Semasa saya masih berkhidmat dalam kerajaan dulu, Jabatan saya terlibat dalam menguruskan kehadiran rombongan pelajar dari sebuah kolej Orang Maori dari New Zealand. Nga Tapuwae College namanya.
Mereka datang membuat persembahan kebudayaan. Saya terlibat sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa yang menguruskan kehadiran mereka.
Dalam Majlis Makan Malam Perpisahan yang dianjurkan, berucaplah Pengarah Jabatan saya terus dalam Bahasa Inggeris.
Bukankah sudah menjadi amalan kita di Malaysia, walaupun cuma ada seorang orang luar dalam majlis kita, maka dengan izin konon, kitapun berucaplah dalam Bahasa Inggeris.
Tetapi bila tiba giliran Pengetua kolej berkenaan membuat ucapan balas, beliau terus berucap dalam Bahasa Maori, walaupun dia tahu yang faham bahasa itu hanyalah dia dan rombongan pelajarnya sahaja.
Setelah ucapan dalam Bahasa Maori selesai, barulah dia berucap pendek dalam Bahasa Inggeris.
Apa yang menyentuh atau lebih tepat menyengat ialah apabila dia berkata yang dalam Bahasa Melayu bermaksud. " Kalau bukan kita yang memartabatkan bahasa kita, siapa lagi?"
Maka terkedulah Pengarah saya ketika itu.
No comments:
Post a Comment