Ada dua tiga buah cerita yang saya suka sampaikan kepada pegawai-pegawai saya atau sesiapa yang menjadi pendengar saya ketika menyampaikan ceramah atau ucapan.
Pernah di suatu Perhimpunan Pagi di Jabatan saya, ucapan saya, saya sampaikan dalam bentuk bercerita yang kemudiaannya saya kaitkan dengan mesej yang hendak disampaikan.
Dalam tulisan saya pagi ini , saya hendak menceritakan semula kesah-kesah itu. Walaupun jarak waktu saya bekerja dulu dengan sekarang dah lebih 14 tahun, ceritanya tetap malar hijau dan sesuai didengar dan dijadikan panduan untuk yang masih bekerja atau yang sudah tidak bekerjapun tetapi masih aktif mengusahakan sesuatu.
Mungkin anda pernah mendengar cerita-cerita itu dari pelbagai sumber dan pendekatan. Namun apa yang akan saya sampaikan adalah versi saya sendiri.
Cerita pertama yang nak saya ceritakan ialah cerita katak. Bukan katak yang menjadi hadiah ulangtahun kelahiran Asmidar pemberian Ali Setan. Ini katak utara di sebuah padang sekolah.
Dua ekor katak sedang santai-santai menghirup angin petang. Melompat beriringan dengan riang. Tiba-tiba plob..kedua-duanya termasuk ke dalam lubang yang sempit dan agak dalam. Lubang bekas tiang gol.
Jenuhlah kedua - duanya melompat untuk menyelamatkan diri keluar dari lubang itu tapi tetap gagal.
Sedang kedua-duanya cuba untuk keluar, lalulah seekor katak yang lebih veteran.
- Hang Pa buat apa dalam lubang tu?, sapa Si Katak Veteran.
- Kami terjatuh ke dalam lubang ni. Ni tengah dok cuba keluaqlah ni. Jawab salah seekor katak itu.
- Hentikanlah melompat-melompat tu. Buat penat badan ja. Ramai dah jatuh lubang lagu ni, memang tak lepeih punya, kata Katak Veteran lalu berlalu pergi.
Salah seekor katak tadi terus berhenti melompat dan putus asa. Seekor lagi terus melompat dan melompat dengan daya yang semakin kuat. Akhirnya Katak ini berjaya keluar .
Kenapa katak yang seekor tadi terus terdiam sedang katak yang seekor lagi terus mencuba? Rupa-rupanya katak yang terus terdiam tadi menerima saranan Katak Veteran itu supaya tidak perlu berbuat apa-apa kerana banyak yang memcuba tetapi gagal. Sedangkan katak yang terus mencuba dan berjaya keluar itu adalah seekor katak yang pekak. Dia tidak dengarpun kata-kata Si Katak Veteran.
Di sini bukanlah bermaksud untuk berjaya harus pekak. Ia bermaksud kita hendaklah memekakkan telinga kita kepada saranan-saranan negatif ( negative sugestion) sebaliknya sentiasa membuka telinga kita menerima saranan-seranan positif ( positive sugestion)
Saya berpesan kepada pegawai-pegawai saya dulu, atau rakan rakan setugas saya, sekiranya mereka terfikir suatu program atau projek , teruskan walaupun ramai orang memberikan pandangan-pandangan yang negatif. Kalau anda yakin anda betul dan anda boleh menjayakannya dan program itu boleh memberikan manfaat, teruskan. Pekakkan telinga kepada pandangan pandangan negatif yang menyatakan anda tak boleh melakukannya, halangannya banyak dan sebagainya.
Jadi akhirnya saya berpesan jadilah *Katak Pekak*.
No comments:
Post a Comment