Aku mula tahu dan berjinak - jinak dengan istilah perubatan creatinine ini bila aku mendapat rawatan darah tinggi di Klinik Kesihatan Kg. Simee, Ipoh. Rawatan ini aku lalui selepas setahun tidak makan ubat darah tinggi secara teratur ketika aku bekerja di Pulau Pinang.
Ketika di Pulau Pinang aku makan ubat yang dibeli dari Farmasi. Atenolol adalah aku beli bila terasa lama tak makan ubat darah tinggi. Amelodopine tak aku beli kerana kononnya mahal. Masa itu kewangan aku agak bermasalah.
Ramai orang membuat andaian, buah pinggang boleh rosak kerana amalan makan ubat darah tinggi. Akan tetapi dokter tu beritahu aku, tekanan darah tinggi yang berlebihan itulah yang menyebabkan buah pinggang menjadi rosak.
Jadi oleh kerana aku mengabaikan sakit darah tinggi aku dengan makan ubat yang tidak teratur, dokter memaklumkan bacaan creatinine aku melepas julat. Masa itu kalau tidak silap bacaannya ialah 133 . Dokter memberitahu aku kulit buah pinggang aku menipis.
Creatinine sebenarnya ialah bahan kumuh yang dihasilksn oleh tubuh dan sepatutnya ditapis oleh buah pinggang yang sihat.
Jadi sebenarnya bacaan creatinine menunjukkan tahap kemampuan buah pinggang menjalankan kerja penapisan. Kalau bacaan tinggi maknanya kegagalan buah pinggang kita tinggi.
Sejak itu bacaan creatinine aku memang di luar julat. Bila aku pindahkan rawatan dari Ipoh ke Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, bacaannya masih tinggi dan dokter muda yang merawat aku menggunakan istilah yang lebih menggerunkan aku. Tidak menggunakan istilah kulit buah pinggang menipis seperti dokter di Ipoh, dia beritahu aku, buah pinggang Pak Cik bocor .
Istilah ini menakutkan. Anak-anak akupun terkejut bila tahu buah pinggang aku bocor. Adalah mereka membelikan aku Coenzyme Q10 . Tapi bila habis tidaklah aku beritahu mereka kerana harganya memang agak tinggi.
Dari bacaan aku, Coenzyme Q10 mampu memperbaiki masalah kerosakan buah pinggang. Dari kajian yang dibuat di India, ada pesakit berjaya turun keperluan hari dialisis dari 3 kali ke 2 kali sebagai contoh. Ada juga yang sudah tidak perlu kepada dialisis lagi.
Akan tetapi melalui rawatan yang lama di HUKM ini, dari dokter yang merawat aku, tahulah aku tahap bacaan creatinine aku ini tidaklah dianggap pada stage teruk yang memerlukan dialisis tetapi sekadar pada tahap perlu berjaga - jaga sahaja.
Lama jugalah aku dalam keadaan buah " pinggang bocor " ni kerana setiap kali buat pemeriksaan darah, bacaan creatinine sentiasa tinggi . Akan tetapi sekarang ini bacaannya pernah 2 - 3 kali masuk dalam range bermaksud bawah dari 100 dan kalau lebihpun tak jauh melebihi 100. Tapi untuk buat kimo dokter hendakkan keadaan buah pinggang yang lebih baik.
Memakan zat pemakanan Coenzyme Q10 seperti aku sebut di atas mungkin boleh membaiki keadaan ini, tetapi dalam proses kimo ini aku tidak berani memakannya kerana Vitamin C yang anak aku belipun dokter kata jangan makan.
Minum air yang banyak adalah satu kemestian bagi orang yang menjalani kimotrapi. Itu yang gagal aku buat. Aku tak cukup minum air. Tadi bacaan creatinine aku tinggi lagi melepasi 100 tapi tidaklah lebih banyak. Tapi dokter mahu memeriksa aku lagi Isnin 29 hb. Julai nanti untuk memastikan buah pinggang aku dalam keadaan baik sebelum menjalani kimo ke enam pada 31hb. Julai .
Aku kena usahalah. Selain minum banyak, mungkin makan buah tembikai dapat membantu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment