Memandu dalam perjalanan dari Beranang ke Bandar Tun Razak, kepalaku terfikir untuk menulis Luah Bicara 68 . Aku melihat adanya ruang masa yang banyak ketika di Day Care Hematology Unit di HUKM nanti memandangkan rakan - rakan senasib dalam perawatan sudah terpisah - pisah oleh jadual rawatan yang sudah tidak sekerap dulu dan sudah tidak sama antara satu sama lain. Tapi rupanya Uncle Chai ( Pesakit Leukimia ) ada dan terjadilah bualan antara kami yang menyebabkan hasrat aku untuk menulis tidak jadi.
Ini aku menulis setelah proses ambil darah. Biasanya ada lebih kurang dua jam sebelum keluar keputusan analisa darah sebelum kami dipanggil berjumpa dokter. Uncle Chai pergi bersarapan sementara aku yang menjalani puasa ganti tidaklah bergerak ke mana - mana.
Ada dua tiga perkara yang hendak kutulis sebenarnya .Antaranya tentang kembara solo yang pernah kukongsikan suatu ketika dulu dan kesantunan petugas di Tol Lekas laluan keluar dari Eco Hill.
Boleh saja aku tulis secara berasingan tetapi tidak pasti yang mana satu yang hendak didahulukan.
Sementelah pola pemikiranku sepanjang perjalanan tidak berurutan sebagai satu rentetan, sebaliknya berselang seli antara satu dengan yang lain, terasa ingin kurakumkan beberapa isu atau cerita itu secara berselang seli juga sebagaimana ianya terbentuk dalam mindaku.
Penulisan aku terhenti bila dokter memanggil aku. Terus hilang sekejap ingatanku untuk menulis bila aku dimaklumkan status penyakitku yang memburuk berbanding laporan terdahulu yang sekali gus membunuh keceriaanku dan menarik turun semangatku.
Kanser di usus kembali aktif dan agak agresif. Begitulah gambarannya sebagaimana yang dimsklumkan kepada aku. Sesuatu yang bercanggah dengan harapanku untuk diistiharkan bebas dari kanser limpomaku sepenuhnya.
Aku diminta serta merta ( hari ini juga ) masuk wad untuk buat pemeriksaan semula melalui colonoscopy dan mungkin diikuti rawatan - rawatan yang lain.
Kini aku sambung menulis sambil menunggu giliran untuk x ray usus dan paru - paru
Selesai x ray usus, aku kembali ke Day Care Hematology. Dokter yang nak berjumpa aku tak ada tapi aku diminta menunggu. Dikatakan dia akan datang bersama dokter pakar. Bimbang juga dia tidak datang kembali sebab tadi kata nak jumpa sekitar pukui dua sedang sekarang sudahpun 4.19 petang. Suspen juga menunggu hasil x ray.
Akhirnya aku diarahkan masuk wad dan di wad sajalah nanti dokter akan bertemu aku.
Kini dalam hening pagi, yang aku terbangun sekitar pukul dua lebih dan hingga kini tidak tidur semula, aku sambung tulisan ini dan setakat ini sahajalah kali ini. Ini kerana sudah tidak sesuai lagi aku menyambungnya dengan kesah kembara solo dan kesantunan petugas tol itu bila kesah rawatanku mengambil tempat.
Nantilah. Cuma doakan aku sempat menulis KEMBARA SOLO - SUATU CATATAN PERJALANAN atau KEMBARA SOLO - SEMASA HAYATKU MASIH ADA tajuk yang aku rancang untuk menulisnya semasa aku melaksanakan kembara solo aku nanti. Doakan aku sempat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment