Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 43


Ini ada beberapa buah cerita, pengalaman saya semasa masih berkhidmat dulu. Bukan nak bernoltagia, tetapi ada mesej  yang nak saya sampaikan melalui cerita itu yang boleh dijadikan pedoman bagi yang masih bekerja.

Suatu hari saya pergi melawat sekolah yang ada masalah . Saya pergi dengan ketua saya.

Selepas membuat tinjauan aspek - aspek tertentu, majlis bersemuka dengan staf pun diadakan. Dalam ucapan alu - aluannya Pemangku Pengetua berucap begini lebih kurang . Saya mengalu - alukan kehadiran Encik Yahya Md Yusof, selaku Penolong Pengarah Teknik & Vokasional ( kepada saya )  dan Pegawai dari Jabatan Pendidikan ( merujuk
kepada bos saya tanpa menyebut nama dan jawatannya kerana Pemangku Pengetua itu ternyata tidak kenal kepada bos saya).

Di mana silapnya? Pertama tidak mengenali siapa pegawai yang datang dan kerana itu berlaku keaalahan kedua meletakkan saya sebagai yang diutamakan sedangkan bos saya yang sepatutnya diutamakan hanya disebut sebagai Pegawai dari Jabatan Pendidikan, sedangkan bos saya ialah Ketua Penolong Pengarah ( KPP ) .

Sejak itu bila ada kesempatan, saya sebutkan kepada pihak sekolah, terutamanya pihak pentadbiranlah, kenalilah pegawai - pegawai di Jabatan Pendidikan. Kami yang Penolong Pengarah dan ke bawah ini, tidak dikenali pun tidak mengapalah. Tapi sebagai pentadbir enam orang pegawai teratas iaitu Pengarah, Timbalan Pengarah dan empat orang Ketua Penolong Pengarah wajiblah dikenali.

Di masa yang lain saya membuat lawatan ke sekolah yang hampir dengan Jabatan. Dalam satu ke dua kilometer sahaja jaraknya dari Jabatan.  Masa kami masuk ke bilik pejabat sekolah berkenaan, tiada siapa di situ. Tidak lama kemudian kerani perempuan berbangsa Cina masuk lalu bertanya " Encik siapa? "

Timbalan Pengarah tu! Boleh tak kenal. Dan  ironinya kami berdua duduk di kerusi yang membelakangi dinding yang memaparkan carta organisasi Jabatan yang ada terpampang gambar setiap pegawai dari Pengarah hinggalah ke Penyelia.

Secara sinis Timbalan Pengarah dengan selamba menjawab , "Tak tahu.".

Di sini pun masalahnya  sama dengan kesah sebelum ini, pihak pentadbir sekolah tidak kenal Timbalan Pengarah! Kalau tak kenal saya tak apalah juga. Sikap yang sama, tidak ambil pot kata budak sekarang.

Ini sikap tidak acuh, tidak ambil tahu yang sepatutnya tidak berlaku.

Di satu ketika yang lain , ada jamuan makan malam meraikan rombongan  dan pelajar dari Nga Tapuawe College dari New Zealand.

Seorang guru yang agak lewat sampai , meluru saja kepada Pengarah yang kebetulan ada dilaluannya dan terus sahaja bertanya , dewan majlis tu di mana yer?

Ada dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, sama seperti tadi Pengarah sendiri pun tidak kenal. Oleh kerana dia guru biasa bukan petadbiran " mungkin " boleh dimaafkan.
Kemungkinan kedua yang harap - harap tidaklah, iaitu memang tidak tahu menghormati orang yang lebih tua dan lebih tinggi jawatannya.

Kepada yang masih bekerja, ambillah ikhtibar dari cerita di atas. Ambil tahulah perkara - perkara asas dan penting dalam lingkungan pekerjaan anda. Jangan jadi pekerja yang serba tak tahu. Pekerja yang tertumpu pada dirinya sahaja.

Sekian.

Luah Bicara 42


Semasa menyampaikan taskirah pendek selepas solat Subuh semalam, Imam bercerita tentang orang buta dengan gajah. Ia serta merta mengingat aku buku bacaan aku semasa di Darjah 2 iaitu buku bertulisan rumi SULOH BACHAAN ( ejaan sekarang SULUH BACAAN ) .

Aku masih teringat bagaimana aku mendesak supaya ibu membelikan aku buku itu di Kedai Buku RS Adam di Pekan Parit. Maaf sekiranya aku tersilap tentang nama buku itu kerana sudah lama sangat masa berlalu dan carian ysng aku buat melalui google tidak menemukannya. Tak apalah. Yang penting ialah cerita di dalam buku itu salah satunya ialah 6 Orang Buta Dengan Gajah selari dengan yang Imam kami sentuh pagi itu.

Mungkin pembaca pernah tahu atau pernah dengar cerita ini dalam versi yang lain samada melalui pembacaan atau diceritakan orang dalam sesi ceramah.

Ada 6 orang buta ingin nak tahu rupa seekor gajah lalu ke enam - enam mereka meraba seekor gajah. Yang pastinya gajah jinaklah. Bukan gajah liar.

Orang yang pertama memegang belalai gajah itu lalu berkata " Oh gajah itu macam ular.".Orang yang kedua pulak pegang gading gajah lalu berkata " Gajah itu macam tombak . " Orang ketiga pula pegang telinga gajah lalu berkata pula " Gajah itu macam kipas lah". Orang keempat pula pegang kaki gajah lalu katanya " Gajah itu macam batang pokok." Orang kelima pula pegang badan gajah lalu berkata "Gajah itu macam dinding." Orang yang terakhir pula pegsng ekor gajah lalu katanya " Kau semua salah, gajah itu macam tali".

Itu sahaja cerita di dalam buku itu dan tidak ada disebutkan apa - apa kesimpulan atau pengajaran. Kitalah kena berfikir sendiri.

Kenapa keenam.- enam.orang buta itu menggambarkan gajah dengan gambaran yang berlainan? Ini adalah kerana mereka hanya memegang satu bahagian dari anggota gajah berkenaan dan terus membuat kesimpulan. Apa yang sepatutnya mereka lakukan adalah meraba keseluruhan anggota gajah berkenaan.

Begitu jugalah bila cuba mengenali seseorang, sesuatu jabatan, sesuatu pertubuhan, sesuatu situasi dan sebagainya. Kita lihat secara menyeluruh , bukan hanya dari satu sudut sahaja dan  tidak melihat dari sudut kepentingan diri kita sendiri.

Ada pegawai yang ditanya tentang bos mereka, memberikan tafsiran yang salah kerana tidak menyatakan keseluruhan tentang bos mereka sebaliknya melihat sebahagian sifat bos itu dan ada kena mengena dengan kepentingan dirinya sendiri. Contohnya kakitangan yang suka ponteng tentulah tidak suka bos yang ambil berat tentang kehadiran  atau tentang punch card. Lalu bila ditanya tentang bosnya  , dia akan menggambarkan bosnya seorang yang cerewet. Hilang semua sifat baik bosnya dari segi kualiti kerja dan juga sahsiah lainnya.

Begitu jugalah kita mentafsirkan sesuatu kelompok. Kena adil. Yang baik tetap baik. Yang tidak betul tetap tidak betul.

Aku tidak mahu memanjangkan tulisan ini dengan pelbagai contoh kerana mahu pembaca berfikir sendiri

Pokoknya sesuatu itu  kena dilihat secara menyeluruh, adil dan telus sebelum meletakkan level .

Sekian.

Luah Bicara 41

Semalam dari rumah terus sahaja ke HUKM dan selesai urusan orang rumah di ofis dan mengurut orang di Flat Seri Labuan , di Bandar Tun Razak,  terus saja berpatah balik ke Taman Sutera.

Singgah untuk makan di R & R Bukit Dukung ,  barulah aku berpeluang membeli surat khabar.

Tengok di rak surat khabar di kedai buku di situ, Utusan Malaysia sudah habis. Walau bagaimanapun biasalah bertanya juga untuk kepastian.
" Utusan habis ?"
" Habis, hari ni ramai orang membeli untuk membantu Utusan." Lebih kurang begitulah respon Tuan Punya Kedai yang memang sudah kenal lama dengan aku kerana aku selalu singgah membeli akhbar atau majallah dari kedainya.

Mulanya aku rasa kecewa juga kerana tak dapat membeli dan membaca Utusan hari itu. Bagi aku, aku cuma  membeli akhbar lain  kalau surat Utusan habis. Dalam pada itu aku rasa gembira kerana ada kesedaran di kalangan orang
Melayu untuk memastikan akhbar keramat itu tidak berkubur dengan cara membeli semula akhbar Utusan Malaysia .

Teringat yang Kosmo juga adalah terbitan Utusan Melayu, aku segera membeli Kosmo. Sekurang - kurangnya ada juga sumbangan aku hari ini, fikirku.

Membaca berita - berita di dalam akhbar Kosmo, lagi terubat rasa hati bila banyak NGO - NGO yang berusaha untuk membantu memulihkan Utusan yang bermasalah.

Ketika aku dalam " kuarantin " kerana dalam rawatan kimoterapi, bila anak - anak  aku hendak datang , aku akan meminta mereka belikan Utusan Malaysia. Walaupun mereka ada mencadangkan agar aku baca Utusan Online sahaja, aku tak mahu. Tidak puas. Mesti hendak memegang dan menyelak helaian - helaian surat khabar juga.

Teringat aku, ketika internet mula diperkenalkan, orang membayangkan, dan memang itu yang diperkatakan, iaitu novel - novel  bercetak akan berkubur akhirnya. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya ( merujuk kepada situasi di Malaysia ). Penerbitan dan percetakan novel - novel baru semakin rancak. Ini menunjukkan, orang kebih selesa membaca naskah bercetak berbanding dengan novel online.

Sekali lagi melalui Luah Bicara ini,  aku menyeru orang - orang Melayu agar terus memberi sokongan kepada Utusan, supaya akhbar keramat Utusan Malaysia yang bermula dengan nama Utusan Melayu bertulisan Jawi , terus hidup malahan akan jadi lebih gah lagi.

Orang Melayu yang kaya atau yang ada - ada, boleh sahaja membeli Utusan Malaysia dan Kosma.dalam jumlah yang banyak kemudian disedekahkan kepada mana - mana.institusi atau orang perseorangan.

Bagaimana anda ? Dah beli Minggu Malaysia dan Kosmo hari ini. Tambah 50 sen aje dari harga dulu.

Luah Bicara 40

Memanglah hati setiap orang itu tidak sama. Memanglah cara berfikir seseorang itu tidak sama. Memanglah sikap seseorang itu tidak sama. Itu kononnya hak peribadi masing - masing yang orang lain tidak perlu ambil kesah. Tapi rasanya tidak salah kalau saya kemukakan rasa tertanya - tanya dalam diri saya untuk dikongsi dengan orang yang mungkin tertanya - tanya sama seperti saya atau yang boleh bersetuju dengan pandangan itu hak individu itu sendiri.

Sikap - sikap begini, memanglah hak peribadi masing - masing , tetapi sikap - sikap begitu menyakiti perasaan orang lain. Wajar tak ?

Seorang rakan baik semasa di sekolah berasrama penuh, rakan baik juga semasa di maktab,  tetapi bila terpisah kerana meneruskan kehidupan masing - masing selepas keluar maktab , boleh tidak teruja langsung untuk bersua malah membalas sms dan panggilan juga tidak mahu . Bagaimana tu?

Dari rakan lain yang mengenali kawan kita itu,  kononnya isteri kawan kita itu tidak suka rakan suaminya datang ke rumah? Ini lagi satu sikap yang tidak salah kalau saya tertanya - tanya wajarkah ?

Kepada kawan kita itu, yang kalau isteri dah feelnya begitu, tidak beranikah keluar rumah untuk bertemu rakan lama kita yang menginap di resort yang dekat je dengan rumah kita? Atau nak jawab call atau balaa sms pun kena dapat kebenaran isterikah?

Seorang rakan yang sama - sama menuntut di universiti selama 4 tahun, bila dihubungi untuk bersama - sama bersilaturahim di Whatsapp Group yang ditubuhkan, boleh menjawab, tidak perlu dan berkata kalau ada hal penting nanti call le.  Apa alasan untuk mengwajarkan sikap itu? Malas untuk berwhatsapp ?  Sekurang - kurang jadilah ahli CCTV yang setidak - tidaknya dapat juga mengikuti perkembangan kawan2 Betul tak ? Dan bila dia kata kalau hal penting nanti call le, ingat kita berminatkah nak call dengan orang yang bersikap begini?

Ada yang left group tanpa sebab dan kemudian marah bila apa yang dibincangkan dalam group tidak sampai kepadanya . Wajar tak ?

Rakan baik kita ambil inisiatif mengwujudkan Whatsapp Group bagi mengeratkan semula jalinan kasih yang terputus kerana hambatan kerja. Bila bicara di whatsapp bermula, kita diam membisu walaupun kita sudah di "add in". Wajarkah ? Kalau nak jadi CCTV pun biarlah kita beramah mesra seketika. Betul tak ? Bukan diam membisu seolah - olah kita tidak wujud.

Sikap - sikap begini, memanglah hak peribadi masing - masing , tetapi sikap - sikap begitu menyakiti perasaan orang lain. Wajar tak ?

Fikir - fikirkanlah.

Luah Bicara 39


Bila ada pembaca yang bertanya " Apa coretan Pak Ya hari ini ? " saya jadi bersemangat untuk terus menulis walaupun yang bertanya itu cuma seorang.  Bermakna kawan kita ini , yang baru dikenalkan dengan blog Luah Bicara Pak Ya dan Whatsapp Group Luah Bicara mengikuti tulisan saya serta membayangkan saya menulis setiap hari.

Memang itu hasrat saya dan memang begitu itu yang saya lakukan dulu.
Saya begitu terpanggil untuk menulis setiap hari kerana ada yang memaklumkan mereka menunggu tulisan saya setiap hari.  Cuma kebelakangan ini adalah hari hari yang saya tidak menulis. Seperti yang pernah saya tulis, mementumnya sudah berkurangan kerana respon yang juga terasa berkurangan. Sehingga saya tertanya di dalam hati, sudah hilangkan sengat tulisan saya? Atau adakah satu langkah yang salah bila saya mengwujudkan blog dan memberhenti posting saya ke whatsapp - whatsapp group?   Mungkin audien yang mengikuti tulisan saya lebih selesa membaca di whatsapp group dari di blog kerana membuka whatsapp tidak rasa terpaksa seperti membuka blog. Tapi pembaca setia seharusnya menjadi pengunjung setia blog saya juga

Banyak sebab yang kait berkait yang saya rasakan kenapa respon sudah tidak saya rasakan lagi. Viewers yang sudah melebihi 1,000 menggambarkan adanya penambahan bilangan pembaca, namun tidak ada komen yang ditinggalkan membuatkan saya semakin merasa sepi.

Tak apalah. Setiap yang pasang ada surutnya. Menjawab soalan apa yang saya nukilkan hari ini, ini ada satu nukilan kecil.

Tadi peristiwa kereta Viva yang saya pandu berlanggar berdepan hingga kos memperbaiki kerosakannya mencecah RM8,000 lebih,  hampir berulang. Episodnya hampir sama. Saya memandu di lorong yang betul dan perlahan tetapi ada kereta yang masuk ke lorong saya dari arah depan secara tiba - tiba.

Kalau dulu pemandu kereta yang merempuh kereta saya dipengaruhi alkohol dan mengantuk, kali ini saya rasa dia leka dengan handphonenya sambil memandu.

Panik juga bila tetiba kereta dari arah bertentangan  memasuki lorong saya dan hampir benar melanggar kereta saya. Mujurlah hon yang saya bunyikan menyebabkan pemandu berkenaan tersedar dan dia sempat mengelak dari berlakunya pelanggaran. Kalau tidak siksa juga patah kaki sementara kereta siap diperbaiki.

Berbeza dengan yang berlaku pelangaran itu di mana pemandunya  ( anak muda Cina )  dan bapanya mengambil tanggungjawab membuat laporan polis dan sebsgainya, yang membuat saya tidak perlu keluar satu sen pun  kos memperbaiki kereta saya, pemandu yang ini, berhenti pun tidak untuk meminta maaf.  Dia terus berlalu seperti tidak ada apa - apa terjadi. Memanglah tidak terjadi tetapi orang yang beradab akan tetap berhenti untuk meminta maaf.

Panas juga hati tua ini. Saya berhentikan kereta dan  keluar dari kereta memerhati pemandu yang berkenaan yang akhirnya parking lebih kurang 300 meter dari tempat saya berdiri.
Ramai pemandu muda sekarang bersikap begitu. Memandu ikut suka dan bila salah tidak mahu mengaku salah.

Malaslah saya hendak pergi mendapatkannya sementelah agak jauh dan  tidak berlakupun perlanggaran. Tapi hati memang " bengkek le " melihatkan sikap pemandu begitu. Saya pun pernah muda dulu tetapi tidaklah bersikap begitu.

Akhirnya saya masuk kereta dan meneruskan pemanduan.

Itu saja nukilan saya hari ini untuk renungan bersama.

Luah Bicara 38


Hari ini terpampang di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia, Utusan Terus Diterbitkan. Ini sekali gus mematikan spekulasi yang tular di media sosial bahawa Utusan Malaysia dan Kosmo bakal berkubur.

Ini yang ditularkan semalam.:

ESOK, 21 OGOS 2019.
JANGAN lupa beli EDISI TERAKHIR akhbar Utusan Malaysia & Kosmo... Simpan baik2 untuk dijadikan sbg bahan SEJARAH.

Shukur Alhamdulillah ianya tidak berlaku sekurang - kurang dalam tempoh terdekat. Usaha sedang dijalankan untuk menyelamatkannya. Sayang sekali kalau akhbar yang membawa aspirasi Melayu ini berkubur. Sejarahnya amat panjang. Jasanya juga amat banyak terutamanya kepada orang Melayu. Nama asalnya pun Utusan Melayu sebelum.ditukar kepada Utusan Malaysia

Ada  yang beranggapan akhbar ini sebagai akhbar sebuah parti politik tersohor. Saya tidak bersetuju sama sekali kerana setiap akhbar yang diterbitkan oleh parti tertentu, semua artikel dan beritanya 100% suara parti berkenaan. Akan tetapi Utusan Malaysia adalah media umum yang membawa suara hati orang Melayu seluruhnya ( sepatutnya dirasai begitu), tanpa menafikan memang ada pertaliannya dengan parti berkenaan. Malang sekali ada orang - orang Melayu yang benci kepada Utusan Malaysia kerana konon membawa suara parti berkenaan.

Ketika saya baru sampai ke Beranang, ada member masjid yang memaklumkan sudah hampir tujuh tahun tidak membaca Utusan, membeli apatah lagi. Macam berdosa pulak orang yang membaca Utusan Malaysia ni.

Ada pihak yang tidak mahu rangkaian  primis niaganya menjual Utusan Malaysia. Ada pihak yang menghalang langganan Utusan Malaysia. Betapa tidak sedarnya mereka betapa peranan yang dimainkan oleh Utusan dalam menyatukan orang Melayu dan akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara.

Saya tidak berhasrat menyusurgalurkan sejarah penubuhan dan peranan yang dimainkan oleh Utusan kerana tidak mahu tulisan ini menjadi rencana sejarah yang pembaca boleh saja mencarinya sendiri melalui pelbagai media.

Hasrat saya cuma.satu, mahu orang Melayu menghargainya sebagai khazanah bangsa dan membantunya untuk bangun semula.

Utusan yang  ditubuhkan pada 1938,  lama sebelum merdeka kini dimaklumkan menghadapi masalah kewangan. Kita boleh membantunya dengan membeli atau melanggan Utusan, bukan meminggirkan sebagaimana sekarang tidak mengira ideologi politik anda  Pembaca yang mempunyai syarikat boleh membeli ruang  iklannya.

Sebenarnya kalau kita sayang kepada Utusan, khazanah yang tidak bernilai ini, dengan derma sepuluh ringgit seorang pun dari setiap orang Melayu , dapat banyak membantu memulihkan Utusan.

Fikirkanlah.

Luah Bicara 37


16hb. Ogos 2019

Hari ini agak awal juga aku sampai ke Day Care Unit, HUKM kerana agak cepat  juga aku dapat parking.  Dalam kepala sambil berjalan , sebelum sampai ke Day Care Unit, terbayanglah yang aku antara pesakit yang awal sampai dan akan dapat nombor giliran awal. Paling jauh pun nombor 3. Tetapi sampai je,  dah hampir 30 orang pesakit lain dah sedia menunggu. Ramai gila pulak pesakit hari ini. Lambat le aku dipanggil untuk diambil darah.

Aku tidak pasti selepas hari ini bila pula aku perlu berjumpa dokter. Proses kimoterapi aku sudah tamat 6 pusingan. Ikut perkiraannya 21hb.Ogos 2019  ini edah kimotetapi ke 6  berakhir. Selepas itu akan dibuat PET Scan pula untuk mengetahui hasil kimotrapi yang telah kulalui. Akan tetapi PET Scan ditetapkan pada 1hb. Oktober. Lambat lagi. Cuma pihak gastro mahu berjumpa dan memeriksa aku pada 28hb. Ogos. Sementara itu lama ruang kosong. Suspen juga tak tahu apa hasil kimotrapi aku.

Setiap kali check darah ni, kebimbanganku  tertumpu kepada suhu badan. Kalau demam walaupun sikit, nanti akan diarahkan masuk wad. Bila masuk wad tu paling tidak 5 hari le sebab anti biotik tu mengambil masa 5 hari baru selesai diberikan. Iaitu melalui drip 3x sehari. Kalau aku diminta masuk wad gagallah aku menghadiri majlis makan - makan Warisan Wan Lamah iaitu keluarga aku dan abang yang melibatkan semua anak, menantu dan cucu - cucu yang akan diadakan malam ini di Teh Tarik Place, Putrajaya.

Giliran aku diambil darahpun tiba. Sebelum diambil darah seperti selalulah, diperiksa tekanan darah,  124/72. Diambil suhu badan ,  36.5 ° C. Ok sangat kedua - dua bacaan tu. Syukur Alhamdulillah.

Sekarang kena tunggu dokter memanggil . Lambat cepatnya bergantung cepat atau lambatnya analisis dari makmal diterima. Jadi pergilah aku sendirian ke cafeteria untuk bersarapan.

Selepas bersarapan, aku kembali ke Day Care Unit menunggu giliran berjumpa dokter. Agak lama juga menunggu kerana pesakit ramai hari ini.

Hampir pukul 12 tengahari baru jumpa dokter. Dokter sendiri keluar memanggil aku.  Dengan izin Allah semua bacaan darahku ok. Sel darah putih meningkat ke 7 dari 0.7. Creatinine pun kembali ke dalam julat normal cuma diaras tinggilah.

Dokter pun ceria membacakan hasil analisis darah, membuatkan aku juga terpengaruh menjadi ceria.

Oleh kerana semuanya dalam keadaan ok,  tidaklah perlu jumpa dokter dengan kerap, kata dokter. 26hb. baru jumpa balik. Dokter kata harap PET Scan juga menunjukkan petanda possitif .

Tarikh 1/10 / 2019 utk PET Scan tu kata dokter cuma tentative. Mungkin ada tarikh baru. Nanti akan diberitahu atau aku sendiri akan bertanya nanti.

Keputusan analisis darah hari ini, keceria dokter dan aku sendiri membuat aku rasa positive sangat. Harap hasil PET Scan nanti menunjukkan aku bebas sepenuh dari kanser lymphoma. Apa yang perlu selepas itu ialah menjaga pemakanan di samping meneruskan amalan ku makan ubi kayu setiap hari. Harap semuanya ok. Tolong doakan yer.

Luah Bicara 36


Sambil memandu pagi tadi, aku mendengar siaran radio Kelasik Nasional. Setelah mendengar lagu - lagu hiburan, pendengar disajikan pula dengan slot apa yang tular  hari ini?

Lalu diceritakan  bagaiamana , sebuah video yang berdurasi lebih kurang 2 minit , menunjukkan seorang OKU yang berkerusi roda,  bersusah payah menggerakkan kerusi rodanya ke tepi longkang untuk menyelamatkan seekor kucing yang terperangkat di longkang tersebut. Bagaimana OKU yang tidak berkaki itu berusaha  menggunakan tangannya untuk menyelamatkan kucing itu.

Tentunya sesuatu yang mengkagumkan , bukan? OKU yang tiada kaki dan berkerusi roda sanggup berusaha menyelamatkan seekor kucing. Mulia hatinya. Kan?

Tapi aku selalu berfikir berlapis, bukan selapis sahaja. Sudah tentulah video itu ada yang merakamkannya bukan? Dua minit panjang juga tu. Persoalannya kenapa tidak dia sahaja yang menyelamatkan kucing itu atau sekurang - kurangnya membantu OKU itu menyelamatkan kucing itu?  Kenapa dia ssnggup membiarkan OKU itu terkial - kial melakukannya, sedangkan dia hanya menonton dan merakamkan episod itu?
Keperihatinnya di mana?

Lantas aku teringat suatu ketika dulu, seorang jurufoto dapat merakam satu filem yang hebat iaitu menunjukkan seorang manusia dibaham harimau sampai habis. Hebat filem rencana tu. Tapi kemanusiaannya di mana? Tidakkah dia mampu melakukan sesuatu, sekurang - kurangnya mengejutkan harimau itu supaya tidak membaham orang itu? Dia terperangkap di antara mendapatkan penggambaran yang sensasi dengan kemanusiaannya dan dia memilih untuk mendapatkan penggambaran yang sensasi mungkin demi nama atau suatu kepuasan diri.

Keadaan begitu, banyak berlaku sekarang ini di mana dengan kemudahan mengambil gambar video dengan menggunakan telefon bimbit, ramai yang mengambil kesempatan merakam gambar eksiden berbanding dengan yang berusaha menyelamatkan mangsa eksiden tersebut. Sekali lagi pertanyaanku, keperhatinan kita di mana?

Luah Bicara 35


Sewaktu saya terlibat secara aktif dalam MLM, saya sering memberikan motivasi kepada downline - downline saya sama ada melalui tulisan - tulisan atau melalui ceramah - ceramah  atau lebih sesuai disebut sebagai business talk.

Salah satu perkara yang selalu saya tekankan ialah perlunya mengwujudkan momentum dan mengekalkannya . Perlu juga menentukan supaya momentum itu tidak terhalang kerana halangan pasti memperlahan mementum dan akhirnya pergerakan terhenti.

Saya selalu memberikan contoh keretapi. Pada kelajuan tinggi, kalau kita letakkan sederetan lori pun di hadapannya, semua lori - lori itu akan berjaya dirempuhnya. Akan tetapi kalau keretatapi itu bermula dari keadaan pegun ( berhenti ) , kalau diletakkan halangan besi satu inci kali satu inci pun di atas rel , keretapi itu tidak dapat melepasi halangan tersebut.

Jadi dalam kehidupan kita, setelah kita berjaya mencapai satu tempo atau rentak dalam sesuatu yang kita lakukan, kekalkan momentumnya, elakkan halangan, supaya ianya terus bergerak ke depan sehingga kita mencapai objektif yang kita sasarkan.

Kenapa tetiba saya teringat tentang momentum ini? Ini ada kaitannya dengan penulisan saya yang saya rasakan mementumnya sudah semacam melalui tahap penurunan. Terasa semacam ada penurunan dari segi produktiviti, dan mungkin juga ada penurunan dari segi keghairahan untuk menulis itu sendiri. Kedua - duanya kait berkait tetapi berpunca dari sebab yang sama.

Dulu saya digerakkan oleh keyakinan, ada yang menunggu tulisan saya walaupun mungkin tidak ramai dalam.sesuatu whatsapp group. Jadi saya berusaha supaya hampir setiap hari saya menghasilkan tulisan dan menghantarkan kepada lebih sepuluh whatsapp group. Saya kekalkan momentumnya dengan keyakinan itu walaupun yang respon tidaklah ramai tetapi ada.

Kemudian saya lalui fasa mengedit tulisan saya dan saya kongsikan semula kepada whatsapp - whatsapp yang disebutkan tadi di samping menghasilkan tulisan baru. Momentum saya berterusan. Respon yang ada walaupun tidak ramai masih mampu mengekalkan momentum saya.

Kemudian bila blog Luah Bicara Pak Ya diwujudkan, keghairahan untuk mengedit menjadi lebih tinggi kerana hendak segera menyiapkan blog berkenaan. Masa itu masih juga menghantar ke whatsapp - whatsapp group.

Bila blog siap dan cuma perlu diisi dengan tulisan terkini dan saya berhenti menghantar ke whatsapp - whatsapp group kecuali whatsapp group Luah Bicara, kerja saya menjadi mudah dan sekali gus menurunkan momentum saya. Mujurlah belum sampai ke tahap terhenti.

Ini sebenarnya ada kaitan juga dengan respon sebagaimana yang pernah saya nukilkan dalam Luah Bicara terdahulu.

Saya kehilangan respon yang jadi pemankin kepada pengekalan momentum. Tiada lagi komen - komen dari pembaca kerana saya sudah tidak lagi menghantar kepada mereka dan harapkan mereka melayari blog.
Bila ahli Luah Bicara sendiri tidak memberi respon, saya kehilangan terus punca yang dapat mengekalkan momentum saya.

Memang yang sudah melayari blog melebihi seribu orang, tapi tidak ada komen apa - apa. Jadi saya kena mencari pemankin baru yang boleh menggerakkan momentum saya lebih laju sebelum ianya terhenti.

Luah Bicara 34


Pagi ini , bila berbual di whatsapp group Luah Bicara tentang baja dan tentang bunga kertas, ia menyedarkan aku tentang latar belakang aku yang aku tidak manfaatkan sepenuhnya kerana kekangan - kekangan tertentu.

Semasa di maktab perguruan ( MPTI, JB ), opsyen aku ialah Sains Pertanian dan Art & Craft. Jadi bila aku ditempatkan di sekolah, sepenuhnya 5 tahun aku mengajar Sains Pertanian. Jadi segala yang berkaitan pertanian adalah dalam pengetahuan dan pengalaman aku. Masa tu rajin juga buat taman di kawasan terhad di dalam pagar rumah aku. Aku duduk di rumah teres masa tu.

Selepas 5 tahun, aku melanjutkan pelajaran dengan mengikuti kursus setahun ( dipanggil kursus khas, atau specialist course ) atau resminya Kursus Tambahan ( Sains Pertanian ). Aku masih guru pertanian dengan latar belakang pengetahuan dan kemahiran pertanian.

Selepas 5 tahun, aku melanjutkan lagi pelajaranku di Universiti Pertanian Malaysia. Ijazah aku masih bidang pertanian iaitu B.Ed. ( Agric ). Cakap Melayunya Bacelor Pendidikan ( Sains Pertanian ).  Untuk pengetahuan pembaca semua , 75% mata pelajaran adalah 100% sama dengan Bacelor Pertanian.  Hanya 25% sukatan pelajaran  yang berbeza iaitu Bacelor Pertanian belajar pengembangan, sementara kami belajar pendidikan.

Sebenarnya nama Ijazah ini pun dipolitikkan. Nama Ijazah kami sepatutnya Bachelor of Agricultural ( with Education ) . Ini akan mengatasi Bachelor of Agricultural sendiri. Peluang kami bekerja di sektor pertanian terbuka luas. Akan tetapi tidak tahu bagaimana keputusan dibuat di peringkat universiti, demi jaga status Bachelor of Agricultural , nama ijazah kami ditukar kepada Bacelor Pendidikan ( Sains Pertanian ) meletakkannya terkebawah dari dari Bachelor Of Agricultural. Begitulah semua perkara perlu dipolitikkan.

Apa yang aku nak sampaikan, kemahiran dan pengetahuan aku masih juga Pertanian. Cuma bila aku keluar mengajar semula, aku tidak ditempatkan di sekolah yang ada Tingkatan 5 yang mengambil Sains Pertanian, sebaliknya aku balik ke sekolah lama aku mengajar pertanian di Tingkatan 1 hingga 3 dan akhirnya mansuh dengan pelaksanaan Kemahiran Hidup. Tapi aku masihlah juga mengajar pertanian kerana sekolah aku melaksnakan.Kemahiran Hidup ( Pilihan Pertanian ). Cuma bidang sukatannya semakin mengecil.

Bila aku ditarik ke Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan dilantik sebagai Penolong Pengarah Teknik dan Vokasional, dan tidak lagi mengajar sebaliknya mentadbir, aku semakin jauh dari pertanian walaupun salah satu mata pelajaran yang aku tadbir ialah Sains Pertanian tetapi ada Penyelia Mata Pelajaran yang menguruskannya.

Bila pula 7 tahun kemudiaan, aku dilantik sebagai Ketua Unit Penilaian dan  Peperiksaan yang cukup sibuk, pertanian kian jauh dari aku.

Selepas bersara,aku banyak menjalankan kerja - kerja lain, kerja pertanian terus tertinggal sementelah tiada sebidang tanahpun yang dapat aku usahakan.

Sekarang ini bila datang ke rumah aku di Beranang, rumah aku kosong. Tiada tanda aku ada pengetahuan  dan kemahiran pertanian. Ini kerana tanah sekitar rumah aku keras berbatu hinggakan nak tegakkan tiang panjutpun kena cari lubang serangga ( ular ? ). Tanah itu kena ditambak dengan tanah gembur sebelum boleh ditanam hatta pokok - pokok bunga renik sekalipun.

Nantilah bila aku sihat nanti akan kuusahakan juga. Paling tidak,aku dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran aku. Hi hi.

Luah Bicara 33


Dalam tulisan saya di dalam Tulisan 30 saya ada menulis tentang hasrat kawan baik saya,  yang disampaikan kepada saya,  untuk melihat wujudnya kedai masakan Melayu yang menghidangkan masakan Melayu pada bila - bila saja diperlukan, tidak kira siang ataupun malam. Tidak hanya waktu siang sahaja dengan makanan yang sedia dimasak.

Lalu dihujung tulisan saya , saya cadangkan wujudnya kedai yang menyediakan makanan Melayu yang dimasak atas permintaan sebagaimana kita memesan makanan - makanan ala Thai.

Ketika itu saya tidak teringat kepada sebuah kedai yang menyediakan makanan sebegitu tetapi dalam menu yang agak terhad  yang pernah saya kunjungi bersama anak dan seorang sahabat baik saya yang lain. Saya pernah menyebutkannya kepada kawan saya ini tetapi tidak teringat, itulah konsepnya lebih kurang.

Tadi saya pergi buat kali kedua ke kedai makan berkenaan di hujung Pekan Mantin berdekatan dengan Kedai D.I.Y. Nama kedainya agak unik sedikit iaitu KOPITIAM ANGAH HOT ROO TEA ,  makan tengahari bersama isteri dan cucu.

Kami sampai agak terawal 10 minit kerana kedai itu hanya mula beroperasi pukul 12.30 tengahari. Masuk jugalah dahulu rehat - rehat sambil berbual dengan Tuan Punya sebelum pekerja bersedia untuk mengambil pesanan.

Tanpa terikat sangat dengan set yang tertulis dalam menu yang disediakan, saya memesan ayam kampung masak lemak cili padi. Isteri saya memesan ikan tenggiri masak asam pedas. Kita boleh memesan ikan pari kalau kita mahu. Cuma cucu saya memesan makanan ala Thai, nasi goreng kampung.

Sebenarnya kalau kita order betul -  betul ikut set, air minuman juga disediakan. Tapi kami order air minuman di luar set.

Bila makanan sampai, ia tetap sampai dalam set yang dijanjikan dalam menu. Saya dapat nasi putih, sup sayur kubis, gulai lemak cili padi ayam kampung dan telur dadar. Isteri saya dapat nasi putih, sup sayur kubis, ikan tenggiri masak asam pedas dan telur dadar. Maknanya lebih kuranglah dengan konsep yang saya war warkan dalam tulisan saya dahulu iaitu masakan ikut pilihan tetapi dalan keadaan terhad. Tidaklah boleh saya nak minta gulai lemak nangka muda, gulai tempoyak ikan patin atau ikan sela masak taucu. Tapi konsepnya sudah ada. Masakan Melayu dimasak ikut permintaan. Boleh saja diperluaskan pilihan masakan sekiranya Tuan Kedai ada kesanggupan.

Jadi saya kena war - warkan kepada kawan baik saya itu yang suka mencuba menu menu di kedai makanan yang  baru kerana dia dan isteri terlibat juga dalam perkhidmatan katering.

Masakannya boleh tahan le sedapnya. Masak lemaknya terasa pedas dan lemaknya. Kalau tak segan, bolehlah menghirup sampai licin. Ayam kampung biasalah, kurang isi dan liat sikit berbanding ayam daging. Saya tidak cuba merasa ikan masak asam pedas kerana asam pedas bukanlah kegemaran saya. Apatah lagi saya memang tak suka ikan. Harga oklah. Murah tak murah, mahalpun tak le mahal sangat. Makan bertiga beserta minuman RM46.60 . Ok kan?

Premispun agak eklusif, kerana ruang makannya dalam dinding cermin ( kaca )  dan boleh saja makan di ruang luar kalau itu pilihan kita.

Untuk makluman kepada yang nak mencuba, kopitiam ini tidak beroperasi pada hari Rabu.

Luah Bicara 32


Dulu saya pernah menulis tentang letihnya berintraksi dalam whatsapp dengan pelbagai kerenah yang mengecewakan. Kali ini saya ingin melanjutkannya lagi.

Bila kita memberi salam kepada seseorang menerusi whatsapp, apatah lagi whatsapp peribadi, tentulah kita berhasrat untuk berintraksi dengan orang yang kita berikan salam tersebut . Betul tak ? Paling  tidak untuk melihat salam kita berbalas. Kan ? Saya begitu. Tidak tahulah kalau anda sekadar melontarkan salam tetapi tidak berhasrat pun pun untuk berintraksi dan tidak pedulipun salam anda berbalas atau tidak. Jadi kalau saya, saya tunggulah ucapan balas rakan itu sebelum meneruskan dengan intraksi seterusnya.

Tapi saya tidak faham bila ada yang mengucapkan salam dan saya balas serta merta tetapi langsung tiada riaksi dari yang memberi salam tadi. Saya tunggulah juga. Namun terus tiada. Saya pula yang penuhi waktu  dengan bertanyakan khabar. Tapi kosong. Terbiar begitu sahaja. Tidak letih ke rasanya dengan sikap begini?

Dari tulisan terdahulu, saya terima pelbagai riaksi. Ada yang berkata masa buka whatsapp tu, sedang berhenti di lampu isyarat. Belum.sempat nak balas, lampu isyarat bertukar hijau. Jadi tidak balaslah.

Kalau di lampu isyarat tu, tak payahlah buka whatsapp. Bahaya dan ganggu pemandu yang lain pun. Main hp ni kena ada juga etikanya. Pernah di lampu isyarat, hanya kereta di hadapan sekali dan kereta di hadapan saya saja yang terlepas bila lampu isyarat bertukar hijau. Ini kerana pemandu di hadapan saya leka berwhatsapp hingga tidak sedar lampu isyarat bertukar hijau. Saya hon baru dia tersedar.

Berbalik kepada yang memberi salam tadi, janganlah memulakan bicara kalau anda tidak bersedia untuk meneruskannya. Atau anda tahu persekitaran anda mengganggu anda untuk terus berintrsksi.

Jangan siksa orang boleh tak?

Luah Bicara 31


Hari ini hari yang aku lalui dengan tidak selesa. Keluar seawal selepas solat Subuh, sepatutnya semuanya berjalan dengan lancar. Tetapi tidak pada hari ini.

Setelah isteri aku membeli makanan di Taman Tenaga, kami terus sahaja masuk ke perkarangan HUKM dan terus ke tempat parking di sisi bangunan. Belum pukul 7.00 pun masa tu.

Biasanya kami akan tunggu nurse balik kerja iaitu pertukaran shift pukul 7.00 pagi. Mengambil kira masa berkemas, punch card, turun lift dan lain - lain selalunya sekitar 7.10 pagi sudah ada yang mula masuk ke kereta dan meninggalkan tempat parking.

Malangnya, tak tahu apa sebabnya, sehingga 7.40 pagi hanya ada sebuah kereta yang keluar. Selepas itu langsung tak ada, seolah - olah semua nurse tak mahu balik hari ini.

Aku hanya boleh mengharapkan tempat parking kereta - kereta yang berada di hadapan tempat aku menunggu sahaja. Tempat parking kereta - kereta yang di belakang ada pula yang sedang menunggunya . Lagipun adalah sukar hendak memerhatikan pergerakan kereta di belakang dan kalau dikosongkan pun,sukar untuk mengundurkan kereta  dalam arus kereta yang laju dari arah belakang.

Kadang - kadang aku rasa  nak gamble, bergerak ke hadapan sedikit memerhatikan  kereta - kereta yang hendak keluar, tetapi kalau aku terlepas, aku kena tawaf satu pusingan HUKM untuk dapat balik ke tempat asal aku menunggu. Itupun tidak mungkin kerana *kad access* untuk masuk balik sudah dibawa oleh isteri aku ke ofisnya. Jadi kalau keluar, keluarlah  terus.

Setelah hampir pukul.7.40 pagi, aku sudah tidak sanggup menunggu lagi. Aku bergerak terus ke tempat parking berbayar. Nak buat macamana kan?  Masuk saja, aku nampak ada tempat kosong yang dekat sedikit, tetapi tak sempat nak sampai sudah diisi orang. Ada lagi satu tetapi tidak muat nak masuk kereta kerana pemandunya bagus sesangat perangai, di kangkangnya dua tempat parking .

Akhirnya parkinglah aku agak jauh walaupun kaki aku agak sedikit lemah hari ini. Kerana mengejar masa, cuma bawa beg galas. Air pun tak bawa. Penutup hidung dan mulut juga tertinggal.

Begitulah ketidak selesaanku hari ini. Mujurlah dalam kelamkabut mengejar masa itu tekanan darah aku masih " *cantik* ".

Luah Bicara 30


Sebagaimana yang saya pernah maklumkan, saya suka berintraksi dengan persekitaran saya, sama ada terkeluar secara lisan, gerak anggota atau cuma di dalam hati sahaja.

Hari ini saya akan menulis secara santai perkara - perkara biasa sahaja, hasil intraksi saya dengan persekitaran saya.

Persekitaran saya ketika bergerak dari tempat parking tadi ialah siaran dari radio kereta saya.

Radio Malaysia Stesyen Kelasik Nasional sedang menyiarkan lagu nyanyian Azian Mazwan Sapuan Rumah Kecil Tiang Seribu. Seni kata rangkap awal ialah pantun lama:

Rumah kecil tiangnya seribu,
Rumah besar tiangnya sebatang,
Kecil - kecil kau ditimang ibu,
Sudah besar kau ditimang gelombang.

Nampak macam ok je kan? Pembayang pertama dengan maksud pertama tu nampak cantik je rimanya kan? Lagunya pun sedap didengar.

Tapi otak saya berfikir cara lain. Kalau tiangnya seribu, rasanya tidaklah kecil rumah tu kan? Katakan tiangnya hanya kayu beluti 2 inci x 2 inci, kalau seribu, banyak tu. Besar rumah tu. Tak kanlah nak buat tiang yang bercantum antara satu dengan yang lain kan? Pun kalau tiangnya hanya sebesar batang mancis, itu dah bukan rumah, itu model rumah.

Ala Pak Ya, itu kan cuma pembayang pantun, relaxlah. Tak boleh gitu. Sesuatu itu mesti lojik atau betul. Kalau ada yang tulis pembayang pantun, pokok berembang di lereng gunung, mana mahu nye kan? Pokok berembang hanya tumbuh ditebing sungai sebelah hilir.

Maksud pantun tu cantiklah. Masa kecil kita ditimang dalam ertikata sebenarnya oleh ibu kita. Bila kita menjadi dewasa, kita menghadapi pelbagai masalah yang secara simboliknya dikatakan ditimang gelombang. Gelombang dalam kehidupan kita.

Habis lagu tu, keluar pula sedutan ceramah motivasi Dr Haji Tengku Ismadi. Beliau mengeluarkan peribahasa lama, sedikit - sedikit jadi bukit. Lalu minda saya berkata, itu kalau ditimbun Dokter, kalau dikaut, sedikit sedikit rata dan licin jadinya. Jadi nampaknya peribahasa itu kena diperkemaskan lagilah. Kena beritahu ditimbun atau ditambah.  Supaya jelas bila sedikit - sedikit akan jadi bukit, bukan jadi rata atau licin. Betul tak ?

Sekejap tadi ketika lalu di Jalan Sri Permaisuri, nampak papan tanda syarikat. Sebenarnya dulu nampak dah, tapi untuk memanjangkan sikit tulisan ni, eloklah saya komen. Nama syarikatnya Pembinaan Punca Cergas. Amenda tu? Apa maknanya ? Kalau dia orang nak kata pembinaan tu sebagai punca menjadikan dia orang cergas, itu dah ayat penyata kan? Tak jadi nama. Banyak lagi nama yang dibubuh ikut sedap je. Saya selalu berselisih atau mengekori kenderaan pengangkutan yang nama syarikatnya Gerimis Baiduri. Gerimis ni hujan renyai yang saiznya amat kecil iaitu 0.5mm sahaja. Baiduri ni sejenis batu permata. Jadi Gerimis Baiduri tu apa maksudnya? Hujan renyai yang terdiri dari batu permata? Betul ke? Sesuai ke agaknya jadi nama syarikat pengangkutan? Entahlah.

Seronok berintraksi dengan persekitaran ni. Tapi kena rajin le berfikir. Fikiran pun tak boleh le lurus bendul. Kena gila - gila sikit.

Ingat setakat ni dulu. Nanti langsung tak ada posting hari ni.

Luah Bicara 29


Sejak diwujudkan Blog Luah Bicara Pak Ya dan cuma menghantar tulisan - tulisan saya ke blog dan Whatsapp group Luah Bicara sahaja, memanglah kerja - kerja penghantaran ( posting ) menjadi mudah dan mengambil masa yang singkat, tetapi amat terasa suatu kehilangan iaitu respon kepada tulisan - tulisan saya.

Kalau ahli Luah Bicara tidak respon seperti kebelakangan ini, saya tidak tahu apakah tulisan saya itu diibaca dan ada kesannya di hati pembaca. Kalau dulu , kalau ahli Luah Bicara tidak respon, ada juga respon dari ahli - ahli lebih sepuluh lagi whatsapp group lain yang saya hantar tulisan saya.

Tujuan memberhentikan penghantaran ke whatsapp - whatsapp group yang lain ialah pertamanya untuk mengelakkan posting yang banyak dan mungkin ada pertindanan ahli. Keduanya blog akan dibaca oleh ramai orang yang tidak terhad kepada beberapa whatsapp group sahaja. Ketiga untuk mengetahui siapakah ahli - ahli whatsapp group yang benar - benar pembaca tegar tulisan saya. Tapi ada dua malangnya. Ahli yang rajin membaca di whatsapp group tidak rajin membuka blog. Saya pun tidak tahu siapa - siapakah yang membuka blog kerana tidak ada rekod siapa yang membuka blog, yang ada cuma bilangan yang membukanya. Walapun jumlahnya sudah melebihi 1, 000 viewers, rasa seronoknya kurang bila tiada ditinggalkan apa - apa komen. Pun saya tidak tahu apakah pembaca yang dulunya membaca di whatsapp group ada membacanya di blog yg kena membuka dengan rela tidak seperti di wharsapp group yg macam terpaksa membukanya bila hendak berbicara perkara lain.

Mengekalkan penghantaran tulisan ke Whatsapp Group Luah Bicara adalah memenuhi salah satu pengisian yang dijanjikan untuk whatsapp group ini dan dijadikan titik tolak untuk memulakan luah bicara terutamanya bagi yang tiada luahan sendiri yang hendak diluahkan.

Walapun dengan pembukaan Blog Luah Bicara Pak Ya, kerja - kerja posting menjadi mudah seperti yang dinyatakan tadi tetapi pertanggunganjawapan mengisi blog menjadi satu kemestian kerana tidak mahu blog menjadi kaku dengan cuma ada tulisan - tulisan terdahulu. Followers kena dikekalkan minat mereka untuk terus mengikuti blog ini. Oleh kerana itu, sehari tidak menulis sudah terasa lama.

Semoga saya tidak kekeringan idea untuk menulis dan pembaca pun boleh mencadangkan kepada saya apa yang saya hendak tulis.

Sekian dulu.

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...