Kenapa lama terhenti menulis? Sedangkan aku sudah kembali ke rumah dan tidak lagi dibelenggu drip yang dipasang hampir sepanjang hari. Mungkin sedikit sibuk kerana ada " event " keluarga pada hari Sabtu lepas di mana famili berkumpul dan mulai bersurai seawal petang itu dan hari Ahad.
Selebihnya mungkin tiada isu yang hendak diketengahkan atau ralit membaca mesej dalam pelbagai whatsapp group dan selebihnya melayari youtube untuk mengikuti perkembangan mutahir politik tanah air.
Dan yang lebih menyebabkan aku tidak menulis mungkin kerana terasa hambarnya sambutan pembaca kebelakangan ini menyebabkan aku tertanya sendiri sudah tidak perlukah aku menulis lagi. Selain dari tanda 👍 dari satu whatsapp group yang bukan dari yang meminta aku terus menulis, tiada komen apa - apa langsung.
Mungkin topik tentang pengurusan masa terasa tidak releven kepada pembaca yang berusia ( tetapi ada juga pembaca muda ) sedangkan pengurusan masa amat penting kepada kita semua tidak kira yang masih bekerja atau pun yang sudah bersara.
Kehidupan kita sebenarnya banyak bergantung kepada masa.
Jadi kenapa aku menulis juga pagi ini walaupun cuma sebuah luahan. Sebabnya ada juga yang bertanya Mana Pak Ya ?
. Jadi jawapannya aku ada di sini di kamar pengasingan di Teratak Ibunda , Beranang cuma menyepikan diri dari menulis dan menyibukkan diri dengan membaca.
Kesihatan rasanya bertambah baik hasil dari kimo dengan izin Allah. Begitu yang aku rasa dan begitu yang aku harap sebenarnya dan bukan sekadar rasa.
Semalam seharian suntuk di HUKM untuk proses kimo kali kedua. Bertolak sebelum Subuh dari Beranang dan bersolat di Saujana Impian dan balik ke rumah lewat petang dan singgah untuk itu ini dan hanya sampai ke rumah lebih dari pukul lapan malam.
Sekarang aku masih sihat. Kesan kimo kedua belum bermula mungkin. Kritikalnya bila masuk hari ketujuh hingga hari keempat belas di mana anti body aku akan berada ditahap zero.
Semoga aku mampu melaluinya dan kali ini tanpa di bawah jagaan rapi para dokter dan para jururawat. Aku kena menjaga diri aku sendiri tentang waktu-waktu makan ubat dan lain-lain. Kalau ada gejala - gejala yang membimbangkan , aku harus segera dihatar ke HUKM .
Mungkin setakat ini dahulu. Sekurang - kurangnya yang masih ada yang ingin tahu perkembangan Pak Ya , inilah perkembangannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment