Baru dilepaskan dari drip anti biotik sekitar 10.30 tadi. Biarlah kebebasan sekejap ini aku gunakan untuk menulis.
Sebenarnya topik pengurusan masa masih tidak dapat kulepaskan sebab banyak sekali berlaku perkara-perkara yang tidak diingini kerana ketidakcekapan kita menguruskan masa. Terlepas appointment penting, terlepas keretapi dan sebagainya ada kaitan dengan pengurusan masa.
Ada tiga keadaan kita berdepan dengan masa. Pertama mendahului masa, kedua menepati masa dan ketiga ketinggalan atau tidak menepati masa.
Sama ada aku menunggu atau aku ditunggu, aku memilih mendahului masa. Dengan memilih mendahului masa , masalah ketinggalan keretapi, terlepas peluang pelaburan, terlepas itu dan ini tidak akan berlaku.
Dalam kes aku ditunggu, orang tidak akan menunggu aku dan orang selesa dengan keadaan itu. Dalam kes aku yang menunggu minda telah di set bahawa aku akan menunggu sekian - sekian lama dan kita tidak rasa terbeban kerana kita tidaklah mendahului masa dalam jangkamasa yang lama.
Dalam pada itu bolehlah dipenuhi dengan aktiviti membaca dan sebagainya.
Cuma mulai terasa sakitnya bila yang yang ditunggu tidak menepati masa. Kalau dia juga jenis mendahului masa perasaan harmoni dan mesra akan wujud. Kalau dia jenis menepati masa itu sudah cukup baik.
Kalau aku ingin menumpang kenderaan orang, aku memang pastikan aku yang menunggu. Amat menyakitkan, dan ini sering aku alami, ialah bila orang ingin menumpang kenderaan aku, aku pulak yang kena menunggu. Lagi jengkel, bila kita call, jawabnya nanti sat sedang bersiap. Sedang bersiap?
Tolonglah, you yang nak tumpang kan ? , I yang kena tunggu?
Kalau tidak mampu melatih diri mendahului masa, tolonglah belajar dan latih diri menepati masa. Please sangat. Sebab ia berkait pula dengan nilai - nilai di bawah ini .
Pertamanya mengharga masa dan keduanya menghormati masa.
Masa itu emas kata orang bijak pandai. Akan tetapi kehilangan emas masih boleh diusahakan mendapatkan semula bila - bila ada ruang dan peluang. Tetapi masa yang hilang tiada penggantinya dan natijah dari kehilangan masa amat berat. Terlepas mengisi borang mengambil peperiksaan SPM, kena tunggu setahun untuk mendudukinya. Lama tu.
Jadi hargailah masa.
Setiap orang ada peruntukan masanya sendiri. Jadi kalau kita berurusan dengan orang lain, hargailah masa dia walaupun kita tidak menghargai masa kita. Temui dia tepat pada masanya. Jangan perpanjangkan pertemuan dengan bualan yang tidak perlu.
Aku ada seorang rakan sejawat ketika aku di Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Beliau sudah mendahului kita menemui penciptanya. Al Fatihah untuk Allahyarham.
Kenangan berurusan dengan Allahyarham amat mengesankan aku. Allahyarham bertugas sebagai Ketua Unit Pengurusan Sekolah Menengah.
Bila aku masuk ke bilik pejabatnya, dia mempersilakan aku duduk dan terus bertanya, apa yang dia boleh bantu? Maknanya terus ke urusan kerja. Bukan membawang terlebih dahulu walaupun kami kawan baik dan pada kedudukan jawatan yang sama. Selepas aku mengemukakan apa bantuan yang aku perlukan dari unitnya, ataupun menyampaikan hasrat guru untuk meminta pertimbangan pertukaran dan sebagainya, dia membuat catatan dan terus menghulurkan tangan kepada aku untuk bersalaman dengan berkata " Ok Ya..aku uruskan". Apa maksudnya? Beredarlah kamu dan kita jalankan tugas kita dalam waktu bertugas ini, bukan ambil peluang untuk berbual panjang. Begitu dia menghargai masa kerjanya dan aku beredar kerana menghormati waktu kerjanya dan waktu kerja aku sendiri.
Ambillah contoh sahabat saya itu bagi yang masih menjalankan tugas.
Sama ada anda masih bertugas atau anda pesara sepenuh masa, atau anda bekerja sendiri uruskan masa anda dengan baik.
Ok setakat ini dulu.
No comments:
Post a Comment