Ada pembaca Tulisan yang bertanya saya tidak menulis lagi ke? Saya jawab, dalam kedaan tidak sihat begini, tidak ada aktiviti di luar yang menemukan saya dengan persoalan baru, maka tidak tahu apa yang hendak ditulis. Kalau asyik bercerita tentang kesihatan saya, ianya akan menjemukan dan seolah-olah asyik meminta simpati. Simpati yang datang sendiri dengan simpati yang cuba diraih tidak sama nilainya. Lalu saya diminta menulis pengalaman semasa bekerja dulu.
Tetapi dalam keadaan diri yang masih kurang sihat ini apa yang hendak disentuh berbalik juga kepada persoalan sakit. Tapi saya akan menyentuh dari sudut yang lain.
Sepanjang perkhidmatan saya dari awal hingga bersara ( lebih 30 tahun ) saya hanya ambil / dapat cuti sakit tidak salah ingatan saya, dalam rekod cuti saya, cuma 10 hari sahaja.
Syukur Alhamdullillah, yang pertamanya saya diberi kesihatan yang baik oleh Allah sepanjang tempoh perkhidmatan saya. Maksudnya tidak mengalami sakit-sakit yang berat dan tidak pernah diperlukan untuk masuk wad di hospital. Setakat demam-demam biasa tu adalah.
Keduanya, saya tidak pernah meminta cuti sakit. Kalau Dokter atau Pembantu Kesihatan ( walaupun kenalan baik ) yang memeriksa saya bertanya hendak cuti sakit ke? Saya bertanya balik kepada mereka macam ini. " Dokter fikir saya layak diberi cuti sakit atau tidak? Kalau difikirkan layak dan perlu bagilah. Kalau tidak layak, jangan bagi ".
Begitulah saya. Bukan masuk bakul angkat sendiri , tapi itulah diri saya. Saya ceritakan sebab ingin memberi contoh kepada pembaca-pembaca muda yang masih bekerja. Mungkin apa yang saya lakukan boleh jadi ikutan atau tidak ikutpun tak apa sebab kita ini unik dengan keperibadian yang tersendiri.
Membeli Siijil Cuti Sakit RM5 ( ini harga zaman saya, tetapi tidak tahu harga zaman sekarang) seperti yang ada dilakukan sesetengah pegawai kerajaan tidak pernah saya lakukan.
Perkhidmatan menjual Sijil Cuti Sakit ini memang wujud di zaman saya dan saya hampir pasti perkhidmatan yang sama masih wujud di kalangan setengah Klinik Swasta yang tidak berwibawa.
Membeli Cuti Sakit ini sebenarnya melakukan penipuan demi penipuan. Penipuan pertama sudah tentu ponteng kerja tanpa sebab yang wajar. Penipuan kedua ialah mengatakan sakit sebagai sebab untuk tidak hadir bekerja. Penipuan seterusnya ialah mengemukakan Sijil Cuti Sakit palsu dan penipuan oleh dokter sendiri yang mengesahkan seseorang itu sakit walaupun dia tahu orang itu tidak sakit.
Ada juga yang tidak membeli Sijil Cuti Sakit tetapi berlakun sakit perut yang kronik yang memang dokter tidak ada cara mempastikan pesakit itu tipu atau tidak. Lakunannya mungkin hidup seperti lakunan Rosyam Nor atau mungkin juga lakunannya agak sumbang tetapi juga diberikan cuti kerana pegawai itu mendakwa betul-betul sakit.
Bercakap tentang cuti juga, semasa saya bertugas, saya tidak ambil tahu sangat kerana saya suka bekerja. Pernah isteri saya memaklumkan kepada saya, besok cuti kan? Lalu saya bertanya balik ,cuti apa yer?
Nak kata bodoh, bodohlah. Saya tidak mampu menukar sejarah atau berpatah balik untuk boleh dikatakan cerdek. Menjelang saya nak bersara, saya ada cuti terkumpul sejumlah 98 hari yang tidak berambil. Peruntukan cuti gantian dengan wang sebanyak 120 hari sudah penuh.
Sahabat saya dari Unit Perkhidmatan meminta saya susun jadual untuk ambil cuti. Saya hanya mampu menyelitkan dalam aktiviti saya sebanyak 38 hari sahaja sebab kerja-kerja saya selaku Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan memang padat menjelang hari Clock Out pada 8 Oktober.
Jadi cuti yang tidak dapat diselitkan selebihnya dikira hangus begitu sahaja. Tapi tahu tak apa yang jadi pada cuti yang diselitkan itu? Tidak berambil sampai ke sudah . Bodoh kan? Tapi saya puas hati dengan reputasi dan nama baik yang saya tinggalkan bila saya bersara. ( Terima kasih kepada semua kakitangan saya yang membantu saya merealisasikan Visi dan Misi yang saya hasratkan )
Itulah hadiah buat diri saya biarpun mungkin mengecewa orang lain. Isteri saya pernah berkata atau bertanya. " orang sebelum bersara bukan cuti ke?"
Mohon maaf kepada semua yang terkesan kesibukan saya bekerja.
No comments:
Post a Comment