Terbaru Dari Kami!!!!

Terbaru Dari Kami!!!!
Dapatkan buku terbaru kami. Click untuk beli dari Lazada atau WA 013-5336411 (Pak Ya) / 017-2542373 (Syahril)

PENGUMUMAN!!!!

PENGUMUMAN!!!!
Terlepas nak baca Luahan 1 -50. Dapatkan ia dari LAZADA. Click pada BUKU

Tulisan 78


Ada kerinduan yang amat terasa kepada novel - novel atau buku-buku cerita di zaman remaja dan mudaku.
Pada ketika itu novel-novel atau cereka-cereka ditulis oleh penulis-penulis tersohor yang hebat bukan penulis-penulis popular seperti sekarang ini.

Ada beza yang jelas antara penulisan Adibah Amin, Khadijah Hashim dan Salmi Manja berbanding Aisya Sofea, Sharifah Abu Salem dan Norhayati Berahim.
Ketika itu genrenya pelbagai dan kebanyakannya umum tentang masyrakat dan tidak semata-mata kesah cinta dengan nama watak yang nampak sangat direka-reka.

Love Story oleh Erich Segal, First Love oleh Even Tugenev dan Romeo and Juliet oleh Wiliam Shakespeare pun Seroja Masih Di Kolam oleh Adibah Amin walaupun membicarakan tentang cinta , tidak sama dengan Gerimis Di Hati oleh Sharifah Abu Salem,  Rindu Di Kalbu oleh Durrah Fatehah dan Kau Untukku oleh Aisya Sofea.

Nama-nama besar seperti A. Samad Ismail, A. Samad Said, Wijaya Mala dan yang terkemudian Shahnon Ahmad, Azizi Hj Abdullah dan Abdul Mutalib Hassan seperti hilang tidak berganti.

Rindu untuk mendapatkan kembali novel-novel lama itu.

Aku pernah ada novel Seroja Masih di Kolam karya Adibah Amin tapi hilang bila peminjam menjadikannya hak milik kekalnya. Aku pernah "memburu" novel ini dengan menjejak pengarangnya sendiri Adibah Amin. Malangnya dia sendiri tidak ada menyimpan walau senaskah untuk dirinya sendiri. Manuskrip asal ( tentunya ditaip menggunakan mesin taip ) juga tidak ada. Sebaliknya dia meminta aku menghubunginya sekiranya aku dapat menjejak novel berkenaan. Akhirnya aku temui di perpustakaan kawan isteri aku yang ada menyimpan naskah-naskah lama. Sayangnya masa jauh berlalu, aku tidak menghubungi Adibah Amin dan diapun sudah meninggal. Al-Fatihah. Aku sekarang menyimpan naskah fotostatnya.

Orang Pahang sepatutnya kenal Ibrahim Omar yang menulis Desa Pingitan. Sepatutnya telah membaca kesah masyarakat di Kg Mela yang ketika itu hanya dihubungkan dengan dunia luar oleh jalan keretapi.

Orang Terengganu patut kenal penulis A. Rashid Ngah yang menulis Di Bawah Alunan Ombak, kesah di zaman Jepun.

Orang Kedah patut kenal sangat dengan Ranjau Sepanjang Jalan , Serengenge dan Rentung oleh Shahnon Ahmad.

Itu semua novel-novel besar kesah masyarakat, bukan novel cinta picisan.

Patutnya orang Johor kenal cikgu Abdul Mutalib Hassan dan karya hebatnya Saga yang memenangi hadiah pertama sayembara mengarang novel Gapena-Utusan.

Pun banyak novel-novel terjemahan oleh penterjemah hebat seperti Asraf dan Abdullah Husin yang aku rindui. Cinta Pertama atau First Love oleh Even Tugenev penulis novel tersohor Russia yang ditulis tahun 1860 amat mempersonakan aku.

Kesah cinta budak lelaki 16 tahun kepada gadis 21 tahun.

Selain itu Bumi Bertuah ( Good Earth) oleh penulis buta Pearl S. Buck, Orang Tua Dengan Laut oleh Ernest Hemingway amat mengasyikkan bila dibaca.

Kepada old timer macam aku, dan kepada yang muda tetapi berminat dengan sastera bermutu, cuba-cubalah jejaki Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Merantau Ke Deli, Siti Norbaya, Orang Jauh, Salina dan Sungai Mengalir Lesu. Bulan Tak Bermadu Di Fatehfur Sikri juga jangan ditinggalkan.

Kepada yang tidak berminat dengan sastera, maaf mengambil waktu anda membaca coloteh saya yang gila sastera ini.

No comments:

Post a Comment

Luah Bicara 97

Sebentar tadi aku membuka YouTube. Mendengar  saranan seorang Dato' yang agak popular dan kontraversi terhadap PM. Katanya PM pun dah di...