Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bucara 79


Semasa membaca ulasan seorang sahabat terhadap buku aku Luah Bicara - 50 Luahan Pertama versi cetakan terhad sebelum solat Subuh, aku teringat dan teringin berkongsi pengalaman aku sebagai penjual goreng pisang.

Sekarang di pembaringan, setelah cuba melaksanakan kerja mengemas dan membersihkan bilik tidur, dan setelah terasa agak letih kerana kesan kimo yang tempohnya belum habis, aku cuba menulis pengalaman tersebut.

Mungkin ianya sekadar kenangan kepada aku dan mungkin sekadar pengetahuan sepintas lalu kepada yang sudi membaca tetapi mungkin juga menjadi inspirasi bukan untuk menjadi penjual goreng pisang tetapi bagaimana untuk survive bila keadaan memerlukan.

Aku menuntut di UPM dengan mendapat cuti tanpa gaji. Pinjaman MARA hanya sekadar RM128 sebulan. Dan selain daripada menampung keperluan aku di UPM, aku ada tanggungjawab untuk menyara isteri dan tiga orang anak yang semuanya masih kecil. Bayangkan bagaimana kehidupan aku ketika itu. Namun demi merealisasi cita - cita untuk menjadi siswazah dan demi tekad untuk membuktikan walau jatuh beberapa kali budak Sekolah Alam Shah pasti dan wajib bangun kembali hingga sekurang - kurangnya mendapat ijazah pertama , lalu aku harungi semuanya dengan cekal dan tabah.

Di penghujung semester pertama kalau tidak silap dan balik ke kediaman di Ayer Tawar, Manjong untuk cuti antara semester selama 5 minggu dan di sepanjang perjalanan balik itu kepala aku ligat berfikir bagaimana untuk survive sepanjang 5 minggu itu dengan wang di tangan cuma ada RM50?

Berhenti di Teluk Intan setelah aku membuat keputusan untuk menjual goreng pisang, aku beli setandan pisang nangka dengan duit RM50 yang ada di tangan aku.

Sampai di rumah, dengan menggunakan lebihan kayu dan papan yang ada di sekitar rumah, aku membina meja kecil yang amat ringkas dan kekukuhannyapun tidak seberapa. Itulah meja yang aku harap dapat menampung dapur dan kuali dan bekas adunan tepung. Akupun sudah tidak dapat membayangkan dengan jelas bagaimana susun aturnya kerana seingat aku meja itu terlampau kecil.

Petang itu aku bawa meja itu dan peralatan jualan aku menggunakan kereta aku Colt Lancer warna biru dengan plate PV 2017 yang hingga sekarang menjadi noltagia yg berterusan.

Berbekalkan sebuah dapur minyak tanah satu tungku, aku memulakan operasiku petang itu di sebuah persimpangan di Taman Dindings, taman kediamanku. Setiap yang lalu memandang dengan muka tertanya - tanya kerana sebelum aku, tidak ada sesiapa pernah berniaga begitu di taman itu. Selepas itu, inspirasi dari apa yang aku lakukan, barulah ada orang mengikut jejak aku. Seingat aku yang terawal ialah En Hasan, pesara tentera yang berjual air tebu dan mee goreng.

Berbalik kepada kesah aku di petang pertama aku berjual goreng pisang. Dengan dapur minyak tanah di tanah lapang yang angin begitu kuat, untuk memanaskan minyak ke tahap mendidih pun memakan masa yang amat panjang. Usahkan untuk mengoreng pisang hingga sempurna masaknya.

Sebagai sokongan moral, abang aku yang tinggal hampir persimpangan itu, memesan RM3 goreng pisang. Dengan harga 15 sen satu, banyak juga yg perlu kugoreng.  Dan dengan keadaan angin yang bertiup kuat, sepetang itu aku hanya mampu menyediakan tempahan abang aku sahaja.

Itulah yang aku hadapi sepanjang 3 hari atau seminggu ( aku tidak berapa ingat ) sebelum aku menggantikan dapur minyak dengan dapur arang yang aku beli dengan harga RM10. Masa itu akupun sudah berpindah ke lokasi lain yang aku fikir lebih strategik dan memang betulpun sambutan begitu baik.

Menggunakan dapur arangpun bukanlah selesa dan mudah. Untuk menghidupkan api hingga boleh digunakan untuk menggoreng cukup memakan masa dan setelah menyala dengan marak apinya amat sukar dikawal. Tapi dapur itulah yang aku gunakan sepanjang 5 minggu cuti antara semester itu.

Sambutan amat baik terutamanya dari kaum Cina. Hampir 70% pelangganku dari kaum Cina. Masalahnya dengan mereka ini, mereka tidak pandai makan goreng pisang abu atau nangka. Mereka suka pisang yang manis. Jadi aku kena lebih banyak menggunakan pisang awak.

Selain dari goreng pisang, isteri aku bantu dengan membuat karipap dan cucur udang. Kedua - duanya disediakan di rumah.

Itu kesah permulaan untuk 5 minggu itu. Banyak pengalaman lain lagi sebab setiap kali cuti semester aku akan menjalankan kegiatan berniaga goreng pisang.

Di akhir cuti itu timbul dilema. Aku sayang lokasi itu dan pelanggan aku. Aku pujuk abang untuk sambung apa yang aku sudah mulakan. Amat sayang tempat itu dan pelanggan yang sudah menjadikan pelanggan tetap. Mulanya abang agak keberatan tapi akhirnya mengambil alih dengan peralatan yang lebih sempurna. Dengan menggunakan dapur gas dan siap berpayung. Selama 5 minggu itu aku berjemur sahaja dari tengahari ke maghrib di tengah panas terik. Dan dengan kesediaan abang mengambil alih tugasku walaupun dia juga berkerjaya, bolehlah isteriku terus membuat karipap dan cucur udang.

Begitu kuringkas ceritaku. Bila cuti semester, aku ambil balik tugas menjual goreng pisang dari abang aku. Begitulah hingga habis aku belajar. Jadi jangan kelentong aku tentang untung rugi dan susah senang berjual goreng pisang kerana akulalui dari A to Z. Malahan sekarang penjual goreng pisang ambil jalan mudah goreng seketul - seketul. Bukan macam aku dulu dibuat dalam bentuk yang cantik iaitu itu tiga keping sebagai badannya dan diletakkan melintang sekeping di atasnya. Jadi 4 keping semuanya baru dikira satu dan dijual dengan harga 15 sen.

Begitulah ringkas cerita aku bermula menjual goreng pisang. Pengalaman lain sepanjang tempoh menjadi penjual goreng pisang mungkin aku kongsi lain kali atau kusimpan sahaja dalam diriku.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...