Pagi ini aku berada di Unit Jagaan Harian ( Day Care Unit) HUKM. Seperti biasa hari ini aku akan diambil darah untuk dianalisis di makmal untuk melihat perkembangan darahku selepas melepasi minggu pertama Kimotrapi ketiga. Seperti yang selalu aku ceritakan, hari ini adalah awal minggu kedua di mana mengikut dokter status anti body aku berada pada tahap zero. Seperti biasa juga aku mengharapkan ada peningkatan sel darah merah dan sel darah putih dalam darahku.
Kalau sel darah merah kurang, kena masuk darah satu atau dua paket. Kalau kekurangan sel darah putih, aku akan disuntik dengan sel itu tiga hari berturut-turut. Aku amat mengharap kedua-dua proses itu tidak perlu kulalui.
Nama aku belum dipanggil untuk diambil darah. Proses diambil darah tidaklah menyakitkan apatah lagi dilaksanakan oleh jururawat yang mahir. Akan tetapi bila melibatkan jarum dicucuk ke badan, bohonglah kalau kita boleh melagak tak ada apa-apa.,
Proses ambil darah sudah dilaksanakan. Seperti biasa, oklah bila jururawat yang buat. Tak sakit pun.
Kena tunggu dua jam untuk dapat keputusan. Itu menimum kata jururawat sebab hari ini pesakit ramai. Semalam cuti dan besok juga cuti.
Sementara menunggu keputusan darah , aku berjalanlah ke kedai Koop beli surat khabar. Macam biasalah aku beli Utusan. Aku ada sebab tersendiri untuk kekal dengan Utusan. Tidak mahu memperincikannya kerana nak jauhkan diri dari penulisan yang bersifat politik.
Memasuki Cafeteria untuk ke tandas yang selesa, aku lihat ada juga yang tidak berpuasa, selamba badak je makan kat sini. Yang tua dan uzur macam aku ( aku tidak dibenarkan berpuasa ) dan yang perempuan yang dapat cuti umum.
Aku ceritakan kepada anak aku. Akhirnya aku juga buat selamba badak pekena mee kari dan air durian belanda panas.
Berbalik kepada penyakit aku, ada yang minta nasihat bagaimana nak jadi tabah dan kuat macam aku. Aku berilah sekadar yang aku tahu dan aku lalui.
Persoalannya betulkah aku cukup tabah? Ada kalanya tergugat juga semangatku sedikit tetapi aku cepat aku buangkan jauh - jauh.
Mendapat berita kenalan - kenalan walaupun tidak rapat, 3 - 4 orang meninggal dunia dalam tempoh cuma seminggu, semuanya kerana kanser, mustahil tidak mengusik hati aku. Akan tetapi aku selalui memujuk, nasib dan suratan seseorang itu tidak sama.
Mungkin aku antara yang akan " survive" dalam pertarungan ini. Hanya Allah yang tahu. Setakat kimotrapi ketiga ini, aku begitu positif. Tidak tahulah dalam keadaan yang aku sihat ini tetiba dimaklumkan sebaliknya. Redha sajalah.
Melihat kuku menjadi hitam dan teringat ceramah Ustaz Kazim ada jemaah yang dibawanya buat Umrah, kukunya habis hitam semua dan meninggal sehabis Umrah, tergugat juga keyakinan aku sedikit. Tapi bila difahamkan kuku hitam hanyalah sebahagian dari kesan kimotrapi aku jadi kuat kembali.
Aku hanya berharap sehabis kimotrapi ke enam, aku diistiharkan pulih. Kalau ia akan berbalik, itu suratan yang lain.
Apapun, aku ingin berkongsi tip ini. Laluilah proses kimotrapi. Walaupun tak ada jaminan pasti untuk sembuh, sekurang - kurang status kesihatan kita sentiasa dipantau berbanding dengan perubatan alternatif. Ketakutan dan kesakitan melalui proses PET Scan, Colonoscopy dan Bone Marrow, boleh didengar tetapi jangan ambil pot sangat kata orang sekarang. Apa yang kita lalui mungkin tidak sama dengan apa yang orang lain lalui.
Kekuatan fizikal disepadukan dengan kekuatan mental dapat membantu kita melaluinya. Bagi yang masih muda, anda ada kedua - duanya. Fizikal dan mental. Bagi yang berusia macam aku ini yang tinggal ialah kekuatan mental. Tapi jangan lupa, kekuatan mental bisa saja mengatasi kekuatan fizikal.
Sekian dulu.
No comments:
Post a Comment