Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 81


Semalam aku dikunjungi oleh seorang sahabat. Biasalah seorang sahabat mengunjungi sahabatnya. Akan tetapi ada lain kunjungan sahabatku ini.

Pertamanya, ia mengunjungi aku di penghujung kebebasan aku untuk bergerak menjelang " pengasingan " dari dunia luar kerana menjalani proses *kimo* aku yang pusingan keseluruhannya memakan masa lebih dari 6 bulan. Ini kerana setiap kali menjalani kimo, daya aku melawan serangan penyakit berada ditahap " zero ". kata dokter.

Pada ketika itu aku dilarang terdedah dari berintraksi dengan orang ramai sama ada mengunjungi atau dikunjungi. Tempat aku adalah dalam bilik aku dan perselitaran dalam rumahku.

Lainnya lagi kunjungan sahabatku ini adalah kesanggupannya meredah perjalanan dengan turun naik kenderaan awam yang pelbagai hanya untuk mengunjungi aku. Kesanggupan dan pengorbanan masa, wang dan tenaga yang akan kekal kukenang sampai bila-bila selagi hayat ini ada.

Sahabatku ini, datang ke rumah aku berkereta ke stesyen lrt , naik lrt dan kemudian berjalan ke stesen mrt dan  naik mrt dan akhirnya naik grab untuk sampai ke rumah aku dalam perjalanan datang. Kemudian naik komuter , berpindah ke lrt dan kemudian berkereta untuk sampai semula ke rumah anaknya.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa tidak berkereta sahaja terus dari rumah anaknya ke rumahku? Bagi yang biasa dengan jalan-jalan di Lembah Kelang memang mungkin tiada masalah. Bagi yang tidak biasa masuk Kuala Lumpur pun tidak berani apatah lagi dalam usia sekitar 60an /70an.

Itu bukanlah persoalan. Apa yang nak ku highlightkan ialah  kesanggupan sahabatku melalui jalan berliku itu.

Aku memang betul-betul terharu.
Ketika dia sampai, kupeluk dia di depan pintu. Ada air mata bergenang di mataku. Inilah sahabat yang sama ketawa ketika senang dan sanggup menangis ketika susah.

Kerana sampainya sudah waktu sepatutnya makan tengahari, isteriku pun tidak sihat untuk menyedia juadah tengahari, kami tidak lama berbual di rumah. Kami dibawa anak dengan keretanya ke sebuah restoran Angah Hot Roo Tea di Mantin, yang amat selesa untuk kami makan sambil berbual-bual.

Gulai Lomak Cili Padi Ayam Kampung memang sedap dan menyelerakan di sini. Hingga kalau tidak memikirkan kesihatanku, mahu saja kuhirup kuah gulai itu hingga licin. InsyaAllah jika umurku masih ada selepas proses kimo , aku ingin ke sini lagi.

Selesai makan kami menuju ke Batang Benar untuk menghantar sahabatku naik komuter untuk pulang. Kami singgah dulu bersolat di Masjid Nurul Iman di Kg Gebok.

Selepas solat kami meneruskan perjalanan dan singgah di kedai makan Semangkok. Sahabatku dan anakku makan cendol sementara aku memadai dengan air kelapa tanpa gula kerana aku sudah memberhentikan minuman bergula kerana gula adalah makanan kanser.

Selesai makan di Semangkok kami meneruskan perjalanan ke stesen komuter Batang Benar. Sempat membeli tiket perjalanan ke KL Sentral yang mana lagi 3 minit komuternya akan sampai. Kupeluk sahabatku sebelum dia melepasi laluan masuk ke setesen. Semoga Allah panjangkan usiaku untuk bertemunya lagi.

Itulah sahabatku yang sama satu kelas ketika di Sekolah Alam Shah, sama-sama terlibat dengan pasukan pengakap. Terpisah bila aku meninggalkan Sekolah Alam Shah. Bertemu kembali ketika dia bertugas di Manjung dan aku di Ipoh. Terpisah kembali sehingga whatsapp group memainkan peranan untuk kami bertemu di reunion. Selepas itu ketika sihat walafiat selalulah berjumpa samada di Manjung atau di Kuala Lumpur.

Itulah curitanku dari kamar pengasingan* ku di Teratak Ibunda di Beranang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...