Ada pembaca yang selalu mengikuti luah bicara saya menyatakan tulisan berkaitan rawatan hospital dah terlalu banyak dan meminta saya menulis sesuatu yang lain. Ada juga di kalangan pembaca yang juga kawan sekampung meminta saya menulis sesuatu yang menjadi noltagia bersama ketika zaman kanak - kanak atau zaman semasa masih di kampung.
Memang cerita rawatan di hospital itu biasa dan saya kadang - kadang cuba mengelakkannya. Namun itulah yang hampir dengan saya ketika saya menulis itu. Kadang - kadang ianya berupa harapan yang tidak tercapai yang terkesan di hati. Seorang penulis dekat dengan dirinya dan persekitarannya. Sesuai dengan Luah Bicara, terluahlah apa yang dirasai dan dilalui.
Kepada kawan yang meminta saya menulis sesuatu yang menjadi noltagia, memang sesekali terinbau juga dan saya tulis juga. Biasanya adalah sebab mengapa ianya terbedik di hati. Dia hendak saya menulis kesah kini yang kemudiaan dikaitkan dengan kesah silam. InsyaAllah saya usahakan.
Hari itu saya dengan isteri menonton Garden of Evening Mists . Kesah silam yang merangkumi sekitar 1945 hingga ke 1980an. Zaman penghujung pemerintahan Jepun, komunis mengambil kesempatan mengisi lompong yang ditinggalkan Jepun sebelum British datang hingga zaman dharurat yang berlarutan hingga 1980an. Namun ianya bukanlah filem perang sebaliknya kesah hubungan cinta ( kemanusiaan ) antara wanita tempatan dengan lelaki Jepun yang datang dan menetap di Malaya.
Namun saya tidaklah berhasrat untuk memperincikan kesah yang mengambil latar tempat di Cameron Highland itu.
Saya membaca artikel tentang filem yang dicalonkan untuk 9 oscar itu di dada akhbar dan kemudiannya membuat carian di internet. Lalu mencadangkan kepada orang rumah untuk menontonnya. Berlainan dengan zaman kanak-kanak dulu, kita maklum tentang filem yang sedang dan bakal ditayangkan dengan membaca flyer yang dicetak atas kertas nipis berwarna dengan cetakan hitam yang disebarkan oleh lori kecil bagi pihak panggung. Di luar panggungpun ada poster atau kain rentang yang dilukis dengan tangan bukan cetakan.
Orang rumah pun membuat carian cinema yang menayangkan filem berkenaan secara online dan membeli tiket juga secara online. Tidak perlu berbaris dan berebut rebut seperti di zaman saya budak - budak dulu.
Dulu kalau nak beli tiket kena berebut dan adakalanya bertumbuk. Berbaris tidak ada dalam kamus kami ketika itu. Nak beli tiket kena ada kekuatan.fizikal. Mulanya saya tidak terlibat untuk membeli tiket. Apatah lagi badan saya kerdil atau keghodeh kata orang Perak. Namun lama - kelamaan kena belajar juga skil membeli tiket ini.
Tingkap tiket di panggung Kong Wah di pekan kecil kami iaitu Pekan Parit kecil sahaja. Ada besi tebal berlubang2 dipasang pada tingkap tiket itu. Kalau orang tak ramai kita bolehlah nampak nyonya yang jual tiket itu melalui lubang2 itu. Kalau ramai yang berebut, nampak kepala orang orang yang berebut itu sajalah.
Duit hendaklah digenggam erat. Kemudian dihalakan ke lubang yang muat satu dua tangan saja tu. Bila tangan kita celus ke dalam lubang itu, jangan buka tangan dulu. Nanti duit jatuh. Tunggu nyonya tepuk tangan kita. Bila dia tepuk saja, buka genggaman tangan dan sebutlah kuat - kuat jumlah tiket yang hendak dibeli , tally dengan duit yang digenggam tadi atau duit itu kalau tak ngam - ngam mestilah berlebihan. Contohnya sebutlah " Orang tua dua.budak satu" . Maknanya dua orang dewasa dan seorang kanak - kanak le tu.
Saya tak pasti sekarang ini adakah tiket untuk kanak - kanak atau kadar sama rata sahaja sebab saya tak pernah bawa budak - budak menonton wayang sekarang ini.
Nyonya itu akan letak tiket dalam tangan kita bersekali dengan baki duit dan kita kena genggam tiket itu kuat - kuat ketika menarik tangan kita keluar. Sakit atau melelas itu perkara biasa.
Seperkara lagi, dulu tidak ada nombor tempat duduk. Asasnya first come first serve. Jadi kalau waktu tayangan belum bermula, ahli yang tiketnya kita tolong beli belum hadir, kita tanda bangku dengan mengikatnya dengan sapu tangan. Kalau ramai rentang tali guni. Begitulah sebelum nombor bangku diperkenalkan.
Dulu ada tayangan murah Cheap Matinee. Harga tiket 35 sen. Tayangan pada hari Jumaat . Tolong emak merumput di bendang orang, emak bagilah 35 sen itu. Saya pergilah menonton wayang. Saya suka cerita cowboy lawan Red Indian.
Banyak lagi cerita menonton wayang ni. Nanti saya tulis lagi. Sekarang cukup setakat ini dulu.
No comments:
Post a Comment