Semasa aku bersekolah dulu, aku ada membaca sebuah buku cerita
yang berjudul IBU YANG KUKENANG
sebuah buku cerita yang menceritakan tentang ibu Si Penulis.
Sukar untuk aku
menamakannya sebagai novel kerana tidak memenuhi ciri-ciri sebuah novel
sebenarnya. Sebaliknya ia merupakan himpunan kenangan Si Penulis terhadap
ibunya. Karektor atau cerita yang berligar di sekitar ibunya yang melekat dalam
ingatannya
.Lupa nama penulisnya kerana beliau bukan penulis tempatan
sebaliknya penulis Afrika kalau aku tidak silap. Buku cerita itupun sebenarnya
sebuah buku terjemahan yang diusahakan oleh penerbitnya. Aku pun sudah lupa
penerbitan mana dan siapa penterjemahnya. Aku tertarik kepada gaya
penceritaannya.
Akupun ada mencuba menulis
mengikut tema dan gaya penceritaannya itu namun masih dalam proses dan jauh
daripada siap. Lebih tepat masih dalam bentuk rangka yang tidak sempurna. Aku
tidak mengambil Ibu sebagai fokus
aku, sebaliknya abang aku. Lalu
keberikan judul Abang Yang Kukenang.
Kenapa tentang abang, dan
bukan tentang ibu yang kutulis? Aku tinggal dan membesar bersama ibu hampir
sepanjang masa kecil dan remajaku, hingga terlalu banyak episod hidup bersama
ibu, hingga sukar hendak memilih yang mana yang hendak kuceritakan. Lain dengan
abang aku, yang lebih banyak masanya habis jauh dari aku dan bila bersama,
adalah episod-episod yang jadi kenangan.
Sebenarnya aku hanya ada tiga orang adik beradik. Abang, Nyah dan Aku. Aku tak kenal Nyah pun kerana Nyah meninggal dunia diserang cacar ketika hanya berusia setahun dan masa itu aku belum lahir. Aku hanya kenal abang yang aku panggil Yob, panggilan biasa orang Perak terhadap abang sulung. Oleh kerana Nyah meninggal, rasminya bila orang bertanya atau aku bercerita, aku akan kata, aku cuma dua beradik. Oleh kerana aku yang ketiga ( dan bongsu ), jarak usia aku dengan abang aku adalah 6 tahun. Jarak yang agak jauh juga.
Seingat aku, sebelum berpindah
ke Parit lagi, abang sudah terpisah dengan aku sebab abang aku bersekolah
dengan menumpang di rumah emak saudara kami di Teluk Baru sementara aku bersama
emak tinggal di Teluk Rubiah. Hendak berjumpa abang, kami kena naik bot yang
cuma sekali sahaja lalu sehari untuk ke hilir atau sekali sahaja sehari untuk
mudik ke Teluk Intan. Atau abang akan dihantar balik menaiki sampan yang
didayung oleh suami ibu saudara aku yang aku panggil Ayah Cik.
Bila pindah ke Parit, abang aku hanya tinggal dua tahun sahaja bersama aku dan emak ketika Darjah 5 dan Darjah 6. Darjah 7 abang belajar di Ipoh dan balik bila cuti sahaja. Selepas Darjah 7, abang jadi Cikgu dan sejak itulah kami hanya jumpa bila cuti. Namun aku amat rapat dan menyanyangi abang aku kerana bagi aku dialah abang dan dialah bapa sementelah, bapa aku meninggal di tembak komunis ketika aku berusia setahun dan tidak pernah kenal erti dan kasih seorang ayah.
Kerana itulah abang sangat istimewa bagi aku. Itulah yang
mendorong aku menulis Abang Yang
Kukenang.Jadi dalam Tulisan aku yang berikut nanti, aku akan menyentuh episod yang
menjadi kenangan aku terhadap abang.
Sebagai pengenalan, nama abang
aku ialah Alias. Di Teluk Intan, saudara mara memanggilnya Lieh ikut sebutan
cara orang Perak sebelah Teluk Intan. Di Parit, orang-orang tidak kenal abang
sebagai Alias atau Lieh kerana emak memanggil abang dengan panggilan Tan.
Bila abang aku ditarik ke JPN
Perak tahun 1987 dan kemudian aku pula ditarik ke JPN Perak pada tahun 1991,
kami menjadi lebih rapat dan duduk berhampiran. Aku di Tasek dan abang di
Selibin. Bila rindu pada abang aku pergi ke rumahnya. Dekat saja. Tapi susunan Allah
menentukan, abang kekal di Ipoh tetapi aku jadi perantau di Beranang. Bila
rindu, aku seelah daya akan ke Ipoh.
Bila aku bertanya tentang kesihatan abang, jawapannya sama saja...sihat..sihat cara orang tu.
No comments:
Post a Comment