Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 86


Kadang - kadang kita bermain dengan harapan untuk menyedapkan hati kita.  Kadang - kadang pula kita bergantung kepada harapan dan yakin harapan itu menjadi kenyataan menyebabkan semangat kita menjadi kuat menghadapi dugaan.

Tidak dapat dinafikan kalau berkali - kali harapan kita tidak kecapaian kita boleh menjadi kecewa. Terpulang kepada betapa yakinnya kita dengan harapan yang kita bina.

Begitulah aku bergantung kepada harapan dalam melawan kanser lymphomaku. Aku memilih untuk menjalani rawatan moden melalui proses kimoterapi kerana yakin harapan aku untuk sembuh aku rasakan melebihi dari peluang sembuh melalui perubatan alternatif.

Kata - kata dokter di HUKM bahawa kanser lymphoma mempunyai  peluang yang tinggi untuk sembuh kalau kita ikuti sepenuhnya rawatan kimoterapi tanpa meninggalkan satupun kitaran kimoterapi , menjadikan aku lebih yakin dan meletakkan harapan yang tinggi.

Setelah menjalani kimoterapi pusingan  pertama, bengkak dileherku hilang terus dengan izin Allah dan pembuangan kumuhku beransur normal  membuat aku betul - betul yakin dan berharap kanser lymphomaku aku sembuh sepenuhnya di akhir kimotrapi ke enam.

Berakhir kimotrapi pusingan ketiga dan PET Scan yang aku lalui menunjukkan aku bertindak positif terhadap kimotrapi yang mana bengkak dileherku sudah tidak datang kembali dan bengkak di usus sudah mengecil, aku menjadi yakin dan menggantung harapan bahawa kanserku akan hilang terus di akhir pusingan keenam kimotrapiku.

Tapi harapan aku menjadi hampa bila dimaklumkan sel kanser aku masih ada sedikit dan perlukan kimo tambahan sebanyak dua pusingan. Namun aku masih positif dan masih menggantungkan harapan yang tinggi bahawa selepas kimo tambahan ini aku akan bebas sepenuhnya dari sel kanser.

Namun aku ditipu oleh harapan yang aku gantung tinggi. Selepas kimo tambahan dan selepas dilakukan PET Scan dan colonoscopy, lain yang kuharapkan, lain keputusan yang diberitahu kepada aku. Sel kanser yang sepatutnya habis sebaliknya aktif semula dan aku disarankan menjalani lagi dua pusingan kimo yang dosnya jauh lebih kuat.

Apa pilihan yang aku ada? Pasrah dan ikut nasihat dokter untuk menjalani kimo itu. Sekali lagi aku kecewa tetapi syukur semangat aku masih kuat dan sekali lagi aku menggantungkan harapan, kali ini aku akan pulih sepenuhnya. Kecewa? Aku tidak mahu berbohong mengatakan aku tidak kecewa. Memang aku kecewa namun terus mengharap. Rakan - rakan yang lain sel kanser habis selesai kimo keenam.

Lalu kulalui lagi dua pusingan kimo yang kuat dan kesan sampingan lebih terasa dari yang lalu. Rambut gugur serta merta dan kini kepalaku gondol. Keletihan agak terasa. Suntikan nipogen diperlukan dengan banyak. Platelet terpaksa ditambah. Begitu juga sel darah merah. Mujur semangatku masih kental. Aku lalui semuanya dan sudah pasti aku mencipta harapan tinggi di akhir dua pusingan kimo ini aku akan pulih secara total.

Sekali lagi aku kecewa dengan harapan yang aku bina. Hasil PET Scan yang baru aku lalui menunjukkan aku bertindak balas terhadap kimo melebihi 50%, tetapi sel kanser masih ada.
Dokter menyarankan aku lalui lagi dua pusingan kimo. Apa pilihan yang aku ada? Give up dengan proses kimo dan beralih ke rawatan akternatif? Aku tidak berani mengambil risiko meninggalkan kimo yang dipantau setiap minggu atau kengkadang setiap hari dan beralih kepada perubatan alternatif yang semata - mata bergantung kepada harapan.

Lalu minggu depan aku akan lalui lagi kimotrapi dan sekali lagi menggantungkan harapan. Tinggi? Atau Pasrah saja. Yang pasti aku masih kuat. Tak tahulah orang - orang terdekatku.

Luah Bicara 85

Orang tak boleh kata aku memilih makanan atau mengada - ngada dan tidak bersyukur atau tidak menghormati rezeki.

Dari budak - budak lagi aku tidak makan ikan sangat. Ikan darat dan ikan sungai memang aku tak makan langsung. . Hanyir pada aku.  Masa bebudak aku rajin memancing ikan puyu dan ikan haruan tetapi aku tidak memakannya. Ikan laut pula aku makan ikan kecil yang murah - murah saja seperti ikan sadin atau ikan biji nangka. Itupun mesti digoreng garing - garing hingga garing sampai ke dalam dan kalau dilempar ke dinding, dinding boleh sompek. Ikan kembung atau pelata pun aku tak lepas sebab goreng garing - garing pun isinya masih putih.

Dari kecil aku terbiasa makan ikan bilis dan ikan kering seperti cencaru kering dan pari kering kerana masa itu ikan bilis dan ikan kering ialah makanan orang susah. Sekarang ikan bilis dah jadi ikan mahal. Kebiasan ini terbawa sampai ke tua. Maksud aku makan ikan kecil sahaja. Bawal, kerapu , siakap bukan makanan  aku. Daging, sotong dan udanglah makanan aku bila dah berduit sikit. Itu saja yang tekak aku lepas. Tapi akhirnya menyumbang kepada penyakit gout setelah setahun aku bersara. Ayam pun makansn utama aku sampai sekarang.

Kenapa aku ceritakan perkara di atas? Petang semalam, untuk makanan malam di wad di mana aku ditempatkan, lauknya ikan senggang yang terlalu berbau hanyir. Budak yang menghantar makanan kata kalau nak tukar, ambillah ayam. Aku setuju. Tapi rupanya ayam itu dimasukkan ke dalam kuah ikan sengang tadi. Atau memang dimasak bersama. Kuah yang sama untuk bahan yang lain. Memanglah aku tak lalu.

Bila cerita melalui whatsapp pada anak aku, dia nak pesankan makanan melalui Grab Food atau Food Panda seperti selalu bila aku masuk wad, tapi aku kata tak payahlah sebab dengan HUKM jadi pusat rawatan COVID 19 orang sukar mencari lorong ke wad aku dan rupanya memang tak dibenarkan masukpun.

Jadi petang semalam aku makan biskut je le 3 - 4 keping . Lepas tu langsung tak makan hingga ke tengahari tadi kerana bermula pukul 2 pagi tadi, aku kena berpuasa untuk proses PET Scan.

Tengahari tadi lauk telur dua biji. Aku sukalah juga makan telur. Sayangnya telur itu dimasukkan ke dalam kuah ikan yang hanyir juga. Tak lepas tekak aku. Mujur isteri aku belikan aku makanan luar sebelum aku selesai PET Scan. Selamatlah aku tengahari tadi.

Untuk malam ini menunya ayam. Tapi kuahnya meloyakan. Bila whatsapp kepada isteri , Isteri aku kata, makan je nasi dengan sayur buat lapik perut supaya perut tak masuk angin. Malangnya buka saja penutup makanan yang mengandungi nasi dan ssyur, aku dah loya. Mujur dapat kutahan supaya tak muntah. Tapi terpaksa juga ke singki membuang lelehan air liur rasa loya tu.

Jadi malam ini makan biskut lagilah aku. Mujur juga ada lebihan kuih yang isteri bawa tengahari tadi. Kalau tidak kelaparanlah aku lagi malam ini.

Sebenarnya rangkai kata makanan hospital sudah difahami ramai tentang ketidaksedapannya. Aku tidaklah memilih sangat tentang sedap tak sedap ni. Janji tekak aku mampu telan. Tapi hanyir semacam kata orang sekarang, memang tak boleh pi kata orang utara.

Oklah coretan kali ini. Nak makan biskut r

Luah Bicara 84


Hari ini buat kesekiankalinya aku melanggar PKP dengan bersebab. Melalui perjalanan melebihi 40 km dan juga melebihi seorang dalam sebuah kereta. Isteri menggunakan alasan menghantar suami ke hospital sebagai alasan untuk bergerak dan mewajarkan lebih dari seorang dalam sebuah kereta. Aku menggunakan borang kemasukan ke wad dan juga kad temujanji.

Memanglah alasan itu ada. Tetapi ketakutan tetap juga ada. Bukan takut disoal siasat oleh polis yang mengawal laluan sekatan, kerana alasan kami adalah alasan yang wajar dan dibenarkan,  tetapi ketakutan kepada COVID 19 itu sendiri.

Hari ini di muka depan Sinar Harian , terpampang tajuk berita PERATUSAN LELAKI MALAYSIA KORBAN COVID 19 PALING TINGGI DI DUNIA.

59 daripada 77 orang yang meninggal akibat COVID 19 di Malaysia adalah lelaki. Ini menyumbang 76.6 % daripada keseluruhan mangsa yang meninggal dunia. Melalui laporan di TV pula, ramai yang meninggal itu ialah mangsa pada usia emas dan ada penyakit kronik. Aku dalam kategori ini.

Aku redah juga PKP dan mendedahkan diriku kepada kemungkinan terkena jangkitan COVID 19  ( kerana HUKM sendiri sudah dijadikan salah sebuah hospital yang mengendalikan kes COVID 19 ini. Banyak sekali laluan di dalam HUKM yang ditutup .) demi rawatan kanser lymphoma yang kuhidapi.

Hari ini aku kena masuk Wad walaupun PET Scan boleh saja dilakukan sebagai pesakit luar. Ini adalah kerana bacaan creatinine ku di luar julat normal walaupun  terlalu kecil selisihnya.

Dokter yang bertanggunjawab mahu memastikan keadaanku betul - betul sedia untuk menghadapi proses PET Scan. Kemungkinan besar malam ini aku akan diberikan drip air dan ubat yang perlu.

Lebih kurang setahun aku berulang alik ke HUKM sama ada hanya di Unit Jagaan Harian Hematologi atau dirawat di Wad 6G atau dikenali juga sebagai Wad Medical 4, aku amat selesa menerima rawatan. Kesemua dokter amat baik dan mesra begitu juga dengan kesemua jururawat. Baik dan mesra seperti satu keluarga.Kesakitan tusukan jarum untuk diambil darah dan tusukan jarum untuk tapak drip sudah jadi sebati dalam diri. Sakit yang mampu dihadapi walaupun prosesnya berpuluh kali.

Besok aku akan lalui PET Scan buat kali kelima. Prosesnya tidak menyakitkan. Cuma perlu meminum 3 - 4 gelas air yang tidak begitu sedap rasanya tetapi tidaklah menyiksakan seperti meminum fotrans untuk proses colonoscopy . Cuma radio active yang digunakan menyebabkan aku perlu menjarakkan diri dengan orang lain terutama ibu mengandung dan kanak - kanak buat beberapa ketika sehingga kesan radio aktif itu hilang.

Setelah setahun dan melalui sepuluh kali proses kimo, aku amat mengharapkan hasil PET Scan kali ini menunjukkan aku bebas sepenuhnya dari sel - sel kanser. Doakan aku.

Luah Bicara 83


Aku sedang menulis memoir AKU BUDAK PARIT sebagaimana yang aku hasrat dan janjikan pada diriku sendiri dan kepada pembaca tulisanku khususnya yang berasal dari Parit. AKU BUDAK PARIT akan merupakan projek penerbitan buku aku seterusnya selepas Luah Bicara atau Tulisan.

Sudah tiga hantaran kubuat tetapi hanya kepada group whatsapp member - member Parit yang menjadi sasaran utama dan group whatsapp keluarga. Jika ada permintaan dari group whatsapp yang lain, barulah akan kuhantarkan tulisanku tentang kehidupan zaman kanak - kanak  dan remajaku di Parit.

Bila menulis tentang Parit, tidak dapat tidak aku teringat kepada Teh dan Kak Menah yang masih menetap di Kg Tanjong Ara , Parit. Walapun tiada pertalian darah namun mereka sudah menjadi seperti saudara atau keluarga sendiri. Mereka pun melayan aku dan mengikuti liku kehidupanku dari zaman kanak - kanak hingga kini seperti aku ini saudara mereka sendiri.

Setiap kali aku ke Ipoh menziarahi abang yang aku panggil Yob, aku pasti akan singgah di Parit dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur atau kini lebih tepat Beranang untuk menziarahi mereka. Sudah menjadi seperti rutin wajib.

Rutin ini bermula bila aku teringat ibuku yang aku panggil emak yang telah meninggal sekitar 23 tahun yang lalu. Bila terasa ada  sesuatu yang hilang atau masih terasa seperti tidak cukup sempurna layananku terhadap ibu semasa hayatnya. Jalan untuk menjalin kenangan dengan seseorang yang sudah pergi terutama ibu kita dan mencukupkan apa yang terasa kurang ialah dengan menyantuni sesiapa yang rapat dengan ibu kita. Itulah yang aku lakukan kini.

Namun rutinku terhenti atau terganggu bila aku mengidap  kanser lymphoma dan menjalani rawatan kimotrapi yang mengambil masa yang panjang dan berterusan hingga kini. Lebih setahun menjalani rawatan, aku hanya dapat sekali menziarahi mereka iaitu selepas kimo ke enam sementara menunggu PET Scan dan hasil PET Scan. Kini ruang untuk ziarahi mereka semakin tertutup dengan pelaksanaan PKP.

Dalam usia aku sekarang, dengan penyakit kanserku yang belum  tahu bila akan sembuh, dengan usia mereka yang jauh lebih tua dari aku, aku tidak pasti berapa kali lagi aku dapat menziarahi dan menyantuni mereka. Seperti tidak cukup apa yang kulakukan buat ibuku.

Semoga PKP cepat berlalu, semoga kanser lymphomaku menemui penyembuhannya secara total, semoga aku terus dapat menyantuni Teh dan Kak Menah . Itulah doa dan harapanku. Terasa masa sudah begitu singkat buatku.

Luah Bicara 82


Ketika melihat cermin muka, pernah tidak anda berfikir sejenak? Adakah anda sedar bila anda senyum, cermin tu ( tentunya bayang anda ) pun senyum. Anda tunjuk penumbuk, bayang dalam cermin pun tunjuk penumbuk juga. Tidak mungkin anda senyum, bayang anda  masam . Dan tidak mungkin anda masam bayangan anda senyum pula dan tidak mungkin anda tunjuk penumbuk, bayang anda menghulurkan bunga.

Sebenarnya begitulah realiti kehidupan ini. Tindakan atau perilaku orang di sekeliling anda adalah reflek dari perlakuan anda sendiri walalupun diakui adalah kekecualiaannya.

Tidak mungkin anda menerima senyuman dari orang lain jika anda sentiasa menunjukkan muka masam dan ketat . Anda rajin tersenyum bila bertemu orang , sudah pasti orang juga rajin tersenyum kepada anda.

Anda rajin membelanja kawan - kawan sudah pasti kawan - kawan itu tidak lokek membelanja anda pula. Anda rajin dan ringan tangan menolong rakan - rakan di tempat kerja, pasti rakan - rakan anda juga rajin dan ringan tangan menolong anda kembali.

Untuk disayangi, kita terlebih dulu kena menyayangi. Untuk dihormati kita terlebih dahulu kena menghormati.
Jangan letak diri anda pada status yang lebih tinggi dari orang lain. Tidak salah anda sebagai ketua memberi salam terlebih dahulu kepada budak pejabat atau tukang sapu. Tidak salah kita yang dewasa memberi salam lebih dahulu kepada seorang kanak - kanak.

Cuba anda lakukan. Lihat hasilnya. Lihat bagaimana riak balas orang terhadap anda.

Jangan cepat meletakkan nilai kepada orang lain seperti orang itu sombong, orang itu lokek, orang itu begini, orang itu begitu sebelum kita menilai perilaku diri kita sendiri. Selalulah melihat ke dalam diri. Buat penilaian terhadap diri kita sendiri.

Sekian dulu kali ini.

Luah Bicara 81


Pernah dengar perkataan prasangka? Atau berprasangka baik dan lawannya berprasangka buruk / jahat?  Apa yang selalu berlaku ialah berperangka buruk/jahat. kerana maksud  prasangka itu sendiri ialah pendapat (anggapan) yang kurang baik mengenai sesuatu sebelum mengetahui (menyaksikan, menyelidiki) sendiri atau lebih kepada syak. Jadi perkataan berprasangka baik itu hanyalah kata - kata yang dituturkan sebagai pelapik kata sahaja sedang lebih awal yang disangkakan lebih kepada yang buruk. Jadi kalau tiada perkataan buruk pun di hadapan perkataan berprasangka, berprasangka itu sendiri lebih menjurus kepada prasangka buruk.

Kenapa tetiba saja aku menyentuh tentang prasangka? Kerana dalam kehidupan harian yang aku lalui, aku berdepan secara langsung atau tidak langsung dengan prasangka. Kebanyakan orang lebih pantas berprasangka terhadap sesuatu kejadian atau situasi yang ia alami atau hadapi tanpa mengambil inisiatif untuk berfikir sejenak, berhening cipta dan membuat andaian yang betul terhadap kemungkinan - kemungkinan apa sebenarnya yang berlaku.

Prasangka sering mengundang tindakan balas yang tidak betul atau sekurang - kurangnya pandangan serong terhadap seseorang atau sesuatu kelompok. Lebih besar daripada itu kesannya ialah runtuhnya sesuatu institusi keluarga, perkumpulan, unit, jabatan malah kerajaan.

Kadang - kadang prasangka bermula kerana sudah sedia ada perasaan tidak suka terhadap seseorang , terhadap sesuatu kelompok dan sebagainya. Fitnah mudah dipercayai bila terlebih dahulu sudah ada prasangka.

Fitnah terhadap Tun Mutahir mudah diterima oleh Sultan kerana sudah sedia ada prasangka dan bibit - bibit murka Sultan Mahmud Shah angkara Tun Fatimah dikahwinkan dengan Tun Ali sedangkan Sultan Mahmud ada hati untuk memperisterikan Tun Fatimah.

Natijah atas fitnah dan prasangka terhadap Tun Mutahir, akhirnya Tun Mutahir dan ahli - ahli keluarganya dihukum bunuh dan tunggak kekuatan Melaka hancur dan sejarah mencatatkan kejatuhan Melaka di tangan Portugis.

Aku tidak bercadang untuk mengemukakan contoh - contoh prasangka yang berligar di sekitar kehidupan aku kerana ia akan menyinggung individu - individu atau kelompok - kelompok. Sedang tulisan ini sendiri akan mengundang prasangka kenapa aku menulis tentang prasangka. Jadi carilah sendiri contoh contohnya. Namun yang lebih penting aku menyeru, cubalah untuk tidak berprasangka. Berprasangka itu mudah tetapi kesannya buruk. Berfikir, mengalisis, mencari sebab musabab itu payah, tetapi itulah yang terbaik.

Luah Bicara 80


Aku sedang berbual melalui whatsapp dengan anak sulungku yang mengambil inisiatif membina blogku Luah Bicara Pak Ya. Dulu kami pernah berbincang untuk mengubahsuai layout dan warnanya supaya lebih menarik. Tetapi belum kami laksanakan. Kemudian aku meminta dia mengiklankan buku Luah Bicara terbitan dan cetakan baru.

Ketika menghantar gambar kulit buku yang baru itu, yang masih belatarbelakangkan Pekan Parit, tetiba terdetik di hatiku untuk menulis novel/memoir AKU BUDAK PARIT .

Aku tanya anakku, ok tak kalau bapak tulis buku AKU BUDAK PARIT ? . Anakku kata, Ok gak tu. Tetiba terasa tajuk itu begitu catchy dan begitu dekat dengan hatiku.

Betulkah aku budak Parit ? Sedangkan aku dilahirkan di Teluk Intan ( Teluk Anson ). Bolehkah aku mendakwa aku budak Parit? Sedangkan selepas habis sekolah menengah  dan sebelum memasuki maktab, aku sudah semacam keluar dari Parit dan lama juga masa kuhabiskan di Bagan Serai. Selepas tamat menuntut di MPTI, 18 tahun aku di Ayer Tawar ( termasuk cuti belajar ) dan selebihnya di Ipoh.

Aku tanya isteriku pula. Ok tak abang tulis buku AKU BUDAK PARIT. DIa juga menjawab , Ok juga. mana yg dekat dihati..yg paling banyak kenangan masa budak. Begitulah pandangan isteriku.

Itulah jawapan yang kucari. Aku mencari rasional untuk mendakwa aku budak Parit. Memang zaman kanak - kanak adalah suatu zaman yang indah untuk dikenang walapun dalam kehidupanku yang serba tak ada. Dalam kehidupan yang perit dan payah, terselit juga rasa riang dan ria yang kekal dalam kenangan. Kenangan bersama kawan - kawan yang seusia atau lebih kurang seusia yang kini ada yang masih ada tetapi ramai juga yang sudah tiada.

Untuk itu, aku akan cuba memulakan bukuku AKU BUDAK PARIT. Doakan aku sihat dan usiaku dipanjangkan Allah supaya buku AKU BUDAK PARIT benar - benar dapatku hasilkan.

Luah Bucara 79


Semasa membaca ulasan seorang sahabat terhadap buku aku Luah Bicara - 50 Luahan Pertama versi cetakan terhad sebelum solat Subuh, aku teringat dan teringin berkongsi pengalaman aku sebagai penjual goreng pisang.

Sekarang di pembaringan, setelah cuba melaksanakan kerja mengemas dan membersihkan bilik tidur, dan setelah terasa agak letih kerana kesan kimo yang tempohnya belum habis, aku cuba menulis pengalaman tersebut.

Mungkin ianya sekadar kenangan kepada aku dan mungkin sekadar pengetahuan sepintas lalu kepada yang sudi membaca tetapi mungkin juga menjadi inspirasi bukan untuk menjadi penjual goreng pisang tetapi bagaimana untuk survive bila keadaan memerlukan.

Aku menuntut di UPM dengan mendapat cuti tanpa gaji. Pinjaman MARA hanya sekadar RM128 sebulan. Dan selain daripada menampung keperluan aku di UPM, aku ada tanggungjawab untuk menyara isteri dan tiga orang anak yang semuanya masih kecil. Bayangkan bagaimana kehidupan aku ketika itu. Namun demi merealisasi cita - cita untuk menjadi siswazah dan demi tekad untuk membuktikan walau jatuh beberapa kali budak Sekolah Alam Shah pasti dan wajib bangun kembali hingga sekurang - kurangnya mendapat ijazah pertama , lalu aku harungi semuanya dengan cekal dan tabah.

Di penghujung semester pertama kalau tidak silap dan balik ke kediaman di Ayer Tawar, Manjong untuk cuti antara semester selama 5 minggu dan di sepanjang perjalanan balik itu kepala aku ligat berfikir bagaimana untuk survive sepanjang 5 minggu itu dengan wang di tangan cuma ada RM50?

Berhenti di Teluk Intan setelah aku membuat keputusan untuk menjual goreng pisang, aku beli setandan pisang nangka dengan duit RM50 yang ada di tangan aku.

Sampai di rumah, dengan menggunakan lebihan kayu dan papan yang ada di sekitar rumah, aku membina meja kecil yang amat ringkas dan kekukuhannyapun tidak seberapa. Itulah meja yang aku harap dapat menampung dapur dan kuali dan bekas adunan tepung. Akupun sudah tidak dapat membayangkan dengan jelas bagaimana susun aturnya kerana seingat aku meja itu terlampau kecil.

Petang itu aku bawa meja itu dan peralatan jualan aku menggunakan kereta aku Colt Lancer warna biru dengan plate PV 2017 yang hingga sekarang menjadi noltagia yg berterusan.

Berbekalkan sebuah dapur minyak tanah satu tungku, aku memulakan operasiku petang itu di sebuah persimpangan di Taman Dindings, taman kediamanku. Setiap yang lalu memandang dengan muka tertanya - tanya kerana sebelum aku, tidak ada sesiapa pernah berniaga begitu di taman itu. Selepas itu, inspirasi dari apa yang aku lakukan, barulah ada orang mengikut jejak aku. Seingat aku yang terawal ialah En Hasan, pesara tentera yang berjual air tebu dan mee goreng.

Berbalik kepada kesah aku di petang pertama aku berjual goreng pisang. Dengan dapur minyak tanah di tanah lapang yang angin begitu kuat, untuk memanaskan minyak ke tahap mendidih pun memakan masa yang amat panjang. Usahkan untuk mengoreng pisang hingga sempurna masaknya.

Sebagai sokongan moral, abang aku yang tinggal hampir persimpangan itu, memesan RM3 goreng pisang. Dengan harga 15 sen satu, banyak juga yg perlu kugoreng.  Dan dengan keadaan angin yang bertiup kuat, sepetang itu aku hanya mampu menyediakan tempahan abang aku sahaja.

Itulah yang aku hadapi sepanjang 3 hari atau seminggu ( aku tidak berapa ingat ) sebelum aku menggantikan dapur minyak dengan dapur arang yang aku beli dengan harga RM10. Masa itu akupun sudah berpindah ke lokasi lain yang aku fikir lebih strategik dan memang betulpun sambutan begitu baik.

Menggunakan dapur arangpun bukanlah selesa dan mudah. Untuk menghidupkan api hingga boleh digunakan untuk menggoreng cukup memakan masa dan setelah menyala dengan marak apinya amat sukar dikawal. Tapi dapur itulah yang aku gunakan sepanjang 5 minggu cuti antara semester itu.

Sambutan amat baik terutamanya dari kaum Cina. Hampir 70% pelangganku dari kaum Cina. Masalahnya dengan mereka ini, mereka tidak pandai makan goreng pisang abu atau nangka. Mereka suka pisang yang manis. Jadi aku kena lebih banyak menggunakan pisang awak.

Selain dari goreng pisang, isteri aku bantu dengan membuat karipap dan cucur udang. Kedua - duanya disediakan di rumah.

Itu kesah permulaan untuk 5 minggu itu. Banyak pengalaman lain lagi sebab setiap kali cuti semester aku akan menjalankan kegiatan berniaga goreng pisang.

Di akhir cuti itu timbul dilema. Aku sayang lokasi itu dan pelanggan aku. Aku pujuk abang untuk sambung apa yang aku sudah mulakan. Amat sayang tempat itu dan pelanggan yang sudah menjadikan pelanggan tetap. Mulanya abang agak keberatan tapi akhirnya mengambil alih dengan peralatan yang lebih sempurna. Dengan menggunakan dapur gas dan siap berpayung. Selama 5 minggu itu aku berjemur sahaja dari tengahari ke maghrib di tengah panas terik. Dan dengan kesediaan abang mengambil alih tugasku walaupun dia juga berkerjaya, bolehlah isteriku terus membuat karipap dan cucur udang.

Begitu kuringkas ceritaku. Bila cuti semester, aku ambil balik tugas menjual goreng pisang dari abang aku. Begitulah hingga habis aku belajar. Jadi jangan kelentong aku tentang untung rugi dan susah senang berjual goreng pisang kerana akulalui dari A to Z. Malahan sekarang penjual goreng pisang ambil jalan mudah goreng seketul - seketul. Bukan macam aku dulu dibuat dalam bentuk yang cantik iaitu itu tiga keping sebagai badannya dan diletakkan melintang sekeping di atasnya. Jadi 4 keping semuanya baru dikira satu dan dijual dengan harga 15 sen.

Begitulah ringkas cerita aku bermula menjual goreng pisang. Pengalaman lain sepanjang tempoh menjadi penjual goreng pisang mungkin aku kongsi lain kali atau kusimpan sahaja dalam diriku.

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...