Tidur awal bukanlah amalan hidupku. Dari muda hingga ke usia ini kebiasaan aku ialah tidur amat lewat dan bangun tetap awal atau jarang sekali aku bangun melebihi pukul 5 pagi.
Apa yang melewatkan aku tidur atau apa pengisian aku sebelum tidur atau tertidur sebenarnya ialah sama ada membaca buku, menonton televisyen atau leka di depan PC atau seperti sekarang ini leka menulis di HP.
Tetapi aku menulis sekarang ini bukanlah seperti kebiasaanku iaitu belum tidur lagi. Aku sebenarnya melanggar kebiasaan aku tidur lewat dengan memaksa diriku tidur awal untuk merehatkan diri kononnya kerana pukul 8.00 pagi nanti aku akan menjalani proses memasang port untuk kimo yang istilah perubatannya sampai sekarang aku tak hafal.
Jadi tidurlah seawal 10.30 malam atau lebih sedikit tadi dan bila terjaga tadi sekitar 1.58 pagi ( dinihari ) , mataku sukar diajak tidur kembali. Ada sedikit rasa mengantuk tetapi mata terus terkebil - kebil. Cuba buka youtube untuk mengikuti perkembangan politik semasa tetapi mobile data dah penuh menyebab sukar atau langsung tak dapat dibuka Buka whatsapp group tiada hantaran terkini. Macam tiada tambahan seperti ketika aku " masuk tidur " pukul 10.30 tadi.
Cuba tidur namun tak mahu juga. Mula berfikir apa yang hendak kutulis untuk mengisi waktu. Perkara terdekat ialah status kesihatanku tetapi pengikut tulisanku " dah warning " katanya menjemukan dan isu biasa - biasa saja. Jadi nak tulis apa? Tentang aku " terkena " dengan penjual ubat atau cerita - cerita berkaitan penjual ubat jalanan yang sekarang dah berkurangan atau tidak semeriah dulu?
Teringat juga kepada pengikut tulisanku yang kata nak datang ziarah dan macam - macam perkara berligar.
Akhirnya aku mula menulis dan mata jadi segar langsung tiada rasa mengantuk sedikitpun. Membawalah kini sudah jam 3.38 pagi. Macam ada rasa nak cuba tidur balik pukul 4.00 pagi nanti.
Apa isu yang hendak kubawa. Lalu terfikir nak menulis tentang penyataan waktu. Penyataan waktu yang sudah terabai atau tidak lagi diketahui oleh generasi sekarang kerana terikut cara barat atau antarabangsa yang meletak 12.00 am sebagai pagi dan 12.00 pm untuk petang ke malam.
Kita sebenarnya ada istilah pagi, tengah hari, petang, senja, malam, tengah malam, dinihari , dinihari pagi, subuh dan pagi kembali. Tidaklah betul sebenarnya memberi ucapan selamat petang dalam ucapan - ucapan pada waktu malam di meeting - meeting MLM kerana terikut cara barat yang mengucapkan good evening kerana kononnya selamat malam hanya digunakan untuk ucapan nak tidur atau nak berpisah dari pertemuan malam atau evening ikut cara barat.
Dan sebenarnya dalam ucapan atau tulisan menyebut 12.01am sebagai pagi tidaklah betul kerana kita ada perkataan khusus iaitu tengah malam. Begitu juga menulis atau menyebut 1.00 pagi untuk 1.00 am kerana kita ada perkataan larut malam dan sekitar pukul 2.00 ke pukul 3.00 sebagai dinihari dan diikuti dengan dinihari pagi sebelum masuknya waktu subuh.
Pun ada kekeliruan bila kita menyebut malam untuk satu - satu hari. Contohnya dalam surat jemputan: Ahad Pukul 8.00 malam. Sedangkan malam itu ialah malam Isnin. Ikut Islam atau Melayu malam mendahului siang. Ironinya tentang malam Jumaat ikut pulak dan faham pula, sama ada untuk baca Surah Yassin atau aktiviti " yang satu lagi tu. " dan jadi gurauan atau peringatan pula " malam Jumaat ni !" Tak ke tak kena dalam kad jemputan ditulis Khamis pukul 8 malam sedangkan kita menjalankan aktivi malam Jumaat ?
Kekeliruan ini menyebabkan bila ada orang menjemput aku " datang malam Ahad ni ", Aku tanya balik untuk kepastian " Ahad malam yer? " Sebab malam Ahad yang disebut oleh penjemput tu sebenarnya malam Isnin.
Renung - renungkanlah.
Nota:
1. Akhirnya aku tak tidur kembali hingga kini 5.50 pagi ( nak Subuh dah )
2. Bukan mobile data penuh. Lupa bayar bil sebelum masuk wad hi hi.
No comments:
Post a Comment