Hari ini aku pergi ke klinik pakar Telinga, Hidung dan Tekak. Buat pemeriksaan lanjutan tentang penyakit ku yang belum ada tanda sembuh walaupun dah masuk minggu keempat.
Ketika melintasi jalan menuju ke gerbang HUKM, terasa juga ngerinya mengingati eksiden dilanggar kereta sebulan yang lepas. Kena lebih berhati-hati dan kata orang Perak ada perasaan "yap-yap" sekarang ini.
Ketika menyusuri pinggir jalan menuju Lobby Utama, sebuah kereta membunyikan hon. Aku menoleh dan ternyata yang membunyikan hon itu ialah sebuah teksi. Pemandunya menunjukkan isyarat tangan bertanya aku nak masuk ke HUKM ke? Eh uzur sangatkah kelihatannya aku hari ini hingga dari pintu gerbang HUKM ke Lobby Utama pun memerlukan perkhidmatan teksi? Sedangkan aku pernah saja berjalan kaki dari Stesen LRT Bandar Tun Razak ke HUKM ini beberapa kali.
Tentang usia, penampilan dan panggilan , semakin berusia semakin menuju ke arah merosotnya penampilan badan barangkali tetapi yang jelas semakin selesa atau tidak kesah kalau ada yang memanggil pak cik dan membahasakan diri kita sebagai atuk kepada anak kecil mereka. Tetapi agak sensitif juga ketika usia masih muda.
Memang aku masuk Universiti ketika sudah berkeluarga dan agak berusia. Tetapi umur 36 bagi lelaki rasanya tidaklah termasuk golongan tua apatah lagi layak dipanggal pak cik oleh gadis 20an. Jadi bila ada pelajar wanita memanggil kami Pak Cik, kami balas balik. Kami 36 tahun. Anda 20 tahun. Adakah lelaki umur 16 tahun dah ada anak? Umur berapa mereka kahwin? Dan mereka tidak memanggil kami pak cik dah.
Baru-baru ini ketika membeli tiket masuk ke Muzium Kapal Korek, budak jaga tiket tanya aku, pak cik dah berumur 60 tahun? Tujuannya nak beri tiket separuh harga. Eh dah 70 dah, jawab aku. Nampak muda ke? Sesekali seronok juga bila orang meneka umur kita jauh ke bawah dari umur kita yang sebenar. Pun sensitif juga kalau ada yang meneka umur kita di atas umur kita yang sebenar. Tapi ini hampir tidak pernah berlaku hi hi.
Bagi lelaki yang beristeri muda yang agak jauh, harus bersedia dan bersabar bila orang panggil kak kepada isteri anda tetapi panggil pak cik kepada anda. Bagi wanita yang suaminya jauh lebih muda harus menahan sabar bila kenalan jauh bertanya " Ini anak sulung you ke?
Tentang meneka usia ini, aku pun pernah rasa bersalah tetapi rasanya bukanlah betul-betul salah aku tetapi penampilanya memang mengelirukan. Seorang kawan guru yang pernah kukenal baik tetapi lama tidak bersua. Lalu aku secara spontan bertanya " En. X sudah bersara ke?" sedangkan masa itu dia ada 9 tahun lagi nak capai usia bersara 55 tahun.
Banyak lagi nak cerita tentang usia, penampilan dan panggilan ni tetapi ingat lain kali pulak kut?
No comments:
Post a Comment