Dalam perjalanan dari Beranang ke MRSM Kg. Gajah, banyak benda yang aku lihat dan kujadikan bahan bualan kerana aku tidak memandu kali ini . Aku jadi penumpang sahaja dan duduk di kerusi belakang.
Di sekitar Plaza Tol Kajang Silk, aku melihat pohon-pohon lontar. Aku tertarik dengan pohon lontar ini atas beberapa sebab. Pertama, aku rasakan tidak ramai yang tahu pohon lontar walaupun pernah melihatnya atau melihatnya setiap hari. Sejujurnya cuba jawab, apakah anda yang sedang membaca tulisan ini kenal pohon lontar?
Berapa orang yang sedar atau kata orang sekarang ambil pot, bahawa lambang DBP itu ialah daun lontar? Kenapa daun lontar dijadikan lambang DBP? Berapa orang yang tahu bahawa daun lontar ialah salah satu bahan tempat hasil tulisan-tulisan zaman dahulu diabadikan?
Pohon lontar juga disebut dalam Hikayat Seri Rama. Di mana dalam sayembara merebut Cita Dewi, putera-putera raja yang bersaing dalam sayembara dikehendaki memanah 40 batang pohon lontar yang ditanam sederet. Rawana yang hebat dan bongkak dengan kehebatannya yakin akan memperisterikan Cita Dewi hanya mampu menembusi 37 batang pohon lontar. Sebaliknya anak panah Seri Rama mampu menembusi ke 40 batang pohon lontar tersebut dan berjaya menperisterikan Cita Dewi. Mulai saat itu permusuhan antara Rawana dan Seri Rama bermula. Nak tahu pengakhirannya? Carilah Hikayat Seri Rama. Bacalah sendiri hi hi.
Melalui jalan Ayer Hitam ke Langkap melalui Chu Chak, kelihatan banyak bangau di sawah yang masih belum ditanam padi. Lalu aku beritahu cucu yang duduk di sebelah, itulah burung bangau. Lalu teringat cerita bangau dengan anjing. Bersahabat tapi tidak ikhlas.
Satu hari anjing mengajak bangau ke kediamannya kerana konon ingin menjamu sahabatnya bangau makan. Sampai di kediamannya anjing menjamu bangau makan di dalam pinggan yang amat leper. Bangau tak dapat hendak memakan makanan yang dihidangkan oleh anjing. Anjing sajalah yang makan sampai habis.
Beberapa hari kemudian bangau pula menjemput anjing ke rumahnya sebagai membalas jamuan yang diberikan oleh anjing sebelum itu.
Di kediamannya bangau menjamu anjing di dalam labu yang mulutnya hanya muat muncung bangau sahaja. Terkukat-kulatlah pula anjing.
Kuceritakan pula kepada cucu bagaimana bangau yang sangat dahaga berjumpa labu yang berisi air tetapi airnya jauh ke bawah. Muncung dan lehernya tak dapat mencapai air tersebut. Cerita asalnya gagak. Tapi dah terlanjur cerita tentang bangau, aku tukar watak gagak kepada bangau. Tak ganggu ceritapun dan cucu aku mana tahu watak asalnya gagak.
Aku ceritalah bagaimana bangau yang cerdik itu memasukkan batu-batu kecil ke dalam labu itu hingga air di dalam labu itu naik ke atas dan bangau itu dapat minum sepuas hatinya.
Aku katakan pada cucu aku yang itu kecerdikan bangau zaman itu. Aku katakan bangau sekarang lebih cerdik. Bangau tu cari dan gunakan straw hi hi.
Aku juga cerita kat cucu aku tentang orang buta yang hendak tahu apa itu susu yang akhirnya dikaitkan dengan bangau. Siapa yang tak tahu, bertanyalah kepada yang tahu. Malas nak ulang sebab dulu dah tulis, hi hi.
Sampai MRSM nampak pula sekawan monyet dalam kawasan asrama. Student baru ke tu? Tanyaku melawak dengan cucuku.
Meneruskan lawak bodoh kami, aku kata kalau monyet-monyet tu rajin mengintai masa cikgu mengajar , boleh dapat straight 8A , PT3.
Lepas hantar barang ke asrama kami keluar
makan ke Patro Perak Agrotourism Resort.
Bagus juga untuk bersampai-santai kat sini. Makanan di sini harganya agak murah.
Sekian dulu. Kalau nak sambung cerita balik pula, lambat pula pos yang ni. Semalam pun dah tak pos apa-apa.
No comments:
Post a Comment