Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 89

Dua tiga hari tidak menulis terasa ada yang kurang dalam aktiviti harianku. Akan tetapi terkurung di bilik pengasingan ini tanpa ke mana - mana kerana nak turun membeli akhbar pun kena isi borang, tiada intraksi dengan orang orang luar dan persekitaran baru selain dari dengan petugas - petugas hospital dan keluarga yang datang melawat, apa yang dapat kutulis selain dari cerita rawatan aku yang sudah tentu membosankan.
Jadi aku tidak akan menulis tentangnya lagi.

Semalam sahabat baik aku dari Manjung menghubungi aku melalui whatsapp peribadi. Selain dari bertanya khabar dan mendoakan kesihatan aku, dia memberitahu tahu aku dia membeli novel Kembang Tak Jadi karya Elias Idris, penulis Perak . Tebal novelnya, 716 muka surat. Inilah kelebihan Elias Idris menulis novel yang panjang - panjang yang mohon maaf aku tidak pernah berjaya membacanya sampai habis.

Sahabat aku ini tidak tahu bahawa aku kenal baik dan pernah berkawan agak rapat dengan Elias Idris kerana kami sama - sama menuntut dalam tahun 1971 - 1972 di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Malahan kami belajar dalam kelas yang sama Agriculture Science And Art & Craft. Tinggal pun di Kolej yang sama cuma tidak sebilik. Sekarang beliau menetap di kampung halamannya di Beruas.

Namun aku tidak akan fokus kepada beliau seorang sahaja dalam tulisanku kali ini.

Sebenarnya ada beberapa orang yang berminat dalam penulisan di kalangan kami ketika di maktab itu dulu , tetapi tidaklah begitu menonjol termasuklah aku yang gitu  - gitu saja syok sendiri.

Akan tetapi ketika aku giat menghantar cerpen  - cerpen saban bulan ke Dewan Sastera, tiba - tiba muncul Razak Mamat rakan dari Terengganu yang sama - sama seangkatan di maktab tetapi kursus lain, dengan cerpen  - cerpen yang berkualiti yang membawa kelainan dalam penulisannya. Aku kagum dan amat meminati tulisannya. Ketika itu dia mengajar di Melaka. Sayangnya beliau meninggal dalam usia muda pada tahun 1991. Aku tidak pernah bersua dengan allahyarham sejak meninggalkan maktab tetapi aku sentiasa mencari karyanya setiap kali membeli Dewan Sastera atau Dewan Masyarakat.

Elias Idris muncul agak terkemudian dan yang aku tahu dia terus muncul dengan genre novel. Sebelum itu dia terlibat dalam penulisan buku teks sekolah rendah kalau tidak silap dan berhenti dengan notis dua puluh empat jam dari tugasnya sebagai guru . Pencapaiannya agak berjaya. Novel Kehilangan dinobatkan sebagai Novel Terbaik Malaysia 1994 dan Editor Terbaik 1994.

Mereka sudah mengukir nama. Yang terus tinggal dalam angan  - angan dan cita  - cita yang tidak kesampaian ialah aku.

Walaupun cerpenku
pernah tersiar di Dewan Sastera, beberapa penulisan tentang pelancungan pernah disiarkan di dalam majallah pelancungan Santai Village yang aku penulis utamanya dalam dua tiga keluaran awalnya dan sebuah buku rujukan sekolah rendah Manusia dan Pertanian pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, aku tidak pernah merasakan aku seorang penulis yang berjaya. Suam - suam kuku pun tidak.

Mungkin disiplin diri dalam penulisan agak kurang, ada tiga buah novel yang kutulis tidak siap - siap. Macam tiada akan berhasil disiapkan dan diterbitkan dalam usia yang sudah melepasi 70 tahun ini dan kini sedang sakit pula.

Kini aku giat berkongsi tulisan begini dan inilah yang aku bercita  - cita untuk menyusun dan menerbitkannya dalam usia ysng masih berbaki. Ramai kawan - kawan yang memberi galakan dan ada yang berjanji untuk menolong.

Sebenarnya aku sudah merangka kerja ke arah itu sebelum tiba - tiba aku tahu aku ada kanser lymphoma. Aku hendak  menyusun tulisan aku mengikut perkara, mengemaskinikan ayat dan ejaan, memperluaskan yang terlalu ringkas dan sebagainya sebelum diterbitkan. Doakan aku panjang umur dan berjaya menerbitkannya. Satu kepuasan yang tinggi bagi diriku.

Sekian dulu kerana drip anti biotik dah dipasangkan ke tangan. Tangan kanan pulak tu.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...