Pagi ini, mengisi ruang masa yang banyak, aku mengemas semula rak buku di ruang tamu. Mengemas dan menyusun semula buku-buku di rak dengan teratur dan kemas memang hobi aku. Tapi biasalah bila ada cucu-cucu yang masih kecil, bila mereka bertandang, mereka juga suka bermain dengan buku-buku dan aku akan menyusunnya semula.
Biasanya aku menyusun buku mengikut genrenya. Aku tidak mempunyai ilmu perpustakaan yang khusus untuk menyusunnya secara yang lebih betul.
Buku-buku aku masih dalam keadaan yang amat baik walaupun ada yang sudah kelihatan dimamah usia, kerana aku tidak pernah melipat muka surat sebagai tanda berhenti membaca , sebaliknya aku menggunakan penanda buku. Aku juga tidak pernah melipatkannya ke belakang macam amalan sesetengah orang bila membaca dan kalau ada yang meminjam buku aku berbuat demikian, terasa seperti dia melipat jantung aku.
Ada sesetengah orang membaca sambil menconteng bukunya dengan nota-nota. Buatlah pada kertas lain kan?
Sambil aku menyusun semula tadi ( tapi kali ini secara kasar, adalah buku-buku yang disusun tidak mengikut genrenya. Akan dihalusi nanti), kutemui buku-buku yang aku rindu untuk membacanya semula. Sama ada memang buku asal kepunyaanku atau buku yang aku beli kemudian menggantikan buku asal yang hilang yang biasanya kerana dipinjam tidak dipulangkan.
Kutemui semula Di bawah Alunan Ombak , novel yang pernah kusebut dalam tulisan terdahulu. Tapi bukan kepunyaan asal yang aku dapat sebagai pelajar cemerlang Tingkatan 2. Sebaliknya yang aku beli di Pameran Buku tetapi tak ingat di mana.
Kutemui Kuala Lumpur Kita Punya karya Abdullah Hussain,
Orang Jauh karya A. Samad Ismail, Perjudian karya S.Othman Kelantan, Menanti Beduk Berbunyi karya Hamka, Selasih Kusayang karya Alias Ali dan Shit karya Shahnon Ahmad sekadar menyebut beberapa judul.
Mungkin aku akan membaca semula Saga versi Inggeris selepas menyiapkan tulisan ini.
Eh mungkin ada yang terlupa penulis yang seorang ini. Kutemui Biru Warna karya Awang Had Salleh.
Minta maaf kepada yang tidak berminat dengan sastera dan novel-novel. Aku tulis ni kerana dua tiga sebab. Pertama sudah dua tiga hari tidak menulis kerana tiada bahan yang hendak ditulis. Kedua ada pengikut Tulisan yang menyatakan kepada aku, " Pak Ya tulislah apa saja, saya tetap suka membacanya" . Ketiga kerana aku sedang berdepan dengan buku-buku dan antaranya novel-novel yang memang santapan mindaku dari zaman anak-anak lagi.
Mungkin ada pembaca yang akan berkata, dah tertua ni, sakit pulak, bacalah Al-Quran atau buku-buku ugama. Setiap itu ada peruntukan masanya dan tidaklah di "highlight" kan sebab kengkadang kita riak tanpa kita sedar.
Sekian dulu.
No comments:
Post a Comment