Aku duduk di sudut terpencil Restoran Sate Haji Samuri. Memerhati orang-orang yang masuk ke restoran itu.
Sebenarnya aku ada majlis perjumpaan dengan bekas murid-murid aku yang terpisah sejak tahun 1977. Tahun itu mereka menamatkan pelajaran mereka di Tingkatan 5 atau ada yang ke sekolah lain lebih awal masa Tibgkatan 4. Bayangkan sudah berapa lama. Aku posting ke sekolah SMJK ( C ) pada tahun 1973 pada usia lebih kurang 24 tahun. Mereka ketika itu adalah murid-murid Tingkatan 1. Sekarang usiaku 70 tahun. Mereka pun sudah menghampiri 60 tahun.
Temujanji kami sebenarnya pukul 12 tetapi aku sampai awal kerana pada mulanya nak bertemu terlebih dahulu kawan aku Prof. Dr Khanif di Bangi. Tapi dia berada di UPM ketika aku dalam perjalanan. Jadi kusasarkan terus perjalanan aku di sini.
Duduk di sudut terpencil ini, aku nak melihat riaksi bekas anak-anak muridku yang kononnya akan datang seramai 10 orang. Sesuatu yang tidak kujangka.
Lim Song Hock, anak muridku yang sangat pandai dan mempunyai budi pekerti yang baik tidak pernah luput dari ingatanku. Selalu juga aku bertanya tentang dia bila bertemu bekas-bekas pelajar SMJK (C) Ayer Tawar, Perak yang lain.
Langsung tidak dijangka dia menghubungi aku hari Selasa lepas, memperkenalkan diri dan berkata ingin bertemu. Turut menghubungi aku ialah Yu Kong Chong yang juga masih kuingat dan masih jelas wajahnya di mindaku. Sudah 20 tahun menetap di Amerika. Balik setahun sekali. Awal Mac nanti baliklah dia ke US.
Aku gagal menbuat mereka tercari-cari aku kerana mereka yang datang serentak yang menyerbu aku terlebih dahulu ketika aku sedang menaip intro tulisan ini.
Yu Kong Chong yang menghampiri aku lebih dulu dengan muka yang begitu familiar, tetapi dalam keterharuan dia terlebih dahulu menyebut namanya sedangkan aku tersangkut untuk mengaitkan muka itu dengan namanya sedangkan dalam minda ku sebelum ini inilah Yu Kong Chong.
Lim Song Hock murid kedua menghampiri dan memeluk aku dengan menyebut namanya sedang mukanya dan watak santunnya masih seperti dahulu seperti tidak perlu diperkenalkan. Menitis air mataku menerima kehadiran mereka.
Kemudian yang lain-lain lelaki dan perempuan menemui aku. Sepuluh orang semua. Ketika kami sudah mula menjamah makanan, datang lagi 2 orang termasuk Tan Kuat Keng yang masih mahu menemui aku walaupun sudah dua tiga kali bertemu. Mereka juga menyebut nama murid-murid yang lain yang berkirim salam tetapi tak dapat ikut serta dalam pertemuan ini kerana berada di Ipoh, Ayer Tawar atau Sitiawan. Mereka juga dimaklumkan teringin nak jumpa aku. Meminjam kata-kata mereka tanpa niat membanggakan diri " Cikgu sangat baik, itu sebab semua orang sayang Cikgu". Terharu lagi aku.
Sebelum itu Song Hock bertanya kepada aku , apa yang aku nak minum. Selain dari sate aku nak makan apa? Aku setuju dengan air kelapa, sate ayam dan sedikit ketupat. Semua mereka mengikut menu aku. Cuma tak sedar bila mereka pesan mee goreng basah yang sedap juga.
Opsyen aku ialah Sains Pertanian dengan Art & Craft. Semua yang lelaki belajar Pertanian dengan aku. Bagaimana yang perempuan? Oleh kerana aku saja guru Melayu, ada pulak Prinsipal BM dlm HSC, maka aku juga mengajar Bahasa Melayu. Di samping itu aku jadi guru serbaguna sebab aku juga mengajar Sejarah, Geografi, Siviks, dan jangan terkejut,aku juga mengajar Pendidikan Jasmani. Jadi yang perempuan terlibat dengan aku samada sebagai Guru Kelas atau belajar salah satu subjek tadi terutamanya BM kerana aku mengajar BM beberapa kelas.
Banyaklah yang kami kenang dan bualkan.
Ada yang menunjukkan gambar lama masa mereka murid dan aku masih muda.
Aku bergurau , handsome juga saya masa ini. Dia orang kata kalau handsome tapi tak baik tak guna juga. Rasa kembanglah juga hati. Tapi lebih kepada terharu. Hampir untuk berpisah, aku beritahu yang kesihatanku sebenarnya ada masalah. Tadi aku sebut aku sihat demi menceriakan suasana pertemuan.
Aku beritahu Khamis depan aku akan masuk Wad dan Jumaatnya akan dibedah. Aku tidak pasti apakah hanya tonsil sahaja yang dibuang atau ikut kata isteriku, ketumbuhan dileherkan aku dimaklumkan sebagai kenser lymphoma juga dibuang sekali atau cuma ambil sampel.
Mereka minta aku positif. InsyaAllah tahun depan saya balik dari Amerika, kita jumpa lagi kata Yu Kong Chong. Terharu juga aku. Aku cuba untuk.positif kerana positif atau negatif, aku kena lalui juga.
Akhirnya kami berpisah. Lim Song Hock membelikan 30 cucuk sate dan Yu Kong Chong memberikan Liman Mandarin dan Limau Tambun
Semoga kami akan bertemu lagi.
No comments:
Post a Comment