Pagi ini aku dan isteri masuk ke kawasan sebuah sekolah kerana ada urusan dengan seorang guru di sekolah ini. Kunjungan ini adalah buat pertama kali dan jumpa guru ini pun buat pertama kali juga. Tapi yang hendak aku tulis ini bukan tentang pertemuan itu tetapi tentang sikap dan budaya pelajar - pelajar sekarang berbanding dengan pelajar - pelajar dahulu.
Isteri aku bertanya kepada dua orang pelajar yang ada di tempat parking sekolah. Pelajar - pelajar ini tidak tahu atau tidak kenalpun dengan guru yang ditanyakan oleh isteri aku.
Masalah tidak kenal dengan guru sekolah sendiri ini bukanlah perkata terpencil pada masa ini. Sudah menjadi lumrah kepada pelajar - pelajar di mana - mana sekolah pun.
Pada zaman aku bersekolah dahulu, kami kenal semua cikgu di sekolah kami walaupun tidak mengajar di kelas kami dan begitu juga dengan cikgu di aliran lain ( dulu banyak sekolah yang ada aliran Melayu dan Inggeris di sekolah yang sama dan di bawah satu pentadbiran )
Akan tetapi pelajar - palajar zaman sekarang kebanyakannya hanya kenal dengan guru yang mengajar mereka sahaja. Itu sebab ikatan silaturahim antara pelajar - pelajar dengan guru - guru begitu longgar.
Macam kes kami di atas, setelah dapat berhubung dengan guru berkenaan dan beliau memberikan arahan hala yang kami patut tuju, barulah kami tahu rupanya sekolah ini ada asrama putera dan asrama puteri. Jadi guru yang kami temui itu rasanya salah seorang warden asrama kerana itu dia tinggal dalam kawasan asrama. Tekaan aku betul kerana bila bersua dengan suami guru berkenaan dia memaklumkan, isterinya memang warden asrama mereka sudah tinggal dalam kawasan asrama ini melebihi 13 tahun
Isteri aku mahu bersangka baik lalu memberi pendapat, pelajar yang ditanya tadi mungkinlah pelajar yang tinggal di luar ( bukan penghuni asrama ) kerana itu tidak kenal cikgu ini.
Alasan ini aku sangkal sama sekali. Guru asrama juga adalah guru biasa yang mengajar di sekolah. Dia bukan guru yang khusus tinggal di asrama dan menjaga hal ehwal asrama sahaja.
Pandangan sahabat Luah Bicara yang kebetulan ditemui di sekolah ini kerana mengajar ilmu persilatan kepada pelajar di sini, mungkin juga pelajar itu pelajar sesi petang. Lalu aku bertanya kepada suami guru perempuan tadi, adakah sesi petang di sekolah ini. Jawabnya ada. Bolehlah bersangka baik yang pelajar tadi pelajar sesi petang tetapi susuk tubuh mereka tidak menggambarkan mereka pelajar sesi petang.
Tidak mengapalah. Itu tidak penting sebenarnya kerana episod tadi ( tidak kenal cikgu ) cumalah pencetus idea untuk aku menulis perkara ini dan tentang tidak kenal guru lain selain dari guru yang masuk kelas ini memang sudah jadi lumrah. Kalau pembaca tidak percaya bolehlah selidiki sendiri.
Seperkara lagi, pelajar - pelajar atau anak - anak kita kenalah diajar supaya mampu berintraksi tidak setakat yang ditanya. Maksudnya bolehlah memberikan informasi dan cadangan. Dalam contoh di atas, boleh sahaja pelajar - pelajar tadi mencadangkan, cuba puan tanya di asrama dan mereka boleh beri tunjuk arah menuju ke asrama.
Itu sahaja luahan rasa aku pada kali ini sebagai bekas pelajar sekolah dan sekali gus juga bekas seorang guru .
No comments:
Post a Comment