Sudah agak lama terhenti menulis setelah Tulisan mencecah
angka 100. Seratus angka yang selalunya jadi penutup atau penanda
aras sesuatu pencapaian.
Saya menjadi tidak pasti akan
melanjutkan Tulisan atau _berhenti terus_ atau menamakan dengan nama
lain.
Akhirnya keinginan menulis dan
berkongsi pengalaman, buah fikiran dan rasa masih wujud dalam diri, lalu saya
pilih untuk menulis terus dan kali ini saya namakan Luah Bicara.
Dalam Luah Bicara 1 ini,
saya ingin menulis semula perkara yang pernah saya tulis dulu, yang mendapat
respon yang baik juga, tetapi terasa perlu mengulangnya semula bila menghampiri
Hari Raya Aidil Fitri ini. Sesuatu yang perlu direnung dan diambil
tindakan bersama .
Perkara pertama yang ingin saya
sentuh ialah tentang cara bersalaman anak cucu kita yang sudah terpesong dari
cara sebenar dan sudah menjadi lumrah tanpa ada yang menegur atau
membetulkannya dengan serius.
Ramai sekarang yang bersalaman
dan membawa tangan kita yang disalami ke dahi mereka. Ini bukan sahaja oleh
kanak - kanak malahan oleh remaja-remaja awal dua puluhan atau lebih. Ini bukan
dari budaya Melayu dan Islam. Ini budaya orang lain.
Apa yang sepatutnya ialah mereka
mencium tangan orang yang disalami yang tentunya yang lebih dewasa dan
dihormati.
Ada juga yang tidak membawa
tangan kita ke dahi mereka tetapi mencium tangan mereka sendiri.
Perkara kedua, dalam sibuk
bersilaturahim dengan adik beradik, ipar duai dan saudara mara, ada yang
lupa batas-batas aurat dan juga sentuhan.
Dari pemerhatian saya, kalau
anak-anak atau remaja bawah 20an, mungkinlah mereka jahil. Akan tetapi yang
sudah 40an ke atas yang anak - anak pun dah besar panjang, pun lupa bahawa
sepupu-sepupu bukan muhrim yang boleh bersentuhan kulit. Ada sepupu-sepupu
lelaki menyentuh atau memeluk bahu sepupu perempuannya tanpa sedar atau tanpa
peduli yang sepupunya itu ada suaminya bersama.
Seakrab mana pun, batas - batas
susila dan agama perlulah dijaga dan diutamakan.
Jadi nanti bila berkumpul
ramai-ramai kita yang tua-tua ni kenalah membetulkannya.
Dalam ceramah agama di TV
baru-baru ni ada ditanya tentang keutamaan memberikan bilik-bilik di rumah bila
adik beradik, anak beranak datang berkumpul. Ingatlah menjaga aurat bagi
perempuan lebih payah dari lelaki. Susunlah supaya bilik-bilik hanya untuk
perempuan sementara yang lelaki di ruang luar pun ok. Kalau bilik-bilik memang
banyak dan boleh masuk ikut pasangan tu mudahlah.
Supaya tidak berkecil hati kita
yang dewasa ni berterus terang dan bertegaslah tentang aurat dan sebagainya
supaya silaturahim berjaya diwujudkan dan peraturan agama tidak terabai.
Ketiganya didiklah anak cucu
kita supaya faham bahawa ziarah itu bukan untuk dapatkan duit raya. Kalau orang
beri tu ambillah. Kalau tak ada tu tak adalah. Ini ada yang bersungut, ada yang
buka sampul depan tuan rumah dan komen pula tu " seringit je!"
Jangan biarkan mereka
bertandang ke rumah jiran-jiran malah ke rumah orang-orang yang tidak dikenali
semata-mata nak pungut duit raya. Hingga ada yang berdiri di pagar sahaja dan
bila diajak masuk mereka kata " tak
apalah kat sini saja"
Kumpulan begini saya paksa
masuk, beri makan minum baru saya beri duit raya.
Ada anak-anak kita ni yang buat
rombongan naik kenderaan awam atau berbasikal dari satu taman ke satu taman
semata-mata nak minta duit raya. Ini kita kena betulkan bersama. Supaya mereka
membesar dengan kefahaman yang betul.
Oleh kerana saya tak dapat cari
balik tulisan saya yang terdahulu yang lebih kemas dan lengkap, cukuplah di
sini sahaja. Yang penting luah bicara saya kali ini difahami , dihayati dan
sama-sama kita betulkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment