Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Luah Bicara 65

Semoga hubungan kita kekal sampai ke Jannah

Semoga kasih sayang kita berkekalan  sampai ke syurga.

Semoga kedua -dua pasangan pengantin ini diberkati Allah sehingga ke syurga.

Pernah dengar doa dan harapan begitu? Ada kan ? Persoalannya sejauh manakah yang mengungkapkan doa dan harapan itu serius menjadikannya sebagai matlamat dalam kehidupan mereka?

Memang semua orang Islam yang beriman menginginnya begitu. Ingin masuk ke syurga. Ini adalah kerana syurga tempat yang paling istimewa dan penempatan yang abadi seperti firman Allah di dalam.Al - Quran yang maksudnya:

Mereka (ahli syurga bersenang-senang di tempat masing-masing dalam syurga itu ) dengan berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya daripada sutera tebal yang bersulam, dan buah-buahan kedua-dua syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.” (Surah ar-Rahman, ayat 54)

Menerusi hadis Qudsi: "Aku menyediakan syurga kepada hamba-Ku yang soleh. Sesungguhnya suatu pemandangan yang tidak pernah terpandang oleh pandangan mata dan telinga ini tidak pernah mendengar betapa indahnya syurga itu. Hati kita tidak pernah terdetik seindah ini syurga Allah."

Persoalannya, seserius manakah ianya diletakkan sebagai matlamat dalam kehidupan kita.

Setiap sesuatu yang dikatakan matlamat mesti ada perancangan ke arah pencapaiannya. Setiap perancangan mesti ada tindak ikutnya. Dalam hal yang melibatkan dua orang ( suami dan isteri ) , sudah pasti perancangannya, tindak ikutnya, segala amal ibadatnya mestilah seiring. Kalau tidak, sama ada salah seorang sahaja yang berjaya ke syurga, atau kedua - dua sama - sama ke syurga atau kedua - duanya gagal untuk ke syurga dan harapan atau doa inginkan hubungan berkekalan sampai ke syurga tidak kecapaian.

Sebenarnya dengan ilmu agama yang cetek, saya tidak begitu berani menulis sesuatu yang berunsur agama ini. Akan tetapi saya terpanggil untuk berkongsi buah fikiran ini yang saya rasa perlu difikirkan bersama. Jadi saya tulis Luah Bicara kali ini berdasarkan pengetahuan yang saya ada sedikit sebanyak melalui pembacaan dan ceramah-ceramah agama sama ada  saya dengar secara berdepan dengan penceramah, melalui video-video atau melalui kaset - kaset. Saya juga merujuk kepada sahabat saya seorang ustaz yang sudah tentu lebih  tinggi pengetahuannya dari saya. Jika ada kesilapan saya rela ditegur.

Dalam Tulisan 3 saya pernah menulis perkara ini tetapi dalam.ruang lingkup yang lebih luas iaitu melibatkan seisi keluarga iaitu suami sebagai ketua keluarga dan isteri serta anak - anak sebagai ahli keluarga. Kupasan saya dalam tulisan itu secara am sahaja.  

Kali ini saya cuba untuk mengecilkan ruang lingkupnya kepada pasangan suami isteri sahaja tetapi akan cuba memperkatakan secara lebih mendalam, tapi masih dalam limitasi yang saya sebutkan awal tadi iaitu ilmu agama saya yang tidak seberapa.

Berbalik kepada persediaan kita untuk ke syurga bersama pasangan kita. Sebenarnya untuk ke syurga kita kena menjaga tiga hubungan. Selain hubungan dengan Allah, jangan lupa hubungan suami isteri dengan orang lain saperti jiran tetangga dan kaum kerabat. Pun hubungan keduanya dengan makhluk lain iaitu haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Kalau isteri sahaja yang patuh sepenuhnya menurut hukum hakam dan perintah Allah dan menjaga tiga bentuk hubungan tadi, sedangkan suami tidak,  maka pada adatnya, isteri sahajalah  yang berjaya ke syurga sedangkan suaminya tidak. Kalau suami sahaja yang beramal ibadat sepenuhnya dan menjaga tiga bentuk hubungan tadi, sedangkan isterinya tidak, pada adatnya suaminya saja yang masuk ke syurga sementara  isterinya tidak.

Tapi tidak semudah itu perkiraannya,  kerana tanggungjawab menyuruh, membimbing dan mengajar isteri beribadah kepada Allah adalah tanggungjawab suami. Kalau semua yang tersebut telah dijalankan oleh suami dengan sempurna tetapi isteri yang ingkar, pada adatnya, suami itulah masuk syurga.

Saya gunakan ungkapan pada  adatnya, bukan gunakan perkataan yang membawa erti mesti kerana sebenarnya masuk syurga atau tidak adalah rahmat atau ehsan dan hak mutlak Allah yang kita tidak boleh menentukannya. Seorang pelacur masuk syurga kerana membantu anjing yang kehausan. Kan?

Sekiranya kedua - dua suami isteri tidak mengerja suruhan Allah dan tidak meninggalkan segala tegahanNya, pada adatnya sudah tentulah kedua - duanya tidak ke syurga dan hasrat ingin bersama hingga ke syurga itu tidak kesampaian.

Perkara - perkara yang saya sebutkan di atas adalah sesuatu yang nampak jelas. Akan tetapi yang saya nak sentuh di bawah ini ialah sesuatu yang ada liku - likunya. Iaitu kedua - kedua suami isteri mengerjakan amal ibadat yang sempurna dan menjaga tiga bentuk hubungan tadi. Pada adatnya kedua - duanya akan menjadi ahli syurga. Tapi nanti dulu. Ada satu perkara yang jadi penentu. Perkara itu ialah ketaatan isteri kepada suami.  Ada disebutkan, ramainya wanita di dalam neraka dan salah satu sebabnya ialah tidak taat kepada suami. Pernah disebut dalam ceramah, bab taat inilah yang payah benar isteri nak ikut.

Istilah nusyuz selalu dianggap kesalahan - kesalahan besar dan nyata sahaja seperti menduakan suami atau selengkoh di belakang suami , hingga arahan minta izin untuk keluar rumah dianggap kecil selagi tidak melakukan maksiat , sedangkan keluar rumah tanpa izin suami adalah kesalahan besar yang termasuk dalam istilah nusyuz.

Nusyuz dalam pengertian yang luas ialah membangkang dan tidak mahu taat kepada suami: lancang mulut atau lancang tangan terhadap suami atau terhadap keluarga suaminya; tanpa sebab menolak untuk disetubuhi suaminya; keluar meninggalkan rumah tanpa izin suaminya; atau berbuat sesuatu yg mendatangkan kemurkaan Allah seperti tidak menunaikan kewajipan sembahyang dan sebagainya_.
- dipetik dari Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam
oleh Muhammad Ali Outhb

Hukum Allah tidak boleh ditafsir dengan lojik akal.

Berbalik kepada persoalan laluan ke syurga. Jadi kalau hubungan suami dengan Allah beres, hubungan isteri dengan Allah beres, hubungan isteri dengan suami beres, hubungan - hubungan yang lain juga beres, jadi pada adatnya suami isteri itu sama -sama masuk syurga sebagaimana yang diinginkan.

Akan tetapi kalau hubungan suami dengan Allah beres, hubungan isteri dengan Allah beres, tetapi hubungan isteri dengan suami tidak beres, pada adatnya suamilah masuk syurga, isterinya tidak. Tetapi apakah suami itu sudah menjalankan tanggungjawabnya menegah, menyuruh, membimbing dan menghukum isteri yang nusyuz ? Ini adalah kerana apabila isteri nusyuz dan suami tahu tetapi suami tidak menyelesaikan nusyuz itu, suami menanggung dosa. Jadi laluan ke syurganya masih ada halangannya.

Kesimpulanya, untuk sama-sama ke syurga, suami isteri tadi hendaklah beres dengan  ketiga -tiga hubungan tadi di samping beres juga hubungan suami isteri itu. Jadi laluan ke syurga tidak mudah tetapi bukan mustahil.

Ingin bersama hingga ke jannah ? Rentes dan sediakan laluannya bersama.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...