Aku sedang menonton drama rantaian Jodoh-Jodoh Annisa bersama isteri.
Di satu babak, Annisa (watak utama ) marah-marah dan moody dan mengeluarkan kata-kata agak kasar kepada Dr. Iskandar kawan rapat yang banyak membantunya, sedangkan Dr. Iskandar hanya menasihati dia tentang kesihatannya.
Aku mempertikaikan tindakannya. Tapi riaksi isteriku ialah " Belum apa-apa sudah nak control, kahwin nanti lagilah. "
Riaksi spontan aku ialah " Jauh bezanya antara ambil berat dengan mengontrol".
Begitulah, kita selalu terperangkap dengan perpepsi yang salah yang menyebabkan kita bertindakbalas atau melakukan riaksi yang tidak sepatutnya.
Di suatu perhimpunan sekolah, aku menegur dan membetulkan barisan kelas aku bila dimarahi seorang guru yang tidak tahu barangkali aku Ketua Kelas. Tak cukup dengan dimarahi dan tidak mendengar penjelasan aku yang aku bukan bising tetapi meminta rakan-rakan jangan bising, aku dipaksa lari keliling padang. Akhirnya aku jatuh terjelepuk kerana aku baru sahaja pulih dari sakit teruk yang menyebabkan aku tidak dapat mengambil peperiksaan penting iaitu Peperiksaan Darjah 6 yang menentukan aku masuk ke sekolah menengah atau tidak.
Selepas bersara, aku bekerja di sebuah syarikat kecil sebagai pengurus stok dengan gaji hari. Tak datang ditolak gaji, ada urusan separuh hari, separuh gajilah yang aku dapat hari itu. Tak perlu kuceritakan kenapa aku harus bekerja di situ walaupun aku ada pencen. . Apa yang nak diceritakan ialah bagaimana aku dilayan dengan persepsi yang salah.
Suatu petang, seorang pekerja muda, berhenti dan lari begitu sahaja, sedangkan besok ada pembungkusan dan penghantaran yang perlu dilaksanakan. Besoknya dengan kaki yang bengkak kerana gout, aku gagahi datang dan melaksanakan tugas-tugas demi perniagaan syarikat berjalan lancar. Keikhlasan bekerja di JPN kuterapkan dalam bekerja di Syarikat ini. Tapi apa tanggapan Bos? Ini kutahu kemudian dalam satu situasi bersemuka setelah aku mengambil keputusan untuk berhenti. Kononnya aku datang juga untuk dapat gaji penuh sehari itu walaupun aku sepatutnya tak payah datang dan syarikat tak perlu bayar gaji. Hilang keikhlasan aku yg datang juga demi kelancaran kerja.
Banyak lagi episod yang menyakitkan dan akhirnya aku berhenti seperti yang aku tulis di atas.
Lebih setahun kutinggalkan Syarikat itu, Bos sakit kanser dan akhirnya meninggal dan aku sempat mengiringi jenazahnya ke kubur hingga selamat dikebumikan. Aku sempat memaafkan dia ketika dia sudah tidak mampu bercakap ketika aku menziarahinya di Hospital Kanser Negara. Allahyarham hanya memandang aku dengan pandangan yg tak dapat ditafsirkan.
Pandangan kosong.
Banyak sebenarnya, salah taksir, salah interpretasi yang menyebabkan institusi di tempat kerja, institusi keluarga goyah atau berantakan .
Kadang-kadang ianya terbawa-bawa dari kecurigaan atau sangkaan awal yang demi masa telah terbukti kecurigaan itu tidak berasas. Namun tanggapan dan persepsi yang tidak diubah dengan peredaran masa dan situasi menyebabkan kita kekal dengan kecurigaan kita dan segala sesuatu yang berlaku, kita patah balik pada tanggapan awal kita , sedangkan ia tidak benar atau relevan sama sekali.
Oleh yang demikian, belajarlah untuk mengenali hati budi orang lain. Mengenalinya betul-betul supaya kita tidak terus menerus menilai seseorang dengan tanggapan awal kita.
Ramai orang yang salah menilai Ketua mereka. Bos yang baik bagi mereka Bos yang mereka mudah mengambil kesempatan atau tidak kesah sangat tentang prestasi kerja. Bos yang tegas yang menyebabkan mereka terpaksa ikut peraturan sebenar dianggap Bos yang tidak baik.
Begitulah.
No comments:
Post a Comment