Sebagai leader dalam MLM suatu ketika , aku sering menerapkan semangat positif dan pemikiran positif kepada ahli-ahli bawahan ( downline ). Begitu juga bila memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar. Itu juga yang aku tekankan. Malahan bila rakan-rakan bertanya tentang petua sentiasa kelihatan bertenaga dan lincah, jawapan yang selalu kuberikan ialah mind power( Kuasa minda). Kalau minda kita kata boleh, bolehlah . Kalau minda kita kata tak boleh, tak bolehlah. . Kekuatan minda akan menguasai kekuatan fizikal.
Sebagai contoh, aku yang berusia 32 tahun dan seorang abang yang berusia 35 tahun mampu melalui latihan rekrut Tentera Wataniah Rejemen 503 yang dijalankan bermula sebelum bulan puasa dan berakhir sehari sebelum hari raya. Bermakna solid dalam bulan puasa. Ini kerana mental kami kuat walaupun badan tidaklah semantap mana. Tetapi seorang pemuda berbadan sasa berusia 25 tahun lari malam meninggalkan latihan.
Jadi kenapa aku tidak berpegang kepada keyakinan aku sendiri tentang mind power dalam aku menghadapi apa yang sedang aku hadapi sekarang?
Menyedari itu, hari ini aku bangun dengan lebih ceria dan berfikiran positif. Walaupun badan memang menampakkan sedikit susut, aku anggap susutnya tidak seberapa. Walaupun berada ditahap mana, aku yakinkan diri aku, aku akan temui penyembuhan. Pembedahan yang akan berjalan dua hari lagi akan cuba kulalui dengan berani walaupun kata orang berani-berani takut. Dan hari ini aku cuba lalui hidup macam dulu-dulu ketika aku tidak tahu apa-apa tentang kesihatanku. ( _kadang-kadang terfikir, alangkah eloknya kalau kita tidak sibuk-sibuk check status kesihatan kita?_ )
Aku cuba menjadikan diri aku katak pekak yang mampu nelompat keluar dari lubang yang dalam kerana tidak melayan saranan-saranan yang negetif. Dan setakat ini saranan negatif tidak kuterima dari orang lain tetapi berligar dalam mindaku sendiri.
Untuk menjadikan aku terus positif, aku mengharapkan sokongan dari orang-orang tersayang di sekelilingku. Mungkin aku boleh menumpang gelombang positif yang berligar di sekelilingku untuk membina gelombang positifku yang lebih kuat.
Apapun, yakin dan berpegang kepada ketentuan Allah , itulah yang paling utama.
No comments:
Post a Comment