Pagi ini , bila berbual di whatsapp group Luah Bicara tentang baja dan tentang bunga kertas, ia menyedarkan aku tentang latar belakang aku yang aku tidak manfaatkan sepenuhnya kerana kekangan - kekangan tertentu.
Semasa di maktab perguruan ( MPTI, JB ), opsyen aku ialah Sains Pertanian dan Art & Craft. Jadi bila aku ditempatkan di sekolah, sepenuhnya 5 tahun aku mengajar Sains Pertanian. Jadi segala yang berkaitan pertanian adalah dalam pengetahuan dan pengalaman aku. Masa tu rajin juga buat taman di kawasan terhad di dalam pagar rumah aku. Aku duduk di rumah teres masa tu.
Selepas 5 tahun, aku melanjutkan pelajaran dengan mengikuti kursus setahun ( dipanggil kursus khas, atau specialist course ) atau resminya Kursus Tambahan ( Sains Pertanian ). Aku masih guru pertanian dengan latar belakang pengetahuan dan kemahiran pertanian.
Selepas 5 tahun, aku melanjutkan lagi pelajaranku di Universiti Pertanian Malaysia. Ijazah aku masih bidang pertanian iaitu B.Ed. ( Agric ). Cakap Melayunya Bacelor Pendidikan ( Sains Pertanian ). Untuk pengetahuan pembaca semua , 75% mata pelajaran adalah 100% sama dengan Bacelor Pertanian. Hanya 25% sukatan pelajaran yang berbeza iaitu Bacelor Pertanian belajar pengembangan, sementara kami belajar pendidikan.
Sebenarnya nama Ijazah ini pun dipolitikkan. Nama Ijazah kami sepatutnya Bachelor of Agricultural ( with Education ) . Ini akan mengatasi Bachelor of Agricultural sendiri. Peluang kami bekerja di sektor pertanian terbuka luas. Akan tetapi tidak tahu bagaimana keputusan dibuat di peringkat universiti, demi jaga status Bachelor of Agricultural , nama ijazah kami ditukar kepada Bacelor Pendidikan ( Sains Pertanian ) meletakkannya terkebawah dari dari Bachelor Of Agricultural. Begitulah semua perkara perlu dipolitikkan.
Apa yang aku nak sampaikan, kemahiran dan pengetahuan aku masih juga Pertanian. Cuma bila aku keluar mengajar semula, aku tidak ditempatkan di sekolah yang ada Tingkatan 5 yang mengambil Sains Pertanian, sebaliknya aku balik ke sekolah lama aku mengajar pertanian di Tingkatan 1 hingga 3 dan akhirnya mansuh dengan pelaksanaan Kemahiran Hidup. Tapi aku masihlah juga mengajar pertanian kerana sekolah aku melaksnakan.Kemahiran Hidup ( Pilihan Pertanian ). Cuma bidang sukatannya semakin mengecil.
Bila aku ditarik ke Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan dilantik sebagai Penolong Pengarah Teknik dan Vokasional, dan tidak lagi mengajar sebaliknya mentadbir, aku semakin jauh dari pertanian walaupun salah satu mata pelajaran yang aku tadbir ialah Sains Pertanian tetapi ada Penyelia Mata Pelajaran yang menguruskannya.
Bila pula 7 tahun kemudiaan, aku dilantik sebagai Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan yang cukup sibuk, pertanian kian jauh dari aku.
Selepas bersara,aku banyak menjalankan kerja - kerja lain, kerja pertanian terus tertinggal sementelah tiada sebidang tanahpun yang dapat aku usahakan.
Sekarang ini bila datang ke rumah aku di Beranang, rumah aku kosong. Tiada tanda aku ada pengetahuan dan kemahiran pertanian. Ini kerana tanah sekitar rumah aku keras berbatu hinggakan nak tegakkan tiang panjutpun kena cari lubang serangga ( ular ? ). Tanah itu kena ditambak dengan tanah gembur sebelum boleh ditanam hatta pokok - pokok bunga renik sekalipun.
Nantilah bila aku sihat nanti akan kuusahakan juga. Paling tidak,aku dapat menggunakan pengetahuan dan kemahiran aku. Hi hi.
No comments:
Post a Comment