Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 57

Sudah dua tiga hari aku tidak menulis. Rasa macam terhutang pula kepada pembaca yang menyatakan mereka sering menunggu. Tetapi sejujurnya dua tiga hari ini aku  tidak tahu apa yang nak ditulis. Ada dua tiga tulisan yang terbengkalai separuh siap tetapi macam malas nak diteruskan.

Semalam  selepas solat azar di Masjid Raja Alang, Beranang, sahabat masjid aku memberikan seikat  besar buah rambutan dan sebungkus besar buah manggis hasil tanamannya sendiri. Ini kali kedua aku
diberikan buah rambutan.
Kali pertama beberapa minggu dulu aku diberi tiga ikat besar. Sempatlah juga  aku panjangkan sedekahnya.
Semalam sempat aku bertanya, tahu tak buah kandis? Dia tahu dan penerangannya kepada aku betul. Aku tak hendak beritahu pembaca. Carilah sendiri supaya anda pembaca tahu buah-buah yang ada di sekitar kita.

Kenapa aku teruja menceritakan hal
Ini? Ini mengembalikan kenangan aku ke zaman kanak-kanak dan remaja aku di Kg Tanjong Ara,  Parit.

Aku dagang merantau. Tiada berumah, tiada bertanah apatah lagi dusun buah-buahan.

Hidup kami anak beranak samalah seperti keluarga Damak dalam kesah Seri Mersing. Dagang kami musafir lalu. Tapi bezanya  kami tidaklah di pulaukan oleh orang kampung walau pada mulanya bukan semua menerima kami dengan baik. Miskin selalu dipandang rendah.

Tapi bukan kehidupan aku dan keluarga aku yang hendak aku ceritakan. Syukur Alhamdulillah aku sudah berjaya mengeluarkan diri dari kepompongan kemiskinan.

Akan tetapi yang hendak aku ceritakan ialah kemurahan hati orang-orang kampung yang mempunyai pokok buah-buahan sama seperti sahabat saya ini.

Walaupun tidak bertanah dan tidak mempunyai pokok buah-buaahan sendiri, rezeki kami memakan buah-buahan tidak pernah putus. Cakaplah musim apapun. Musim durian, kami puas makan durian. Musim rambutan kami puas makan rambutan. Begitu juga musim langsat dan lain-lain. Rezeki ini bukan sahaja dari buah-buahan kampung kami tetapi kampung-kampung lain juga. Kampung-kampung sekitar Parit kebanyakannya tanah dusun. Masa itu buah-buahan menjadi dan orang-orang kampung dan kampung-kampung sekitar Parit, tidak sangat mengkomersialkan hasil tanaman mereka sebaliknya lebih banyak bersedekah.

Di musim durian, kami menaiki bas ke kampung-kampung kawan sekolah yang menjemput kami makan durian. Bukan sahaja buah segar disediakan berlonggok di pangkal pokok di dusun mereka, kami juga seronok mengejar dan mengutip buah durian yang baru luruh. Biasanya buah langsat dan buah ramania ( kundang kata setengah negeri ) ada sama.

Berbalik tentang durian, aku cuma makan ulas yg fresh. Masuk dalam dodol, wajit atau buat buburpun aku tak suka. Tak suka juga durian yg sudah dikeluarkan ulasnya dari pangsa dan diletak dalam pinggan atau tupperware. Sampai sekarang tekak aku sama saja. Tak selera nak makan yang dihidangkan di luar pangsanya.

Puas makan durian, kami berendam di dada sungai Perak . Puas mandi sampai mata merah, balik ke rumah kawan yang menjemput, makan tengahari sudah sedia menanti. Sudah tentu gulai tempoyak ada sama. Akan tetapi aku ni anak jati Perak yang pelik sikit. Aku tidak makan tempoyak. Bukan tahap tak suka. Nak lepas kerongkong pun tak boleh. Aku juga tidak makan cencaluk, pekasam, budu dan yang seangkatan dengannya. Peliknya aku suka sekali makan belacan. Makan nasi berlaukkan belacan bakarpun sudah memadai.

Berbalik kepada cerita kemurahan hati orang kampung, jiran aku yang aku panggil Wan Timah, setiap musim durian, menjemput kami jiran-jiran ke dusunnya di seberang Pekan Parit. Kami naik bot untuk menyeberang. Sekarang dah ada jambatan kayu merentasi laluan kami dari pekan Parit ke Pulau Cempaka Sari dan terus ke seberang.

Sampai saja di dusun, di atas daun pisang sudah menimbun ulas-ulas durian yang sudah dikeluarkan dari pangsanya. Disediakan juga pulut dan santan. Ini ialah persediaan makan pulut durian. Ada juga durian-durian yang masih belum dikeluarkan ulasnya. Durian yang itulah yang aku makan. Lagipun aku tak makan pulut durian pun. Tak gemo ( gemar )  kata orang Perak.

Di sinipun kami mandi dan juga mengutip siput belitung ( siput sedut) di anak sungai.

Sementelah sedang bercerita tentang buah-buah inginlah aku bertanya pengetahuan pembaca tentang buah - buah yang ada di sekitar kampung sama ada yang termasuk dalam jenis buah - buahan ataupun tidak. Kalau tahu bagus tak tahu bertanyalah. Kadang-kadang google pun tak dapat. Dia orang bukan tahu semua.

Cuba tengok senarai di bawah ini, setakat mana anda tahu. Ini sekadar beberapa sahaja.

Buah ceghopu
Buah sentul
Buah kuncur
Buah rembia
Buah nipah
Buah lemba
Buah kelubi
Buah kote mamak
Dll.
Sorry hodoh sikit nama yang last tu. Hi hi

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...