Aku sedang menulis memoir AKU BUDAK PARIT sebagaimana yang aku hasrat dan janjikan pada diriku sendiri dan kepada pembaca tulisanku khususnya yang berasal dari Parit. AKU BUDAK PARIT akan merupakan projek penerbitan buku aku seterusnya selepas Luah Bicara atau Tulisan.
Sudah tiga hantaran kubuat tetapi hanya kepada group whatsapp member - member Parit yang menjadi sasaran utama dan group whatsapp keluarga. Jika ada permintaan dari group whatsapp yang lain, barulah akan kuhantarkan tulisanku tentang kehidupan zaman kanak - kanak dan remajaku di Parit.
Bila menulis tentang Parit, tidak dapat tidak aku teringat kepada Teh dan Kak Menah yang masih menetap di Kg Tanjong Ara , Parit. Walapun tiada pertalian darah namun mereka sudah menjadi seperti saudara atau keluarga sendiri. Mereka pun melayan aku dan mengikuti liku kehidupanku dari zaman kanak - kanak hingga kini seperti aku ini saudara mereka sendiri.
Setiap kali aku ke Ipoh menziarahi abang yang aku panggil Yob, aku pasti akan singgah di Parit dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur atau kini lebih tepat Beranang untuk menziarahi mereka. Sudah menjadi seperti rutin wajib.
Rutin ini bermula bila aku teringat ibuku yang aku panggil emak yang telah meninggal sekitar 23 tahun yang lalu. Bila terasa ada sesuatu yang hilang atau masih terasa seperti tidak cukup sempurna layananku terhadap ibu semasa hayatnya. Jalan untuk menjalin kenangan dengan seseorang yang sudah pergi terutama ibu kita dan mencukupkan apa yang terasa kurang ialah dengan menyantuni sesiapa yang rapat dengan ibu kita. Itulah yang aku lakukan kini.
Namun rutinku terhenti atau terganggu bila aku mengidap kanser lymphoma dan menjalani rawatan kimotrapi yang mengambil masa yang panjang dan berterusan hingga kini. Lebih setahun menjalani rawatan, aku hanya dapat sekali menziarahi mereka iaitu selepas kimo ke enam sementara menunggu PET Scan dan hasil PET Scan. Kini ruang untuk ziarahi mereka semakin tertutup dengan pelaksanaan PKP.
Dalam usia aku sekarang, dengan penyakit kanserku yang belum tahu bila akan sembuh, dengan usia mereka yang jauh lebih tua dari aku, aku tidak pasti berapa kali lagi aku dapat menziarahi dan menyantuni mereka. Seperti tidak cukup apa yang kulakukan buat ibuku.
Semoga PKP cepat berlalu, semoga kanser lymphomaku menemui penyembuhannya secara total, semoga aku terus dapat menyantuni Teh dan Kak Menah . Itulah doa dan harapanku. Terasa masa sudah begitu singkat buatku.
No comments:
Post a Comment