnya surau ini nama saja surau atau berstatus surau tetapi bangunannya lebih besar dari kebanyakan masjid biasa.

Ketika menapak balik ke gerai makan tersebut, tiba - tiba mindaku diterpa ungkapan ini " makan sana, berak sini
"
Sebenarnya sergahan itu benar - benar berlaku kalau tidak silap aku pada tahun 1973 tatkala aku baru sahaja berkhidmat di Ayer Tawar, Manjong ( Masa itu masih lagi dengan nama Dindings ). Aku yakin peristiwa itu berlaku sekitar tahun itu kerana hari itu aku naik bas dari Ayer Tawar kerana aku belum ada kenderaan sendiri. Tapi apakah mungkin sekitar tahun 1980an bila aku naik bas kerana kereta sedang dicat baru? Ah tak apalah. Latar waktu tidak penting. Apa yang penting ialah suasana dan latar tempat ianya berlaku.

Aku baru turun bas di Sitiawan dan kebetulan tempat hentian bas ( bas stop ) itu berhampiran dengan restoran mamak De Mama ( kalau ingatanku masih betul ).

Oleh kerana terasa nak buang air kecil sesangat ( kata orang Perak nak terkayo) aku terus masuk ke kedai mamak itu dan sebagaimana kebiasaan aku, aku minta izin nak ke tandas kepada petugas kedai itu. Rasanya dia juruwang merangkap pengurus. Ketika itulah aku disergah " Makan sana, berak sini ". Aku tidaklah membalas balik kerana tugas hakikiku masa itu ialah hendak segera membuang air kecil.

Sebenarnya mamak itu melepaskan emosinya kerana mungkin betul ada orang yang makan di gerai makan majlis daerah yang bersebelahan dan tumpang ke tandas di kedainya.

Kalau tidak silap deretan kedai makan berkenaan yang betul - betul bersebelahan  dengan restoran itu yang terletak di penghujung bangunan kedai ( corner lot ) baru saja dibuka. Jadi tiba - tiba menjadi pesaing kepada restoran itu. Itulah punca marahnya dan tidak fasal - fasal aku yang baru turun bas disergahnya begitu.

Banyak lagi episod lucu yang aku alami semasa mula ditempatkan di SMJK ( C ) Ayer Tawar. Nantilah aku ceritakan. Dengan drip terpasang di tanganku,  tidak selesa juga untuk menaip. Mujurlah drip di tangan kiri.

Ok sekian dulu dari Bilik Pengasingan 12, Wad 6G, HUKM.

Luah Bicara 71


Ada pembaca yang selalu mengikuti luah bicara saya menyatakan tulisan berkaitan rawatan hospital dah terlalu banyak dan meminta saya menulis sesuatu yang lain. Ada juga di kalangan pembaca yang juga kawan sekampung meminta saya menulis sesuatu yang menjadi noltagia bersama ketika zaman kanak  - kanak atau zaman semasa masih di kampung.

Memang cerita rawatan di hospital itu biasa dan saya kadang - kadang cuba mengelakkannya. Namun itulah yang hampir dengan saya ketika saya menulis itu. Kadang  - kadang ianya berupa harapan yang tidak tercapai yang terkesan di hati. Seorang penulis dekat dengan dirinya dan persekitarannya. Sesuai dengan Luah Bicara, terluahlah apa yang dirasai dan dilalui.

Kepada kawan yang meminta saya menulis sesuatu yang menjadi noltagia, memang sesekali terinbau juga dan saya tulis juga. Biasanya adalah sebab mengapa ianya terbedik di hati. Dia hendak saya menulis kesah kini yang kemudiaan dikaitkan dengan kesah silam. InsyaAllah saya usahakan.

Hari itu saya dengan isteri menonton Garden of Evening Mists . Kesah silam yang merangkumi sekitar 1945 hingga ke 1980an. Zaman penghujung pemerintahan Jepun, komunis mengambil kesempatan mengisi lompong yang ditinggalkan Jepun sebelum British datang hingga zaman dharurat yang berlarutan hingga 1980an. Namun ianya bukanlah filem perang sebaliknya kesah hubungan cinta ( kemanusiaan ) antara wanita tempatan dengan lelaki Jepun yang datang dan menetap di Malaya.

Namun saya tidaklah berhasrat untuk memperincikan kesah yang mengambil latar tempat di Cameron Highland itu.

Saya membaca artikel tentang filem yang dicalonkan untuk 9 oscar itu di dada akhbar dan kemudiannya membuat carian di internet. Lalu mencadangkan kepada orang rumah untuk menontonnya. Berlainan dengan zaman kanak-kanak dulu, kita maklum tentang filem yang sedang dan bakal ditayangkan dengan membaca flyer yang dicetak atas kertas nipis berwarna dengan cetakan  hitam yang disebarkan oleh lori kecil bagi pihak panggung. Di luar panggungpun ada poster atau kain rentang yang dilukis dengan tangan bukan cetakan.

Orang rumah pun membuat carian cinema yang menayangkan filem berkenaan secara online dan membeli tiket juga secara online. Tidak perlu berbaris dan berebut rebut seperti di zaman saya budak - budak dulu.

Dulu kalau nak beli tiket kena berebut dan adakalanya bertumbuk. Berbaris tidak ada dalam kamus kami ketika itu. Nak beli tiket kena ada kekuatan.fizikal. Mulanya saya tidak terlibat untuk membeli tiket. Apatah lagi badan saya kerdil atau keghodeh kata orang Perak. Namun lama - kelamaan kena belajar juga skil membeli tiket ini.

Tingkap tiket di panggung Kong Wah di  pekan kecil kami iaitu Pekan Parit kecil sahaja. Ada besi tebal berlubang2 dipasang pada tingkap tiket itu. Kalau orang tak ramai kita bolehlah nampak nyonya yang jual tiket itu melalui lubang2 itu. Kalau ramai yang berebut, nampak kepala orang orang yang berebut itu sajalah.

Duit hendaklah digenggam erat. Kemudian dihalakan ke lubang yang muat satu dua tangan saja tu. Bila tangan kita celus ke dalam lubang itu,  jangan buka tangan dulu. Nanti duit jatuh. Tunggu nyonya tepuk tangan kita. Bila dia tepuk saja, buka genggaman tangan dan sebutlah kuat - kuat jumlah tiket yang hendak dibeli , tally dengan duit yang digenggam tadi atau duit itu kalau tak ngam - ngam  mestilah berlebihan. Contohnya sebutlah " Orang tua dua.budak satu" . Maknanya  dua orang dewasa dan seorang kanak - kanak le tu.

Saya tak pasti sekarang ini adakah tiket untuk kanak - kanak atau kadar sama  rata sahaja sebab saya tak pernah bawa budak - budak menonton wayang sekarang ini.

Nyonya itu akan letak tiket dalam tangan kita bersekali dengan baki duit dan kita kena  genggam tiket itu kuat - kuat ketika menarik tangan kita keluar. Sakit atau melelas itu perkara biasa.

Seperkara lagi, dulu tidak ada nombor tempat duduk. Asasnya first come first serve. Jadi kalau waktu tayangan belum bermula, ahli yang tiketnya kita tolong beli belum hadir, kita tanda bangku dengan mengikatnya dengan sapu tangan. Kalau ramai rentang tali guni. Begitulah sebelum nombor bangku diperkenalkan.

Dulu ada tayangan murah Cheap Matinee. Harga tiket 35 sen. Tayangan pada hari Jumaat . Tolong emak merumput di bendang orang, emak bagilah 35 sen itu. Saya pergilah menonton wayang. Saya suka cerita cowboy lawan Red Indian.

Banyak lagi cerita menonton wayang ni. Nanti saya tulis lagi. Sekarang cukup setakat ini dulu.

Luah Bicara 70


Dalam hening pagi se awal pukul 4.00 di Wad 6G HUKM ini , rentetan perjalanan mindaku bergerak dari satu  persoalan ke satu persoalan dan dari satu perasaan ke satu perasaan.

Ketidaktentuan status kesihatanku membuat aku terfikir untuk menyegerakan apa yang aku ingin lakukan.

Pertama yang terlintas di mindaku ialah untuk menyegerakan cetakan kedua Luah Bicara dan penubuhan syarikat penerbitan bersama anak - anak untuk menerbitkan cetakan kedua Luah Bicara itu dan tulisan - tulisan aku yang lain dan nanti tulisan penulis - penulis lain juga.

Aku yang tidak berusaha atau tidak berpeluang mengumpul walau sedikit hartapun semasa mudaku berhasrat dan mengharapkan, hasil - hasil dari penulisanku dan penerbitan tulisan -tulisan penulis - penulis lain nanti dapat menjadi peninggalan material sekadarnya kepada isteri dan anak - anak . Kalau tidak dapatpun sesuatu yang berbentuk material, aku dapat meninggalkan sesuatu untuk dijadikan kenangan dan legasiku diteruskan.  Untuk bekalan aku sendiri ke akhirat,  itu urusan dan persediaan peribadiku yang akan kulaksanakan semampuku.

Hasrat menggerakkan cetakan kedua Luah Bicara dan penubuhan syarikat penerbitan ini telah kubayangkan pada anak - anak dan mereka menerimanya secara positif. Malah usaha melaksanakan cetakan kedua Luah Bicara telahpun bermula dengan selesainya kerja suntingan yang kubuat dan kuserahkan kepada salah seorang anakku untuk proses retype dan resetting layoutnya. Selesai itu aku akan ajak anak - anak duduk bersama berbincang untuk langkah - langkah seterusnya.

Rentetan perjalanan mindaku juga singgah ke janji bekas anak muridku untuk bertemu aku hari ini. Semalam tidak dapat mereka laksanakan kerana waktu proses colonoscopyku yang tidak pasti dan kerana salah seorang mereka ada hal di sebelah petang.

Aku pernah menulis tentang bekas anak - anak  muridku yang berbangsa Cina ini dalam Tulisan 66.    Keikhlasan yang wujud antara kami meruntuhkan tembok rasa perkauman yang kini cuba ditegakteguhkan oleh segelintar individu atau kumpulan.

Salah seorang muridku ini begitu santun dan begitu perihatin tentang kesihatanku ,  hatta  jadual rawatanku pun dia tahu  kerana begitu kerapnya dia menghubungi aku . Dia menanyakan khabar aku dan proses rawatan aku.  Dia tahu dan ingat di mana aku berada atau patut berada dan menjalani proses apa pada tarikh - tarikh tertentu.

Seorang lagi yang berjanji akan melawat aku hari ini ialah bekas anak muridku yang bermastautin di Amerika Syarikat dan hanya pulang setahun sekali untuk turut merayakan Tshun Baru Cina bersama keluarga.

Ada beberapa orsng juga bekas murid berbangsa India yang selalu bertanya khabar tentang aku.

Nota ulangan : Dahulu aku mengajar di SMJK yang rata - rata muridnya berbangsa Cina dan sedikit India.

Aku angkat cerita ini untuk memberitahu kepada semua pembaca, sekiranya tidak dipengaruhi atau terpengaruh oleh doktrin - doktrin parti - parti politik atau kesatuan - kesatuan yang ektrim dalam hala tujunya, hidup dalam pelbagai kaum di negara ini boleh berjalan dengan cukup harmoni dan menggembirakan.

Semasa aku belajar tanpa gaji di UPM dulupun ramai juga individu - individu Cina yang bantu secara langsung atau tidak langsung meringankan beban kewanganku. Untuk itu aku tidak pernah lupa.

Rentetan mindaku kembali teringat pada janjiku untuk menulis tentang santunnya seorang petugas di Plaza  tol Lebuh Raya LEKAS exit Bangi, Semenyeh dan Eco Hill. Aku berkongsi cerita ini dengan salah seorang anakku  yang melalui laluan yang sama ke tempat kerjanya dan dia mengiyakan apa yang hendak aku ceritakan ini.

Aku lalu di Plaza Tol itu seawal pukul 5.15 lebih kurang setiap kali jika aku pergi ke HUKM untuk rawatan. Aku lalu di laluan Touch & Go.

Di laluan ini,  berhampiran pengesan kad touch & go, duduk seorang petugas lelaki awal 40an atau lewat 40an yang aku tidak pasti, akan menyapa dengan ucapan "Assalamualaikum" dengan senyum yang terukir di bibir dan kemudiaan setelah salamnya dijawab, mengingatkan atau berpesan pula supaya  hati - hati memandu. Pesannya itu muncul kembali dalam benakku setiap kali aku teralpa sedikit dalam pemanduanku.

Tidak silap aku, pernah dalam perjalanan balik dan mungkin memang masa itu masa shift petang, aku menerima ucapan salam dan selamat pulang. Begitu santunnya dia.

Bagus bukan kalau setiap petugas di front desk mempunyai sikap begini? Dan yang menerima layanan begitu sewajarnyalah respon dengan sikap yang baik juga. Barulah seronok hidup ini. Sekarang ini bila lalu di laluan tol tersebut, aku berusaha untuk mendahului dia memberi salam.

Banyak lagi lintasan dalam minda ku pagi ini. Sambil mandipun minda terus menerus mengingat, membayang dan sebagainya. Kalau hendak dituliskan akan menjadi tulissn yang panjang yang menjadi beban untuk dibaca. Saya akan garap di waktu ysng lain.

Sekian.

Luah Bicara 69


Kalau kita baca hantaran dalam wharsapp group dengan sedikit teliti dan kritis, kita akan bertemu dengan pelbagai feel yang menyebabkan kita senyum sendiri, pelik sendiri , marah sendiri , malah mencetuskan pelbagai rasa.

Ada yang se awal pagi ( dia yang terawalpun ) mengucapkan waalaikumusalam terlebih  baru diikuti dengan assalamualaikum kemudiannya.   Konon mengandaikan sebelum dia join pagi itu dah ada ahli yang  memberi salam. Bukan betul - betul ada yang beri salam. Maknanya dia tidak membalas salam sesiapa. Kawan kita ini memang itulah stylenya. Tapi pagi ini lagi mengarut. Dia terus ucap waalaikumusalam tanpa ucap salam pun.

Ada pula yang membuat tanda 👍👌setiap kali sebagai respon kepada hantaran tulisan kita  hingga kita hantar cerita sedihpun responnya 👍👌 juga.  Rasa - rasa dia baca tak apa yang kita hantar ?

Ada yafng ucap tahniah atau takziah pun main forward ucapan orang lain. Saya ada ulas secara khusus dalam tulisan terdahulu. Mana mahunya kan? Itu macam menyampaikan ucapan orang lain le ?

Ada yang kaki forward ni akan forward apa saja tanpa mengira keperluan ahli group hinggakan iklan kerja pun diforward kepada ahli ahli yang semuanya sudah ada kerja dan dah establish pun. Nak kata untuk anak - anak ahli, anak ahli kecil - kecil lagi.

Ada yang kaki hantar imej - imej berkategori lucah tanpa ambil kira ahli yang ada dalan group. Kalau dalam group tu semua lelaki dan sebaya atau semua perempuan dan seusia , mungkin tak apa kalau semua sporting. Akan tetapi kalau group tu terdiri dari lelaki dan perempuan dan ada yang pelbagai peringkat usia kan ke tak.manis?  Bila ditegur merajuk le pulak. Yang merajuk tu bukanlah muda pun.

Setiap whatsapp group ada objektifnya yang tersendiri. Tapi ada juga ahli yang main langgar sahaja sehingga menimbulkan ketegangan di dalam group dan memeningkan kepala admin. Nak digugurkan keahlian terasa zalim, nak dibiarkan jadi barah yang boleh merosakkan group. Kalau ditegur kata tak sporting atau pun tidak terbuka. Sebenarnya apa - apa kumpulan pun ada matlamat dan objektifnya yang tersendiri yang perlu dihormati.

Satu lagi ialah katergori syok sendiri. Apa - apa perkara yang dilakukannya yang langsung tidak ada kaitan dengsn ahlipun dihantar bersekali dengan berbelas keping yang ahli - ahli tidak kenalpun sesiapa di dalam gambar itu. Ahli - ahli tidak minatpun untuk tahu kerana langsung tiada kaitan.

Saya pun ada hantar gambar aktiviti yang saya lakukan. Tapi biar yang umum dan cukuplah sekeping dua. Dan orang yang bergambar dengan kita itu orang yang ahli - ahli lain  kenal seperti rakan sekolah , rakan setempat kerja, rakan seangkatan yang sama atau memang seorang public figure.

Banyak lagi yang boleh disentuh. Tapi apa kata anda pulak share.

Sekian.

Luah Bicara 68


Memandu dalam perjalanan dari Beranang ke Bandar Tun Razak, kepalaku terfikir untuk menulis Luah Bicara 68 . Aku melihat adanya  ruang masa yang banyak ketika di Day Care Hematology Unit di HUKM nanti memandangkan rakan - rakan senasib dalam perawatan sudah terpisah - pisah oleh jadual rawatan yang sudah tidak sekerap dulu dan sudah tidak sama antara satu sama lain. Tapi rupanya Uncle Chai ( Pesakit Leukimia ) ada dan terjadilah bualan antara kami yang menyebabkan hasrat aku untuk menulis tidak jadi.

Ini aku menulis setelah proses ambil darah. Biasanya ada lebih kurang dua jam sebelum keluar keputusan analisa darah sebelum kami dipanggil berjumpa dokter. Uncle Chai pergi bersarapan sementara aku yang menjalani puasa ganti tidaklah bergerak ke mana - mana.

Ada dua tiga perkara yang hendak kutulis sebenarnya .Antaranya tentang kembara solo yang pernah kukongsikan suatu ketika dulu dan kesantunan petugas di Tol Lekas laluan keluar dari Eco Hill.

Boleh saja  aku tulis secara berasingan tetapi tidak pasti yang mana satu yang hendak didahulukan.

Sementelah pola  pemikiranku sepanjang perjalanan  tidak berurutan sebagai satu rentetan, sebaliknya berselang seli antara satu dengan yang lain, terasa ingin kurakumkan beberapa isu atau cerita itu secara berselang seli juga sebagaimana ianya terbentuk dalam mindaku.

Penulisan aku terhenti bila dokter memanggil aku. Terus hilang sekejap ingatanku untuk menulis bila aku dimaklumkan status penyakitku  yang memburuk berbanding laporan terdahulu yang sekali gus membunuh keceriaanku dan menarik turun semangatku.

Kanser di usus kembali aktif dan agak agresif. Begitulah gambarannya sebagaimana yang dimsklumkan kepada aku. Sesuatu yang bercanggah dengan harapanku untuk diistiharkan bebas dari kanser limpomaku sepenuhnya.

Aku diminta serta merta ( hari ini juga )  masuk wad untuk buat pemeriksaan semula melalui colonoscopy dan mungkin diikuti rawatan - rawatan yang lain.

Kini aku sambung menulis sambil menunggu giliran untuk x ray usus dan paru - paru

Selesai x ray usus, aku kembali ke Day Care Hematology. Dokter yang nak berjumpa aku tak ada tapi aku diminta menunggu. Dikatakan dia akan datang bersama dokter pakar. Bimbang juga dia tidak datang kembali sebab tadi kata nak jumpa sekitar pukui dua sedang sekarang sudahpun 4.19 petang. Suspen juga menunggu hasil x ray.

Akhirnya aku diarahkan masuk wad dan di wad sajalah nanti dokter akan bertemu aku.

Kini dalam hening pagi, yang aku terbangun sekitar pukul dua lebih dan hingga kini tidak tidur semula, aku sambung tulisan ini dan setakat ini sahajalah kali ini. Ini kerana sudah tidak sesuai lagi aku menyambungnya dengan kesah kembara solo dan kesantunan petugas tol itu bila kesah rawatanku mengambil tempat.

Nantilah. Cuma doakan aku sempat menulis KEMBARA SOLO - SUATU CATATAN PERJALANAN atau KEMBARA SOLO - SEMASA HAYATKU MASIH ADA tajuk yang aku rancang untuk  menulisnya semasa aku melaksanakan kembara solo aku nanti. Doakan aku sempat.

Sekian.

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...