Terasa terlalu lama tidak menulis. Ini kerana kebiasaannya dulu saya menulis setiap hari. Tapi dulu memang saya betul - betul komited dan rasa perlu untuk menulis setiap hari kerana ada pengikut yang mengakui sentiasa menunggu tulisan saya. Buat masa sekarang, memang ada rasa terhutang bila tidak menulis. Akan tetapi rasa terhutang itu lebih kepada diri sendiri kerana sambutan terhadap tulisan saya memang semakin hambar. Tidak pasti di mana silapnya. Mungkin kerana tulisan saya sudah tidak menyengat lagi seperti dulu atau faktor utamanya ialah bila saya tidak menghantar lagi tulisan - tulisan saya ke beberapa whatsapp group seperti dulu dan hanya tertumpu pada Blog Luah Bicara Pak Ya dan whatsapp group Luah Bicara. Bila ahli whatsapp Group Luah Bicara sendiri ignore tulisan saya, saya rasa seperti tidak ada lagi keperluan untuk menulis untuk pembaca, sebaliknya hanya menulis untuk kepuasan diri sendiri dan untuk melunaskan hutang pada diri sendiri.
Dalam tempoh tidak menulis ini, ada dua tiga topik yang berligar dalam minda saya tetapi tidak begitu masak persoalannya dan saya masih tidak dapat menentukan mana satu yang saya harua tulis dahulu.
Setiap kali saya membuka pintu rumah untuk ke masjid yang mana saya terpaksa membuka daun pintu kayu, kunci pada grill dan kunci pada rantai yang meliliti grill, setiap itu saya teringin untuk menulis sesuatu yang pro dan kontranya mengunci pintu berlapis - lapis begitu yang sebenarnya saya tidak bersetuju tetapi terpaksa bersetuju.
Bila melalui R & R Bukit Dukong, teringat mini reunion SAS yang kami adakan dua tiga hari yang lepas. Kononnya kami adalah " cream " dari seluruh Malaysia ketika belajar di SAS 1966/1969 tetapi saya adalah " cream" yang kecundang.
Terasa teringin untuk menulis sesuatu yang berkaitan dengan kehidupan saya di SAS yang menyebabkan saya dikira kecundang dan hanya bangkit semula kemudiaannya ataa usaha sendiri. Saya ingin memahamkan orang yang sentiasa mengungkit kegagalan saya di SAS itu tanpa mengambil kira apa yang saya lalui. Juga tidak memberi kredit atas kejayaan saya bangkit semula. Pun ingin menyentuh tentang novel kecil SECEBIS BULAN DI SUDUT LANGIT yang terhasil dari kekecewaan saya ketika di SAS.
Melalui proses PET Scan buat kali ketiga, saya ingin pula berkongsi pengalaman apa yang saya lalui hari itu dan ingin berkongsi harapan menerusi PET Scan kali ketiga itu. Separuh telah saya tulis tetapi penulisan saya tidak lancar sampai ke penghujung.
Apa yang saya alami sekarang, ialah rasa resah, rasa gelisah dan pelbagai rasa dalam menghasilkan penulisan saya. Sesekali ada rasa keterasingan di dalam whatsapp group Luah Bicara sendiri walaupun sayalah pencetusnya dan sayalah adminnya.
No comments:
Post a Comment