Tidak ada kebebasan yang mutlak dalam dunia ini. Sama ada kita terikat pada hukum hakam agama kita atau kita terikat dengan undang-undang negara kita, atau kita terikat dengan peraturan-peraturan setempat. Bukan itu saja, kita juga terikat dengan rasa kebertanggungan terhadap orang lain.
Peraturan ini bukan sahaja tidak bertulis malahan peraturan ini lebih kepada bagaimana anda meletakkan kepentingan orang lain mengatasi kepentingan diri anda sendiri. Peraturan ini sebenarnya jauh lebih berat dilaksanakan kerana tiada garis panduan.
Hukum-hukum Allah sudah pasti halal
haramnya. Wajib , sunat dan makruhnya. Kita patuhi saja sepenuhnya. Begitu juga undang-undang dan peraturan bertulis. Tetapi undang-undang tidak bertulis ini memerlukan kebijaksanaan dan kekuatan membuat keputusan.
Anda seorang penulis. Anda ingin menulis sesuatu yang menarik perhatian anda dan anda ingin berkongsi dengan pembaca-pembaca anda sesuatu yang anda rasa bagus untuk dikongsikan. Namun bila individu atau kelompok yang menjadi subjek yang anda ingin tulis merasa tidak selesa dengan tulisan anda, anda kena hormati dan tidak meneruskan hasrat anda walau semurni mana pun nawaitu anda.
Di sini peperangan memang berlaku dalam diri anda tetapi akhirnya rasa kebertanggungan untuk menyenangkan hati orang lain seharusnya mengatasi kepentingan diri anda.
Suatu hari seseorang datang menemui saya kerana ingin mengambil peperiksaan ulangan SPM sedangkan tarikh tutup sudah pun berlalu. Bila saya terangkan kepadanya dia pun beredar pergi tentunya dengan rasa kecewa. Kemudian hadir seorang yang lain menemui saya dengan hasrat yang sama. Saya menerangkan keadaan yang sama seperti saya terangkan kepada yang pertama tadi . Dia merayu-rayu hingga mengeluarkan air mata. Saya tercepit antara berpegang teguh kepada peraturan yang telah termaktub dengan rasa kasihan dan hak saya untuk menggunakan budi bicara. Namun saya tidaklah bebas berbuat demikian kerana rasa kebertanggungan saya terhadap orang lain. Kalau saya gunakan budi bicara saya untuk meluluskan permohonan yang merayu ini, bagaimana kebertanggungan saya terhadap yang merayu lebih awal tetapi berlalu bila saya sebutkan sudah melepasi tarikh tutup tadi?
Jadi saya terpaksa keraskan hati untuk menolak sementelah peraturan bertulis pun jelas tentang itu.
Seperti tulisan saya yang terdahulu, tentang menyimpan rahsia. Ada peraturan bertulis tentang menyimpan rahsia contohnya Akta Rahsia Rasmi. Tetapi menyimpan rahsia kawan, rahsia keluarga keluarga dan rahsia diri, tidak tertakluk kepada peraturan bertulis. Ia kembali kepada apa yang saya sebutkan awal tadi rasa kebertanggungan kepada orang lain.
Sekian.
No comments:
Post a Comment