Saya baru saja keluar dari tandas masjid yang kerap saya kunjungi.
Ada 5 buah tandas di dalam tandas lelaki ini dan yang selalu jadi tumpuan saya tentulah tandas duduk kerana kemahiran mencangkung dan ketahanan diri dalam posisi mencangkung sudah semakin kurang bila menjangkau usia 71 tahun ini.
Ada dua tandas duduk di tandas ini.
Masuklah saya ke tandas yang selalu saya masuki. Eh dah tak ada tempat penyangkut pakaiannya ? Kedua - duanya patah. Keluar semula untuk masuk ke tandas sebelah yang juga tandas duduk. " Ada penghuni le pulak ! "
Terpaksalah masuk semula ke tandas pertama tadi. Selitlah seluar pada pemegang pintu tandas. Mujurlah ok tidak jatuh. Proses seterusnya di. " censored " dari penulisan ini.
Maaf kalau Luah Bicara kali ini dimulakan.dengan episod masuk keluar tandas. Itu pencetus idea penulisan saya kali ini dan kandungannya sudah lama bermain di fikiran saya setiap kali menghadapi situasi yang sama , tetapi baru kali ini saya luahkan.
Ok yang saya hendak luahkan kali ini bukanlah cerita masuk tandas itu, tetapi ialah tentang penyelenggaraan kerosakan - kerosakan kecil di masjid - masjid di negara kita.
Kerap kali kita temui kerosakan kecil pada ensil pintu tandas, penyangkut pakaian, kepala paip, sistem pam, saluran getah dan lain - lain.
Dari pengalaman dan pemerhatian saya, kerosakan - kerosakan begini lambat sangat baru diperbaiki atau memang tak akan diperbaiki langsung.
Memandangkan hal tersebut saya ada satu cadangan cara mengatasi. Maaf kalau cadangan saya ini memang menjadi amalan sesetengah masjid. Saya pasti tidak semua atau tidak ada yang mengamalkan apa yang hendak saya cadangkan ini kerana di mana saja masjid yang saya singgahi ada masalah penyelengaraan atau pembaikan kerosakan - kerosakan kecil ini . Rata rata macam tidak diambil pot kata orang.
Apa yang hendak saya cadangkan ialah mengwujudkan petty cash khusus untuk memperbaiki kerosakan - kerosakan kecil tersebut. Tidak perlu jumlahnya besar. RM100 sudah memadai atau kalau perlu letaklah RM200. Petty Cash ini hendaklah diamanahkan kepada Siak atau setengah tempat panggil Noja. Siak dibenarkan pada bila - bila masa menggunakan wang petty cash ini dengan syarat setiap pembelian ada resit pembelian.
Siak hendaklah menjalankan pemeriksaan sama ada setiap hari atau pun berkala tetapi tidak lebih dari selang 3 hari atau peka kepada teguran atau maklumat dari jemaah.
Jumpa saja kerosakan kecil, terus beli barang dan terus ganti atau baiki pada hari yang sama, tidak perlu tunggu mesyuarat AJK atau mesyuarat Agong.
Bila wang petty cash sudah sampai masa perlu " top up " Siak jumpalah AJK berkaitan dengan mengemuka rekod penggunaan wang petty cash berkenaan termasuk bukti resit. Jadi petty cash sentiasa sedia bila diperlukan untuk pembaikan kecil ini.
InsyaAllah kalau setiap Siak pegang tanggungjawab yang diamanahkan jemaah - jemaah tidak berdepan lagi dengan masalah kerosakan kecil yang terbiar tidak diperbaiki.
Kalau pulak kerosakan itu memerlukan Siak mengupah orang untuk repair, upahlah tapi gunakan wang petty cash tadi dan rekodkan. Tapi kalau setakat tukar ensil, pasang penyangkut pakaian, ganti bebola pam tandas, rasanya Siak boleh buat sendiri.
Itulah cadangan saya. Kalau praktikal ikutilah. Kalau tidak praktikal fikirkanlah alternatifnya, tapi jangan tunggu Mesyuarat Agong.
No comments:
Post a Comment