Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 78


Adalah menjadi pemandangan biasa di tempat yang tertera DILARANG MEMBUANG SAMPAH DI SINI di situlah dilonggokkan sampah.

Juga perkara biasa di laluan yang bertulis NO ENTRY orang memandu juga masuk ke laluan itu.

Tadi di cafeteria HUKM memang sudah dijarakkan tempat duduk makan. Kalau meja panjang tu, seorang duduk di hujung dan seorang duduk di hujung yang lagi satu atau pilih saja meja lain yang kosong. Di atas setiap meja ada ditulis peringatan untuk menjarakkan diri. Namun ada juga yang menarik kerusi lalu duduk juga dalam kelompok yang rapat antara satu sama lain.

Memang begitukah tabiat orang Malaysia. Apakah ini ada kaitan dengan cara kita mendisplinkan anak - anak ?

Bila anak memanjat pokok, yang sepatutnya kita berkata " Turun Atan, bahaya panjat pokok nanti jatuh." sebaliknya kita berkata dengan marah " Panjat lagi, panjat lagi tinggi- tinggi".

Bila anak main pisau kita sebut " Main lagi pisau, ambil dalam laci tu banyak lagi."

Itu sekadar andaian. Tapi memanglah kita di Malaysia ni pelik sikit.

Semalam ada seorang wanita datang ke Pasar Raya HERO di Bandar Seri Permaisuri untuk membeli belah. Petugas menghalangnya masuk kerana tidak memakai penutup hidung dan mulut. Mengomel dia marah - marah kerana tidak dibenarkan masuk. Katanya payah nak dapat penutup mulut dan hidung di pasaran sekarang. Memanglah diakui kesukaran mendapatkannya. Tapi tidak boleh ke ambil inisiatif menutup mulut dengan sapu tangan ke apa ke kerana pengunjung lain semua berbuat demikian? Akhirnya dengan bersungut dan marah - marah dia meninggalkan pasaraya tersebut. Baguslah petugas di pasaraya itu bertegas demi keselamatan orang ramai.

Pendek kata banyak sekali apa yang dilarang itu yang dibuat. Larangan Pergerakan Terhad kerana ancaman COVID 19 ni pun ramai juga yang melangarinya malah ada pulak pihak yang mempertikaikannya. Memang pelik kan?

Luah Bicara 77


Tahun 1945 - 1950an, penyakit batuk kering atau tuberkolosis atau tibi
adalah penyakit yang paling bahaya ketika itu dan menjadi pembunuh utama.

Orang berpenyakit batuk kering dijauhi dan segala peralatan makannya di rumah diasingkan dari ahli keluarga yang lain. Wad TIBI di hospitalpun jauh terasing.

Aku tinggal berjiran dengan salah seorang pesakit batuk kering ini. Memang takut untuk mendekatinya dan singgah minum di rumahnya. Malah bermain dengan anaknya yang sebaya dengan aku juga agak menakutkan.

Akan tetapi hasil kemajuan negara dalam bidang perubatan, akhirnya penyakit itu sudah terhapus dari negara kita.

Malangnya dengan kemasukan pendatang - pendatang asing yang tidak ada amalan suntikan imunisasi di negara mereka, penyakit batuk kering datang kembali ke negara kita.

Penyakit yang tiba - tiba muncul di negara kita sekitar 1980an ialah Aids bawaan virus HIV. Kes pertama dikesan pada tahun 1986 .Rakyat jadi panik sangat ketika itu. Berkongsi pisau cukur di Kedai Gunting Rambut kena elakkan. Lalu ketika itu, dan hingga sekarang, aku bila bergunting hanya menggunakan gunting biasa dan gunting mesin sahaja. Pisau cukur langsung aku tak mahu  guna. Pandai - pandailah tukang gunting menjalankan tugasnya. Mudah je sebenarnya kerana rambutku tidaklah lebatpun.

Akhirnya, orang sudah biasa dengan HIV dan Aids dan pengetahuan tentang kedua-duanya yang tersebar luas menjadikan kita tidak lagi troma dengan gejala Aids dan HIV. Hampir kita tidak pedulipun.

Kini tiba - tiba di hujung usia, tersebar meluas dan drastik wabak COVID 19. Memang menakutkan mendengar angka - angka yang terlibat dan juga angka - angka kematian. Cara jangkitanya yang mudah semakin menambah ketakutan. Kita menjadi panik dengan keadaan ini.

Dikatakan warga emas lebih mudah dijangkiti dan lebih besar kemungkinan meninggal kerana daya tahan badan yang rendah. Lalu warga emas menjadi takut. Tapi ketakutan itu lebih tinggi di kalangan kami yang sedang menjalani kimotrapi. Ini adalah kerana pada minggu kedua kimotrapi, antibodi berada ditahap sifar. Lebih menakutkan kerana kami kena juga keluar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Aku sendiri ada ketiga - tiga kelemahan itu. Usia emas, 71 tahun, antibodi sifar kerana kimo dan kena harungi perjalanan dan berselisih dengan orang - orang walaupun orang ramai digalakkan tinggal di rumah , kerana aku kena dapatkan rawatan susulan seperti mendapatkan suntikan neupogen dan check darah. Hanya kepada Allah kuserahkan diri setelah segala langkah keselamatan dilaksanakan.

Hari ini aku dedahkan lagi diriku dalam perjalanan ke HUKM. Langkah keselamatan yang aku ambil ialah memakai topeng muka dan sarung tangan plastik takut jangkitan ketika menekan butang lift, menolak tombol pintu dan juga memegang pemegang di tangga. Isteri membekalkan tisu basah dan mengingatkan aku supaya lap dulu tempat duduk sebelum duduk. Aku ikutkan kerana kelemahan yang aku sebut tadi. Usia, kimo dan meredah perjalanan. Perjalanan dipendekkan dengan aku tidak balik ke Beranang, sebaliknya menumpang dua tiga hari ini di Bandar Tun Abdul Razak.

Semoga Allah lindungi aku.

Luah Bicara 76


Bila ada yang bertanya "  Hari ini Pak Ya tidak menulis ke? " terasa seperti aku tidak boleh berhenti menulis dalam jangkamasa yang panjang. Bila yang bertanya itu pula yang baru mengenali tulisanku melalui dua buah Luah Bicara yang aku kongsikan, terasa seperti tulisanku ada tarikan yang tersendiri ( maaf terperasan pula ). Dan kerana itu aku tidak boleh berhenti menulis.

Namun diakui agak lama juga aku tidak menulis sejak kembali melalui kimo untuk pusingan kedua. Prosedur kimoterapi yang ketat, masuk keluar wad yang lebih kerap kerana kesan kimotrapi tersebut, persediaan pindah dan kawalan pergerakan kerana COVID 19, semuanya mempunyai kesan terhadap kelancaran aku menulis.

Isu kesihatan aku adalah isu yang hampir yang boleh jadi bahan tulisanku. Namun kritikan yang mengatakan coretan tentang penyakitku adalah coretan biasa - biasa saja menyebabkan aku cuba tidak menulis tentangnya lagi.

Begitulah masa berlalu, walaupun tidaklah terlalu lama, aku tetap terasa terhutang sekurang-kurangnya kepada diriku sendiri bila tidak menghasilkan tulisan baru.

Sebenarnya masa yang aku tidak menulis itu, aku tidaklah tidak terlibat langsung dalam penulisan. Aku mengedit semula 50 Luah Bicara yang pertama dalam rangka kerja mencetak atau menerbitkan buku Luah Bicara - 50 Luahan Pertama dalam edisi ysng lebih kemas. Menulis semula prakata, merekacipta reka bentuk kulit yang baru dan mendapatkan Kata Pengantar dari rakan penulis tersohor mengisi ruang waktu yang aku tidak menghasilkan tulisan baru itu.

Dengan bantuan bersungguh - sungguh anakku, sekarang dalam peringkat mendapatkan No ISBN sebelum masuk proses percetakan. Sebenarnya proses ini juga menjadi perlahan akibat arahan pergerakan terhad kerana COVID 19 sekarang ini. Paling akhir, tambahan sekatan sehingga 14 April menyebabkan proses mendapatkan ISBN hanya akan dapat dijalankan selepas 30 April 2020.

Sebenarnya aku akui, aku tidak sabar menunggu terbitnya bukuku itu. Ia adalah satu kepuasan peribadi bila buku itu berjaya berada di khalayak nanti. Sambutan dari pembaca adalah perkara kedua. Perkara pertama dalam minda tu ialah melihat ianya menemui pembaca secepat mungkin.

Dalam usia 70an dan mengidap penyakit kanser lymphoma pula, dan sekian lama masa berlalu kusia-siakan bakat yang ada tanpa bersungguh-sungguh menghasilkan tulisan, terasa aku bekejar dengan masa.

Sekurang - kurangnya aku ingin menerbitkan Tulisan yang sudah lengkap seratus yang aku ura - ura menerbitkannya sebelum aku tahu dan mula menjalani rawatan untuk kanser lymohoma dan sekurang - kurangnya sebuah novel dari tiga buah novelku yang separa siap. Semoga Allah memanjangkan usiaku untuk melihat impianku jadi kenyataan.

Luah Bicara 75


Pagi itu melalui Whatsapp Group EX Staf Kurikulum  JPN - PPD , aku menerima berita pemergian seorang lagi sahabat lama yang sudah lama sekali tidak bertemu dan tidak berhubung.  Sahabat sejabatan di Pejabat Pendidikan ( Pelajaran ) Negeri Perak,  Tn. Haji Ismail Desa, Pegawai Kaunseling. Seorang yang lemah lembut dalam tuturkata dan amat berhemah dalam pergaulan.

Aku ada cerita yang hendak dikongsikan , kenangan atau sumbangan allahyarham ketika aku dalam dilema untuk membuat keputusan.

Walapun sebelum bertemunya, aku sudah condong ke arah keputusan yang disarankannya itu, tetapi pandangan yang diberikannya  membantu aku untuk lebih yakin dengan keputusan yang telah aku buat.

Tahun 1991, November, aku dilantik sebagai Penolong Pengarah Teknik dan Vokasional di Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Awal 1992 , aku tidak  pasti bulan dan tarikhnya kerana buku catatanku ada di rumah ( sedangkan aku masih terkurung di Bilik Pengasingan di HUKM ini ) , aku terlibat dalam Lawatan Sambil Belajar ke Pusat - Pusat Pengajaran Teknikal  Di Korea Selatan.

Beberapa hari ( tiga hari rasanya kalau tidak silap)  sebelum bertolak, isteriku bersalin dan anakku yang baru lahir itu ada masalah Hydrocephalus , air dalam otak dan ditempatkan di dalam inkubator.

Aku dalam dilema untuk
memilih antara meneruskan penyertaan aku atau membatalkannya sahaja, sedangkan segala urusan pemergian sudah diatur. Passport, Cek Pendahuluan dan sebagainya telah sedia.

Menarik diri akan memberi kesan kepada rombongan kami seramai 8 orang dan kesukaran  menggantikan aku dengan pegawai lain dalam tempoh yang singkat. Meneruskannya seperti tidak mengambil berat anak yang baru lahir dan isteri yang baru melahirkan. Akan tetapi peluang ini pertama dalam kerjayaku. Rugi juga kalau terlepas. Aku betul - betul dalam dilema.

Dalam pada itu mesyuarat dan taklimat penyelarasan juga aku ikuti di Kuala Lumpur dan semua yang lain sudah dan sedang diuruskan.

Aku berada dalam keadaan 50 - 50. Mindaku masih bercelaru untuk mengambil keputusan. Kerana waktu terus berlalu , tarikh pemergiaan hanya dua hari sahaja lagi . Aku mengambil keputusan untuk pergi walaupun keputusanku belum padu. Perasaan isteri yang tinggal, anak yang di dalam incubator dan pandangan saudara mara dan orang lain terhadap keputusanku betul - betul mengusutkan fikiranku.

Dua hari  sebelum aku bertolak kalau tidak silap, Allahyarham menegur aku yang sedang sugul di tangga bangunan lama ( Blok C ) Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Allahyarham menanyakan punca kesugulanku  dan aku menceritakan dilema yang aku hadapi.

Nasihat Allahyarham:

You pergilah. Peluang begini tidak datang selalu. Pemergian you juga akan memberi inspirasi  kepada anak - anak you yang sedang belajar . Tentang anak you yang sekarang berada di dalam inkubator, you ada di sinipun you hanya mampu berdoa dari luar bilik inkubator, sedangkan doa you dari jauh pun sampai ( dengan Izin Allah ) atau sama sahaja keadaan.

Begitulah lebih kurang nasihat atau dorongan dari Allahyaryam yang masih aku ingat, yang menguatkan semangat aku. Aku tahu ada yang tidak begitu setuju dengan keputusan aku, tapi faktor - faktor yang kuceritakan tadi dan nasihat Allahyarham membuat aku nekad untuk pergi dan selebihnya kuserahkan atas ketentuan Allah.

Allah mengambil kembali anak yang dipinjamkan kepada aku dan isteriku sehari sebelum aku pulang ke tanah air iaitu setelah berada di dalam inkubator.selama 17 hari.

MURNI maafkan bapak atas keputusan yang bapak buat. Pun isteriku dan saudara maraku yg terkesan dengan keputusanku, maafkan aku.

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...