Dalam tulisan saya di dalam Tulisan 30 saya ada menulis tentang hasrat kawan baik saya, yang disampaikan kepada saya, untuk melihat wujudnya kedai masakan Melayu yang menghidangkan masakan Melayu pada bila - bila saja diperlukan, tidak kira siang ataupun malam. Tidak hanya waktu siang sahaja dengan makanan yang sedia dimasak.
Lalu dihujung tulisan saya , saya cadangkan wujudnya kedai yang menyediakan makanan Melayu yang dimasak atas permintaan sebagaimana kita memesan makanan - makanan ala Thai.
Ketika itu saya tidak teringat kepada sebuah kedai yang menyediakan makanan sebegitu tetapi dalam menu yang agak terhad yang pernah saya kunjungi bersama anak dan seorang sahabat baik saya yang lain. Saya pernah menyebutkannya kepada kawan saya ini tetapi tidak teringat, itulah konsepnya lebih kurang.
Tadi saya pergi buat kali kedua ke kedai makan berkenaan di hujung Pekan Mantin berdekatan dengan Kedai D.I.Y. Nama kedainya agak unik sedikit iaitu KOPITIAM ANGAH HOT ROO TEA , makan tengahari bersama isteri dan cucu.
Kami sampai agak terawal 10 minit kerana kedai itu hanya mula beroperasi pukul 12.30 tengahari. Masuk jugalah dahulu rehat - rehat sambil berbual dengan Tuan Punya sebelum pekerja bersedia untuk mengambil pesanan.
Tanpa terikat sangat dengan set yang tertulis dalam menu yang disediakan, saya memesan ayam kampung masak lemak cili padi. Isteri saya memesan ikan tenggiri masak asam pedas. Kita boleh memesan ikan pari kalau kita mahu. Cuma cucu saya memesan makanan ala Thai, nasi goreng kampung.
Sebenarnya kalau kita order betul - betul ikut set, air minuman juga disediakan. Tapi kami order air minuman di luar set.
Bila makanan sampai, ia tetap sampai dalam set yang dijanjikan dalam menu. Saya dapat nasi putih, sup sayur kubis, gulai lemak cili padi ayam kampung dan telur dadar. Isteri saya dapat nasi putih, sup sayur kubis, ikan tenggiri masak asam pedas dan telur dadar. Maknanya lebih kuranglah dengan konsep yang saya war warkan dalam tulisan saya dahulu iaitu masakan ikut pilihan tetapi dalan keadaan terhad. Tidaklah boleh saya nak minta gulai lemak nangka muda, gulai tempoyak ikan patin atau ikan sela masak taucu. Tapi konsepnya sudah ada. Masakan Melayu dimasak ikut permintaan. Boleh saja diperluaskan pilihan masakan sekiranya Tuan Kedai ada kesanggupan.
Jadi saya kena war - warkan kepada kawan baik saya itu yang suka mencuba menu menu di kedai makanan yang baru kerana dia dan isteri terlibat juga dalam perkhidmatan katering.
Masakannya boleh tahan le sedapnya. Masak lemaknya terasa pedas dan lemaknya. Kalau tak segan, bolehlah menghirup sampai licin. Ayam kampung biasalah, kurang isi dan liat sikit berbanding ayam daging. Saya tidak cuba merasa ikan masak asam pedas kerana asam pedas bukanlah kegemaran saya. Apatah lagi saya memang tak suka ikan. Harga oklah. Murah tak murah, mahalpun tak le mahal sangat. Makan bertiga beserta minuman RM46.60 . Ok kan?
Premispun agak eklusif, kerana ruang makannya dalam dinding cermin ( kaca ) dan boleh saja makan di ruang luar kalau itu pilihan kita.
Untuk makluman kepada yang nak mencuba, kopitiam ini tidak beroperasi pada hari Rabu.
No comments:
Post a Comment