Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 74


Berbaring di sofa di ruang tamu di rumah anak di Pelangi Semenyeh, aku mencari bahan untuk ditulis sebagai perkongsian dalam Luah Bicara.

Sekarang ini banyak sekali saluran komunikasi dan juga saluran maklumat untuk kita berintraksi disamping mendapatkan maklumat samada yang sahih, semi sahih atau berunsur fitnah semata -mata. Ledakan teknologi maklumat yang begitu terkini hingga kalau tidak sempat dikejar menjadikan kita ketinggalan. Pun kalau tidak ada daya penapisan kendiri, kita akan terperangkap di dalam fakta yang tidak benar  atau berunsur fitnah itu.

Zaman 50an dan 60an saluran maklumat amat terhad.  Selain dari akhbar dan siaran radio yang tidak semua orang mampu memilikinya ialah wayang longgok atau wayang pacak. Dan untuk hiburannya wayang di panggung wayang kecil yang ada di pekan kecil kami.

Kami namakan wayang longgok kerana kita duduk ramai - ramai berlonggok di padang di mana wayang itu ditayangkan. Ada yang memanggilnya wayang pacak kerana sebelum wayang boleh ditayangkan, skrin atau dulu kami panggil kain putih saja, akan dipacak terlebih dahulu.

Di Pekan Parit, Perak, wayang ini biasanya ditayangkan di Padang Kanak - Kanak. Panggilan yang diberikan kepada padang untuk kanak - kanak bermain yang fasilitinya cumalah beberapa papan jongkang - jongkit dan buaian papan ( talinya rantai, tempat duduknya papan ).

Agensi yang berperanan masa itu ialah Jabatan Penerangan. Penerbit filem yang ditayangkan ialah Malayan Filem Unit yang menggunakan lambang  harimau. Kami panggil harimau kurus kerana harimau itu memang kelihatan kurus. Macam tak makan je. Filem yang ditayangkan kebanyakannya ialah filem rencana tentang apa yang kerajaan buat untuk rakyat. Sesekali sangat ada filem cereka juga terbitan Malayan Filem Unit. Ceritanya sudah tentu berbentuk pengajaran yang begitu jelas. Salah satunya kalau tidak silap bertajuk Mata Permata lakunan  Allahyarham Tan Sri S.M Salem dan Allahyarhamah Norleda Saidi.

Oleh kerana wayang longgok ini dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan filemnya pun berbentuk penerangan, kami menamakannya filem penerangan. Bila sebut malam ini ada filem penerangan , semua faham dan berbondong - bondonglah pergi menontonnya.

Untuk yang berasal dari Parit, pasti dapat mengimbau kenangan. Di satu sudut padang itu akan kedengaran bunyi orang mengatuk sesuatu. Itulah bunyi Pak Yob Sotong mengatuk sotong bakarnya. Ada penukul kayu yang besar dan alas kayu yang juga besar dan berat.

Selepas sotong dibakar , sama ada janggut atau badan sotong akan dikatuk hingga lembut. Sotong ini akan dicicah dengan air cili bergaram. Itu saja. Tapi memang sedap. Kita bolehlah meminta hendak bahagian janggut atau bahagian isi ( badan ). Harganya cuma 5 sen sahaja. Pak Yob juga menjual sengkuang yang sudah dipotong, 4 keping secucuk dan harganya hanya 5 sen juga. Pencicahkan tetap yang tadi juga. Air cili bergaram. Sedap.

Tak lama lepas itu, ada syarikat rokok atau minuman Milo membuat tayangan wayang longgok. Syarikat ini menayangkan filem cereta berbahasa Inggeris keluaran Hollywood. Ironinya filem yang ditayangkan lebih terkini berbanding filem yang ditayangkan di panggung kecil di Pekan Parit.

Sejak itu bila diberitahu ada wayang longgok , kami akan bertanya, penerangan ke kompeni? Kalau penerangan tu macam malas pulalah nak keluar kampung pergi menonton. Kalau kompeni tu barulah rajin pergi. Sudah pandai memilih ketika itu.

Setiap hujung minggu, kami akan berkumpul pula di rumah jiran yang ada radio untuk mendengar Bangsawan di Udara.  Ceritanya macam telenovela sekarang ini. Bersambung - sambung. Adalah pelbagai cerita. Aku cuma ingat satu tajuk sahaja iaitu Bujang Jauh.

Itulah saluran maklumat dan hiburan kami ketika itu. Minat kepada berita radio macam tak ada. Tak tahulah orang tua - tua atau orang lain. Aku seperti tidak pernah mendengar berita radio.

Aku yang memang amat minat membaca dari kanak - kanak lagi emak langgankan Utusan Kanak - Kanak. Ada rencana dan ada komik. Pastinya komik itu dapat perhatian lebih. Antara komik yang jadi tumpuan ialah Pengembaraan Roslin dan Roslina Kesah pengembaraan menggunakan piring terbang ke Planet Marikh.  Komik ini dilukis oleh Raja Hamzah yang amat dikenali hingga lewat 60an.

Sebenarnya cerita futuristik sudah ada di zaman saya kanak - kanak lagi.  Dan biasanya kalau menggambarkan dunia pada tahun 2000, kenderaan yang digunakan ialah kenderaan terbang. Sebenarnya imaginasi kita terlampau ke depan, sedangkan hingga sekarang pun idea kereta terbang baru dalam ura - ura dan jadi idea yang dipersendakan.

Ingat sekian dulu nukilan untuk perkongsian hari ini dari pembaringan ini.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...