Pengalaman orang lain mungkin lebih mendebarkan dan lebih dramatik berbanding dengan pengalaman aku untuk pembedahan yang termasuk dalam pembedahan kecil. Pembedahan tongsil. Akan tetapi kerana ada permintaan dari rakan merangkap pengikut Tulisan maka aku cuba juga untuk menulis berdasarkan apa yang aku ingat dan aku lalui.
Bila pakaian untuk bilik pembedahan disampaikan kepada aku, bermakna waktu untuk aku dibedah sudah di ambang pintu. Aku mesti melaluinya setelah aku sampai sejauh ini.
Anak-anak aku dan isteri aku membantu aku menukar dari pakaian wad ke pakaian bilik bedah dan setelah selesai aku diminta berbaring sahaja di katil menunggu pembantu kesihatan ( PK) mengambil dan menolak aku ke dewan bedah.
PK sampai dan dengan segera menolak aku. Pengalaman pertama bagi aku sebagaimana pengalaman pertama juga aku menaiki ambulan ketika anak-anak ku "mengejarkan" aku ke HKL suatu hari bila aku terbaring tak mampu bangun suatu hari di rumah anakku di Setapak. Bukan aku tak ada daya untuk bangun tetapi kalau aku bangun pemandangan sekitar berputar dan aku rasa nak termuntah.
Laju sekali aku ditolak keluar dari Wad Warga, melalui lorong-lorong yang jauh menuju ke bahagian pembedahan. Isteri dan anak-anak terpaksa berjalan laju supaya tidak ketinggalan dan aku juga kuatir kalau mereka tertinggal. Masuk lift dan keluar lift lalu sampai ke tempat terakhir isteri dan anak-anak boleh mengikut.
Aku dipindahkan dari katil wad ke katil bilik pembedahan. Terasa saatnya sudah sampai untuk aku lalui apa saja proses pembedahan dan aku tiada pilihan lagi sebaliknya redha dan menunggu sahaja apa yang akan dilakukan kepada aku.
Waktu sampai untuk aku ditolak ke dewan bedah. Isteri dan anak-anak menyalami dan mencium aku dan melepaskan aku dengan memberikan kata semangat dan percaya aku kuat menghadapinya.
Aku ditolak masuk melalui pintu yang memisahkan aku dengan isteri dan anak dan anakku. Aku ditolak masuk ke suatu ruang menunggu merangkap ruang selepas pembedahan.
Telentanglah di katil menunggu apa selanjutnya yang akan berlaku dan dilakukan.
Satu team petugas ada di situ tetapi aku terlentang sendirian di katil , tetapi sesekali ada juga petugas yang menyapa aku termasuk dokter yang semalamnya memperkenalkan dirinya selaku petugas yang menguruskan bius aku.
Akhirnya saat aku akan dibedah betul-betul dah sampai. Aku ditolak lagi melalui lorong-lorong. Rupanya HUKM ini walaupun kelihatannya seperti satu bangunan sahaja, tetapi amat luas dan berliku. Jauh juga ditolak untuk sampai ke Dewan Bedah 2.
Bila aku ditolak betul-betul di spot pembedahan, aku redhakan diriku untuk apa saja. Aku dipasangkan jarum tempat saluran bius dan drip. Setelah selesai, seingat aku dokter ada memberitahu dia akan memasukkan ubat bius dan di situ sahaja terhenti ingatan aku.
Aku hanya antara sedar dengan tidak di ruang menunggu/selepas pembedahan. Aku sedar aku meronta2 kerana tak boleh bernafas. Ketika itu aku rasakan di sinilah pengakhiranku. Aku sebut di dalam hati di bilik bedah aku selamat tetapi di sini aku berakhir.
Aku diberikan bantuan pernafasan dan perlahan - lahan aku dapat melihat persekiran bilik semakin cerah dan stabil. Tak ingat berapa lama aku di situ sehingga aku diberitahu aku akan dihantar balik ke Wad.
Bila aku keluar dari pintu, kelihatan kedua-kedua anakku. Hati berbunga gembira. Sebenarnya masa masuk wad semalam, dua orang anak lelaki menemaniku. Hari ini dua orang anak perempuan pula mengambil cuti untuk menemani aku. Awal-awal pagi mereka sudah sampai. Semalam anak perempuan aku yang tinggal di Kulai pun sampai dan melawatku bersama suami dan anak-anaknya.
Sampai di bilik 10 Wad Warga , isteri dan anak-anak serta menantu dan dua orang cucu sudah menunggu.
Sebenarnya, kesakitan, kesedihan dan apa sahaja menjadi lega kalau kita mendapat sokongan dari orang-orang yang kita sayang.
Siang itu juga sebelum solat Jumaat, aku diziarahi sahabat semaktab masa menunaikan haji dulu iaitu Haji Rashid.
Keluarga yang lain balik sekitar pukul tiga petang kerana urusan mengambil anak dan sebagainya. Tapi anak perempuan aku yang dua orang itu menunggu dan melayani aku sepanjang malam.
Cerita selepas itu adalah cerita lain. Sekian dulu.
No comments:
Post a Comment