Aku sekarang di ruang menunggu di Unit Rawatan Harian, HUKM. Hari ini aku akan menjalani kimotrapi yang ke 5. Setakat empat kali yang lepas aku tidak mengalami apa - apa kesan kimo seperti yang selalu dialami oleh orang lain. Syukur Alhamdulillah. Cuma kimo ke 4 dulu susah nak cari urat darah untuk pasang tapak untuk drip. Perkara biasa bagi orang menjalani kimotrapi, urat darah mengecut. Akan pulih selepas selesai keseluruhan proses kimo nanti.
Ketika aku akan menghadapi proses kimo ini rakan - rakan sekolahku Sekolah Alam Shah batch 66/69 mengadakan reunion di De Palma Resort, Kuala Selangor. Tak dapatlah aku turut serta. Hanya aku berkirim salam kepada rakan - rakan yang berkesempatan berkumpul.
Sedang aku menaip, tiba - tiba tercegat kawan rapat masa di MPTI dulu dan sekarang ahli Whatsapp Group Luah Bicara juga iaitu Sdra Omar. Tak sangka dia cari aku. Dia bawa isteri untuk rawatan susulan di O & G.
Seorang pesakit menyapa aku. Mesra. Bila aku dipanggil untuk bermulanya rawatan kimo, aku di tempatkan di katil bersebelahan dengan katil pesakit yang mesra itu. Macam biasa basa basi bila bertemu orang baru, aku bertanya itu ini termasuk usianya. Tetiba dia membuka penutup mulut dan hidungnya dan dengan loghat Peraknya memperkenalkan diri, " Saya le Pak Ya, Shamsuri."
Allahuakhbar. Member satu wad di Wad 6G yang memang sudah dikenali dan juga member group whatsapp Luah Bicara rupanya. Patutlah mesra sesangatnya.
Itulah jadinya bila rambut dah direpeh ( digunting) pendek dan
berpenutup hidung dan mulut pulak. Memang aku tak kenal. Patutlah perompak pakai topeng bila nak merompak. Kan?
Dah kenal benar berlabun sakanlah kami ( loghat Perak yang bermaksud berbual rancaklah kami ) Macam - macam topik keluar hingga tidak sedar proses kimotrapi yang hanya selesai hampir pukul lima petang.
Dalam bualan itu dua kali terkeluar perkataan dari mulut Encik Shamsuri, betapa semakin kecilnya dunia ini. Ini merujuk kepada pertemuan aku, dia Omar dan juga bertemu kembali secara maya antara Encik Shamsuri dengan kenalan lama yang kebetulan ahli group Luah Bicara.
Sebenar saiz bumi tidak mengecil. Apa yang menjadikannya terasa seperti kecil ialah dua perkara asas iaitu kemudahan perjalanan dan kemudahan perhubungan.
Zaman dulu dari Teluk Anson ( Sekarang Teluk Intan ) ke Kuala Lumpur usah harap boleh balik hari yang sama. Sekarang dari Ipoh ke KL dan balik semula ke Ipoh pada hari yang sama sudah menjadi perkara biasa. Malah pada tahun 1992 dulu pun saya pernah ke KL untuk mesyuarat, balik ke Ipoh untuk tunaikan cek di Bank Negara ( dulu ada cawangan Bank Negara di Ipoh ) dan balik ke KL pada hari yang sama kerana besoknya saya kena terbang ke Korea Selatan.
Itu kemudahan perjalanan. Kemudahsn perhubungan pula, kalau dulu mengharapkan surat biasa atau telegram ( bila kecemasan ) , sekarang dengan ada whatsapp, facebook, instagram dll menyebab kita berhubung dengan saudara mara, sahabat dan rakan seolah - olah mereka berada di sebalik dinding.
Sekian dulu. Terjaga 12.30 pagi tadi terus tak tidur ke saat ini. Nak tidur semula.
Sebelum.itu teringat pantun lama:
Nak gugur gugurlah nangka,
Jangan menimpa si batang pauh,
Hendak tidur tidurlah mata,
Jangan dikenang orang yang jauh.
No comments:
Post a Comment