Syukur Alhamdulillah, Allah izinkan saya masih mampu berkongsi apa yang ada dalam minda saya dari Bilik Pengasingan 10, Wad 6G, HUKM ini. Mungkin tidak panjang bersesuaian dengan keterbatasan waktu yang ada.
Anda pernah membaca novel Atheis karya Achdiat Karta Mihardja ? Pembukaan novel itu dengan agak panjang lebar menghurai dan menghubungkaitkan antara kegelapan dengan ketakutan. Juga boleh dikaitkan ketakutan dengan ketidaktahuan. Maksudnya kita tidak tahu maka kita takut.
Ini saya kaitkan dengan ketakutan atau rasa gentar sesorang termasuk diri saya sendiri dalam menghadapi perubatan moden termasuk suntikan, bius, pembedahan, PET Scan, Bone Marrow, Kimotrapi dan lain-lain yang mendengar termanya saja sudah ada rasa takut untuk menghadapinya. Kenapa kita takut atau gentar? Kerana kita tak tahu dan tidak pernah melalui.
Untuk tahu kita bertanya kepada ramai orang. Orang yang benar-benar mengalami, orang yang cuma dengar cakap, orang yang membaca dari pelbagai sumber. Anda sendiri membaca dari sumber-sumber yang anda temui. Lalu anda membena persepsi. Kebanyakan cerita yang anda dengar tentunya kesakitan demi kesakitan yang akan anda lalui bila anda melalui semua prosedur di atas seperti yang saya lalui seperti PET Scan, Bone Marrow dan Chemotraphy itu sendiri.
Boleh mendengar dan mendapatkan maklumat itu untuk persediaan diri bagi menghadapinya. Tetapi jangan jadikan penghalang anda untuk menjalaninya. Jangan bina ketakutan yang keterlaluan dalam diri anda dan anda ambil pilihan untuk tidak melaluinya. Boleh rasa sedikit gentar, itu normal.
Mungkin set minda yang saya bina untuk menghadapi semua kesakitan yang diceritakan, mungkin pengalaman dan set minda yang tidak sama orang yang bercerita, mungkin daya tahan dalam diri yang ada dan yang amat besar rahmat dan redha Allah Subhanawataala , dengan izinnya saya lalui semua proses setakat ini tanpa rasa sakit seperti yang dinyatakan, termasuk bone marrow.
Kini saya telah lalui semalam kimotrapi pertama bahagian pertama. Syukur ke hadrat Allah saya lalui tanpa ada apa-kesan sampingan seperti pening, muntah dan sebagainya. Semuanya dengan izin Allah.
Hari ini , sebentar lagi Kimotrapi bahagian 2. Mungkin 8 jam juga atau dipercepatkan jadi 6 jam dengan kelajuan drip lebih dari semalam. Harap saya dapat lalui tanpa kesan sampingan macam semalam. Semoga Allah pemudahkan saya.
Bohong kalau tiada rasa takut walaupun sedikit, kerana dengan kimo bahagian 2 ini, bermakna anti body saya akan jadi kosong. Difahamkan sebelum balik ini masih ok sebab kesan antibody yang dimasukkan ke badan masih ada. Stage hari ke 7 hingga 14 adalah agak kritikal kerana anti body totally zero dan badan baru nak bina semula anti body. Masa itu pelbagai penyakit ringan boleh memudaratkan. Ini kata dokter, bukan dengar cakap dan hasil bacaan. Masa ini saya harus dipencilkan. Doakan saya tabah dan selamat melaluinya.
Ingat sekian dulu. Nak rehat sementara tunggu sesi kimo bahagian 2 bermula.
No comments:
Post a Comment