Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah disahkan ada kanser stage four maka sewajarnyalah letak jawatan dan  berehat. Tidak kira saranan itu ikhlas atau seperti yang aku dengar lebih kepada dendam politik. 


Aku tak  mahu dan tidak akan  campur dalam kemelut politik semasa dan mengulas kenyataan itu dalam kerangka politik. Aku cuma nak ulas kenyataannya tentang kanser tahap empat itu. 


Sama ada pengetahuannya tentang kanser amat dangkal ataupun dia cumalah salah seorang yang mewakili pandangan atau tanggapan  orang rsmai yang menganggap kanser tahap empat itu sebagai petanda the end of the world kepada pengidapnya. 


Ketika aku mengetahui aku mengidap kanser dan mesti melalui proses kimoterapi, aku sudah berada di stage four. Tidak pula aku merasakan akan berakhirlah kehidupanku. Dengan proses rawatan yang disebutkan oleh dokter akan kulalui, dan kata - kata dokter sekiranya aku patuh dengan segala proses rawatan, InsyaAllah aku akan sembuh, tidak membuat aku down dan yakin aku masih ada masa depan.


Jadi aku mahu memaklumkan kepada orang ramai dan juga sesiapa yang diistiharkan ada kanser supaya tidak terperangkap dengan tanggapan yang salah itu. 


Aku tahu ramai yang bila dimaklumkan dia mengidap kanser, dia sudah down . Bila di sebut dia berada di tahap empat, perasaan downnya menjadi  lebih teruk dan bila dimaklumkan dia harus melalui kimoterapi, dia terus membayangkan satu keadaan yang amat teruk yang dia akan lalui. Ramai yang dari awal lagi sudah menolak untuk          melakukan kimoterapi kerana ketakutan itu. Rasa down dan  rasa takut itulah yang sebenarnya membawa keadaan penyakitnya menjadi lebih teruk.


Jadi kepada orang ramai, berhentikan persepsi itu dan jadilah orang yang memberi semangat dan sokongan kepada kawan - kawan atau ahli Keluarga yang disahkan mengidap kanser. Kepada yang disahkan mengidap kanser aku ingin     menasihatkan supaya tidak menganggap berita itu sebagai petanda  that the end of the world.


Kepada orang ramai, selamat membantu. Kepada pesakit selamat menerima rawatan dan tekun serta tabah  melaluinya.


Luah Bicara 93

Semalam aku mula menulis semula setelah hampir atau mungkin juga lebih dua bulan aku tidak menulis. Aku cuba memperjelaskan kepada pembaca kenapa  aku terhenti menulis dengan  jarak masa yang terlalu lama pula. Namun tulisan itu juga tidak siap dan tidak menemui pembaca.  Aliran ideaku tidak lancar. Ini salah satu sebab kenapa aku lama tidak menulis. Bukan lama tidak menulis sebenarnya. Itu kurang tepat. Aku menulis juga tetapi sentiasa tidak siap.

Tiba - tiba sekejap tadi  aku berdepan dengan situasi yang agak lumrah   pada masa ini iaitu kurang kesedaran sivik dan juga kurang budi bahasa. Ini memberikan aku satu dorongan yang begitu kuat untuk aku menulis dan menulisnya hingga siap kuharap.

Aku sampai ke Kedai Dobi Layan Diri Clean Pro di hadapan Pusat Komuniti,  Bandar Tun Razak untuk mengeringkan pakaian. Pakaian itu sudah siap dibasuh dengan mesin basuh di rumah. Dua sebab kenapa aku perlu mengeringkan di Kedai Dobi Layan Diri. Pertama dengan cuaca yang mendung sekarang ini menyebabkan pakaian lambat  kering di jemuran. Kedua isteriku elegik pada debu.

OK, terus kepada apa yang hendak kusampaikan. Sesampainya aku ke kedai berkenaan semua mesin pengering penuh. Tetapi aku terlihat satu mesin yang sudah berhenti atau sudah siap mengering kan pakaian di dalamnya, tetapi tuan punya pakaian tidak ada di situ. Kutinjau mesin yang lain. Rupa-rupanya ada dua mesin lagi yang juga dalam keadaan yang sama. Kerja sudah siap tetapi yang punya pakaian tidak mengambilnya. Inilah yang aku sebut tadi kurang kesedaran sivik. Mungkin itu pun kurang tepat. Yang pasti mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain yang ingin menggunakan mesin berkenaan. 

Aku juga sering meninggalkan mesin yang sedang   beroperasi  untuk pergi makan atau minum di kedai yang berdekatan. Akan tetapi aku akan pastikan aku sampai semula sebelum mesin berkenaan berhenti. Seingat aku, belum pernah aku terlajak. Kalau aku makan bersama isteri, kami pastikan salah seorang dari kami akan segera menghabiskan makanan dan  sekali gus memastikan salah seorang dari kami sampai sebelum mesin berhenti. 

Setelah agak beberapa ketika aku menunggu, datanglah seorang perempuan muda ( tidak pastilah anak dara atau isteri orang kerana tidak ada tertulis di mana - mana) membawa beg IKEA dan aku yakin dialah tuan punya pakaian dalam salah satu mesin berkenaan atau mesin yang aku hasrat untuk menggunakannya.

Betul telahan aku. Teruslah dia mengeluarkan pakaiannya dari mesin tersebut dan memasukkan ke dalam beg IKEA yang dibawanya.

Seperti yang kusebut di atas, bukan sahaja kurang kesedaran sivik tetapi juga kurang budi bahasa. Apalah salahnya berkara " maaf Pak Cik saya terlambat sikit". Orang tak tahupun berapa lama "sikit" tu.

Itulah kekurangan paling ketara generasi muda Melayu hari ini. Kurang budi bahasa. 

Sebaik sahaja dia mengeluarkan pakaiannya dari mesin tersebut, akupun memasukkan pakaian yang hendak aku keringkan.

Lagi "bengkek" hati bila melihat dia pergi ke dua buah mesin lagi yang aku sebutkan tadi, sudah siap tapi tak ada tuan punya pakaian datang mengambil ambil. Rupa-rupanya ketiga - tiga  mesin dia yang guna.

Setelah dia mengambil semua pakaiannya, dia pun berlalu tanpa memohon maaf dan tanpa rasa  bersalahpun.

Setelah  memasukkan pakaian ke mesin pengering tadi , aku pergi makan roti canai dan minum teh o, sambil menaip tulisan ini, tapi aku pastikan aku sampai sebelum mesin itu berhenti supaya aku tidak dicop cakap tak serupa bikin oleh pengguna lain yang mendengar bebelan aku sebelum perempuan muda itu tiba tadi.
Aku tiba kembali ke mesin 3 minit sebelum mesin itu berhenti. Boleh je kalau kita tidak mahu menyusahkan orang lain.

Luah Bicara 100

Seperti *Tulisan* yang mencapai bilangan ke *100* dan aku tidak  menyambungnya menjadi *Tulisan 101* , begitulah dengan *Luah Bicara 100* yang mungkin saja aku tidak menyambungnya dengan menulis *Luah Bicara 101.*

Luah Bicara 100 ini merupakan pelengkap  kepada *Luah Bicara - 50 Luahan Kedua* yang akan dicetak dan diterbitkan nanti. Akan tetapi tidak adil kepada pembaca kalau disogokkan membaca Luah Bicara 100 seperti membaca sebuah penutup. Jadi apa isu yang hendak kutulis hari ini?

Aku ingin memperkatakan salah satu  kaedah mendidik yang kadang-kadang atau sering disalah tafsirkan.

Contohnya teguran melalui ulasan atau tulisanku dalam Luah Bicara ini. Mana yang terkena teguran akan merasa dan tersinggung. Akan tetapi inilah yang dapat kulakukan bila teguran secara lisan dan berdepan tidak berkesan. Atau teguran secara lisan dan berdepan tidak mampu dilaksanakan kerana tahu riaksi atau tidak balas yang akan dihadapi dan malas untuk berdebat perkara betul yang disalah - erti.

Bila dalam WhatsApp Group aku berkongsi ceramah - ceramah agama, mungkin ada yang merasakan perkongsian itu sebagai satu teguran atas apa yang kuperhatikan atau pernah kutegur secara berdepan. Ini kulakukan supaya pihak yang ditegur tahu, apa yang aku tegur selama ini bukan ikut naluri  aku tetapi berlandaskan hukum sebenarnya dari Allah.  Orang lebih percaya cakap orang ketiga apatah lagi yang dianggap lebih tahu dan lebih benar

Setengah orang mentafsir sesuatu hukum Allah mengikut hukum akal semata lalu apa yang ditegur disanggah dengan hukum akal. Perlu diingat hukum Allah itu tidak boleh ditafsir dengan hukum akal kerana banyak perkara yang tidak terjengkau oleh akal manusia. 

Banyak perkara - perkara yang perlu ditegur memandang masih banyak perkara penting yang asas yang dianggap ringan. Akan tetapi aku tidak mahu memperincikannya satu persatu kerana bila diperincikan satu persatu, akan ada yang merasakan ianya sefisifik ditujukan kepada  pihak yang tertentu 

 Tidak dapat mencegah kemungkaran dengan perbuat, kita tegur dengan lisan, tak mampu tegur dengan lisan kita tegur dalam hati tetapi itulah selemah - lemah iman. Aku memilih untuk menegur secara dalam tulisan.

Luah Bicara 92

Seperti tersedar dari lena yang panjang, begitu aku tersedar betapa lamanya aku tidak menulis. Terlalu lama. Aku seolah-olah hilang kemampuan menulis. Hilang daya fikir. Hilang tumpuan dan pelbagai kehilangan termasuk hilang peminat atau orang2 yang meminati atau mengikut tulisanku. 
Apa yang berlaku sebenarnya? Sebenarnya aku kehilangan momentum. Ini gara2 handphone aku rosak dan terpaksa di"reformat" yang menyebabkan 100 tulisan ku atas nama Tulisan dan 92 tulisanku atas nsma

Luah Bicara 99

Situasi di mana anda tertinggal dompet di rumah ketika hendak membeli barang mungkin pernah anda alami atau lalui.

Kalau sebelum membuat pembelian oklah, kita tidak jadi membelinya. Kita berpatah balik atau lain kali sahajalah beli.

Apa yang tidak enak ialah barang sudah dibeli dan anda sudah di depan cashier, masa itu baru anda sedari anda tidak membawa wang. 

Kalau di kedai yang anda selalu kunjungi dan tuan punya kedai dah kenal sangat dengan anda, mungkin anda berani berkata hutang dulu nanti anda bayar kemudian atau tauke kedai sendiri yang menyarankan demikian.
.Apapun situasi begitu memang tidak menyenangkan,  bukan? 

Pagi tadi aku _start_ kereta terus ke kedai makan dekat _traffic light_ simpang ke Sungai Jai. Sampai di sisi kedai runcit Yusof Din di mana ada ruang  yang boleh parking, aku terus  memberhentikan kereta. Masa itu baru aku sedar aku tidak membawa dompet. Eh tak kan nak berpatah balik? 

Aku selalu ada membawa duit syiling dalam tin atau dalam botol di dalam kereta aku. Cukup kut?

Lalu aku capai bekas duit syiling berbentuk empat persegi yang bertutup. Rasanya hampir atau lebih dua puluh ringgit duit syiling ada di dalamnya.

Aku cuba memasukkan bekas tersebut ke  dalam poket kurtaku. Tak muatlah pulak. _So_ pegang je lah. Malu apa bos ku. 

Setelah menulis nama dan no HP dalam buku daftar dan periksa suhu badanku , teruslah aku masuk ke dalam kedai. Perkara yang jarang sekali aku lakukan. Biasanya aku dan _member_ masjid makan di luar kedai. Tapi sekarang PKPB dilaksanakan di Selangor, aku tidak bersama _member_ masjid , aku selalu _tapau_ sahaja. 

Aku pesan nasi lemak berlaukkan rendang ayam dan teh o gelas besar, suam, nipis dan kurang manis. Rasanya duit syilingku lebih dari cukup.

Masa tauke ( aku rasa dan yakin) merangkap juru wang yang sudah kenal sangat dengan aku datang ke meja, aku ceritakan masalahku tertinggal beg duit dan serahkan bekas duit syiling tu minta dia kira awal-awal  supaya mudah. Tapi dia kata biar dulu sebab sedang sibuk. Orang ramai dan kerana itu dia juga menolong  membungkus makanan yang di pesan oleh pelanggan.

Duit syiling aku itu pun tinggal yang bernilai sepuluh sen sahaja. Syiling 50 sen dan 20 sen sudah habis dibelanjakan. 

Syiling itu sebenarnya berasal dari tabung yang kubuka bila dah penuh. Dulu aku rajin mengasingkan mengikut nilai dan dimasuk dalam bekas plastik dan aku tukar dengan duit kertas di kedai atau gerai yang memerlukan duit syiling. Sekarang aku dah malas berbuat begitu lalu aku gunakan sedikit demi sedikit ikut keperluan. 

Bila dia ( cashier) lapang dia datang ambil bekas duit itu dan kata akan kira kemudiaan. Jadi kuserahkan saja dan sampai selesai makan dia tak sempat kira dan aku tinggalkan sahaja duit itu dan akan ambil bila-bila aku datang lagi. Hingga sekarang belumlah aku ambil semula.

Pernah di penghujung tahun 1970an atau 1980an, aku dah lupa, peristiwa tinggal dompet ini aku lalui.

Aku keluar dengan adik ipar aku yang masa itu kecil lagi dan makan di kedai makan  di Bagan Serai. Selesai makan dan masa nak bayar baru sedar dompet tidak ada dalam poket. Macamana yer?

Aku terpaksa suruh adik ipar aku tunggu di situ sementara aku balik ke rumah mertua ku yang letaknya lebih kurang satu kilometer dari pekan Bagan Serai. Masa tergesa - tergesa berjalan menuju ke kereta yang aku parking jauh, terserempak dengan member lalu aku ceritakan situasi aku. Aku pendekkan  cerita ini, aku tak jadi balik ambil duit sebaliknya berpatah balik ke kedai makan, sambung minum bersama member tadi dan dia _settle_ sekali bayaran makanan aku tadi. Allah permudahkan urusan aku dan memberikan rezeki kepada aku hari itu, makan _free_ .

Seperkara lagi aku nak _share_ ialah situasi di mana duit _ngam - ngam_ sahaja di dalam kocek. Duit syiling pulak tu. Sambil makan dan minum, tangan genggam kocek takut duit tercicir. Pernah alami?

Atau situasi lain, duit hanya cukup untuk kita makan seorang tetiba member datang ke meja makan kita. Nak belanja memang tak cukup. Nanti tidak tolong bayar kata kedekut pula sedangkan kawan kita tidak tahu situasi kita masa tu. Haru juga kan?

Luah Bicara 98

Pertolongan yang kecil akan terasa amat  besar kepada yang menerima pertolongan  dalam keadaan di mana pertolongan  itu amat diperlukan.

Pagi tadi ketika membelok masuk ke jalan besar dari lorong kawasan perumahanku, ada bunyi yang tidak kena pada tayar keretaku. Mulanya aku menjangka cuma bunyi tanah yang melekat di tayar berkenaan, tetapi bila jelas seolah - olah bunyi tayarku  kempis, aku memberhentikan keretaku di bahu jalan. Sah, tayar keretaku kempis terus. 

Aku pun pergi ke belakang kereta. Keluarkan jack dan juga pemutar skru tayar. Selalunya kerja menukar tayar ni kulakukan sendiri sahaja. Tapi kebelakangan ini bila tayar dipasang di kedai tayar menggunakan pemutar skru berkuass letrik, skru jadi terlampau ketat dan memang sukar sangat untuk dibuka dengan kudrat manusia . Kadang2 perlu berdiri dengan kedua2 kaki di atas pemutar itu dan menggunakan berat badan, pemutar itu dihenjut. Itu pun kadang2 tak mampu juga membuka skru berkenaan. 

Menbayangkan keadaan itu dan dengan lengan kanan masih terpasang PICC , aku menghantar mesej ke WhatsApp Group Keluarga  bertanya  siapa ahli lelaki yang ada di rumah. Jawapn yang diterima semuanya bekerja.
Anak yang bekerja sendiri pun berada di Semenyeh.

Jadi kucuba jugalah dengan kaedah berdiri atas pemutar skru sambil nenghenjut. Tak bergerak langsung. Tak ngomben kata orang Perak. Memang tenggelam punca aku. Kedai tayar terdekat ada di Bandar Tasek Kesuma. Mahukah dia orang datang. Kalau mahu berapa pula bayarannya. Persoalan utamanya, siapa pula yang ada menyimpan nombor telepon kedai tu. Memang aku tenggelam punca betul.

Dalam keadaan begitu, tiba - tiba seorang yang masih muda sampai dan berhenti dengan motornya. Dia sebenarnya datang dari arah yang bertentangan tetapi mengikut katanya, dia berpatah balik dengan membuat u turn di lampu isyarat simpang Kg Sasapan Batu Minangkabau bila melihat aku  bermasalah. Dia dari Dacing. 

Dialah membantu aku. Aku tidak berbuat apa-apa selain dari duduk di tempat duduk pemandu sambil menekan brek kerana kereta aku berada di jalan yang menurun. Walaupun brek tangan dipasang, dia bimbang kereta akan bergerak juga ke hadapan.

Selepas membuka tayar, dia mengambil tayar spare. Ternyata anginnya kurang. Aku kata tak apalah, nanti aku pandu perlahan-lahan hingga sampai ke kedai tayar.

 Dia kata tak apa, dia pergi pam. Aku kata jauh tu. Tapi dia pergi juga bawa tayar spare naik motornya. Mujurlah tayar spare sekarang ni nipis sahaja. Tidaklah berat sangat rasanya.

Semasa ketiadaannya, aku keluarkan duit dari dompet dan letak dalam pocket dengan hasrat untuk menghulurkan kepadanya bukan sebagai upah tetapi sebagai tanda aku menghargai keringat dan tenaganya Lebih dari itu kesudiannya untuk berpatah balik, berhenti dan menolongku sedang dia dalam perjalanan ke tempat kerja.

Tidak lama kemudian dia sampai balik dan terus memasang tayar spare berkenaan.

Bila aku menghulurkan duit, dia enggan menerimanya  walaupun berkali2 aku meminta dia menerimanya kerana kataku  banyak yang dia korbankan. Pertama  kesudian membantu dengan berpatah balik, .kedua tenaganya, ketiga masanya yang terbuang kerana membantu aku dan keempatnya melambatkan dia ke tempat kerja. 

Sambil menolak, dia hanya meminta aku mendoakannya supaya  murah rezeki. Terharu aku mendengarnya . 

Bila aku sebut berikan lah duit itu kepada anaknya ( dia baru ada seorang anak  begitu katanya bila sambil dia membantu tadi sambil aku bertanya serba sedikit tentang dirinya), dia kata kalau untuk anaknya dia terimalah . Itu rezeki anaknya hari itu.

Kemudian dia pun berlalu. Namanya pun tak sempat kutahu. Dalam pemanduanku ke kedai tayar di Bandar Tasek Kesuma, aku tidak putus - putus  berdoa supaya dia murah rezeki sehingga aku sampai ke kedai tayar berkenaan.

Begitulah nasib kita, bila kita dalam kesusahan, akan ada orang yang akan menolong. Allah sudah susunkan begitu. Maha Suci Allah.

Luah Bicara 96

Seperti yang aku sebutkan dalam *Luah Bicara 95*, perkara yang sepatutnya aku tulis lebih  dahulu ialah tentang kucing kesayanganku yang kupanggil  Girl2 yang secara tiba-tiba diambil kembali oleh Allah yang menganugerahkannya kepada aku dan isteriku. Aku betul-betul kehilangan. 

Suatu hari isteriku menunjukkan gambar kucing di handhonenya. Aku tak berapa pasti dalam aplikasi Facebook atau WhatsApp.

Isteriku memberitahu ada orang nak berikan kucing kepada sesiapa yang mahu. Kalau hendak kami mesti pergi cepat mengambilnya sebelum orang lain mengambilnya.

Isteriku amat tahu aku sangat suka dan menyayangi kucing.  Jadi apa yang dilakukan oleh isteriku merupakan usaha dia mendapatkan  kucing untuk aku. Seperti suatu hadiah buat aku atas kesungguhannya mencarikan kucing itu dan kesanggupannya untuk sama - sama memeliharanya nanti. 

Aku sudah menetapkan untuk mengambil yang berwarna cokelat muda kerana nampak cukup comel.

Kami pergi mengambilnya di rumah tuan asalnya di Taman Tasek Semenyeh berpandukan GPS yang lokasinya telah diberikan.

Isteriku mencadangkan supaya ambil dua ekor supaya kucing itu ada kawan tetapi aku tidak setuju bukan kerana tak mahu memelihara dua ekor tetapi seekor lagi yang dicadangkan oleh Isteriku agak comot mukanya.

Selesai membayar RM100 yang diminta oleh tuan punya kucing itu ( bukan harga kucing tetapi kos makanan dan suntikan sepanjang dalam jagaanya) kamipun bergerak balik.

Tapi kami berhenti di kedai kucing di Pelangi Semenyeh untuk membeli peralatan memeliharanya serta makanan dan susunya. Isteriku yang turun sementara aku me jaganya di dalam kereta. 

Umurnya lebih kurang sebulan masa tu. Kecil dan comel. Tapi lincah bergerak di dalam kereta sepanjang tempoh Isteriku di dal kedai. 

Dalam buku pendaftaran di klinik haiwan, namanya didaftarkan sebagai Piona.

 Memandangkan nama itu terlalu mirip kepada nama orang, aku dan isteri sepakat menamanya Girl kerana dia kucing betina. Isteriku panggil Girl sahaja tetapi aku lebih selesa dan rasa mesra memanggilnya Girl2.

Tidak lama untuk dia faham bahawa namanya Girl2. Setelah dia faham, panggillah ketika dia di mana sahaja. Dia akan datang berlari sama ada di ruang tamu atau di dapur atau Isteriku memanggilnya naik ke atas katil. Girl2 memang tidur bersama kami.

Dia amat unik. Bila kami masuk tidur sahaja, tidak kira pukul berapa, dia akan masuk sama ke dalam bilik tetapi tidak terus tidur di atas katil. 

Dia akan mencari ruang tidurnya di lantai atau atas kerusi di hujung katil kami. Sekitar pukul 4 pagi dia akan naik ke atas katil lalu menggigit - menggigit lembut kaki aku atau kaki Isteriku untuk mengajak kami bermain. Biasanya kami akan belai dia dan peluk dia di antara kami sebab masih awal untuk bangun dan melaysnnya main. 

Tetapi telah menjadi rutin sejak kehadirannya, aku bangun sebelum pukul lima untuk sediakan makanan, air minuman dan susunya dan aku cukup rela menjalan kan rutin itu. Kami memelihara bagaikan anak. Isteriku membahsakan dirinya Mama dan aku Papa kepada Girl2.

Istimewanya dia, dari hari pertama dia  sampai ke rumah kami, dia tidak pernah berak merata - merata. Dari saat pertama dia jejak rumah kami, dia berak dalam bekas yang kami sediakan. Dia akan kesat kakinya bersih- bersih sebelum keluar dari bekas itu.

 Istimewanya juga dia akan mengiaow minta tandasnya dibersihkan walaupun kotornya sedikit sahaja.

Bila aku buat kerja di luar rumah, dia mengiau untuk ikut tetapi demi sayang dan takut dia hilang aku tidak membenarnya keluar rumah lalu dia hanya memerhati dari sebalik grill yang berjafing. Kemudian aku dan isteriku dapat satu solusi iaitu letak dia di dalam sangkar dan letak di halaman rumah. Dia akan diam di dalam sangkar itu memerhatikan aku melakukann  kerja. Tapi dia membuat aksi lucu setiap kali dibawa keluar dengan duduk di dalam mangkuk makanan kosong yang ada dalam sangkar      tersebut.

Nota : _Aku tidak memelihara di dalam sangkar. Sangkar itu dibeli sebagai persediaan sekiranya dia perlu dititip sementara di rumah sesiapa sekiranya kami berpergiaan._ 

Bila aku membersihkan tandasnya di dalam tandas rumah, aku panggil dia dan dia berlari dengan laju mendapatkan aku dan tekun menunggu sehingga kerjaku selesai. Begitulah uniknya dia. Comel, lincah dan amat cerdik. Kehadiranya betul-betul membuat aku dan isteriku ceria dan bahagia.

Bak kata isteri ketika aku teresak menangis mengenang Girl2 yang telah pergi, 

 " Girl2 adalah anugerah terindah yang Allah swt beri pada kita dan diambilnya semula supaya kita melihat maksud disebaliknya., semoga kita tabah melalui saat kehilangan ini." 

Apa yang berlaku hari itu? Seperti biasa aku bangun awal sebelum pukul 5. Bersihkan bekas makanannya dan isi makanan baru
Bersihkan bekas airnya dan isi air baru. Masak air panas untuk menyediakan susunya. Bila sudah sedia semuanya aku menyediakan diri untuk ke masjid untuk menunaikan Solat Subuh. 

Ketika aku bersiap, aku amat pasti dia ada bermain di dalam bilik air, salah satu port kegemarannya.

Selalunya bila aku memutar kunci grill dia sudah meluru lebih awal ke pintu tetapi tidak pagi itu. Biasanya aku begitu cemburu untuk mengetahui di mana dia berada, tetapi tidak pada hari itu. Allah menutup kebiasaan aku menentukan dia ada dengan meletakkan keyakinan dimindaku bahawa dia ada di dapur. 

Bila aku masuk ke kereta, aku lihat cermin tingkat rumahku renggang lalu aku bersungut kenapa tingkap dibuka, tetapi sekali lagi Allah alihkan kebiasaan aku yang akan syak sesuatu dan mencarinya sampai pasti sebelum aku bergerak. Hari itu aku masih ditutup dengan  keyakinan, dia ada di dapur.

Rupanya isteriku merasakan macam sesuatu yang tidak kena lalu memanggil nama Girl2 berkali-kali tapi dia tidak datang. Girl2 dicari merata tempat di dalam dan di luar rumah tapi tidak ada. Isteri call aku tetapi tidak berangkat kerana handphone kutinggalkan dalam kereta. Hari itu ada sesi mengaji Al Quran, jadi lambat lah aku ke kereta. Bila aku ke kereta, aku lihat ada miss call dari isteriku. Aku panggil semula dan isteriku bertanya adakah Girl2 bersama ku. Bila aku jawab tidak isteriku minta aku pulang segera kerana Girl2 hilang.

Tanpa berlengah aku hidupkan enjin kereta dan bergerak pulang. Aku yakin aku dapat menemuinya di bawah kereta - kereta jiran atau di tempat lain yang berdekatan. 

Sampai saja berkeliling aku mencari. Tiada. Rasa gusar mula menerpa. Tetapi aku tidak membayangkan yang buruk akan berlaku. Akan tetapi bila aku berjalan ke simpang jalan, aku nampak sekujur tubuh kaku berhampiran  dengan pembahagi jalan. Memang dialah. Aku merempongnya pulang sambil menangis tak terbendung. Aku mengharapkan sesuatu yang menakjubkan berlaku dan dia  masih hidup. Tapi akikatnya dia sudah pergi dilanggar kenderaan yang lalu.

Tiori Isteriku mengataksn, mungkin  dia keluar lebih awal dan menunggu aku di luar. Bila aku bergerak tanpa membawanya bersama, dia mengejar kereta aku sampai ke lokasi itu. Kalau ini yang berlaku, aku rasa amat sayu.

Tiori aku dia keluar lebih awal dan berjalsn hingga ke lokasi itu. Isteri menyangkal kerana dia tidak biasa bergerak sejauh itu.

Tiori ketiga, dia duduk di atas tanya kereta dan bila aku bergerak dia ikut bergerak dan jatuh. Tiori ini lemah kerana masakan dia boleh sampai ke lokasi itu. Tentu jatuh dan tergilis lebih awal.
Untuk maklumat Girl2 tidak tergilis kerana hanya mukanya sahaja yang cedera sedikit.

Tapi apapun tiorinya, hakikatnya Girl2 sudah pergi dan aku menangisinya beberapa hari dan tidak boleh melihat apa saja peninggalannya. Allah meminjamkan kepada kami sekitar dua bulan sahaja. 

Kini dia bersemadi di kubur yang bersebelahan dengan tapak tanamanku yang aku kerjakan yang dia selalu perhatikan dengan tekun dari dalam sangkar.

Selamat jalan Girl2ku. Isteriku mengubat hatinya dengan membayangkan Girl2 sedang  berlari-- berlari di taman syurga.

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...