Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 13

Dalam siri Tulisan yang terdahulu,  saya ada menyentuh tentang memperbanyakkan kawan-kawan, kenalan - kenalan atau sahabat - sahabat melalui kerajinan atau keramahan kita bertegur sapa dengan orang - orang di sekeliling kita yang baru kita temui.

Melalui Luah Bicara kali ini saya ingin melanjutkan bicara tentang perkara tersebut.

Tidak ada ruginya bertegur sapa. Modalnya hanya suara dan sedikit gerak muka dan tangan barangkali. Dengan berbekalkan senyum dan keramahan kita dapat kenalan baru. Tidak kiralah kalau perkenalan itu berakhir di situ sahaja atau ada kesinambungannya. Apa yang rugi ialah kita menyendiri dengan hal diri kita sahaja.

Kita perlu sentiasa menambah kenalan atau rakan baharu kerana kita dari semasa ke semasa kehilangan kawan - kawan lama. Kita kehilangan kawan - kawan lama apabila kita terpaksa meninggalkan kelompok itu kerana banyak sebab.

Ketika kita bersekolah sama ada sekolah harian biasa atau sekolah berasrama penuh,  kita berkawan dengan rakan - rakan sekelas atau satu tahun persekolahan. Akan tetapi bila kita tamat persekolahan kita akan kehilangan ramai daripada mereka sama ada kehilangan yang kekal atau bertemu semula sekali sekala.

Kemudian kita memasuki pusat pengajian tinggi sama ada di kolej swasta , di kolej kerajaan, di universiti swasta atau universiti kerajaan. Lagi sekali kita dikelilingi kenalan - kenalan baru sama ada rapat atau tidak, sama ada ramai atau sedikit bergantung kepada sikap kita sendiri.

Kemudian bila kita menamatkan pengajian kita, sekali lagi kita kehilangan kawan - kawan atas sebab yang serupa.

Kemudian kita bekerja dan di kelilingi kawan - kawan atau kenalan baru yang sebahagian kecilnya akan menjadi rakan rapat atau sahabat. Kita mungkin bertukar kerja atau berpindah tempat kerja berkali - kali. Proses kehilangan kawan dan dapat kawan baru terus berjalan. Kawan kita semakin bertambah atau semakin berkurang bergantung kepada situasi atau sikap kita sendiri.

Saya lalui semua yang saya sebutkan tadi. Saya langkau cerita dari zaman kanak - kanak ke zaman bekerja. Saya akan bercerita dari apa yang saya lalui selepas persaraan saya yang berhubung dengan cerita mendapatkan kawan dan kehilangsn kawan-kawan.

Sebelum bersara dari jawatan Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan, bila saya buka pintu dan keluar dari bilik pejabat saya, saya akan temui pembantu - pembantu tadbir saya di ruang terbuka. Di belakang ruang terbuka ada pula bilik -bilik pegawai - pegawai saya. Di blok sebelah pun ada pegawai - pegawai saya dan pembantu - pembantu tadbir saya. Lebih kurang 30 orang jumlah mereka.

Sehari selepas bersara, saya sudah berada di kedai grafik komputer , Instant Graphic Enterprise( nama saja  hebat tetapi kedai kecil sahaja ) yang saya usahakan seorang diri.

Terkurung di bilik kaca terpencil 10 X 10 kaki, seorang diri, keluar bilik dari bilik, hanyalah kekosongan ruang Bazar Silveritage Galaria yang amat kurang pengunjung.

Tetiba saya kehilangan rakan - rakan. Begitu sepi, terasing dan keseorangan. Tapi kehidupan mesti diteruskan.

Saya mencari kawan baru di persekitaran kedai saya.

Saya berkawan dengan pembancuh kopi di gerai kopi kecil, tukang urut yang membuka pusat urut di sebelah kedai saya, budak - budak OKU yang menjaga kedai kraf tangan,  anak muda yang tidak tahu asal usul yang konon datang dari KL mencari pelabur projek besar yang entah ya entahkan tidak , tetapi pandai main catur yang juga permainan yang saya amat minati.

Berkawan juga dengan penjual tiket bas ekspres yang beroperasi di peremis yang sama iaitu di bangunan  Silveritage Galaria di Medan Gopeng, Ipoh.

Begitulah tetiba saya kehilangan kawan -  kawan dan membina rangkaian kawan baru yang amat berbeda latar belakang. Akan tetapi ianya tidak menghalang saya untuk membina keakraban bersama mereka.

Berhijrah setahun ke Penang seorang diri bekerja sebagai Pengurus ( konon ) pada nama tadi bukan pada gaji, tapi disediakan rumah tiga bilik,  saya kena bina lagi rangkaian kenalan yang baru dan kehilangan yang lama. Rajinkan menegur, jangan pencilkan diri, dapatlah kawan, tetapi pastinya set baru yang tidak sama latar belakang dengan saya. Akan tetapi kalau kita pandai mensesuaikan diri ianya tidak menjadi halangan.

Berpindah ke KL dan pernah bekerja di pusat jualan perabot, saya berkawan dengan Mat - Mat Bangla yang jauh sangat lebih muda dari saya tetapi seniorlah di situ. Rangkaian kawan bsru lagi.

Pun saya bina rangkaian kawan - kawan sesama jogging di Taman Tasek Permaisuri, Bandar Tun Razak dan rangkaian kenalan di Masjid Al Najihin, Bandar Seri Permaisuri.
Modalnya air liur sahaja.

Begitulah. Pindah ke Beranang, menapak ke ruang solat Masjid Raja Alang Beranang, buat kali pertama, saya segera menegur jemaah yang ada. Dapatlah kawan - kawan  dan ada yang akhirnya menjadi sahabat baik walaupun belum lama saya di Beranang ini.

Kini dalam menghadapi rawatan penyakit kanser lymphoma, bersua dan terbina pula kenalan baru yang sama - sama pesakit kanser lymphoma.

Begitulah semakin kita berusia, ruang kita membina rangkaian kawan - kawan menjadi berbeda. Dari rakan sekolah ke rakan sejawatan, kemudian berpindah ke masjid dan akhirnya berpindah ke hospital.

Yang penting carilah dan binalah rangkaian kawan - kawan, nescaya anda tidak kesunyian dan keseorangan.

Sekarang dengan adanya aplikasi whatsapp kita dapat membina semula hubungan dengan kawan - kawan lama disamping membina rangkaian kenalan baru.

Cuma kalau ingin terus membina hubungan yang menyeronokkan , tak kira anda seorang admin, anda peserta terawal, anda peserta yang dijemput masuk, jadilah peserta yang aktif. Jangan cuma menjadi CCTV.

Sekian dulu.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...