Hari ini aku ke Daycare Hematology, HUKM, buat entah ke berapa kali. Yang pastinya lebih dari 100 kali.
Dulu setiap kali temujanji selepas menjalani PET Scan atau colonoscopy , aku menggantungkan harapan yang tinggi untuk diistiharkan bebas dari sel kanser. Tapi hari ini setelah menjalani 14 kali kimo, 7 kali PET Scan dan 5 kali Colonoscopy, aku sudah malas untuk berharap.
Putus asa? Mungkin aku belum sampai ke tahap itu. Tapi yang pasti aku tidak mahu berharap lagi dan tidak menggantungkan harapan yang tinggi sama sekali.
Aku tetap bersyukur, malah amat bersyukur kerana secara fizikalnya aku berasa amat sihat dan tidak ada tanda sakit. Cuma setiap kali hasil PET Scan dimaklumkan, dokter memaklumkan sel kanser itu masih ada. Begitulah dari kimo ke 6 hingga kimo ke 14.
Aku juga amat bersyukur atas kurniaan Allah, kerana aku yang berkaca mata sejak berusia 41 tahun dengan rabun jauh dan rabun dekat, tidak lagi memerlukan kaca mata sekarang ini sama ada untuk membaca, menulis atau menaip. *Something miracle* kata Orang Putih. Sama ada kesan dari kimo atau apa, yang pasti ianya adalah anugerah dari Allah Subhanawataala. .
Alangkah bahagianya jika something miracle berlaku lagi dalam hidup ini. Girl2 di bangkitkan kembali dan kembali ke pangkuanku.
Harapan yang mustahil dan mengarut kan? . Tapi itulah hakikatnya, aku masih merindui Girl2 dan setiap kali melihat barang - barang peninggalannya dan melalui tempat di mana aku temui dia yang terbujur kaku, aku masih menangis.
Isteri aku sendiri mengakui Girl2 adalah pemberian terindah dari Allah buat kami berdua. Namun Allah meminjamkan kepada kami buat lebih kurang dua bulan sahaja. Dua bulan yang amat membahagiakan. Dia bagaikan anak kepada kami.
Kembali kepada temujanji hari ini. Temujanji hari ini untuk mendapatkan keputusan colonoscopy yang dibuat ekoran dari keputusan PET Scan yang masih menunjukkan masih ada sesuatu di dalam usus yang hendak dikenalpasti.
Pun seperti aku katakan, aku sudah malas untuk mengharap.
No comments:
Post a Comment