Lama tidak menulis berkaitan rawatan kanser lymphoma saya. Cadang nak berkongsi luahan berkaitan dengannya hari ini. Namun tetiba terasa ada luahan lain yang lebih perlu diutarakan.
Seorang pesakit Cina, saya dan kawan saya secara mudah memanggilnya Uncle walaupun lojiknya saya tidak layak memanggilnya Uncle kerana usianya tak sampai 10 tahun pun lebih tua dari saya.
Seperti saya, diapun hampir setiap minggu atau mungkin lebih kerap dari saya berkunjung ke HUKM untuk rawatan leukaemianya.
Saya tidak berhasrst menulis tentang penyakitnya itu, tetapi sesuatu yang lain yang tercetus dari bualan pendek dengannya pagi ini tadi.
Beliau terpaksa meletakkan keretanya di tempat letak kereta percuma di antara Stadium Bola Sepak dengan Kompleks Renang yang berada di hadapsn HUKM ( berhadapan tapi jaraknya jauh ). Dia juga terpaksa berjalan jauh dengan kakinya yang agak lemah kerana penyakit dan juga kerana usianya. Dia juga bertongkat.
Kasihan mendengarnya. Perkara begini berlaku kerana bayaran letak kereta di tempat letak kereta berbayar amat mahal di HUKM ini. Anak saya yang menemani saya ketika proses kimo awal-awal dulu terpaksa membayar sehingga RM20 dari pukul 8.00 ke pukul 4.30 petang lebih kurang. Ini membebankan bagi yang tidak mampu sehingga sanggup jalan kaki dari tempat letak kereta yang jauh itu walaupun sebenarnya amat meletihkan dan bahaya juga. Saya pernah dilanggar kereta ketika menuju ke tempat letak kereta berkenaan dari HUKM. Dari tempat letak kereta ke lobi HUkM lebih mencabar kerana agak mendaki.
Adakah dalam pengetahuan pihak pentadbiran HUKM tentang bayaran letak kereta yang mahal ini? Atau tidak tahu kerana kaki tangan HUKM ada tempat letak keretanya sendiri di beberapa tempat dalam kawasan hospital sendiri.
Apatah lagi pihak pengurusan tertinggi.
Namun saya difahamkan ada juga kakitangan hospital yang meletakkan kereta di tempat percuma itu dan mengundang risiko bagi yang balik malam.
Saya juga difahamkan projek tempat kereta bertingkat lambat siap kerana masalah struktur tanah tapak tempat letak kereta tersebut.
Saya tidak berhasrat menulis panjang lebar tentang tempat letak kereta di hospital - hospital di negara kita kerana sudah pernah menulisnya panjang lebar dalam salah satu tulisan saya.
Saya cuma ingin menyarankan agar bayaran letak kereta di tempat letak kereta yang berbayar itu , yang diswastakan, dikaji semula. Janganlah membebankan pesakit dan pelawat. Ambil pendekatan menang - menang kata orang.
Saya pernah difahamkan ada perkhidmatan "suttle" dari tempat letak kereta percuma itu ke HUKM tetapi saya tidak pernah bertembung dengannya. Kalau betul masih ada perkhidmatan itu, biarlah jadualnya lebih teratur dan lebih kerap. Kalau sudah diberhentikan sebagaimana maklumat yang baru saya terima, adakanlah semula.
Semoga ada pihak HUKM terutama pihak pengurusan tertinggi yang membaca Luah Bicara kali ini.
No comments:
Post a Comment