Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 28


Hari ini aku akan menjalani kimotrapi ke 6 atau pusingan terakhir dalam siri kimotrapi aku.

Ada sedikit kebimbangan di hati aku untuk menghadapi kimotrapi ke 6 ini. Ini kerana sepanjang aku melalui 5 kali kimotrapi iaitu kimotrapi pertama hingga kelima, aku tidak pernah demam, tetapi semalam hingga ke pagi ini aku mengalami selsema diikuti dengan batuk tetapi  ringan je tak serius. Cuma aku bimbang bila nurse ambil suhu badan nanti, aku diistiharkan demam dan kimotrapi ke 6 ini terpaksa pula ditunda.

Pagi ini aku minum panadol soluble supaya tak demam. Semalam aku minum juga ubat batuk dan minum vitamin C soluble juga. Semua ini kulakukan untuk memastikan kimotrapi ke 6 berjalan ikut jadual.

Anak aku sampai dari Pelangi Semenyeh dan kami pun bergerak ke HUKM sekitar pukul 7 pagi. Masuk Eco Majestic supaya perjalanan lancar walaupun jaraknya lebih jauh menuju ke selatan terlebih dahulu. Malangnya keluar dari Lebuhraya LEKAS untuk memasuki Lebuhraya Grand Saga, terus berlaku kesesakan teruk hingga sampaii ke Tesco Kajang. Ada kemalangan  melibat beberapa kereta dan motosikal rasanya . Ada yang dikejarkan ke hospital.dengan ambulan.

Macam biasa berlaku  lagi kesesakan mulai Tol Batu 9 dan sesak lagi di susur keluar ke Bandar Tin Razak. 8.30 pagi baru sampai ke Day Care Unit.

Tidak lama selepas menyerahkan kad temujanji, aku dah dipanggil. Check tekanan darah, suhu dan berat badan. Syukur Alhamdulillah semuanya ok. BP 139/76 suhu 36.8 ° C. Berat badan 64.5 kg. Syukur Alhamdulillah aku tak demam. Akan tetapi bila nak pasang tapak drip, buat aebelah kiri tidak jadi. Buat belah kanan baru jadi. Biasalah urat darah mengecut bagi orang yang menjalani proses kimotrapi.

Berlaku peristiwa hari ini dalam sejarah. Dr muda berbangsa Cina datang menyapa aku di ruang menunggu, bertanya beberapa soalan tentang kesihatanku terus memeriksa aku di situ juga menggunakan stethoscopenya . Macam.VIP le pulak.
Maaa tu analisis darahpun tak dapat lagi tapi aku tiada masalah menjalani kimo berdasarkan bacaan terdahulu.

Tak lama lepas tu aku dipanggil.untuk menjalani kimotrapi . Bertiga sederet termasuk En. Shamsuri di sebelah kanan aku. Selesalah kami menjalani kimo sambil berbual. Aku dan rakan yang aebelah kiri, terlupa pulak namanya, kimo ke 6, En. Shamsuri kimo ketiga. Selepas ini tidak tahu bila kami dapat bertemu lagi di hospital kerana jadual masing - masing dah lari. Minggu depan aku awal sehari dari En
Shamsuri. Ada En. Shamsuri  sesaja le cuba minta samakan tarikh tapi tak dapat.

Selesai kimo tadi sekitar pukul 5 petang. Aku yang selesai dulu kerana dos aku tidak aama dengan mereka berdua. Semoga semuanya berjalan dengan lancar.

Selama bertemu lagi.

Luah Bicara 27


Pagi ini aku dan isteri masuk ke kawasan sebuah sekolah kerana ada urusan dengan seorang guru di sekolah ini. Kunjungan ini adalah buat pertama kali dan jumpa guru ini pun buat pertama kali juga. Tapi yang hendak aku tulis ini bukan tentang pertemuan itu tetapi tentang sikap dan budaya pelajar - pelajar  sekarang berbanding dengan pelajar - pelajar dahulu.

Isteri aku bertanya kepada dua orang pelajar yang ada di tempat parking sekolah. Pelajar - pelajar ini tidak tahu atau tidak kenalpun dengan guru yang ditanyakan oleh isteri aku.

Masalah tidak kenal dengan guru sekolah sendiri ini bukanlah perkata terpencil pada masa ini. Sudah menjadi lumrah kepada pelajar - pelajar di mana - mana sekolah pun.

Pada zaman aku bersekolah dahulu, kami kenal semua cikgu di sekolah kami walaupun tidak mengajar di kelas kami dan begitu juga dengan cikgu di aliran lain ( dulu banyak sekolah yang ada aliran Melayu dan Inggeris di sekolah yang sama dan di bawah satu pentadbiran )

Akan tetapi pelajar - palajar zaman sekarang kebanyakannya hanya kenal dengan guru yang mengajar mereka sahaja. Itu sebab ikatan silaturahim antara pelajar - pelajar dengan guru - guru begitu longgar.

Macam kes kami di atas, setelah dapat berhubung dengan guru berkenaan dan beliau memberikan arahan hala yang kami patut tuju, barulah kami tahu rupanya sekolah ini ada asrama putera dan asrama puteri. Jadi guru yang kami temui itu rasanya salah seorang warden asrama kerana itu dia tinggal dalam kawasan asrama. Tekaan aku betul kerana bila bersua dengan suami guru berkenaan  dia memaklumkan, isterinya memang warden asrama mereka sudah tinggal dalam kawasan asrama ini melebihi 13 tahun

Isteri aku mahu bersangka baik lalu memberi pendapat,  pelajar yang ditanya tadi mungkinlah pelajar yang tinggal di luar ( bukan penghuni asrama ) kerana itu tidak kenal cikgu ini.

Alasan ini aku sangkal sama sekali. Guru asrama juga adalah guru biasa yang mengajar di sekolah. Dia bukan guru yang khusus tinggal di asrama dan menjaga hal ehwal asrama sahaja.

Pandangan sahabat Luah Bicara yang kebetulan ditemui di sekolah ini kerana mengajar ilmu persilatan kepada pelajar di sini, mungkin juga pelajar itu pelajar sesi petang. Lalu aku bertanya kepada suami guru perempuan  tadi, adakah sesi petang di sekolah ini. Jawabnya  ada. Bolehlah bersangka baik yang pelajar tadi pelajar sesi petang tetapi susuk tubuh mereka tidak menggambarkan mereka pelajar sesi petang. 

Tidak mengapalah. Itu tidak penting sebenarnya kerana episod tadi ( tidak kenal cikgu )  cumalah pencetus idea untuk aku menulis perkara ini dan tentang tidak kenal guru lain selain dari guru yang masuk kelas ini memang sudah jadi lumrah. Kalau pembaca tidak percaya bolehlah selidiki sendiri.

Seperkara lagi, pelajar - pelajar atau anak - anak kita kenalah diajar supaya mampu berintraksi tidak setakat yang ditanya. Maksudnya bolehlah memberikan informasi dan cadangan. Dalam contoh di atas, boleh sahaja pelajar - pelajar tadi mencadangkan, cuba puan tanya di asrama dan mereka boleh beri tunjuk arah menuju ke asrama.

Itu sahaja luahan rasa aku pada kali ini sebagai bekas pelajar sekolah dan sekali gus juga bekas seorang guru .

Luah Bicara 26


Sepi.

Semalam rasa sepi di Day Care Unit di HUKM kerana tiada teman untuk dibawa berbicara. Hendak menyapa                        " stranger " pun sebagaimana yang selalu aku war - war dan lakukan , tiada yang sesuai untuk disapa.

Memilih ke aku? Tidak. Aku tidak memilih orang yang hendak aku sapa, tetapi semalam memang tak ada yang sesuai untuk disapa yang berhampiran dengan aku. Tak kanlah  aku nak pergi ke kelompok pesakit yang jauh, yang sedang menunggu rawatan atau menemankan suami atau isteri untuk rawatan , yang kelihatannya tidak ceria, semata - mata untuk menegur.

Kini hari ini di Masjid Al Najihin pun sepi juga. Aku keseorangan lagi.

Dulu ada seorang abang yang selalu ada di masjid ini. Berkawan agak rapat dengannya. Tiba - tiba dia sudah tidak ada. Sudah dua kali Ramadhan kalau tak silap. Mungkin juga tiga kali Ramadhan. Aku tak pasti. Bila ditanya - tanya beritanya ada yang beritahu dia diambil oleh anaknya  dibawa ke Ampang. Ada kata dibawa ke Kota Bahru. Ada juga yang kata dibawa ke Shah Alam. Apa yang pasti dia sudah tidak bersama aku lagi.

Bila disebut diambil oleh anak, aku tidak bermaksud dulu dia hidup gelandangan di masjid ini. Tapi menjadikan masjid ini sebagai tempat iktikaf.  Setahu aku dia duduk bersama anak juga di apartment berhampitan.

Dia pun berpendidikan juga. Boleh berbahasa Inggeris. Pernah bekerja di Firma Swasta. Rajin membaca Al Quran. Sesekali bila Bilal tiada , dialah Iqamah.

Dalam bulan Ramadhan bila aku berkesempatan, aku solat maghrib, solat Isya dan solat taraweh di masjid ini dan kemudian menghadapi juadah selepas taraweh bersamanya.

Tiba - tiba aku rasa kehilangan dia. Tiada cara untuk mengesannya.

Ada pula kenalan juga, tapi tidaklah rapat sangat, tetapi amat kenal antara satu sama lain. Dia ni aku tidak pasti tempat tinggal di sekitar masjid, tetapi selalu ada di masjid dan berjualan serba sedikit kupiah dan lain kegunaan muslimin. Tiba -  tiba hilang juga.
Bila ditanya - tanyakan, rupanya dia balik ke kampungnya di Kedah, sakit dan meninggal di sana. Setahu aku dia berpisah dengan isteri dia dan ada anak seorang. Usianya muda lagi. Akan tetapi syarat mati memang tidak semestinya tua.

Adalah beberapa orang lagi yang aku kenal yang selalu berada di masjid ini, sudah tiada lagi, aku pun tak tahu cereta mereka. Apa yang aku tahu, bila aku ke masjid ini, aku sudah tidak ada kenalan lagi.

Menyendirilah.

Kengkadang bersua juga dengan seorang kenalan yang sama - sama singgah di masjid ini, sama - sama ke Mekah. Selalu juga dia Solat Dhuha di sini sebelum mencari penumpang teksinya , kembali lagi ke sini untuk Solat Jumaat . Tapi hari ini tak ada juga.

Begitulah kita dapat kenalan dan kehilangan kenalan silih berganti sebagaimana pernah aku tulis dalam tulisanku terdahulu.

Memanglah sepi.

Luah Bicara 25


Aku mula tahu dan berjinak - jinak  dengan istilah perubatan creatinine ini bila aku mendapat rawatan darah tinggi di Klinik Kesihatan Kg. Simee, Ipoh. Rawatan ini aku lalui selepas setahun tidak makan ubat darah tinggi secara teratur ketika aku bekerja di Pulau Pinang.

Ketika di Pulau Pinang aku makan ubat yang dibeli dari Farmasi. Atenolol adalah aku beli bila terasa lama tak makan ubat darah tinggi. Amelodopine tak aku beli kerana kononnya mahal. Masa itu kewangan aku agak bermasalah.

Ramai orang membuat andaian, buah pinggang boleh rosak kerana amalan makan ubat darah tinggi. Akan tetapi dokter tu beritahu aku, tekanan darah tinggi yang berlebihan itulah yang menyebabkan buah pinggang menjadi  rosak.

Jadi oleh kerana aku mengabaikan sakit darah tinggi aku dengan makan ubat yang tidak teratur, dokter memaklumkan bacaan creatinine aku melepas julat. Masa itu kalau tidak silap bacaannya ialah 133 . Dokter memberitahu aku kulit buah pinggang aku menipis.

Creatinine sebenarnya ialah bahan kumuh yang dihasilksn oleh tubuh dan sepatutnya ditapis oleh buah pinggang yang sihat.

Jadi sebenarnya bacaan creatinine menunjukkan tahap kemampuan buah pinggang menjalankan kerja penapisan. Kalau bacaan tinggi maknanya kegagalan buah pinggang kita tinggi.

Sejak itu bacaan creatinine aku memang di luar julat. Bila aku pindahkan rawatan dari Ipoh ke Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, bacaannya masih tinggi dan dokter muda yang merawat aku menggunakan istilah yang lebih menggerunkan aku. Tidak menggunakan istilah kulit buah pinggang menipis seperti dokter di Ipoh, dia beritahu aku, buah pinggang Pak Cik bocor .

Istilah ini menakutkan. Anak-anak akupun terkejut bila tahu buah pinggang aku bocor. Adalah mereka membelikan aku Coenzyme Q10 . Tapi bila habis tidaklah aku beritahu mereka kerana harganya memang agak tinggi.

Dari bacaan aku, Coenzyme Q10 mampu memperbaiki masalah kerosakan buah pinggang. Dari kajian yang dibuat di India, ada pesakit berjaya turun keperluan hari dialisis dari 3 kali ke 2 kali sebagai contoh. Ada juga yang  sudah tidak perlu kepada  dialisis lagi.

Akan tetapi melalui rawatan yang lama di HUKM ini, dari dokter yang merawat aku, tahulah aku tahap bacaan creatinine aku ini tidaklah dianggap pada stage teruk yang memerlukan dialisis tetapi sekadar pada tahap perlu berjaga - jaga sahaja.

Lama jugalah aku dalam keadaan buah     " pinggang bocor " ni kerana setiap kali buat pemeriksaan darah, bacaan creatinine sentiasa tinggi . Akan tetapi sekarang ini bacaannya pernah 2 - 3 kali masuk dalam range bermaksud bawah dari 100 dan kalau lebihpun tak jauh melebihi 100. Tapi untuk buat kimo dokter hendakkan keadaan buah pinggang yang lebih baik.

Memakan zat pemakanan Coenzyme Q10 seperti aku sebut di atas mungkin boleh membaiki keadaan ini, tetapi dalam proses kimo ini aku tidak berani memakannya kerana Vitamin C yang anak aku belipun dokter kata jangan makan.

Minum air yang banyak adalah satu kemestian bagi orang yang menjalani kimotrapi. Itu yang gagal aku buat. Aku tak cukup minum air. Tadi bacaan creatinine aku tinggi lagi melepasi 100 tapi tidaklah lebih banyak. Tapi dokter mahu memeriksa aku lagi Isnin 29 hb. Julai nanti untuk memastikan buah pinggang aku dalam keadaan baik sebelum menjalani kimo ke enam pada 31hb. Julai .

Aku kena usahalah. Selain minum banyak, mungkin makan buah tembikai dapat membantu.

Sekian.

Luah Bicara 24


Pukul 9.45 pagi aku whatsapp member Group B.Ed ( Agric ) 83/87, beritahu aku ada lepak kat Masjid Al Najihin ( Bandar Seri Permaisuri ) .Beritahu juga urusan aku dengan HUKM pukul 2 petang. Lepas itu aku terlelap.

Bila aku sedar pada 9.53 pagi , aku baca mesej kawan aku yang tinggal di Bandar Tun Razak, Latifah namanya,   ajak aku ngeteh dan dia akan datang dengan suaminya ke Restoran Taqwa pukul 10.15 pagi . Eh mujur aku tersedar dan terbaca.

Tetiba nama Restoran Taqwa hilang dari radar ingatan aku. Di mana yer? Familiar nama tu tapi lokasinya aku benar - benar blur.

Aku call Latifah  ( kami panggil Tipah je. Tapi ini bukan Tipah tertipu dalam cerita Ali Setan ). Dua kali call, dua kali tak berangkat. Aku call isteri aku bertanya kalau dia tahu di mana Restoran Taqwa itu. Dia pun ter blur, tapi dia kata sekitar Bandar Seri Permaisuri jugalah. Pakailah Waze dia beri cadangan.

Aku pun setlah hp aku , guna Navigation nak cari di mana Restoran Taqwa. Malang betul nasib aku, boleh pulak masa tu GPS conection lost... Aku bawa sajalah ikut naluri aku. Pusing Bandar Lama Seri Permaisuri, tak jumpalah pulak. GPS masih conection lost.

Teruskan juga ikut arah yang aku agak, mungkin kat Dwi Tasek, dan ketika itu barulah dapat connect ke GPS. Ikutlah. Tapi tidak jumpa dan GPS suruh buat u turn dan balik ke lampu isyarat dan suruh belok kanan. Ohh baru ternampak Restoran Taqwa di sebelah kanan dan baru teringat restoran tu memang kat situ. Mana boleh restoran tu bergerak pulak kan? Elok nak membelok ke restoran tu Latifah call balik kata dia orang baru bergerak dari rumah. Tadi dia tak angkat call aku  sebab sedang bersiap. Jadi aku masih jadi orang yang menunggu bukan orang yang ditunggu. Memang begitu selalu bila aku ada temujanji dengan sesiapa sahaja. Aku tidak suka jadi orang yang ditunggu.

Nak parking pulak tiada duit syiling. Tukar duit kertas dengan duit syiling di kaunter bayaran Restoran Taqwa. Kemudian parking le dengan selesa. Menapak semula ke Restoran, cari tempat duduk yang selesa.

Pelayan restoran datang tanya aku nak minum apa. Aku kata nantilah saya tunggu kawan. Ternyata dia tidak faham apa yang aku cakap. Tak faham langsung . Lalu aku kata,  kalau tak boleh cakap Melayu jangan datang ke sini le. Kemudian aku terfikir sendiri, kalau aku kata aku tunggu kawan pun dia tak faham, mana dia faham apa aku cakap kat dia. Buat ngabehkan boreh je.

Tidak lama lepas itu sampailah Latifah dengan suaminya. Selepas bersalaman dan duduk selesa, datanglah pelayan lain tanya apa kami nak order. Oleh kerana aku perlu makanan bermasak masa itu juga, dan tadi dah makan roti telur dengan isteri, terpaksalah aku order mee goreng mamak.

Makanan dan minuman segera sampai. Kami pun makan sambil berbual. Mulanya tentunya di sekitar penyakit aku, lepas tu barulah cerita tentang kengkawan yang lain , pun ada kaitan dengan sakit ( maklumlah cerita orang tetua ). Ada yang dia sendiri sakit dan ada pula yang isteri sakit.

Selesai makan, kami pun bersurai. Aku tak terfikir sangat nak ke mana? Balik ke masjid atau bergerak pula ke lain? Akhirnya aku menuju arah ke Tesco. Tapi belum sampai ke Masjid Saidina Osman, aku dah berhenti, parking kat pinggir padang bola sepak dan menulis hingga siap tulisan ini.

Sekian dulu.

Luah Bicara 23


Saya baru saja keluar dari tandas masjid yang kerap saya kunjungi.

Ada 5 buah tandas di dalam tandas lelaki ini dan yang selalu jadi tumpuan saya tentulah tandas duduk kerana kemahiran mencangkung dan ketahanan diri dalam posisi mencangkung sudah semakin kurang bila menjangkau usia 71 tahun ini.

Ada dua tandas duduk di tandas ini.
Masuklah saya ke  tandas yang selalu saya masuki. Eh dah tak ada tempat penyangkut pakaiannya ?  Kedua - duanya patah. Keluar semula untuk masuk ke tandas sebelah yang juga tandas duduk.  " Ada penghuni le pulak ! "

Terpaksalah masuk semula ke tandas pertama tadi. Selitlah seluar pada pemegang pintu tandas. Mujurlah ok tidak jatuh. Proses seterusnya di.                " censored " dari penulisan ini.

Maaf kalau Luah Bicara kali ini dimulakan.dengan episod masuk keluar  tandas. Itu pencetus idea penulisan saya kali ini dan kandungannya sudah lama bermain di fikiran saya setiap kali menghadapi situasi yang sama , tetapi baru kali ini saya luahkan.

Ok yang saya hendak luahkan kali ini bukanlah cerita masuk tandas itu, tetapi ialah tentang penyelenggaraan kerosakan - kerosakan kecil di masjid - masjid di negara kita.

Kerap kali kita temui kerosakan  kecil pada  ensil pintu tandas, penyangkut pakaian, kepala paip,  sistem pam, saluran getah dan lain - lain.

Dari pengalaman dan pemerhatian saya, kerosakan - kerosakan begini lambat sangat baru diperbaiki atau memang tak akan diperbaiki langsung.

Memandangkan hal tersebut saya ada satu cadangan cara mengatasi. Maaf kalau cadangan saya ini memang menjadi amalan sesetengah masjid. Saya pasti tidak semua atau tidak ada yang mengamalkan apa yang hendak saya cadangkan ini  kerana di mana saja masjid yang saya singgahi ada masalah penyelengaraan atau pembaikan kerosakan - kerosakan kecil ini .  Rata rata macam tidak diambil pot kata orang.

Apa yang hendak saya cadangkan ialah mengwujudkan petty cash khusus untuk memperbaiki kerosakan - kerosakan kecil tersebut. Tidak perlu jumlahnya besar. RM100 sudah memadai atau kalau perlu letaklah RM200. Petty Cash ini hendaklah diamanahkan kepada Siak atau setengah tempat panggil Noja. Siak dibenarkan pada bila - bila masa menggunakan wang petty cash ini dengan syarat setiap pembelian ada resit pembelian.

Siak hendaklah menjalankan pemeriksaan sama ada setiap hari atau pun berkala tetapi tidak lebih dari selang 3 hari atau peka kepada teguran atau maklumat dari jemaah.

Jumpa saja kerosakan kecil, terus beli barang dan terus ganti atau baiki pada hari yang sama, tidak perlu tunggu mesyuarat AJK atau mesyuarat Agong.

Bila wang petty cash sudah sampai masa perlu " top up " Siak jumpalah AJK berkaitan dengan mengemuka rekod penggunaan wang petty cash berkenaan termasuk bukti resit. Jadi petty  cash sentiasa sedia bila diperlukan untuk pembaikan kecil ini.

InsyaAllah kalau setiap Siak pegang tanggungjawab yang diamanahkan jemaah - jemaah tidak berdepan lagi dengan masalah kerosakan kecil yang terbiar tidak diperbaiki.

Kalau pulak kerosakan itu memerlukan Siak mengupah orang untuk repair, upahlah tapi gunakan wang  petty cash tadi dan rekodkan. Tapi kalau setakat tukar ensil, pasang penyangkut pakaian, ganti bebola pam tandas, rasanya Siak boleh buat sendiri.

Itulah cadangan saya. Kalau praktikal ikutilah. Kalau tidak praktikal fikirkanlah alternatifnya, tapi jangan tunggu Mesyuarat Agong.

Luah Bicara 22


Apabila kita melakukan sesuatu ( yang baik ) yang melibatkan orang ramai, kita mestilah melakukannya dengan penuh kesungguhan dan penuh rasa  tanggungjawab.

Apabila saya mula berkongsi buah fikiran saya melalui beberapa whatsapp group, melalui Tulisan , tanggungjawab saya tidaklah besar. Saya  cuma menulis apa yang terlintas di pemikiran saya dan kemudian berkongsi apa yang saya tulis dan tidak ada keterikatan dan desakan untuk saya terus menulis. Rasa nak tulis, tulis.

Tetapi apabila tulisan saya sudah ada yang mengikutinya,  dan mereka itu pula memberitahu mereka suka dan menanti tulisan saya seterusnya, saya sudah mula rasa terikat dan sewajarnya memenuhi kehendak pembaca tersebut. Mulalah saya rasa bertanggungjawab untuk terus menulis dan terus berkongsi buah fikiran dengan mereka . Sehari tidak menulis terasa tidak selesa, dua tiga hari tidak menulis mula rasa terhutang.

Bila pula saya menukar konsep whatsapp group Pembaca Tulisan daripada cuma media saya menghantar tulisan saya kepada group untuk berkongsi luahan, berkongsi cerita dan berita dan jadi ruang berbual dan berkenalan, dan akhirnya ditukar nama kepada Luah Bicara, saya rasa bertanggungjawab sangat menjadikan group ini hidup dan ceria. Pelbagai cara saya kena fikirkan supaya group ini terus jadi tumpuan disamping terus menyumbangksn hasil tulisan saya.

Bila tiba - tiba anak saya mengwujudkan blog Luah Bicara Pak Ya, saya rasa bertanggungjawab pula menjadikan ia blog yang sempurna dan jadi tumpuan, apatah lagi bila dalam tempoh yang singkat sudah agak ramai viewers.

Yang terbaru, apabila anak saya menyediakan ruang untuk followers, di mana viewers boleh klik untuk daftar jadi followers , tanggungjawab saya,  saya rasakan menjadi lebih besar. Saya mesti menulis terus dari semasa ke semasa dan  terus menyediakan dengan pengisian yang lain - lain. Kalau tidak apa yang nak di" follow " kalau blog saya kaku dengan tulisan yang sedia ada itu saja. Lama - lama followers pun jadi jemu dan tidak jadi followers lagi.

Terima kasih kepada viewers yang klik untuk jadi followers. InsyaAllah saya akan berusaha untuk menjadikan blog saya sesuatu yang menarik untuk terus diikuti. Itu ikrar saya. Selamat melawati blog saya, selamat klik sebagai follower dan semoga kekal jadi follower selamanya.

Luah Bicara 21


Subuh tadi ketika memberus gigi aku yang tak seberapa batang yang tinggal, aku terfikir, kenapa ramai di kalangan kawan - kawan aku yang sebaya atau lebih kurang sebaya membiarkan sahaja gigi mereka dalam keadaan tinggal sebatang dua sahaja tanpa berusaha membuat gigi palsu ? Macam selesa je dengan keadaan itu. Hendak dikatakan tidak mampu, semuanya jenis berduit. Sekurang - kurangnya ada pencen.

Ada beberapa alasan yang dapat aku fikirkan masa tu.

Pertamanya mungkin kerana takut cabut gigi. Keduanya menerima keadaan itu sebagai penanda umur semakin lanjut serta redha dengan keadaan itu. Ketiganya membuat gigi palsu seolah - olah tidak redha dengan ketentuan Allah. Itu sahaja yang terlintas di kepala aku alasannya.

Bagi diri aku sendiri aku akui, aku memang takut cabut gigi. Untuk buat gigi palsu, gigi - gigi yang masih ada kena dicabut. Kalau ada tunggul, kena korek dan dibuang.  Kalau tunggul dalam gusi, kena bedah gusi nak keluarkan juga tunggul tu.

Ini halangan aku. Ini sebab aku tidak buat gigi palsu walau isteri aku menyarankan aku buat gigi palsu dan memang penampilan akan lebih meyakinkan dengan gigi palsu. Nampak lebih mudalah sikit. Bercakap pun lebih yakin.

Aku dengar menantu aku bercakap dengan anaknya, Atok kalau tutup mulut nampak muda, kalau buka mulut nampak tua. Aku diam je.

Ketakutan aku untuk cabut gigi sebenarnya bersebab. Ia berpunca dari apa yang aku alami semasa zaman kanak - kanak.

Semasa bersekolah rendah, aku ok saja bila van Klinik Pergigian dari Klinik Pekan Parit sampai. Ada jugalah beberapa batang gigi aku  yang ditampal. Masa tu tampal dengan timah. Sekarang bahan lain kut ? Aku berani saja masa tu.

Tapi satu hari tu, aku dibawa ke Klinik di Pekan Parit kerana gigi aku perlu dicabut. Pun seperti hari  - hari lain aku relax je.

Proses pertama sapu ubat kebas. .Masa itu tidak ada suntikan ubat kebas, sebaliknya gunakan cream seperti cream ubat gigi yang disapukan diluar pipi tempat gigi yang nak dicabut. Pun aku ok je. Lepas sapu ubat kebas aku disuruh menunggu.

Tapi belum lama aku menunggu, aku sudah dipanggil. Aku rasa petugas berkenaan tersilap panggil.

Mungkin kerana terpanggil awal, ubat kebas itu belum bertindak, atau mungkin ubat kebas tu lambat bertindak, bila nak cabut, terasa amat sakit dan aku meronta - ronta dan melarikan diri. .

Tak ingat apakah gigi aku berjaya dicabut sebelum aku lari meninggalkan klinik atau belum sempat dicabut. Rasanya macam belum sempat. Aku tak ingat sangat.

Tetapi yang aku ingat selepas itu setiap kali van klinik pergigian  datang, aku dah siap melarikan diri.

Ada kesan juga  tindakan aku itu. Tindakan aku itu memaksa pihak sekolah mengeluarkan surat kepada ibu bapa yang meminta kebenaran atau meminta ibubapa buat pilihan sama ada gigi anak nak dirawat atau tidak. Dah tentu aku
minta ibu pilih yang tak hendak dirawat itu. Hi hi.

Sejak itulah aku tidak ke klinik gigi sehinggalah aku jadi pegawai di JPN.

Sebatang gigi depanku ada masalah kerosakan. Mereput. Tetapi tidak menjejaskan penampilan aku. Tak ketara pun. Hinggalah suatu hari aku menggigit mangga muda ( kegemaran aku hingga kini ialah makan mangga muda cicah kicap yg dibubuh cili dan belacan ) dan gigi aku itu patah. Rongaklah jadinya.

Ini menjejaskan penampilan aku. Berkali - kali jugalah staf perempuan aku yg juga rakan baik, suruh aku buat gigi palsu tapi sentiasa aku tangguhkan kerana fobia cabut gigi.

Akhirnya atas sebab tertentu,  aku memberanikan diri dan buatlah gigi palsu sebatang. Itulah kali kedua akhir aku berurusan dengan klinik gigi. Fobia cabut gigi masih menghantui aku.

Melihat kawan - kawan dan orang - orang lain yang bergigi palsu, dan teringin nak penampilan lebih menarik, adalah juga keinginan untuk buat gigi palsu. Tapi masih tertangguh kerana fobia aku itu.

Sekarang , sejak aku keluar masuk hospital kerana rawatan kanser dan semua jenis rawatan yang jauh lebih hebat dari cabut gigi aku lalui, aku rasa aku dah sedia untuk melalui proses  membuat gigi palsu.

Ada yang nak sponsor?

Tulisan 1


Selesai menjalani Ibadat Umrah Wajib di musim haji tahun  lepas dan bebas dari sekatan ehram, aku  mengenakan kemeja t dan berseluar panjang dengan kemeja t itu aku masukkan ke dalam seluar atau "tug in" kata mat salleh. Ini adalah cara aku berpakaian sejak muda lagi.

Apa riaksi kawan-kawan sebilik dan kawan rapat semaktab yang baru dikenali dan mengenali yang menjentik minda aku?

" Hu bergaya Pak Ya. Siap "tug in" lagi."

Lalu terbedik pertanyaan dalam hatiku. Apakah warga emas seperti aku sudah  tidak boleh memakai baju yang dimasukkan ke dalam seluar? Janggalkah? Apakah warga emas seperti kita semua hanya dibolehkan berkemeja lengan pendek atau panjang tetapi tidak dimasukkan ke dalam seluar?

Atau apakah kita yang berstatus haji sudah tidak boleh berpakaian seperti pakaian kita semasa bekerja di pejabat dulu?

Tidak bolehkah kita yang berstatus warga emas atau bergelar haji mengenakan seluar jean sedangkan pada aku yang penting ialah kebiasaan dan keselesaan memakai dan kelasakan materialnya , sementelah berseluar jean tidak pun mendedahkan aurat? Kan?

Pun tertanya - tanya juga, memang perlu sangat ke bila masuk ke fasa warga emas kita menukar penampilan kita dari kebiasaan kita ke cara berpakaian yang baru yang menampilkan imej warga emas yang tua, lemah dan tidak bermaya dan penampilan sebagai seorang haji yang sudah meminggirkan kehidupan duniawi?

Tulisan 2


Bila kita nak berjumpa bos kita di bilik pejabatnya,  kita akan memastikan, kita hadir pada waktu yang tepat malahan lebih awal dari waktu pertemuan.

Kita takut bos kita marah kalau kita lewat. Kita akan memastikan pakaian kita rapi dan bau pakaian atau badan kita wangi. Tak selesa dan malu pada bos kalau pakaian tidak rapi dan berbau.

Persoalannya , tidakkah sepatutnya pertemuan kita dengan Allah menerusi ibadat solat sepatutnya lebih daripada itu persiapan atau persediaan kita kerana yg hendak kita temui ialah bos dari segala bos? Tiada yang melebihi Allah dari segala hal.

Kenapa kita tidak takut lewat malahan selalu juga tidak mahu bertemu Allah melalui solat kita?

Kita lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah.

Kita sepatutnya kena solat tepat pada waktunya dengan pakaian yang cantik, kemas dan wangi.

Bila kita bertemu dengan seseorang yang kita sayangi atau kita cintai, tutur kata kita tersusun rapi, tidak pula laju hingga tak tentu buah butirnya. Kita rasa amat senang dapat bertutur dengannya.

Kenapa bila bertutur dengan Allah di dalam Solat, kita membaca terlampau laju hingga seperti dikejar oleh sesuatu ? Tidakkah dengan Allah seharusnya lebih tersusun, lebih sopan dan tidak seperti tergesa - gesa untuk mengakhiri pertemuan.

Renungkanlah.

Tulisan 7


Ada orang belajar sejarah tetapi tidak belajar dari sejarah. Itulah yang menyebabkan sejarah berulang. Melaka jatuh kerana fitnah yang dilemparkan kepada Tun Mutahir tunggak kekuatan Melaka pada ketika itu.

Fitnah dari Si Kitul dan Mandaliar dan penglibatan Laksamana Khoja Hasan berakhir dengan pembunuhan Tun Mutahir dan kaum kerabatnya.

Ini melemahkan pertahanan Melaka dan memudahkan Portugis mengalahkannya. Pengkhiatan seorang rakyat yang sanggup berenang ke kapal Portugis membuka rahsia kelemahan pertahanan Melaka memudahkan lagi Melaka dikalahkan.

Tidakkah sejarah ini berulang?

Ada orang celik sejarah tetapi ramai juga yang buta sejarah. Orang yang celik sejarah itu tahu kepentingan sejarah lalu mempelajari dan mengkajinya bersungguh -sungguh lalu dijadikan iktibar.

Orang yang buta sejarah pula ialah yang menganggap sejarah tidak penting dipelajari dan tidak mempelajarinya. Lucunya ada orang yang buta sejarah cuba bercakap tentang sejarah.  Lalu menjadi badut untuk orang lain yang mengambil kesempatan.

Ada orang jujur dengan sejarah tetapi ramai juga yang memutarbelitkan sejarah. Orang yang jujur dengan sejarah berpegang kepada prinsip yang benar itu tetap benar dan sanggup menegakkan kebenaran itu walaupun tidak menguntungkan dirinya dan kaumnya.

Orang yang memutarbelitkan sejarah pula ialah orang yang mementingkan dirinya dan kaumnya. Kalau boleh semua fakta yang benar hendak diubah.

Jadi sdra/sdri berada di golongan mana?

Tulisan 43

Hari ini 31/12/2018. Hari terakhir tahun 2018. Setahun sudah berlalu. Setahun lagi usia bertambah. Sebenarnya pertambahan usia juga bermaksud pengurangan hayat yang masih berbaki.

Walaupun kita tidak tahu berapa tahun lagi usia kita berbaki, tetapi kita harus tahu baki usia kita semakin kurang dari setahun ke setahun.

Satu ketika, ketika masih di awal dan di pertengahan usia, mungkin kita boleh bermain dengan kata-kata , " 25 tahun,  35 tahun,  40 tahun  cuma suatu angka ". Lebih kurang maksudnya, tiada kesan besar angka-angka itu pada kehidupan kita ketika itu. Hatta hingga usia 50 tahun, kita masih boleh berkata dan merasa, " ah baru 50 tahun ".

Saya pun berasa begitu dulu. Hingga usia 60 tahun pun masih terasa selamat dan mampu berkata , baru 60 tahun.
Tapi bila dari 60 itu angka terus bertambah dan bertambah, perasaan  sudah menjadi lain apatah lagi bila melepasi 65 tahun. .                                          

-" Eh dah 68 usia aku. Dekat nak 70  ". Dan bila capai 69 walau masih mampu pujuk diri dengan berkata belum 70 tahun lagi , tetapi keyakinannya sudah lain.

Rasa tidak yakin boleh pergi lagi jauh sudah mula terasa. Bila capai 70 tahun dan hari ke hari melepasinya, semakin tidak yakin boleh capai usia lebih panjang.

Jadi angka sudah mula memberi erti kepada kehidupan kita. Tidak boleh lagi berkata apa ada dengan angka.?

Memang ada yang berusia melebihi 90 tahun macam PM kita, tetapi jumlahnya amat sedikit. Memang ada member-member masjid yang lebih 80 tahun tetapi cuma seorang berdua. Selebihnya samada kelihatan tua atau kelihatan muda dari saya , memang di bawah usia 70 tahun. 70 tahun sudah terasa masuk waktu kecemasan  

Itu yang saya rasa. Mungkin orang lain tidak. Ada rasa gentar meniti hari hari yang mendatang. Memang sering disebut dan begitulah lumrah, bahawa kematian tidak mengira usia, tetapi kalau dah melepasi usia 70 tahun itu, berapa lama lagi  anda yakin , anda masih bertahan?

Pada saya yang tidak mempunyai latar belakang agama yang tinggi, tidak berani bercakap tentang hukum-hukum berkaitan dengan kesediaan atau ketakutan menghadapi kematian. Akan tetapi saya berpendapat begini. Sama seperti menghadapi peperiksaan, anda berani dan bersedia menghadapinya bila anda telah cukup persediaan dan anda amat pasti akan lulus dengan cemerlang. Bagi yang persediaannya belum mantap, banyak lompong-lompong yang belum dipenuhi, perasaan takut menghadapi peperiksaan tentunya ada.

Bila anda tambah dengan membayangkan detik-detik terakhir anda menghadapi sakaratul maut, bagaimana jenazah anda diuruskan? , siapa yang menguruskan?, bagaimana suasana dalam keluarga ketika itu dan lain-lain, rasanya gementar itu tetap terasa.

Begitulah saya. Tidak tahulah perasaan anda.

Tulisan 48


Membayangkan semula episod aku kena langgar oleh kereta yang berlaku pagi Sabtu yang lepas , aku rasa amat bersyukur kerana aku tidak kena tepat di tengah-tengah kereta dan tergilis. Kalau itu yang berlaku pasti kaki aku patah, kepala mungkin terhentak dan banyak lagi kecederaan yang lain. Bersyukur juga kerana langgaran itu mencampak aku ke tepi dan kereta bergerak ke hadapan tanpa menggilis aku sedikitpun.

Semasa aku di dalam kereta yang melanggar aku, aku sempat juga menghantar berita ke whatsapp famili. Akan tetapi masa itu aku terasa macam beria kerana kecederaan tak seberapa, kecoh pula lebih. Tapi hakikatnya, aku dilanggar kereta. Bukan peristiwa kecil.

Rupanya di hari kejadian memanglah terasa tidak ada apa-apa. Cuma luka kecil sangat di tiga tempat. Dua di siku dan satu di pergelangan kaki. Tiga tempat yang sakit tetapi tidak cedera pula ialah di pangkal peha kiri bawah sikit dari sendi lesong ( bowl joint ) ( Harap kedua-dua istilah dalam bahasa Inggeris dan Melayu itu betul ), di lutut kanan dan di bahu kanan, akibat dilanggar dan jatuh terguling.

Akan tetapi rupanya kesan kesakitannya bermula sebelah malam. Lutut mula sakit sakit hingga nak ke bilik air terpaksa mengambil masa beberapa minit "adjust" kedudukan kaki untuk mengelakkan kesakitan yang kuat. Kesakitan itu bertambah hingga ke hari semalam ( Ahad ) .

Semalam pun ketika anak-anak ziarah dan bertanya khabar, aku masih terasa "beria" menghebuhkan aku kena langgar sedangkan taklah cedera teruk, tapi pokoknya aku kena langgar kereta dan terguling.

Terima kasih kepada semua yang perihatin.

Tiap sesuatu kejadian ada hikmahnya. Paling tidak kita dapat mengetahui sejauh mana kita diambil berat atau kita diberi perhatian. Siapa yang perihatin siapa yang tidak.

Tidak tahu pula sejauh mana betulnya, mood yang kita tunjukkan pagi-pagi hari memberi kesan kepada laluan hidup kita sepanjang hari itu.

Pagi itu aku bengang betul dengan lori di hadapan aku. Gerakannya amat perlahan . Teramat. Memanglah laluan sempit dan banyak bumper tetapi tidak sampai seperlahan itu. Itu tidak sangat menjadikan aku marah. Aku faham ada bumper di hadapan. Yang aku marah, bila jalan sedikit luas dan jalan di hadapan "clear" untuk aku memotong dan dah dalam proses memotongpun, tetiba pemandu lori itu melajukan lori tidak memberi ruang aku memotong.

Betullah ketika aku hendak memotong itu di hadapan sudah tidak ada bumper, tetapi apa salahnya biarkan aku memotong terlebih dahulu?  Memang aku jadi marah dengan sikap pemandu  lori tu lalu aku membunyikan hon yang panjang. Isteriku mengingatkan supaya jangan marah-marah ketika memulakan harian kita. Akan tetapi feel pemandu-pemandu memang banyak  yang menjengkelkan.

Aku tidak berani mengaitkan mood aku pagi itu dengan kemalangan yang menimpa aku. Namun ada dua tiga pengajaran yang dapat dikongsi bersama.

Pertamanya, jangan mulakan pagi anda dengan mood yang tidak baik kerana mungkin  akan mempengaruhi tidak tanduk anda seharian. Keduanya walaupun mengambil masa yang panjang, melintaslah apabila benar-benar giliran anda ( ini saya tidak pasti sebab seringkali kita tekan tombol untuk nyalakan lampu perjalan kaki, ianya tidak berfungsi) dan ketiga terimalah hakikat tidak semua orang perihatin dan simpati dengan kita oleh itu kita tidak berasa kecewa.

Tulisan 49


Lama kutatap perkataan "Tulisan 49". Tak tahu apa yang hendak ditulis. Menulis sesuatu yang segar dan seronok dibaca oleh pembaca, itulah matlamat aku. Akan tetapi tidak setiap masa idea yang segar datang. Itulah dilema seorang penulis ( penulis ke aku? atau sekadar orang biasa yang meluahkan apa yang dilihat, dirasa atau ditakkuli.) Persoalannya, apa yang nak kuluahkan hari ini?

Sebenarnya lebih mudah menjadi Penglipurlara, Awang Batil atau Tok Selampit daripada menjadi penulis seperti aku sekarang ini. Kenapa aku berkata begitu?

Penglipurlara, Awang Batil atau Tok Selampit ada set cerita yang tersedia turun temurun yang mana mereka akan hamburkan saja kepada khalayak mereka satu lepas satu dan khalayak mereka menerima sahaja bulat-bulat tanpa komen atau mengharapkan sesuatu yang baru dari mereka. Mereka pula akan mengulang semula cerita mereka apabila set cerita yang ada pada mereka sudah diceritakan semuanya. Sedangkan aku terpaksa tadi skrol ke atas ke bawah menyusuri 48 tulisanku dan catatan-catatan di tempat-tempat lain untuk mengelakkan perulangan.

Ini kerana apa yang nak kuceritakan hari ini seperti pernah kutulis di mana-mana. Susun atur cerita dan struktur ayat yang berligar di kepalaku seperti pernah kutulis sebelum ini. Namun carianku  gagal  menemui apa ysng akurasa pernah kutulis. Mungkin aku pernah menceritakannya kepada seseorang secara lisan.

Lalu kutulislah apa yang tertulis di bawah ini. Maaf sekiranya ia satu perulangan.

Bercakap tentang Penglipurlara, aku sebenarnya adalah generasi akhir ( kini ) seorang penglipurlara. Sekurang-sekurangnya itulah tanggapan akutentang diri aku. Mengikut ibu, Tok aku, Tok Lope bapa kepada ibu , di waktu  malam  akan dikunjungi oleh orang-orang kampung untuk mendengar cerita dari Tok. Dia akan bercerita dan berhenti di tempat yang tergantung-gantung  yang mengundang rasa ingin tahu dan datang lagi malam besoknya. Aku tidak pasti apakah ibu pernah bercerita orang-orang kampung memberi sesuatu kepada Tok atas khidmatnya itu.

Menguatkan lagi tanggapanku tentang susur galurku dari seorang penglipurlara ialah, cerita-cerita yang dipelajari pelajar paling awal di Tingkatan 5 kalau tidakpun di peringkat universiti seperti Hikayat Malim Dewa, Hikayat Malim Deman, Hikayat Si Miskin, Bawang Putih Bawang Merah dalam kepala ibuku sahaja. Yakni generasi kedua selepas Tok Aku.

Banyak cerita-cerita dongeng yang kudengar dari mulut ibuku sebelum aku bersekolah lagi. Sayang banyak yang sudah kulupa tetapi ada lagi yang masih kekal dalam ingatan. Sayang ketika itu tidak ada langsung terfikir dibenak aku untuk menuliskannya dalam buku.

Ketika menjadi guru, bila semua sukatan pelajaran sudah selesai, peperiksaan sudah selesai dan keputusan peperiksaan sudah dikeluar, aku isi masa dengan bercerita.  Aku bercerita balik apa yang pernah ibuku ceritakan kepada aku. Salah satunya ialah cerita Kalau Marah Kena Jual yang menjadi asas cerita Tiga Abdul arahan P. Ramlee.  Hingga bila aku masuk kelas, murid aku akan minta aku bercerita. Aku akan layan sekiranya masa itu memang sudah habis sukatan pelajaran atau aku cuma masuk menggantikan guru yang tidak hadir.

Semasa aku menuntut di MPTI, kawan-kawan mengerumuni aku untuk mendengar cerita. Akan tetapi bukanlah lagi cerita-cerita dongeng tetapi cerita-cerita jenaka  yang kukumpul sepanjang hidupku.

Ada pelbagai cerita dari pelbagai sumber dan pelbagai bentuk. Juga pelbagai tahap pemikiran. Nak dengar, jum jumpa aku. Bayarannya belanja minum je hihi.

Cerita-cerita jenaka ini juga menjadi penyeri ketika aku menyampaikan ceramah. Aku pilih cerita yang ada kaitan dengan isi ceramah jadi tidak kedengaran janggal dan kelancaran ceramah tidak terganggu. Aku tidak setuju dengan penceramah yang sengaja memberhentikan ceramahnya untuk menyampaikan cerita jenakanya yang langsung tiada kaitan dengan isi ceramah yang disampaikan.

Aku tidak pasti adakah ada antara anak-anakku yang mempunyai bakat bercerita seperti aku tetapi aku tahu ada yang boleh menulis tetapi tidak atau belum mengembangkannya.

Tulisan 50

Tetiba saja saya rasa teringin berkongsi sesuatu yang di luar kebiasaan atau di luar kotak kata orang. Sesuatu yang berat sebenarnya tetapi saya nak sampaikan dengan cara yang ringan.

Cuma nak kongsi. Kongsi ilmu, kongsi pengalaman , kongsi cara ,  setakat pengetahuan dan pengalaman yang  ada pada saya.

Kalau nak explore lebih jauh dan lebih dalam terpulang anda. Nak berekspremen juga boleh.
Suspen je bunyinya kan?

Suatu malam di doom asrama yang ada sekitar 20 orang pelajar, dua orang pelajar terbangun hampir serentak. Seorang di suatu hujung doom dan seorang di hujung yang satu lagi. Kedua-dua membuka mulut untuk menyapa. Kedua-duanya mengungkapkan soalan yang sama.

Pernah anda alami? Kenapa keadaan begini  berlaku?

Menurut guru biolagi saya , Cikgu Harun , ketika  saya belajar di Sekolah Alam Shah dulu, perkara begini berlaku kerana dalam keadaan tenang, gelombang pemikiran kita menjadi sama apabila kita tertumpu. Dalam kes tadi, pelajar A tertumpu kepada pelajar B, sementara pelajar B juga tertumpu kepada A.

Begitu juga sedang anda berjalan di suatu lorong taman perumahan atau jalan kecil kampung anda, anda terasa macam anda dipandang dan anda menoleh. Betul anda sedang dipandang.

Pernah tak anda memandang kawan perempuan sekelas anda dengan begitu kyusuk , tetiba dia menoleh dan memarahi anda: apa pandang-pandang?Apa anda jawab? Kalau saya, saya jawab, kalau awak tak pandang saya macamana awak tahu saya pandang awak?

Pernah alami? Kenapa anda dapat merasainya? Kenapa kawan anda merasainya? Sekali lagi dalam keadaan tenang, aliran fikiran sipemerhati bersambung dengan anda yang diperhati. Begitu juga anda yang memerhati bersambung dengan gadis yang anda perhati. Dapat? Begitulah kata Cikgu Harun lagi.

Tiori yang nampak kecil ini membawa kepada satu kaedah menghubungkan minda dengan minda malahan minda dengan benda-benda melalui kaedah yang dinamakan telepati. Hingga di peringkat aras tinggi, ada yang mampu membengkokkan paku melalui tenungan mata dan pemusatan pemikiran.

Apa yang disebutkan oleh Cikgu Harun ini amat menarik perhatian saya lalu saya baca beberapa buah buku atau artikel tentang telepati ( telepathy) dan mula bereksprimen. Memang sukar dengan ilmu yang sedikit. Tetapi saya berjaya melakukan dua tiga perkara melalui kaedah ini.

Apa yang En Yahya melalut ni?  Mungkin ada yang berfikir begitu. Tapi saya berjaya melakukannya walaupun kejayaan itu sangat kecil. Halangan paling besar ialah memusatkan fikiran.

Saya ketika memandu sendirian di Lebuhraya dan berhenti rehat kerana mengantuk akan beritahu minda saya, aku nak tidur 10 minit sahaja. Syukur alhamdulillah , dengan izin Allah, di minit yang ke 9 nak sampai ke 10 saya tersedar macam dikejut ( kata orang Perak, tergeramang) dan saya bangun on time untuk meneruskan perjalanan. Ini sering saya lakukan. Itu masa saya masih bekerja le. Sekarang tidak bekejar dengan masa, saya tak set le. Minda kita sebenarnya boleh di"set".

Ketika di kampung ada seorang gadis, belajar matematik dengan saya. Malam itu dan rasanya malam sebelum itu pun dia tidak datang seperti selalu. Kerana hati nak dia datang,  jadi dengan tiori telepati pemusatan fikiran, saya fokus. Saya bayang dia bersiap, saya bayangkan dia capai buku, saya bayangkan dia berjalan ke rumah saya, semakin hampir dan hampir lalu saya terdengar gemerincing bunyi rantai kakinya, dan dia betul sampai.

Itulah kejayaan paling hebat. Tak tahulah telepati saya memang berhasil atau kebetulan tetapi ianya amat menakjubkan saya.

Saya pernahlah cuba nak bengkokkan paku dengan telepati, tetapi dah sampai ke usia 70 ni pun masih gagal. Hi hi .Kalau tidak saya tentu dah jadi macam David Copperfield si pemain silap mata tersohor tu ( Daud Padang Tembaga nama Melayunya ).

Tulisan 51


Ada dua tiga buah cerita yang saya suka sampaikan kepada pegawai-pegawai saya atau sesiapa yang menjadi pendengar saya ketika menyampaikan ceramah atau ucapan.

Pernah di suatu Perhimpunan Pagi di Jabatan saya, ucapan saya,  saya sampaikan dalam bentuk bercerita yang kemudiaannya saya kaitkan dengan mesej yang hendak disampaikan.

Dalam tulisan saya pagi ini , saya hendak menceritakan semula kesah-kesah itu. Walaupun jarak waktu saya bekerja dulu dengan sekarang dah lebih 14 tahun, ceritanya tetap malar hijau dan sesuai  didengar dan dijadikan panduan untuk yang masih bekerja atau yang sudah tidak bekerjapun tetapi masih aktif mengusahakan sesuatu.

Mungkin anda pernah mendengar cerita-cerita itu dari pelbagai sumber dan pendekatan. Namun apa yang akan saya sampaikan adalah versi saya sendiri.

Cerita pertama yang nak saya ceritakan ialah cerita katak. Bukan katak yang menjadi hadiah ulangtahun  kelahiran  Asmidar pemberian Ali Setan. Ini katak  utara di sebuah padang sekolah.

Dua ekor katak sedang santai-santai menghirup angin petang. Melompat beriringan dengan riang. Tiba-tiba plob..kedua-duanya  termasuk ke dalam lubang yang sempit dan agak dalam. Lubang bekas tiang gol.

Jenuhlah kedua - duanya melompat untuk menyelamatkan diri keluar dari lubang itu tapi tetap gagal.

Sedang kedua-duanya cuba untuk keluar, lalulah seekor katak yang lebih veteran.
- Hang Pa buat apa dalam lubang tu?, sapa Si Katak Veteran.
- Kami terjatuh ke dalam lubang ni. Ni tengah dok cuba keluaqlah ni. Jawab salah seekor katak itu.
- Hentikanlah melompat-melompat tu. Buat penat badan ja. Ramai dah jatuh lubang lagu ni, memang tak lepeih punya, kata Katak Veteran lalu berlalu pergi.

Salah seekor katak tadi terus berhenti melompat dan putus asa. Seekor lagi terus melompat dan melompat dengan daya yang semakin kuat. Akhirnya Katak ini berjaya keluar .

Kenapa katak yang seekor tadi terus terdiam sedang katak yang seekor lagi terus mencuba? Rupa-rupanya katak yang terus terdiam tadi menerima saranan Katak Veteran itu supaya tidak perlu berbuat apa-apa kerana banyak yang memcuba tetapi gagal. Sedangkan katak yang terus mencuba dan berjaya keluar itu adalah seekor katak yang pekak. Dia tidak dengarpun kata-kata Si Katak Veteran.

Di sini bukanlah bermaksud untuk berjaya harus pekak. Ia bermaksud kita hendaklah memekakkan telinga kita kepada saranan-saranan negatif ( negative sugestion) sebaliknya sentiasa membuka telinga kita menerima saranan-seranan positif ( positive sugestion)

Saya berpesan kepada pegawai-pegawai saya dulu, atau rakan rakan setugas saya, sekiranya mereka terfikir suatu program atau projek , teruskan walaupun ramai orang memberikan pandangan-pandangan yang negatif. Kalau anda yakin anda betul dan anda boleh menjayakannya dan program itu boleh memberikan manfaat, teruskan. Pekakkan telinga kepada pandangan pandangan negatif yang menyatakan anda tak boleh melakukannya, halangannya banyak dan sebagainya.

Jadi akhirnya saya berpesan jadilah *Katak Pekak*.

Tulisan 52


Seharian ini tidak menulis. Badan yang kurang sihat dan masa yang separuh habis dalam perjalanan penyumbang kepada terhalangnya aku dari menulis.
Aku pun sedang memikirkan apakah akan kusambung tulisan dengan cerita tauladan  kedua atau menulis dulu sesuatu yang lain. Sesuatu yang lain itu sudah kufikirkan dari semalam.

Semalam aku ingin menulis begini. Kita selalu mendengar ungkapan, aku terlalu sayang padamu. Lalu responnya ialah akupun.

Maknanya samalah kan? Tapi betul ke sama? Kalau A menggunakan 100 iaitu sekala tertinggi sebagai gred aku terlalu sayang padamu  apakah Si B yang mengungkapkan akupun juga bermaksud menggunakan sekala 100 ?

Katakan yer, kedua-kedua A dan B menggunakan sekala 100, adakah ini bermaksud sama? 100 bagi B mungkin secara berbanding hanya 20 sahaja bagi A bukan? Inilah adalah kerana perasaan seperti sayang sesuatu yang amat subjektif. Pengukuran melalui ungkapan memang tidak dapat menggambarkan perkara sebenar. Itu belum lagi diambil kira jika B menyebut aku pun itu sebagai ungkapan ambil hati.

Jadi bagaimana mengukur perasaan? Tiada suatu skala yang tepat. Cuma rasanya ukuran yang boleh dipakai ialah tindakan / perilaku yang mengiringi aku terlalu sayang padamu dan tindakbalas/perilaku dari yang mengungkapkan akupun itu. Itupun tetap masih tak dapat diukur dengan tepat kerana perlakuan juga boleh ditakdir secara subjektif.

Faham apa yang aku cuba sampaikan?
Kenapa perkara ini yang aku tulis. Pertama kita tidak pernah lari dari perasaan. Kedua sesekali apa salahnya kita memikirkan sesuatu yang serius secara santai. Ketiga supaya tidak ada yang terbuai dengan ungkapan aku pun.
Satu lagi yang ingin aku sentuh, ialah tentang impian dan harapan.

Anda menggantung impian ingin melaksanakan sesuatu dengan orang tersayang. Harapan anda begitu tinggi. Anda merangka begitu dan begini. Siap-siap dengan langkah yang anda bayangkan kepada  yang tersayang. Anda bayangkan hasilnya yang begitu perfect.  Tapi bila waktunya sampai impian dan harapan anda berkecai. Bukan sahaja segala langkah tidak terlaksana. Apa yang anda ingin lakukan bersamapun tidak terlaksana. Kenapa?

Impian dan harapan anda tidak sepunya. Apa yang anda rangka bukan apa yang pasangan anda mahukan. Apa yang menjadi harapan anda tidak.pernah menjadi harapannya.

Solusinya bagaimana? Binalah titik kesamaan. Binalah impian dan harapan yang sepunya. Apapun sekali lagi ia sesuatu yang subjektif.

Agak pendek tulisan saya kali ini . Akan tetapi biarlah ianya pendek asal dapat dihayati sepenuhnya.

Bercakap tentang perasaan, tentang hati dan rasa, tentang cinta dan rindu adalah topik yang tidak akan habis dan ianya merentasi usia.

Sekian.

Tulisan 53


Kesibukan membuat aku tiada waktu sesuai untuk menulis. Biarlah dua tiga hari ini berlalu tanpa tulisan aku,  Tulisan. Selama inipun aku yang memaksa diri aku untuk menulis setiap hari dengan gambaran dalam minta yang orang menunggu-nunggu tulisan aku. " Perasan betul aku " .

Sekurang-kurangnya dengan ketiadaan tulisan aku sehari dua ,  dari pertanyaan-pertanyaan  yang aku terima, aku tahu apakah tulisan aku ditunggu, atau tak adapun tak mengapa atau tak ada lagi bagus kerana tidak menyemakkan ruang.

Ada dua tiga whatsapp group yang terlintas di hati aku untuk tidak menghantar lagi Tulisan ke situ. Ini kerana aku merasakan Tulisan aku , hilang di olak. Tiada seorang pun memberi respon. Jadi buat apa aku syok sendiri menghantar ke group itu kan? Aku tak nak setiap kali tulisan aku masuk akan ada yang bersuara dalam hati  " Ishh menyemak betul ".

Sebenarnya, ada setengah admin berkira benar dengan ruang di dalam whatsapp ini. Meminta ahli mengisi senarai nama atau apa saja secara copy, tambah dan send pun baginya terasa rugi ruang kerana macam berulang-ulang sedangkan itulah kaedah terbaik dan mudah melengkapkan maklumat.

Ada yang tidak berminat membaca tulisan yang panjang. Tulisan pendek aku tu sudah dikira panjang mengikut sekalanya. Ahli whatsapp yang begini akan skip bila berjumpa tulisan yang panjang. Tapi jangan terkejut kalau orang yang sama juga kaki sebar walaupun dia sendiri tidak membacanya.

Sebenarnya tulisan dalam media whatsaap ini memang sukar untuk diketahui samada dibaca atau tidak selain melihat kepada rrspon atau komen. Seperti pernah saya tulis tanda dua tick warna biru tidak bermakna tulisan anda sudah dibaca. Mungkin cuma dibuka.

Dalam pada itu ada pula member yang bertanya, hari ini tak ada tulisan ke? Kawan sorang ini berminat untuk respon dengan memberi komen dan hujahnya sendiri yang seringnya hampir sama panjang kalau pun tidak lebih panjang dari  tulisanku sendiri. Jadi kena layan juga member yang sentiasa menanti ini.

Sir Arthur Conan Doyle pernah jemu menulis novel Serlock Holmes lalu dia mematikan watak Serlock Holmes. Namun peminat-peminat Serlock Holmes tidak boleh menerima kematian Serlock Holmes. Bantahan berterusan hingga Sir Arthur Conan Doyle, terpaksa membuat novel bagaimana sebenarnya Sherlock Holmes tidak mati dan dia dihidupkan semula.

Kenapa aku tulis tentang Sherlock Holmes? Ada kaitan ke dengan Tulisan? Macam tak ada saja. Sajalah tunjuk tahu tentang Sherlock Holmes. Aku suka benar baca novel Serlock Holmes dan masa bebudak, aku terasa teringin nak menyiasat macam dia. Mengumpul bukti dari persekitaran dan bagaimana dia mengaitkan dengan sesuatu kes. Pandai betul dia. Tapi yang pandai sebenarnya Sir Arthur Conan Doyle.

Seperkara lagi kenapa aku sentuh tentang Sherlock Holmes ini ialah kerana aku tak tahu nak tulis apa hari ini. Sorry pembaca.

Tulisan 54


Apakah itu mimpi? Mimpi ialah paparan-paparan tersusun atau tidak tersusun imej-imej , idea-idea, emosi dan sensasi yang muncul secara bawah sedar dalam sebahagian tidur kita.

Setiap kita pernah bermimpi dalam pelbagai bentuk kerana terdapatnya kepelbagaian imej, idea, emosi dan sensasi yang kita lalui dalam pemikiran sedar kita yang menjelma kembali sebagai pemikiran bawah sedar ketika kita tidur.

Ada mimpi indah, ada mimpi ngeri, ada mimpi lucu, mimpi sedih dan sebagainya yang kalau hendak diperturunkan satu persatu akan mengambil ruang yang banyak.

Saya tidak boleh lupa, sejak saya zaman kanak-kanak membawa ke dewasa ( sekarang baru tidak ) iaitu saya sering mimpi terbang. Dalam mimpi itu saya mampu bermain dengan tangan saya yang mengambil fungsi kepak, mengimbangi badan saya seperti sebuah glider terbang dari satu ketinggian ke bumi dengan begitu lembut dan berirama. Ketika sudah hampir mencecah bumi pun masih boleh dikawal menaik dan menurun bagaikan gelombang, hinggalah saya betul-betul mencecah bumi. Sudah lama tidak bermimpi begitu.

Ada ungkapan menyebut mimpi ialah permainan tidur. Betulkah begitu? Tidakkah sebenarnya mimpi ialah permainan fikiran sedar dan bawah sedar yang menghiasi tidur anda? Tidakkah anda pernah mendengar ungkapan , peristiwa yang dialami di waktu sedar terbawa-bawa ke dalam mimpi?

Kekuatan imaginasi anda mencetuskan mimpi yang hebat di waktu tidur anda.

Cuba anda putar balik mimpi-mimpi yang anda pernah lalui. Perasan atau tidak yang mimpi kita tidak pernah dalam warna? Tidak percaya putar dan putar lagi mimpi anda. Memang dalam hitam putih kan?

Akan tetapi seorang rakan saya, seorang penyair dan juga pelukis dalam lingkungan tertutup kami penuntut di maktab perguruan, pernah mendakwa dia mimpi dalam warna. Indah sekali mimpinya.

Dia mimpi berkolek di sebuah tasek yang airnya biru dan begitu tenang. Bersamanya ialah seorang gadis yang sangat jelita berkebaya labuh berwarna kuning sepasang. Rambutnya yang lebat dan hitam terhurai indah melepasi bahu. Mereka hanya berdua di kolek itu dan hanya berdua di tasik itu. Indah, tenang dan begitu romantik.

Pejamkan mata anda dan berimaginasilah. Begitu gambaran yang diberikan oleh kawan itu , 50 tahun lalu ketika dia menceritakan kepada saya mimpinya itu.

Di penghujung usia ini, kami sempat kembali mengimbau dan menyingkap tentang mimpi dan realiti yang mencetuskan mimpi berwarna itu.

Realitinya gadis itu memang wujud di kalangan kami. Kekuatan rasa cintanya kepada gadis itu,  disokong daya imaginasinya sebagai pelukis dan penyair menghadirkan mimpi indah itu di dalam tidurnya.

Sayang sekali hubungan kasih mereka tidak membawa ke jinjang pelamin .

Sebab sebenarnya tidak jelas tetapi ada kaitan dengan kekangan /halangan keluarga.

Eh melalut pula saya dari memperkatakan tentang mimpi kepada memperincikan tentang cinta mereka yang berwarna warni,  yang mencetuskan mimpi berwarna.

Kuatkan daya imaginasi anda. Mana tahu suatu hari, anda juga dapat menikmati mimpi berwarna. Tidak sekadar mimpi dalam hitam putih seperti filem dulu-dulu.

Sekian.

Tulisan 55


Aku suka dan bangga dengan nama aku walaupun nama aku nama lama yang tidak dicampuraduk dengan nama ciptaan seperti nama gabungan dan sebagainya.  Nama aku Yahya Md Yusof. Tiada (.) selepas Md. Yahya = 5 huruf. Md= 2 huruf dan Yusof = 5 huruf. Yahya Md Yusof = 5:2:5. Seimbangkan? Yahya huruf pangkalnya Y dan Yusof juga pangkalnya Y. Seimbangkan? Dan aku boleh menulis kependekan namaku YMY sahaja. Cantik kan? Maaf kerana hari ini aku seronok sendiri dan bangga sendiri dengan nama aku.

Ada orang berkata apa ada pada nama. Betul ke pendapat itu? Pada aku nama itu ada maruahnya yang tersendiri yang perlu dijaga.

Ada bapa yang kononnya berjiwa sastera, menamakan anaknya dengan nama sastera konon yang dia sendiri mengerti , sedang yang menanggung beban membawa nama itu ialah anaknya. Tolonglah jangan syok sendiri. Katakan aku ni taksuf sangat dengan sastera, aku aku namakan anak aku Kenangansilamku Bt. Yahya . Tak ke nyaya anak aku. Ada dalam masyarakat kita. Cari sendiri.

Ada orang bangga membawa namanya sendiri ke persada masyarakat dan boleh hidup dengan namanya sendiri walaupun  namanya tak sesedap mana. Tetapi ada yang terpaksa membawa nama besar bapanya yang dikenali untuk hidup dikenali. Orang yang macam ini tidak mempunyai yakin diri. Contohnya , nama bapanya Fazli Omar yakni Fazli bin Omar. Nama dia sendiri Amran. Amran bin Fazli. Tapi untuk dikenali dia kena  bawa nama penuh bapanya lalu jadilah namanya Amran Fazli Omar. Ada beberapa orang artis berbuat demikian. Carilah sendiri. Aku tidak berani nak tulis kerana takut kena saman. Kalau disaman, aku mana ada duit nak bayar. Kereta yang hangus terbakarpun masih terbiar jadi besi buruk.

Ada pula yang bawa gelaran bapanya ke dalam namanya. Mana mahunya kan? Janggal. Contohnya Fazli Omar tadi ada gelaran Dato'. Jadi Dato' Fazli Omar. Eh dia tulis nama dia Amran Dato' Fazli Omar. Mana betulnya macam itu? Gelaran kena di depan. Penyakit ini bukan pada artis saja tetapi kawan aku pun ada buat macam tu. Yang Tan Sri bapa dia. Apa pula dia ambil untuk sebahagian nama dia. Nama dia Ali. Lalu namanya Ali Tan Sri Abu Bakar.

Nama kita dan nama bapa kita ada maruahnya sendiri yang seharusnya dijaga. Kadang-kadang orang kenal bapa kita tapi tak tahu nama kita. Jadi orang sebut kita sebagai anak Busu , anak Kamal dan sebagainya. Kenalah kita berperangai elok supaya nama bapa kita terpelihara.

Ketika aku kanak-kanak , aku balik ke Batak Rabit , Teluk Intan . Lalu ada orang tua ni  sebut pada kawan dia, saudara mara dia dan saudara mara aku juga kut. Inilah Anak Keling Cucu Tambi. Ish rasa nak marah dan terhina jugalah. Tapi dia bercakap jujur. Bapa aku di kampung dan di kalangan saudara mara tidak dipanggil Md Yusof sebalinya Si Keling kerana kulitnya gelap sikit berbanding kulit adik beradik yang lain. Macam kulit akulah kut. Tok aku sebenarnya berasal dari Melaka. Biasalah orang Melaka nama Tambi. Jadi nama bapa aku Md Yusof bin Tambi. Jadi betullah aku Anak Keling Cucu Tambi.

Kalau bapa kita seorang yang sangat dikenali dengan ketokohannya, beragama, berilmu, berwibawa dan disegani ramai, janganlah kita muncul dengan buah fikiran yang entah apa-apa yang jadi bahan cemuhan. Aliran pemikiran dan pendirian kita yang bercekaru dll. Nanti orang kata, buat malu bapa saja.

Tulisan 56


Dalam perjalanan dari Beranang ke MRSM Kg. Gajah, banyak  benda yang aku lihat dan kujadikan bahan bualan kerana aku tidak memandu kali ini . Aku jadi penumpang sahaja dan duduk di kerusi belakang.

Di sekitar Plaza Tol Kajang Silk, aku melihat pohon-pohon lontar. Aku tertarik dengan pohon lontar ini atas beberapa sebab. Pertama, aku rasakan tidak ramai yang tahu pohon lontar walaupun pernah melihatnya atau melihatnya setiap hari. Sejujurnya cuba jawab, apakah anda yang sedang membaca tulisan ini kenal pohon lontar?

Berapa orang yang sedar atau kata orang sekarang ambil pot, bahawa lambang DBP itu ialah daun lontar? Kenapa daun lontar dijadikan lambang DBP? Berapa orang yang tahu bahawa daun lontar ialah salah satu bahan tempat hasil tulisan-tulisan zaman dahulu diabadikan?

Pohon lontar juga disebut dalam Hikayat Seri Rama. Di mana dalam sayembara merebut Cita Dewi, putera-putera raja yang bersaing dalam sayembara dikehendaki memanah 40 batang pohon lontar yang ditanam sederet. Rawana yang hebat dan bongkak  dengan kehebatannya yakin akan memperisterikan Cita Dewi hanya mampu menembusi 37 batang pohon lontar. Sebaliknya anak panah Seri Rama mampu menembusi ke 40 batang pohon lontar tersebut dan berjaya menperisterikan Cita Dewi. Mulai saat itu permusuhan antara Rawana dan Seri Rama bermula. Nak tahu pengakhirannya? Carilah Hikayat Seri Rama. Bacalah sendiri hi hi.

Melalui jalan Ayer Hitam ke Langkap melalui Chu Chak, kelihatan banyak bangau di sawah yang masih belum ditanam padi. Lalu aku beritahu cucu yang duduk di sebelah, itulah burung bangau. Lalu teringat cerita bangau dengan anjing. Bersahabat tapi tidak ikhlas.

Satu hari anjing mengajak bangau ke kediamannya kerana konon ingin menjamu sahabatnya bangau makan. Sampai di kediamannya anjing menjamu bangau makan di dalam pinggan yang amat leper. Bangau tak dapat hendak memakan makanan yang dihidangkan oleh anjing. Anjing sajalah yang makan sampai habis.

Beberapa hari kemudian bangau pula menjemput anjing ke rumahnya sebagai membalas jamuan yang diberikan oleh anjing sebelum itu.
Di kediamannya bangau menjamu anjing di dalam labu yang mulutnya hanya muat muncung bangau sahaja. Terkukat-kulatlah pula anjing.

Kuceritakan pula kepada cucu bagaimana bangau yang sangat dahaga berjumpa labu yang berisi air tetapi airnya jauh ke bawah. Muncung dan lehernya tak dapat mencapai air tersebut. Cerita asalnya gagak. Tapi dah terlanjur cerita tentang bangau, aku tukar watak gagak kepada bangau. Tak ganggu ceritapun dan cucu aku mana tahu watak asalnya gagak.

Aku ceritalah bagaimana bangau yang cerdik itu memasukkan batu-batu kecil ke dalam labu itu hingga air di dalam labu itu naik ke atas dan bangau itu dapat minum sepuas hatinya.

Aku katakan pada cucu aku yang itu kecerdikan bangau zaman itu. Aku katakan bangau sekarang lebih cerdik. Bangau tu cari dan gunakan straw hi hi.

Aku juga cerita kat cucu aku tentang orang buta yang hendak tahu apa itu susu yang akhirnya dikaitkan dengan bangau. Siapa yang tak tahu, bertanyalah kepada yang tahu. Malas nak ulang sebab dulu dah tulis, hi hi.

Sampai MRSM nampak pula sekawan monyet dalam kawasan asrama. Student baru ke tu? Tanyaku melawak dengan cucuku.  

Meneruskan lawak bodoh kami, aku kata kalau  monyet-monyet tu rajin mengintai masa cikgu mengajar , boleh dapat straight 8A , PT3.

Lepas hantar barang ke asrama kami keluar
makan ke Patro Perak Agrotourism Resort.
Bagus juga untuk bersampai-santai kat sini. Makanan di sini harganya agak murah.

Sekian dulu. Kalau nak sambung cerita balik pula, lambat pula pos yang ni. Semalam pun dah tak pos apa-apa.

Tulisan 58

Hari ini saya tidak menulis atas  tajuk- tajuk atau perkara - perkara khusus sebaliknya apa yang saya teringat bila berada di sesuatu tempat atau dalam sesuatu situasi sepanjang hari ini..

Ke ATM BSN pagi ni. Kebetulan memang dalam laluan saya ke Masjid Al.Najihin. Tengok pelanggan berbaris agak panjang. Mesin tergendala. Cadang nak bergerak dah ke bank lain di sebelah. Saya sebenarnya tidak.kesah dengan bayaran RM1 kalau keluarkan dari ATM bukan bank kita. Apa ada pada RM1 berbanding dengan petrol kereta bergerak ke ATM nak cari juga ATM bank kita? Cari parking lagi. Ramai yang ada bank lain berdekatan, hendak juga ke ATM bank sendiri. Saya memang tak faham yang ni.

Saya tak jadi ke bank lain kerana sedang menapak bank bersebelah sistem dah ok dah.

Ada yang menggunakan CAD. Ada yang menggunakan ATM. Pelanggan yang menggunakan CAD punyalah lama urusan dia seorang je. Saya tak berani komen apa-apa kerana tidak tahu apa masalah dia sebenarnya.

Kat sini saya teringat satu kesah beberapa tahun dulu. Saya buat kad ATM gantian kerana kad saya hilang. Setelah selesai (kononnya) saya diarahkan ke ATM untuk mengaktifkan. Namun beberapa kali saya cuba tidak berjaya kerana masalah sistem. Saya mengadu kepada pegawai di kaunter. Komennya saya yang tidak tahu menggunakannya.

Saya maklumkan ada masalah dengan sistem. Dia tidak percaya. Benggang juga. Saya bukan buta IT. Akhirnya pegawai itu ajak saya ke ATM dan malu sendiri ( kalau pandai terasalah ) . Memang ada masalah pada sistem.

Saya cakap dengan pelanggan-pelanggan lain, janganlah bila orang tu tua sahaja, bersongkok maka terus mengkategorikannya sebagai bodoh. Bahaya. Mungkin pelanggan tua  itu bekas pengarah, CEO atau Ketua Jabatan. Mana tahu kan? Ini bila tua je dikaitkan dengan bodoh. Tak tahu.

Selesai di BSN saya ke Celcom. Nak bayar bill hp. Saya sampai 10.03 pagi. Waktu buka sepatutnya 10 pagi. Tapi bila saya nak masuk dimaklumkan lagi 5 minit. Saya tanya balik, kenapa? Sistem.belum "on". Saya basuh sikit je, sepatutnya "on" sebelum pukul 10.00. Saya berani kata begitu sebab saya pernah menulis dalam Tulisan , semasa saya memberi kursus, saya pastikan pada ketika peserta pertama menapak masuk dewan, saya sudah boleh tekan "enter" untuk memulakan kursus.

Saya kena bayar RM120. Saya beri duit RM200. Budak kaunter tanya saya balik, tak ada duit kecil ke? Malas nak bising,carilah duit RM5 dan RM1 beberapa keping untuk mencukupkan RM20. Malas nak komen dah. Sepatutnya mereka bersedia. Inipun saya dah tulisan dalam Tulisan

Lepas tu saya mencari suratkhabar. Sejak member penjual surat khabar di Pusat Komuniti Bandar Tun Razak,  berhenti menjual surat khabar, terpaksa cari tempat lain. Petronas Seri Permaisuri pun berhenti jual suratkhabar tak tahu kenapa? Nak cari di Seven 11, sejak Malaysia Baru apa ke jadahnya mereka takut nak jual Utusan Malaysia. Tapi akhbar-akbar parti yang sah suara parti jual pulak. Utusan Malaysia tidak pernah jadi surat khabar rasmi Umno. Ia suara Melayu dari sebelum merdeka lagi. Apa ke masalahnya orang Melayu sendiri benci Utusan?

Pindah ke Beranang, ada seseorang tegur saya kepit Utusan. Saya dah 7 tahun tak baca Utusan , katanya. Beli apatah lagi. Hinanya Utusan yang pernah berperanan menyatukan Melayu.

Oklah dah petang baru tulisan ni siap. Saya pos seadanya saja.

Tulisan 61


Perjalananku bersama keluarga ke Ipoh pagi ini tersangkut-sangkut kerana Kesesakan jalan raya yang  bermula dari Bukit Beruntung. Mujurlah selepas melepasi Lembah Beringin perjalanan mulai lancar.

Aku pernah mengalami kesesakan yang jauh lebih teruk malahan amat teruk dari ini akibat pertembungan Tahun Baru Cina dengan Hari Raya Islam. Tidak ingat dengan pasti tahunnya dan Hari Raya Aidil Fitri atau Aidil Adha kerana sudah lama berlaku dan aku pula menulis  Tulisan 61 ini di dalam kereta. Tidak dapat merujuk kepada catatan dalam diariku. Tapi yang pasti tahun 1980an. Lebuh Raya Utara Selatan belum ada lagi masa itu.

Aku naik bas Ekpres Restu dari Ayer Tawar , Perak ke Kuala Lumpur melalui Ipoh. Cuba bayangkan dari Ayer Tawar sekitar 4.00 petang. Aku sampai ke Serdang sekitar pukul 1.00 pagi.
Bayangkan juga kepala deretan kenderaan sudah memasuki Bidor ekornya masih di Ipoh. Bayangkan juga bagaimana pembantu pemandu boleh turun dari bas seawal pekan Bidor dan berjalan kaki ke tempat jualan jambu batu, sempat naik semula ke dalam bas kami selepas membeli buah jambu batu.

Itu masa Lebuhraya belum siap. Masa lebuhraya sudah siap pun peristiwa kesesakan teruk berlaku juga beberapa kali gara-gara pertembungan dua perayaan. Pun aku lupa tahunnya. Anak aku menumpang kereta kawan yang balik ke Pulau Pinang dan minta aku menunggunya di Tol Ipoh Selatan. Dia sampai di Simpang Pulai pukul 4 pagi tetapi hanya sampai ke Tol Ipoh Selatan pada pukul 6 pagi. Teruk kan?

Pernah juga aku keluar Tol Ayer Keruh Melaka pada pukul 2 petang dan sampai susur keluar Kajang pada waktu maghrib.

Begitulah kesesakan bermusim di jalan-jalan raya di Malaysia. Tetapi kesesakan harian juga berlaku dengan teruknya di jalan-jalan tertentu saban hari pada waktu ke pejabat dan balik dari pejabat.
Tidak tahulah bilakah ianya akan selesai. Buatlah lagi banyak jalan, sesaknya masih sama. Bina jajaran MRT, sesak tidak berkurang juga.

Ini ada kaitan dengan begitu mudahnya dan betapa galaknya orang-orang muda membeli kereta. Masa saya muda tidak pernah dengar 0 down payment. Sekarang sudah ada. Sudah le 0 down payment full loan pulak tu. Jadi yang baru bekerja sebulan pun dah gatal nak berkereta walaupun ia bukan bertaraf perlu cuma.bertaraf kehendak sahaja. Sedang aku dulu selepas 5 tahun berbasikal, barulah dapat membeli kereta.

Ini juga menyumbang kesesakan di tempat letak kereta di rumah-rumah pangsa atau appartment. Bayangkan sebuah rumah ada dua atau tiga buah kereta sedangkan tempat letak kereta terhad kepada sebuah sahaja bagi sebuah rumah.

Lagi satu penyumbang kesesakan ini adalah kerana kita boleh menggunakan kereta kita selagi kereta kita boleh bergerak. Hingga dinding-dinding kereta dah reput boleh kopek cicah air asam pun masih dibenarkan berjalan di jalan raya. Kita tidak ada peraturan menghadkan usia kereta yang dibenarkan bergerak di jalan raya.

Keluar Tol Duta tadi sekitar 10.45 dan sekarang 12.28 sudah berada di sekitar Slim River. Oklah . Ada tempat - tempat boleh memecut ada tempatnya bersesak balik. Tidak teruk sangatlah.

Ini sahajalah yang dapat aku tulis kali ini.

Tulisan 63


Beberapa hari kebelakangan ini heboh diperkatakan tentang kelayakan akademik ahli-ahli politik tertentu. Ianya melibat orang yang dianggap penting dalam kerajaan. Perkara itu pula bukan memperendahkan kelayakan  yang dimiliki mereka tetapi kesahihan  fakta tentang kelayakan yang dimiliki. Soal pokoknya ialah intergeriti.

Ahli-ahli politik terdahulu pun tidak mempunyai ijazah atau kelayakan akademik yang tinggi tetapi tetap menjadi pemimpin yang hebat kerana mereka memang orang hebat.

Pra syarat hendak menjadi pemimpin yang hebat tidak semestinya mempunyai kelayakan akademik yang tinggi tetapi pemikiran yang bernas dan daya kepimpinan yang mantap. Kalau pemikiran yang bernas, daya kepimpinan yang mantap diikuti dengan latar belakang akademik yang baik lagilah bagus. Tidak guna ada Ph.D sekiranya  tahap pemikiran seolah-olah macam menggunakan kepala lutut ketika berfikir.

Jadi usahlah malu mengaku tahap akademik yang dimiliki kerana kalau anda pemimpin yang hebat anda akan tetap hebat. Kecuali anda seorang yang mempunyai perasaan rendah diri yang tinggi dan keyakinan diri yang rendah yang terpaksa bergantung kepada kelayakan yang terpaksa diadakan.

Sebenarnya memalsukan sijil atau ijazah ini bukan perkara baru dan dibuat atas beberapa tujuan. Sama ada untuk mendapatkan pekerjaan atau supaya dipercayai bila mengadakan sesi sesi motivasi atau untuk peraga diri sahaja supaya dikatakan hebat.

Semasa saya menjadi Ketua Unit Penilaian & Peperiksaan isu ini adalah lumrah. Saban tahun saya dihubungi pihak-pihak swasta terutamanya kilang-kilang untuk mengesahkan sijil yang dipegang oleh pekerjanya yang hendak dinaikkan pangkat. Ramailah yang kantoi bila no index yang diberi adalah milik orang lain dan keputusannya tidak sama dengan yang ditunjukkan kepada pihak majikan.

Ada kes seorang guru masuk maktab dengan sijil palsu, bekerja dengan sijil palsu, dan akhirnya tertangkap oleh unit saya apabila menggunakannya untuk masuk peperiksaan STPM. Ironinya bagaimana penginterview masa masuk maktab tidak perasan, pihak pendaftaran maktab tidak perasan, penginterview untuk menjadi guru pun tidak perasan sedang pembantu tadbir saya sekali pandang pun dapat mengesan?

Dipendekkan cerita guru ini ditamatkan tugasnya atau ada yang maklumkan kepada saya guru itu berhenti dengan sendiri selepas pihak LPM mengesahkan sijilnya sijil palsu. Jangan salahkan saya dan unit saya kerana kami hanyalah menjalankan tugas penuh intergeriti untuk negara kami nan tercinta.

Ada juga kes di mana beberapa orang pelajar menemui saya, minta ubahsuai keputusan peperiksaan. Bila diperjelaskan perkara itu mustahil untuk dilaksanakan, ada yang berkata " Duit tak ada masalah " menyirap darah saya ke kepala lalu saya halau keluar pejabat dan budak pejabat perhambat sampai keluar pagar Jabatan. Salah oranglah  tempat mereka mencuba.

Ada pula yang memperkenalkan diri sebagai Dato' Savastian dan minta saya ubah keputusan cucunya. Tak tahulah sama ada pihak yang sama yang kata       " duit tak ada masalah ". tu. Saya kata tak boleh tetapi dia mendesak juga. Dan dia tanya saya " You kenal Samy Vellu?". Saya jawab " Saya kenal Samy Vellu. So what? "

Begitulah serba sedikit kesah sijil palsu.

Tulisan 68

Sebagai leader dalam MLM suatu ketika , aku sering menerapkan semangat positif dan pemikiran positif kepada ahli-ahli bawahan ( downline ). Begitu juga bila memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar. Itu juga yang aku tekankan. Malahan bila rakan-rakan bertanya tentang petua sentiasa kelihatan bertenaga dan lincah, jawapan yang selalu kuberikan ialah mind power( Kuasa minda). Kalau minda kita kata boleh, bolehlah . Kalau minda kita kata tak boleh, tak bolehlah.  . Kekuatan minda akan menguasai kekuatan fizikal.

Sebagai contoh, aku yang berusia 32 tahun dan seorang abang yang berusia 35 tahun mampu melalui latihan rekrut Tentera Wataniah Rejemen 503 yang dijalankan bermula sebelum bulan puasa dan berakhir sehari sebelum hari raya. Bermakna solid dalam bulan puasa. Ini kerana mental kami kuat walaupun badan tidaklah semantap mana. Tetapi seorang pemuda berbadan sasa berusia 25 tahun lari malam meninggalkan latihan.

Jadi kenapa aku tidak berpegang kepada keyakinan aku sendiri tentang mind power dalam aku menghadapi apa yang sedang aku hadapi sekarang?

Menyedari itu, hari ini aku bangun dengan lebih ceria dan berfikiran positif. Walaupun badan memang menampakkan sedikit susut, aku anggap susutnya tidak seberapa. Walaupun berada ditahap mana, aku yakinkan diri aku, aku akan temui penyembuhan. Pembedahan yang akan berjalan dua hari lagi akan cuba kulalui dengan berani walaupun kata orang berani-berani takut. Dan hari ini aku cuba lalui hidup macam dulu-dulu ketika aku tidak tahu apa-apa tentang kesihatanku. ( _kadang-kadang terfikir, alangkah eloknya kalau kita tidak sibuk-sibuk check status kesihatan kita?_ )

Aku cuba menjadikan diri aku katak pekak yang mampu nelompat keluar dari lubang yang dalam kerana tidak melayan saranan-saranan yang negetif. Dan setakat ini saranan negatif tidak kuterima dari orang lain tetapi berligar dalam mindaku sendiri.

Untuk menjadikan aku terus positif, aku mengharapkan sokongan dari orang-orang tersayang di sekelilingku. Mungkin aku boleh menumpang gelombang positif yang berligar di sekelilingku untuk membina gelombang positifku yang lebih kuat.

Apapun, yakin dan berpegang kepada ketentuan Allah , itulah yang paling utama.

Tulisan 69


Tiba-tiba nama Kedai Lambai Teluk Intan muncul kembali kerana diviralkan tentang meletakkan dadah jenis morpine ke  dalam masakannya. Sejauh mana ianya benar bukan persoalan bagi saya kerana saya mahu menyentuh tentang kewujudan Kedai Lambai itu sahaja.

Masa saya budak-budak di mana Teluk Intan masih lagi bernama Telok Anson, Kedai Lambai ini sudah wujud. Mungkin lebih lama dari apa yang saya ingat.

Kedai Lambai ni sebenarnya sederet kedai makan di tepi Sungai Perak yang rata-rata pengusahanya ialah Mamak. Dipanggil Kedai Lambai kerana tuan-tuan kedai akan melambai orang yang lalu lalang agar singgah dan makan di gerainya. Mereka melambai dengan tangan atau dengan tuala pengelap meja.

Mereka pandai emoi kata orang Kedah. Macam kenal benar kita. Arwah emak saya begitu menyakininya. Suatu hari saya dan emak lalu di situ. Tidak ingat emak dan saya singgah ke tidak. Apa yang saya ingat mamak tu  sebut lama tak nampak dan kata dulu  saya kecil sekarang  dah besar. Emak percaya kerana masa itu kami dah tinggal di Parit.

Selain dari Kedai Lambai, Gerai Buah -Buahan juga terletak di tebing Sungai Perak. Taukeh - taukeh gerai - gerai ini akan membuang buah-buah yang busuk walaupun sedikit ke dalam Sungai Perak.

Kami yang tinggal di tebing sungai di hilir Telok Anson akan mengait buah yang lalu. Dapat,  kami tengok kalau kalau busuknya sedikit, kami buang yang busuk kami makan bahagian yang elok. Rasanya tentulah sudah kurang sedap kerana terendam air dalam jangkamasa yang lama. Tapi kami anak-anak marhaen  mana sanggup membeli yang elok. Siapa yang pernah  membaca novel Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said, itulah kehidupan kami.

Satu lagi tempat yang popular satu masa dulu ialah Padang Temberang. Aku dengar saja. Tapi dari namanya tentu pembaca tahu tempat apa? Tempat orang jual ubat menjual temberang mereka. Aku tak pasti Padang Temberang masih wujud ke tidak. Tapi kalau google ada masih ketemu maklumatnya. Kalau masih wujud ceramah politik pun boleh buat di situ kerana temperang dan kencing orang politik sama je dengan temperang dan kencing orang jual ubat.

Batu Tenggek dan Menara Condong tak perlu aku sentuh. Semua orang tahu rasanya. Tak tahu? PM tepi.🙂

Tulisan 70


Di Wad 5H katil 19
21hb. Feb 2019

Termangu-mangu seorang diri di katil,  terasa bodohlah pulak. Quran Kecil yang ada terjemahan dan tafsiran yang aku cadang  nak bawa terlupa nak bawa. Minta anak belikan surat khabar, pukul 12.30 tengahari baru dia boleh masuk melawat.

Mulanya tadi mereka dibiarkan sahaja menunggu,  tetapi telah dimaklumkan odit SIRIM nak datang bila - bila masa saja, jadi mereka telah diarahkan keluar.

Aku pun ada minta kebenaran untuk keluar dari wad kerana nak ke ATM dan Cafeteria. Tapi tidak diizinkan kerana dokter belum memeriksa  aku. Tak tahu bila nak diperiksa. Pesakit lain ada yang sudah.

Pengalaman baru bagi aku tinggal di wad. Biasanya aku melawat kawan2 atau saudara mara yang sakit je. Tetapi memakai baju pesakit ini aku sudah biasa kerana aku adalah salah seorang pelakun " pesakit piawai" di HUKM ni.

Selalu aku berpura-pura sakit dan bersungguh2 menghayati
watak pesakit yang aku dipertanggungjawabkan.
Sekarang aku betul - betul sakit dan diperlakukan sebagai pesakit sebenar.

Sepanjang aku jadi pesakit piawai, aku banyak melakunkan watak pesakit yang diambil sejarah penyakitnya ( history taking bahasa Inggerisnya ) , tetapi sebagai pesakit sebenar, aku terpaksa melalui temubual yang panjang dan melalui kesakitan dan kesiksaan ketika diperiksa secara fizikal .

Nak buat macamana? Redha sajalah dengan ketentuan Allah. Kenalan baru seorang pesakit Cina pun mengatakan kita hanya boleh berusaha segala ketentuan adalah dari Tuhan.

Oleh kerana dokter belum juga datang memeriksa aku, duduklah di katil ini menunggu sambil menaip curitan  ini. Curitan peribadi sebenarnya tetapi biarlah aku kongsikan juga. Kalau tidak,  tidak ada pula Tulisan 70 hari ini.

Tetiba empat orang dokter pelatih Tahun Empat mendatangi aku. Lalu bermulalah history taking yang panjang. Kemudian datanglah pertugas menanya itu ini sambil memeriksa diriku dari pelbagai sudut. Tukang ambil darah pun mengambil darahku lagi kerana yg diambil pada 11 hb. yg lepas sudah dianggap tidak terkini.

Bila makanan  sampai dokter dan dokter-dokter pelatih meneruskan pemeriksaan mereka dan kata lepas ini baru boleh makan. Hadapnya jelah.

Mereka berhenti dan membenarkan aku makan. Lepas makan nak periksa lagi, kata mereka.

Betullah. Setelah berehat sekejap aku diperiksa dengan memasukkan kamera ke dalam tekak. Satu proses yang begitu menyiksakan kerana membuat aku nak termuntah banyak kali. Rakaman pula hanya berjaya selepas tiga kali melalui proses yang sama. Anak - ansk akupun tidak sanggup melihat aku diperlakukan begitu.

Aku juga diberi penerangan tentang bagaimana proses bius dan pembedahan yang bakal kulalui dan risiko - risikonya. Redha sajalah.

Kemudian barulah selesai. Bersolat dan duduk menyiapkan curitan ini.

Tulisan 72


Ada pembaca Tulisan yang bertanya saya tidak menulis lagi ke? Saya jawab, dalam kedaan tidak sihat begini, tidak ada aktiviti di luar yang menemukan saya dengan persoalan baru, maka tidak tahu apa yang hendak ditulis. Kalau asyik bercerita tentang kesihatan saya, ianya akan menjemukan dan seolah-olah asyik meminta simpati. Simpati yang datang sendiri dengan simpati yang cuba diraih tidak sama nilainya. Lalu saya diminta  menulis pengalaman semasa bekerja dulu.

Tetapi dalam keadaan diri yang masih kurang sihat ini apa yang hendak disentuh berbalik juga kepada persoalan sakit. Tapi saya akan menyentuh dari sudut yang lain.

Sepanjang perkhidmatan saya dari awal hingga bersara ( lebih 30 tahun ) saya hanya ambil / dapat cuti sakit tidak salah ingatan saya, dalam rekod cuti saya, cuma 10 hari sahaja.

Syukur Alhamdullillah, yang pertamanya saya diberi kesihatan yang baik oleh Allah sepanjang tempoh perkhidmatan saya. Maksudnya tidak mengalami  sakit-sakit yang berat dan tidak pernah diperlukan untuk masuk wad di hospital. Setakat demam-demam biasa tu adalah.
Keduanya, saya tidak pernah meminta cuti sakit. Kalau Dokter atau Pembantu Kesihatan ( walaupun kenalan baik ) yang memeriksa saya bertanya hendak cuti sakit ke? Saya bertanya balik kepada mereka macam ini. " Dokter fikir saya layak diberi cuti sakit atau tidak? Kalau difikirkan layak dan perlu bagilah. Kalau tidak layak, jangan bagi ".

Begitulah saya. Bukan masuk bakul angkat sendiri , tapi itulah diri saya. Saya ceritakan sebab ingin memberi contoh kepada pembaca-pembaca muda yang masih bekerja. Mungkin apa yang saya lakukan boleh jadi ikutan atau tidak ikutpun tak apa sebab kita ini unik dengan keperibadian yang tersendiri.

Membeli Siijil Cuti Sakit RM5 ( ini harga zaman saya, tetapi tidak tahu harga zaman sekarang) seperti yang ada dilakukan sesetengah pegawai kerajaan tidak pernah saya lakukan.

Perkhidmatan menjual Sijil Cuti Sakit ini memang wujud di zaman saya dan saya hampir pasti perkhidmatan yang sama masih wujud di kalangan setengah Klinik Swasta yang tidak berwibawa.

Membeli Cuti Sakit ini sebenarnya melakukan penipuan demi penipuan. Penipuan pertama sudah tentu ponteng kerja tanpa sebab yang wajar. Penipuan kedua ialah mengatakan sakit sebagai sebab untuk tidak hadir bekerja. Penipuan seterusnya ialah mengemukakan Sijil Cuti Sakit palsu dan penipuan oleh dokter sendiri yang mengesahkan seseorang itu sakit walaupun dia tahu orang itu tidak sakit.

Ada juga yang tidak membeli Sijil Cuti Sakit tetapi berlakun sakit perut yang kronik yang memang dokter tidak ada cara mempastikan pesakit itu tipu atau tidak. Lakunannya mungkin hidup seperti lakunan Rosyam Nor atau mungkin juga lakunannya  agak sumbang tetapi juga diberikan cuti kerana pegawai itu mendakwa betul-betul sakit.

Bercakap tentang cuti juga, semasa saya bertugas, saya tidak ambil tahu sangat kerana saya suka bekerja. Pernah isteri saya memaklumkan kepada saya, besok cuti kan? Lalu saya bertanya balik ,cuti apa yer?

Nak kata bodoh, bodohlah. Saya tidak mampu menukar sejarah atau berpatah balik untuk boleh dikatakan cerdek.  Menjelang saya nak bersara, saya ada cuti terkumpul sejumlah 98 hari yang tidak berambil. Peruntukan cuti gantian dengan wang sebanyak 120 hari sudah penuh.

Sahabat saya dari Unit Perkhidmatan meminta saya susun jadual untuk ambil cuti. Saya hanya mampu menyelitkan dalam aktiviti saya sebanyak 38 hari sahaja sebab kerja-kerja saya selaku Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan memang padat menjelang hari Clock Out pada 8 Oktober.

Jadi cuti yang tidak dapat diselitkan selebihnya dikira hangus begitu sahaja. Tapi tahu tak apa yang jadi pada cuti yang diselitkan itu? Tidak berambil sampai ke sudah . Bodoh kan? Tapi saya puas hati dengan reputasi dan nama baik yang saya tinggalkan bila saya bersara. ( Terima kasih kepada semua kakitangan saya yang membantu saya merealisasikan Visi dan Misi yang saya hasratkan )

Itulah hadiah buat diri saya biarpun mungkin mengecewa orang lain. Isteri saya pernah berkata atau bertanya.           " orang sebelum bersara bukan cuti ke?"

Mohon maaf kepada semua yang terkesan kesibukan saya bekerja.

Tulisan 74


Abang menjadi guru selepas tamat pelajaran di Darjah 7. Masa itu lulusan Darjah 7 sudah layak menjadi guru di bawah skim TUOS ( Teacher Under Other Scheme ). Aku cuba google untuk memahami atau menulis dengan tepat tentang TUOS tetapi gagal. Aku harap masih ada pesara guru selain abang aku yang terlibat dalam skim ini yang masih hidup untuk mengiya atau membetulkan tulisan aku.

Abang aku ditempatkan di Sekolah Melayu (Kebangsaan) Matang Jelutong Bagan Serai. Suatu kampung kecil di Bagan Serai yang terletak di antara Bagan Serai dengan Selama.

Aku ingat ketika  pergi menghantar abang ke sana. Tapi aku ingat-ingat lupa dengan kereta siapa kami pergi. Kalau tidak silap dengan kereta Ketua Kampung kami yang bernombor A82 . Abang ditumpangkan di rumah orang yang kami panggil Pak Mat.

Dulu ramai guru-guru terutamanya perempuan atau pekerja-pekerja lain yang duduk bayar makan dan tempat tinggal di rumah orang. Masih agak jarang tetapi ada yang duduk dalam kumpulan 3-4 orang di rumah bujang. Tinggal duduk dan makan minum di rumah ibubapa sendiri seperti sekarang jauh sekali kerana selalunya bekerja jauh beratus batu atau puluhan batu dari rumah sendiri.

Sejak itulah aku hanya akan berjumpa abang aku apabila cuti sekolah. Hati-hari yang lain aku hanya hidup berdua dengan ibu.

Abang rajin memperbaiki dan mempertingkatkan akademiknya. Dia belajar sendiri dan mengambil peperiksaan LCE, SPM dan STP. Dia mendapat Sijil Penuh STP tetapi selepas itu dia tidak meneruskannya untuk memasuki universiti. Aku bangga dengan kegigihan abang aku. Dia juga diterima memasuki Maktab Perguruan Bahasa dan bertukar dari mengajar di sekolah rendah ke sekolah menengah.

Puncak kerjaya abang ialah apabila dia ditarik ke JPN Perak dan dilantik sebagai Penyelia Mata Pelajaran Sejarah. Aku ditarik ke JPN Perak
selaku Penolong Pengarah ( Teknik dan Vokasional ) pada tahun 1991. Sempatlah bekerja di bawah satu bumbung dan satu unit iaitu Unit Kurikulum bersama abang. Dia bersara di JPN Perak pada tahun 1997.

Bila tahu abang akan balik ke kampung, aku akan tunggu abang di pintu jalan batu merah  kampung kami Kampung Tanjung Ara atau dikenali juga sebagai Kampung Jawa kerana lebih kurang separuh daripada penduduk kampung kami adalah suku kaum Jawa.

Aku akan menunggu walaupun tak tahu bila abang akan sampai kerana mana ada kemudahan telepon masa itu. Abang biasanya balik menaiki bas loncat kerana belum ada kenderaan sendiri. Dari Bagan Serai ke Taiping, dari Taiping ke Beruas dan dari Beruas ke Parit.

Kebiasaan abang aku yang masih kukenang ialah di hari pertama dia sampai ke rumah, dia akan memberi aku Teka Teki atau Kuiz ( ketika itu perkataan kuiz tidak wujud yang wujud ialah masalah atau dialek Perak masaelah. Aku kenalah mencari jawapan kepada teka teki atau masalah itu.

Yang menyiksa perasaan aku ialah abang tidak akan memberikan jawapan kalau aku gagal menjawabnya sehinggalah hari terakhir dia di kampung. Begitulah selalunya. Menangislah. Merayulah abang tidak akan menberikan jawapannya. Bila dia hendak balik ke Bagan Serai barulah aku mendapat jawapannya.

Itulah antara kenanganku terhadap abang. Nanti akan kuceritakan kenangan yang lain.

Tulisan 75

Aku sedang menonton drama rantaian Jodoh-Jodoh Annisa bersama isteri.
Di satu babak, Annisa (watak utama )  marah-marah dan moody dan mengeluarkan kata-kata agak kasar kepada Dr. Iskandar kawan rapat yang banyak membantunya, sedangkan Dr. Iskandar hanya menasihati dia tentang kesihatannya.

Aku mempertikaikan tindakannya. Tapi riaksi isteriku ialah  " Belum apa-apa sudah nak control, kahwin nanti lagilah. "
Riaksi spontan aku ialah " Jauh bezanya antara  ambil berat dengan mengontrol".

Begitulah, kita selalu terperangkap dengan perpepsi yang salah yang menyebabkan kita bertindakbalas atau melakukan riaksi yang tidak sepatutnya.

Di suatu perhimpunan sekolah, aku menegur dan membetulkan barisan kelas aku bila dimarahi seorang guru yang tidak tahu barangkali aku Ketua Kelas. Tak cukup dengan dimarahi dan tidak mendengar penjelasan  aku yang aku bukan bising tetapi meminta rakan-rakan jangan bising,  aku dipaksa lari keliling padang. Akhirnya aku jatuh terjelepuk kerana aku baru sahaja pulih dari sakit teruk yang menyebabkan aku tidak dapat mengambil peperiksaan penting iaitu Peperiksaan Darjah 6 yang menentukan aku masuk ke sekolah menengah atau tidak.

Selepas bersara, aku bekerja di sebuah syarikat kecil sebagai pengurus stok dengan gaji hari. Tak datang ditolak gaji, ada urusan separuh hari, separuh gajilah yang  aku dapat hari itu. Tak perlu kuceritakan kenapa aku harus bekerja di situ walaupun aku ada pencen. . Apa yang nak diceritakan ialah bagaimana aku dilayan dengan persepsi yang salah.

Suatu petang, seorang pekerja muda, berhenti dan lari begitu sahaja, sedangkan besok ada pembungkusan dan penghantaran yang perlu dilaksanakan. Besoknya dengan kaki yang bengkak kerana gout, aku gagahi datang dan melaksanakan tugas-tugas demi perniagaan syarikat berjalan lancar. Keikhlasan bekerja di JPN kuterapkan dalam bekerja di Syarikat ini. Tapi apa tanggapan Bos? Ini kutahu kemudian dalam satu situasi bersemuka setelah aku mengambil keputusan untuk berhenti. Kononnya aku datang juga untuk dapat gaji penuh sehari itu walaupun aku sepatutnya tak payah datang dan syarikat tak perlu bayar gaji. Hilang keikhlasan aku yg datang juga demi kelancaran kerja.

Banyak lagi episod yang menyakitkan dan akhirnya aku berhenti seperti yang aku tulis di atas.

Lebih setahun kutinggalkan Syarikat itu, Bos sakit kanser dan akhirnya meninggal dan aku sempat mengiringi jenazahnya ke kubur hingga selamat dikebumikan. Aku sempat memaafkan dia ketika dia sudah tidak mampu bercakap ketika aku menziarahinya di Hospital Kanser Negara. Allahyarham hanya memandang aku dengan pandangan yg tak dapat ditafsirkan.

Pandangan kosong.
Banyak sebenarnya, salah taksir, salah interpretasi yang menyebabkan institusi di tempat kerja, institusi keluarga goyah atau berantakan .

Kadang-kadang ianya terbawa-bawa dari kecurigaan atau sangkaan awal yang demi masa telah terbukti kecurigaan itu tidak berasas. Namun tanggapan dan persepsi yang tidak diubah dengan peredaran masa dan situasi menyebabkan kita kekal dengan kecurigaan kita dan segala sesuatu yang berlaku, kita patah balik pada tanggapan awal kita , sedangkan ia tidak benar atau relevan sama sekali.

Oleh yang demikian, belajarlah untuk mengenali hati budi orang lain. Mengenalinya betul-betul supaya kita tidak terus menerus menilai seseorang dengan tanggapan awal kita.

Ramai orang yang salah menilai Ketua mereka. Bos yang baik bagi mereka Bos yang mereka mudah mengambil kesempatan atau tidak kesah sangat tentang prestasi kerja. Bos yang tegas yang menyebabkan mereka terpaksa ikut peraturan sebenar dianggap Bos yang tidak baik.

Begitulah.

Tulisan 76


Pernah dengar tak ungkapan begini: ini rahsia tahu. Aku ceritakan kamu saja ni. Tolong sangat-sangat jangan cerita kat orang lain.

Percayalah, ungkapan yang sama atau lebih kurang sama akan digunakan oleh orang yang mendengar rahsia tadi kepada orang lain. Atau dengan menyebut sumber dari mana dia dengar rahsia tadi. Ali cerita pada aku, aku cerita pada kamu ni, tapi harap habis kat sini saja. Jangan cerita kat orang lain pula
.
Akhirnya rahsia itu sudah tidak rahsia lagi. Lebih malang lagi bila ianya tersebar dan nama anda disebut-sebut dalam penyebaran rahsia itu.

Ini akan menimbulkan komplik dalam kalangan di mana perkara yang kononnya rahsia itu berligar. Ini termasuklah dalam kalangan saudara mara, dalam kalangan kaki tangan di jabatan atau unit tempat anda bekerja.

Jadi kalau anda benar-benar ada rahsia, simpanlah rahsia itu walaupun menceritakan rahsia yang anda itu satu kelegaan bagi anda. Walaupun menyimpan rahsia itu sangat-sangat menyiksakan. Simpanlah rahsia yang sampai kepada anda itu sampai bila-bila selagi ianya berstatus rahsia. Kalau suatu ketika yang rahsia itu sudah menjadi pengetahuan umum, tak perlulah anda berkata " sebenarnya aku dah tahu lama dah, Ali bagi tahu aku."

Tak perlu. Simpanlah walaupun jiwa anda begini teringin bercerita. Saya ada rahsia yang sudah saya simpan selama 50 tahun. Nak tahu rahsia apa? Saya akan bawa hingga ke mati. Maaf.

Anda mungkin PA kepada Bos anda. Apa yang Bos kata jangan cerita kat staf lain, simpanlah rahsia itu. Kalau ada yang cuba mengorek, ignore. Tutup kemas-kemas. Kerana sedikit saja anda terlepas, pihak yang berkepentingan, akan menggunakan lubang-lubang kecil yang anda buka secara tidak sengaja , untuk mengorek sehingga lubang itu menjadi besar.

Jangan biarkan diri anda terperangkap antara tugas anda menyimpan rahsia apa yang Bos anda kata rahsia, dengan staf-staf lain. Akhirnya anda akan terlibat sekali dalam urusan yang asalnya hanya urusan Bos anda. Jangan sesekali biarkan nama anda terpalit.

Sebagaimana saya sebut di awal tadi, memang payah menahan diri dari menyimpan rahsia. Rasa macam teringin nak bercerita. Tapi kesan anda melibatkan diri menjadi sebahagian dari yang membuka rahsia itu walaupun cuma sedikit, amat besar. Jadi hati-hatilah. Rahsia tetap rahsia sampai bila-bila.

Tulisan saya kali ini pendek sahaja. Tapi kalau boleh diambil sebagai pengajaran atau nasihat, ambillah. Terutamanya kepada yang hobbynya membawang, kemungkinan terkeluar dari mulut anda , cerita yang patutnya  memang rahsia besar. Hati-hati ye.

Sekian.

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...