Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 70


Dalam hening pagi se awal pukul 4.00 di Wad 6G HUKM ini , rentetan perjalanan mindaku bergerak dari satu  persoalan ke satu persoalan dan dari satu perasaan ke satu perasaan.

Ketidaktentuan status kesihatanku membuat aku terfikir untuk menyegerakan apa yang aku ingin lakukan.

Pertama yang terlintas di mindaku ialah untuk menyegerakan cetakan kedua Luah Bicara dan penubuhan syarikat penerbitan bersama anak - anak untuk menerbitkan cetakan kedua Luah Bicara itu dan tulisan - tulisan aku yang lain dan nanti tulisan penulis - penulis lain juga.

Aku yang tidak berusaha atau tidak berpeluang mengumpul walau sedikit hartapun semasa mudaku berhasrat dan mengharapkan, hasil - hasil dari penulisanku dan penerbitan tulisan -tulisan penulis - penulis lain nanti dapat menjadi peninggalan material sekadarnya kepada isteri dan anak - anak . Kalau tidak dapatpun sesuatu yang berbentuk material, aku dapat meninggalkan sesuatu untuk dijadikan kenangan dan legasiku diteruskan.  Untuk bekalan aku sendiri ke akhirat,  itu urusan dan persediaan peribadiku yang akan kulaksanakan semampuku.

Hasrat menggerakkan cetakan kedua Luah Bicara dan penubuhan syarikat penerbitan ini telah kubayangkan pada anak - anak dan mereka menerimanya secara positif. Malah usaha melaksanakan cetakan kedua Luah Bicara telahpun bermula dengan selesainya kerja suntingan yang kubuat dan kuserahkan kepada salah seorang anakku untuk proses retype dan resetting layoutnya. Selesai itu aku akan ajak anak - anak duduk bersama berbincang untuk langkah - langkah seterusnya.

Rentetan perjalanan mindaku juga singgah ke janji bekas anak muridku untuk bertemu aku hari ini. Semalam tidak dapat mereka laksanakan kerana waktu proses colonoscopyku yang tidak pasti dan kerana salah seorang mereka ada hal di sebelah petang.

Aku pernah menulis tentang bekas anak - anak  muridku yang berbangsa Cina ini dalam Tulisan 66.    Keikhlasan yang wujud antara kami meruntuhkan tembok rasa perkauman yang kini cuba ditegakteguhkan oleh segelintar individu atau kumpulan.

Salah seorang muridku ini begitu santun dan begitu perihatin tentang kesihatanku ,  hatta  jadual rawatanku pun dia tahu  kerana begitu kerapnya dia menghubungi aku . Dia menanyakan khabar aku dan proses rawatan aku.  Dia tahu dan ingat di mana aku berada atau patut berada dan menjalani proses apa pada tarikh - tarikh tertentu.

Seorang lagi yang berjanji akan melawat aku hari ini ialah bekas anak muridku yang bermastautin di Amerika Syarikat dan hanya pulang setahun sekali untuk turut merayakan Tshun Baru Cina bersama keluarga.

Ada beberapa orsng juga bekas murid berbangsa India yang selalu bertanya khabar tentang aku.

Nota ulangan : Dahulu aku mengajar di SMJK yang rata - rata muridnya berbangsa Cina dan sedikit India.

Aku angkat cerita ini untuk memberitahu kepada semua pembaca, sekiranya tidak dipengaruhi atau terpengaruh oleh doktrin - doktrin parti - parti politik atau kesatuan - kesatuan yang ektrim dalam hala tujunya, hidup dalam pelbagai kaum di negara ini boleh berjalan dengan cukup harmoni dan menggembirakan.

Semasa aku belajar tanpa gaji di UPM dulupun ramai juga individu - individu Cina yang bantu secara langsung atau tidak langsung meringankan beban kewanganku. Untuk itu aku tidak pernah lupa.

Rentetan mindaku kembali teringat pada janjiku untuk menulis tentang santunnya seorang petugas di Plaza  tol Lebuh Raya LEKAS exit Bangi, Semenyeh dan Eco Hill. Aku berkongsi cerita ini dengan salah seorang anakku  yang melalui laluan yang sama ke tempat kerjanya dan dia mengiyakan apa yang hendak aku ceritakan ini.

Aku lalu di Plaza Tol itu seawal pukul 5.15 lebih kurang setiap kali jika aku pergi ke HUKM untuk rawatan. Aku lalu di laluan Touch & Go.

Di laluan ini,  berhampiran pengesan kad touch & go, duduk seorang petugas lelaki awal 40an atau lewat 40an yang aku tidak pasti, akan menyapa dengan ucapan "Assalamualaikum" dengan senyum yang terukir di bibir dan kemudiaan setelah salamnya dijawab, mengingatkan atau berpesan pula supaya  hati - hati memandu. Pesannya itu muncul kembali dalam benakku setiap kali aku teralpa sedikit dalam pemanduanku.

Tidak silap aku, pernah dalam perjalanan balik dan mungkin memang masa itu masa shift petang, aku menerima ucapan salam dan selamat pulang. Begitu santunnya dia.

Bagus bukan kalau setiap petugas di front desk mempunyai sikap begini? Dan yang menerima layanan begitu sewajarnyalah respon dengan sikap yang baik juga. Barulah seronok hidup ini. Sekarang ini bila lalu di laluan tol tersebut, aku berusaha untuk mendahului dia memberi salam.

Banyak lagi lintasan dalam minda ku pagi ini. Sambil mandipun minda terus menerus mengingat, membayang dan sebagainya. Kalau hendak dituliskan akan menjadi tulissn yang panjang yang menjadi beban untuk dibaca. Saya akan garap di waktu ysng lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...