Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 98


Bercakap tentang penyakit, ramai orang tertumpu pada penyakit fizikal atau sesekali sahaja bercakap tentang penyakit mental. Bila bercakap tentang penyakit mental, kebanyakan kita terus bercakap tentang gila atau setidak-tidaknya kemurungan.

Akan tetapi jarang orang menyedari adanya penyakit kejiwaan yang berat dan merbahaya kerana merasai bahawa ianya normal terutama bagi pengidapnya sendiri

Ada orang yang sentiasa tidak puas hati dengan semua orang , pada semua ketika , pada semua tindakan dan pada semua situasi. Ada sahaja yang tidak kena di mata atau di hatinya. Semua orang tidak betul, semua perkara yang dilakukan oleh orang lain tidak sempurna seperti apa yang dia lakukan.

Orang yang begini sebenarnya menderita penyakit yang berat tanpa dia sendiri sedari. Orang yang bersifat begini sebenarnya sukar untuk berasa bahagia. Jiwanya sentiasa tertekan tanpa dia sedari kerana dia tidak melihat kesempurnaan pada diri orang lain selain dari dirinya sendiri. Dia sendiri terpaksa pada setiap ketika untuk menceritakan kepada orang lain tentang kesempurnaan dirinya dalam apa saja perbuatannya berbanding dengan diri orang lain yang dilihatnya sebagai tidak sempurna itu.

Bermakna sepanjang kehidupannya hatinya sentiasa dalam keadaan tidak puas hati. Nampaknya seperti tidak berat tetapi perasaan begitu mendorongnya untuk sentiasa berada  dalam keadaan yang resah.

Kalau dia simpan sahaja perasaannya itu, yang jadi mangsa hanyalah dirinya sendiri. Tetapi bila dia kongsikan perasaannya kepada orang lain, bermakna dia sudah memangsakan orang lain juga.

Bolehkah penyakit ini disembuhkan? Boleh dan tidak boleh. Boleh jika pesakit itu sendiri menyedari dan mahu mengubah sikap dan pandangan. Boleh jika orang di sekelilingnya berani menegur dan menasihatinya. Tidak boleh jika pesakit tidak menyedarinya. Tidak boleh jika orang di sekelilingnya tidak berani menegurnya. Tidak boleh jika telah ditegur tetapi pesakit sendiri tidak mahu menerima teguran yang disampaikan.

Jadi jika kita sendiri ada penyakit itu dan menyedarinya, berubahlah. Kata Hamka, " Kalau kita sentiasa memakai kaca mata hitam, maka setiap yang kita lihat, semuanya berkeadaan gelap. Jika kita memakai kaca mata jernih, setiap yang kita lihat akan kelihatan jelas dan cantik.

Jadi sempena bulan puasa ini , mari kita bertukar dari memakai kaca mata hitam kepada memakai kaca mata jernih.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...