Beberapa hari kebelakangan ini heboh diperkatakan tentang kelayakan akademik ahli-ahli politik tertentu. Ianya melibat orang yang dianggap penting dalam kerajaan. Perkara itu pula bukan memperendahkan kelayakan yang dimiliki mereka tetapi kesahihan fakta tentang kelayakan yang dimiliki. Soal pokoknya ialah intergeriti.
Ahli-ahli politik terdahulu pun tidak mempunyai ijazah atau kelayakan akademik yang tinggi tetapi tetap menjadi pemimpin yang hebat kerana mereka memang orang hebat.
Pra syarat hendak menjadi pemimpin yang hebat tidak semestinya mempunyai kelayakan akademik yang tinggi tetapi pemikiran yang bernas dan daya kepimpinan yang mantap. Kalau pemikiran yang bernas, daya kepimpinan yang mantap diikuti dengan latar belakang akademik yang baik lagilah bagus. Tidak guna ada Ph.D sekiranya tahap pemikiran seolah-olah macam menggunakan kepala lutut ketika berfikir.
Jadi usahlah malu mengaku tahap akademik yang dimiliki kerana kalau anda pemimpin yang hebat anda akan tetap hebat. Kecuali anda seorang yang mempunyai perasaan rendah diri yang tinggi dan keyakinan diri yang rendah yang terpaksa bergantung kepada kelayakan yang terpaksa diadakan.
Sebenarnya memalsukan sijil atau ijazah ini bukan perkara baru dan dibuat atas beberapa tujuan. Sama ada untuk mendapatkan pekerjaan atau supaya dipercayai bila mengadakan sesi sesi motivasi atau untuk peraga diri sahaja supaya dikatakan hebat.
Semasa saya menjadi Ketua Unit Penilaian & Peperiksaan isu ini adalah lumrah. Saban tahun saya dihubungi pihak-pihak swasta terutamanya kilang-kilang untuk mengesahkan sijil yang dipegang oleh pekerjanya yang hendak dinaikkan pangkat. Ramailah yang kantoi bila no index yang diberi adalah milik orang lain dan keputusannya tidak sama dengan yang ditunjukkan kepada pihak majikan.
Ada kes seorang guru masuk maktab dengan sijil palsu, bekerja dengan sijil palsu, dan akhirnya tertangkap oleh unit saya apabila menggunakannya untuk masuk peperiksaan STPM. Ironinya bagaimana penginterview masa masuk maktab tidak perasan, pihak pendaftaran maktab tidak perasan, penginterview untuk menjadi guru pun tidak perasan sedang pembantu tadbir saya sekali pandang pun dapat mengesan?
Dipendekkan cerita guru ini ditamatkan tugasnya atau ada yang maklumkan kepada saya guru itu berhenti dengan sendiri selepas pihak LPM mengesahkan sijilnya sijil palsu. Jangan salahkan saya dan unit saya kerana kami hanyalah menjalankan tugas penuh intergeriti untuk negara kami nan tercinta.
Ada juga kes di mana beberapa orang pelajar menemui saya, minta ubahsuai keputusan peperiksaan. Bila diperjelaskan perkara itu mustahil untuk dilaksanakan, ada yang berkata " Duit tak ada masalah " menyirap darah saya ke kepala lalu saya halau keluar pejabat dan budak pejabat perhambat sampai keluar pagar Jabatan. Salah oranglah tempat mereka mencuba.
Ada pula yang memperkenalkan diri sebagai Dato' Savastian dan minta saya ubah keputusan cucunya. Tak tahulah sama ada pihak yang sama yang kata " duit tak ada masalah ". tu. Saya kata tak boleh tetapi dia mendesak juga. Dan dia tanya saya " You kenal Samy Vellu?". Saya jawab " Saya kenal Samy Vellu. So what? "
Begitulah serba sedikit kesah sijil palsu.
No comments:
Post a Comment